Alhamdulillah. Anda masih membaca. Baiklah, pertamanya saya kalungkan ucapan terima kasih sebagai tanda kasih kepada anda kerana sudi mencambahkan perasaan mahu tahu akan apa yang bakal kita bincangkan. Terus kepada isu- hipokrasi.
Bukan sekali, kala saya dan rakan-rakan melakukan satu kewajipan mengajak manusia kearah kebaikan, kami akan ditepis oleh satu alasan yang muktamad: "Takpelah. Hipokritlah kalau aku buat juga". Geleng kepala kami, sedang dalam hati, sudah tersusun-susun pedang kata-kata yang jika dihunus, memang boleh merobek alasan mereka tapi sengaja tidak dihunus kerana ia juga akan merobek keperibadian, akhlak, dan adab kami juga.
Jujur, saya memang rasa nak marah bila orang guna alasan “Tak mahulah. Hipokritlah kalau aku pakai tudung. Hipokritlah kalau aku ikut kau pergi solat berjemaah. Hipokritlah kalau aku ikut kau dengar ceramah Ustaz tu. Hipokritlah aku kalau bla…bla..bla…”
Seakan-akan, mereka lebih takut menjadi hipokrit berbanding menjadi munafik. Mulianya sungguh? Takut jadi hipokrit, tetapi tak takut jika Allah membenci dan memarahi batang tubuh mereka.
Saya menyimpulkan, “Tak mahu jadi hipokrit” ialah satu alasan semata-mata. Tercetus daripada senaman otak yang licik. Didandankan pula dengan beberapa kerat ayat agama seperti ‘tidak ada paksaan dalam agama’, dan dikomersialkan akhirnya oleh para figur yang diangkat sebagai wira-wirawati sosial.
Saya bertepuk tangan, mengucap syabas dan mengkagumi kejayaan para pelakon dan penyanyi yang berjaya mencontohkan kepada golongan muda, bagaimana untuk membina alasan yang efektif untuk menolak kewajipan daripada Allah. Tahniah juga kepada media yang mengangkat dan melariskan isu, juga menjadi percikan api yang menambah besar nyalaan yang membunuh ini.
Tahniah!
Jika Yahudi dan Nasrani, dalam merosakkan moral dan fizikal umat islam, mereka umpama irama dan lagu yang sering berpapasan dan bersefahaman, maka dua golongan yang saya kagum itu boleh jadi salah satu Yahudi, salah satu Nasrani. Ya, boleh-boleh saja terjadi begitu kerana kesan yang dipertonton, jelas disapu pandangan kita. Kita melihatnya sebegitu. Nak kata apa lagi?
Saudara sidang pembaca.
Alasan aku tak mahu hipokrit, saya rasa sama bodoh dengan alasan bodoh lelaki itu- Jadd Bin Qais. Saatnya perang Tabuk, umat islam akan berdepan dengan musuh yang hebat iaitu empayar Rom. Lelaki itu, Jadd Bin Qais berdebar-debar hatinya. Tak keruan. Akhirnya, dia mendatangi Nabi Muhammad S.A.W dan berkata, “Wahai Rasulullah. Aku mahu ikut berperang sebenarnya. Tetapi engkau pun tahu, bahwa dalam kalangan kita, aku ini jenis yang mudah terpikat dengan wanita. Jadi aku meminta kepada kau kelepasan daripada turut berada dalam legasi pejuang iman ini, kerana aku takut tercampak dalam fitnah. Tahu-tahu sahajalah, perempuan Rom itukan cantik-cantik belaka”.
Rasulullah memalingkan wajahnya yang mulia daripada lelaki itu, seraya mengizinkan. Lalu, turunlah satu ayat al-Quran sebagaimana yang kita jumpa dalam Surah at-Taubah ayat 49;
Dan di antara mereka ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah”. Ketahuilah, mereka telahpun tercebur kedalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahannam meliputi orang- orang yang kafir. (at-Taubah, 49)
Orang munafik, tak ada rasa malu pada mereka. Walaupun terpaksa membuat alasan bodoh, mereka sanggup. Bahkan paling ketara, mereka sedaya upaya cuba berdandan dengan maskara, gincu, bedak dan apa-apa sahajalah asalkan mereka nampak baik!
Dalam kes Jadd Bin Qais, dia mahu nampak baik kononnya kerana dialah orang yang paling menjaga mata dan takut terhadap godaan wanita!
Dalam kes kita, kitalah manusia yang paling baik kerana sangat-sangat takut untuk jadi hipokrit! Amboi, mulianya!
Pernah tidak dalam musafir hidup kita, kita berbahadapan dengan kata-kata ini:
“Sesiapa yang meninggalkan amalan kerana takut riak, maka itulah dia riak”.
