Lokasi: Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
1- Kewajipan menegakkan semua hukum Allah.
Allah tak akan tanya tentang kejayaan kita, sebaliknya Allah hanya akan menyoal kita; adakah kita ada berusaha untuk menegakkan hukum Allah? Padahal, hukum Allah ialah hukum yang tertinggi!
Untuk ini, kebanyakan manusia suka untuk bersikap lepas tangan. Mereka bukannya menolak pun, tetapi mereka lebih bersikap statik. Tidak mahu berusaha, sebaliknya mengambil keputusan tunggu dan lihat.
Orang begini mewarisi sifat ragu-ragu orang munafik. Mereka memerhati dengan penuh konsentrasi sambil seluruh isi hatinya mencongak; apa manfaatnya untuk aku?
Orang yang tiada prinsip dalam beragama, maka dia sangat condong kepada api neraka. Ini adalah kerana manusia yang tiada prinsip yang jelas, mereka akan melakukan sesuatu dengan maksud mahu mengaut keuntungan duniawi semata-mata. Apa yang baik pada kaca mata nafsu, maka itulah yang diterimanya. Hukum Allah yang melanggar kehendak nafsu dan kepentingan dunianya, maka dengan halus mahupun dengan berkeras, dia akan menolak dan terus menolak. Walaupun bibir melantunkan bibit-bibit perjuangan! Kononnyalah! huh.
Maka, kita semua ada tanggungjawab untuk menegakkan semua hukum Allah, baik dalam muamalat, munakahat, dan juga jinayat. Yang Allah kata haram, suka atau tidak suka, kita perlu haramkan. Yang Allah katakan wajib, suka atau paksa, kita berkewajipan melaksanakannya.
2- Orang munafik.
Orang munafik ialah golongan kafir yang paling besar azabnya nanti. Mereka musuh, tetapi di dalam kelubung. Mereka musang, tapi berbulu ayam. Di balik banyaknya ibadah, tersembunyi agenda yang jelek.
Kepala atau tokohnya ialah Abdullah Bin Ubay. Di zamannya, dialah orang yang selalu solat betul-betul di belakang nabi. Dia duduk di dalam majlis-majlis ilmu. Saling bersentuh lutut lagi. Tapi apa yang berlaku, dialah yang menjadi ejen perosak kesatuan. Dialah yang membisikkan fitnah dengan sangat cilik sekali. Jasad Abdullah Bin Ubay kini sudah reput. Mungkin juga saat ini, dia sedang meraung-raung bersama teman-teman karibnya di dalam kubur. Tapi matinya seorang tokoh munafik, tidak pula menghapuskan sifat munafik.
Sifat munafik terus wujud dan akan wujud sampai bila-bila. Kerana ia adalah sifat yang termuntah dari sisi hati manusia yang kotor!
Hati-hatilah dengan sifat munafik ini. Dalam hadis, banyak kali Rasulullah menceritakan tentang sifat munafikin ini. Antaranya, (1)- apabila berjanji, dia memungkiri. (2)- apabila diberi amanah, dia curang. (3)- apabila berkata-kata, dia berbohong.
Nota: kalau kita rujuk satu hadis sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah menambah dengan yang keempat, bila bertengkar, dia mengenepikan kebenaran.
Jika diperhati, kesemua sifat itu sangat dekat dengan seorang pemimpin atau ketua. Bila disebut pemimpin, jangan kita terus mahu memandang keatas. Jangan hanya tahu melihat kesalahan orang lain. Lihat dahulu diri kita.
Kita sendiri ialah pemimpin. Pertama, sudah tentulah kepada diri kita sendiri. Selepas itu, pemimpin kepada keluarga kita. Bila dikatakan begitu, maknanya kita punya amanah yang wajib kita tunaikan.
Antara amanah yang telah kita lacurkan kerana kelalaian kita ialah amanah untuk menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka. Ini amanah yang paling utama untuk seorang ketua keluarga, khususnya. Seorang bapa, sanggup bekerja 25 jam sehari (ekstra 1 jam kerana tekun gila) semata-mata mahu menyuap anak isteri yang berlapar di rumah. Tetapi bagaimana dengan kebajikan emosi, kebajikan ilmu, dan kebajikan agama mereka?
Siapa ingat mudah nak jadi suami? Siapa ingat mudah nak jadi bapa? Sangat dekat dengan kemunafikan, orang-orang yang curang di dalam melaksanakan amanah. Begitulah juga dengan janji-janji yang kita tanamkan di tepi bibir kita.
Heh, manusia... bila berjanji dengan Allah pun dia sanggup tipu, apakah kita boleh percaya dengan orang-orang fasik yang datang menabur janji menjelang pilihan raya nanti?
Fikir sendirilah.
Kerana kita akan menjadi bermasalah jika kita menaikkan orang fasik dan munafik sebagai ketua kita, dengan kita mengenepikan orang ikhlas yang memperjuangkan agama Allah.
Masalah besar!
3- Kejahilan.
Ramai antara kita yang jahil. Sangat ramai. Jangan ingat subjek pendidikan islam yang kita dapat A+ masa peperiksaan dahulu sudah memerdekakan kita daripada kewajipan menuntut ilmu. Jangan fikir begitu. Sekarang kita dah ada macam-macam teknologi. Tak sempat dengar kuliah di masjid surau, dengar sahajalah di Youtube. Tak mampu nak baca kitab-kitab ulama muktabar yang 'besar-besar', maka bacalah majalah-majalah islam. Tak faham juga, boleh baca novel islam. Banyak sangat alternatif. Variasi. Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak. Sombong!
4- Dakwah dengan harta.
Ada orang yang bekerja. 8 pagi dia keluar rumah, menjelang isyak baru dia sampai ke rumahnya semula. Seketika bersama anak isteri, bilik tidur memanggilnya. Mana ada masa nak pergi berjumpa orang-orang yang bermasalah dan bermaksiat, untuk berdakwah. Lagi-lagi, orang yang duduk di ceruk-ceruk belantara.
Maka, orang begini boleh berdakwah dengan cara menyalurkan bantuan kewangan. Memberi biayaan kepada kerja islam, melayakkan seseorang untuk sama mendapat habuan daripada gerak kerja islam itu. Walaupun bukan dia yang berceramah. Walaupun bukan dia yang menyantuni orang asli dan orang bukan islam. Walaupun bukan dia yang memujuk remaja-remaja lepak ke majlis ilmu. Tapi jika pendakwah-pendakwah itu bergerak melalui wang sumbangannya, maka dia juga dikira sebagai 'bergerak'.
Cuma, ini tidak membuatkan kewajipannya mencegah kemungkaran lupus. Dia tetap wajib cegah maksiat depan matanya, walaupun dengan cara yang paling rapuh; mendoakan hidayah buatnya!
1 Komentar
Assalamualaikum tuan blog...berkunjung ke sini setelah lama tidak dtg...
BalasTq diatas perkongsian yang bgus ini...ilmu yg baik...(:
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443