Haruman Ketaatan.

Allah berfirman di dalam ayat kedua surah al-ankabut- "Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami telah beriman' sedangkan kamu belum diuji?"

Hakikatnya kehidupan ini ialah ujian. Ujian daripada Allah, untuk mengira siapakah antara kita yang mencapai piawaian 'ahsanu amala'. Allah nak uji siapa antara kita yang berjaya untuk menjadikan hidupnya harum dengan amalan yang terbaik, sebagaimana difirmankan oleh-Nya di dalam surah al-Mulk ayat 2.

Fudail bin Iyyad, seorang tabi'in mengatakan bahawa maksud 'ahsanu amala' ialah amalan yang paling ikhlas dan yang paling bertepatan dengan sunnah.

Kedua-duanya (iaitu ikhlas dan ittiba' sunnah) ialah resolusi daripada pemahaman manusia kepada kalimah syahadatain. Kerana bila mana kita mengatakan bahawa 'tiada tuhan melainkan Allah', makanya kita bermaksud untuk memusatkan seluruh ketaatan kita kepada-Nya sahaja. Tidak kepada kuasa-kuasa yang lain, dan tidak juga kepada sosok-sosok yang lain.

Apakah ada ruang untuk manusia yang beramal kepada Allah semata, untuk berasa letih dan kecewa bila tiada pujian yang dilemparkan kepadanya? Tiada penghargaan yang dikurnia kepadanya, tiada kesenangan yang ditumbuhkan kepadanya.

Maka, jika timbul di dalam dirinya sifat dan perasaan sebegitu, itu bermakna manusia itu sedang beramal untuk suatu yang bukan kerana Allah. Mungkin kerana manusia, dan mungkin kerana dunia.

Dalam kitab Ayyuhal Walad, pada pesanan keempat, Imam Ghazali rahimahullah menukilkan kisah seorang lelaki dari kalangan bani Israel yang telah beribadah selama 70 tahun. Allah berkehendak untuk menguji lelaki soleh ini, dengan mengutuskan seorang malaikat kepadanya untuk berkata, "Walau kamu telah beribadah selama 70 tahun lamanya, namun ia belum melayakkan kamu untuk masuk ke syurga."

Lalu dijawab pula oleh lelaki tadi, "Itu bukan urusan saya. Saya diciptakan untuk beribadah kepada Allah. Maka itulah yang perlu saya lakukan."

Apabila malaikat itu kembali kepada Allah, dia berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya Kau Maha Tahu akan apa yang dikatakan oleh hambaMu."

Lalu Allah berfirman, "Apabila hambaku tidak berpaling daripada beribadah kepada-Ku, maka Aku membalasnya dengan kemurahan-Ku. Aku juga tidak akan berpaling daripadanya. Wahai para malaikat-Ku, bersaksilah kamu semua bahawa Aku telah mengampuni segala dosa-dosanya."

Hari ini, berapa ramai manusia yang telah tertipu dengan amalnya? Mereka (termasuklah kita) menginginkan suatu yang segera dan mudah, saat beramal. Bila tak dapat dan diuji sedikit, kita cepat goyah. Sedikit demi sedikit, meninggalkan pula amalan!

Bahkan, bukan sedikit juga manusia yang tertipu dengan merasakan bahawa amalannya itu telah membawanya seolah-olah sehasta daripada pintu syurga. Kata-kata iblis, 'ana khairun minhu' diucapkan oleh nuraninya yang sudah basah dengan ego dan kesombongan. Wajarlah! Aku orang yang banyak beramal, maka aku secara automatik adalah lebih baik dan lebih betul daripada engkau!

Benarkah begitu?

Jika berlaku begitu, ternyata ada perkara yang tak kena pada diri kita. Kita masih kurang ikhlas dalam beramal. Subhanallah. Betapa ruginya seorang hamba, bilamana dia beramal dan beribadah sejak usia baligh, tetapi hingga ke tua, tidak ada satu pun amalnya yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

Bagaimana pula jika amal itu pun dilakukan tanpa mengikuti sunnah? Huh, beramal ikut nafsu, ikut suka hati!

Allah....

Sekarang, kita perlu sedar bahawa kita sememangnya ada banyak perkara yang perlu diubah, diperbaiki baik daripada nilai ketundukan hati dan keikhlasan jiwa, mahupun aspek ilmu. Ibadah bukannya suatu yang direka, dan dijadikan bahan ikut-ikutan yang diwariskan, sebaliknya ibadah ialah legasi daripada ajaran Rasululullah. Nak beribadah, wajib ada ilmu. Maka, kalau kita habiskan kebanyakan masa kita dengan aktiviti tak bermanfaat, apakah ada alasan kita kepada-Nya bila kita kekal sebagai orang yang tidak berilmu?

        
Previous
Next Post »
2 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443