Kata-kata mahsyur yang dipercayai tercetus daripada buah fikir Imam Ghazali itu, terlalu mendalam maksudnya. Tak keterlaluan jika saya kata, orang yang ada otak sahaja boleh memikirkan. Yang kosong otaknya dengan akal, ya… mungkin bertahun membaca pun tak akan faham-faham. Jadi, tak perlulah nak dipersalahkan orang yang tak faham, kerana kapasiti dan kapabiliti otak (akal) kita kan berbeza.
Mari melihat, bagaimana takut riak boleh menjadi riak. Kerana, orang itu bukan sahaja telah ditipu syaitan, tetapi dia juga telah terang-terang melawan Allah, dan dalam keadaan lawan Allah dan dipeluk syaitan itu, dia pula merasa diri dia mulia. Baik dan bagus, kerana dia sudah berjaya meninggalkan riak yang mana orang selain dia, yang beramal itu… semuanya telah riak. Kerana dia seorang sahaja yang tak beramal, maka dia seorang sahaja yang tak riak. Dialah hero! Hidup hero! Hidup hero!
Cukup-cukuplah saudaraku. Usah bersembunyi di bawah alasan. Kita diciptakan oleh Allah, bukan kerana Dia mahu bermain-main. Tak macam kita buat mainan patung daripada plastisin. Tak sama. Allah, kerna Maha Hebatnya Dia, Dia menciptakan kita kerana bersebab. Pertama, agar kita beribadah. Ikut apa yang Dia suruh dan tinggalkan apa-apa yang Dia larang. Keduanya, agar kita memimpin dunia dan alam semesta ini dengan panduan al-Quran dan teladan Nabi Muhammad. Sekarang tahu, apa tugas kita?
Sudah tentu bekerja itu juga tugas. Beranak bini juga tugas. Semuanya harus. Semuanya boleh. Tetapi jika ada kata-kata ‘jangan’ daripada Allah, maka disanalah kita perlu dirikan ketegasan untuk berkata ‘tidak’.
Nak datang kepada Allah bukannya mudah. Syaitan, nafsu sendiri, bahkan manusia keliling juga banyak yang akan menarik kita daripada letak punggung kita tadi. “Jangan masuk syurga”, kata mereka. Kerana itu, mereka akan cuba sedaya upaya untuk pujuk kita supaya jangan dekati Allah. Jangan dekati masjid surau. Jangan dekati majlis agama. Jangan tutup aurat. Jangan jaga perhubungan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Jangan macam-macam! Tapi sebenarnya dalam masa yang sama, mereka sedang berteriak di telinga kita, “Jom masuk neraka!”
Akhirnya, kitalah yang akan membuat keputusan muktamad. Nak masuk syurga atau biar sahaja diri diheret oleh kawan kita, syaitan kita, dan nafsu kita, masuk dalam hotel neraka. Satu hari nanti.
Benarlah kata-kata seseorang, ketaatan itu memang bermula dengan rasa terpaksa. Terpaksa melawan nafsu, melawan pujuk rayu kawan-kawan, melawan syaitan khususnya, dan melawan juga celaan orang yang Allah ciptakan khas untuk mencela orang yang nak buat baik. Jangan marahkan mereka, kerana mungkin memang orang yang suka menyindir tu Allah cipatakan memang untuk menyindir orang buat baik. Tak perlu balas, kerana kita akan balas di akhirat nanti, di saat kita memandang ke bawah dan bertanya, “Eh, panas tak kat bawah tu?”
Sekarang, jom kita cantas dan tebas lalang-lalang alasan itu!
------------
Satu artikel saya bertajuk "persepsi tentang kebaikan" telah diterbitkan di portal JS Adiwarna. Berziarahlah ke sana :)
3 Komentar
Assalamualaikum.
Balastersentap dengan tajuk entri akhi.kekadang kita perlu 'paksa diri'untuk beribadah kepada Allah.biar mula2 kita rasa terpaksa,tapi lama2..Insya-Allah,kita dapat menerima dan melakukannya dengan ikhlas.
tapi,dari sudut lain adakalanya kita terleka untuk menegur keluarga dan saudara mara kita sendiri selain menegur sahabat.perlukan ketabahan dan istiqamah dalam perjuangan.jangan putus asa kerana setiap orang itu penerimaannya berbeza tentang apa yang kita cuba sampaikan.Asif jiddan jika apa yg saya kongsi ini tak bertepatan.
susah nak menegur mereka yang suka memberi alasan 'hipokrit'. selagi tak ada kesedaran dalam diri mereka sendiri, mereka tetap menyalahkan orang yang sentiasa mengajak mereka kepada kebenaran... doakan semoga dikurniakan hidayah buat mereka, InsyaAllah
Balasmasya Allah . tersentap ana .
Balassemoga Allah anugerahkan kekuatan untuk terus menjadi kuat untuk ISLAM.
teruskan menulis , jika itu menjadi dorongan kebaikan pada diri dan insan yang membaca .
insyaAllah
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443