Saya teringat, minit sebelum saya
turun untuk ke surau, sempat tangan saya dipanjangkan untuk mengemaskini ‘status’
Facebook saya. Kata saya tadi, “Ya
Allah, salurkanlah kerinduan ini kepada Rasul-Mu. Ya Allah, lorongkanlah
ingatan ini kepada perjuangan para sahabat Rasul-Mu. Pilihlah aku ya Allah.
Pilihlah aku Ya Allah. Pilihlah aku Ya Allah...”
Subhanallah. Ternyata, ujian Allah itu cepat. Jawapan balas daripada Allah, sangat segera. Turun-turun saja tangga apartment, langkah pertama saya tenggelam. Tenggelam dalam emosi yang kelat. Dua mata ini merakam sosok dua orang gadis melayu yang maafkan saya kerana saya terpaksa katakan disini, seksi. Ya. Seksi yang menyiksa. Dan bersama dua anak gadis kita itu ialah kumpulan remaja lelaki yang saya kira bilangannya dalam lima atau enam orang semuanya. Nah! Kau minta Allah pilihmu untuk dakwah atas nama-Nya, sekarang itu satu kelompok adik-adikmu untuk engkau bawakan!
Tapi, saya tak mampu. Astaghfirullah. Saya mengenali mereka. Saya menghafal wajah-wajah mereka. Tiap kali kami berpapasan, saya senyum menyapa. Sekadar menukar salam dan mengajak, "Eh, jom. Surau?" dan mereka akan angguk dan tersenyum. Sekadar itu. Hanya itu yang saya mampu lakukan, hingga mungkin kerana sudah terlalu kerap, beberapa mereka jadi sakit hati. Nampak kelibat saya dari kejauhan, salah seorang yang kelihatannya, ketua mereka bercakap dengan nada mengejek. Nadanya tinggi. "Dah. Dah. Jom kita pergi surau. Jom". Dan, mereka ketawa. Terbahak-bahak sesama mereka.
Allah... Betapa saya tahu mereka memang mahu menyindir saya. Memang terasa suatu dalam hati ini tapi saya gagahkan diri untuk senyum dan mengakat tangan kepada mereka. Sejak hari itu, tiap kali saya melalui mereka, saya akan senyum dan angkat tangan. Jika sempat, cuma berkirim salam saja. Masih menunggu peluang untuk mengajak mereka ke surau. Dengan harapan kali ini, sikap berhati-hati dan sabar menunggu peluang, membuatkan jiwa mereka lebih lunak dan hati saya dan hati mereka juga lebih terjaga.
Tapi, hari ini... saya benar-benar sedih. Jujurnya, ini bukan kali pertama dan saya jamin, bukan juga kali terakhir saya akan melihat ada anak gadis kita yang berpakain seksi. Cuma, banyak perkara yang berlegar dalam kotak fikiran hingga tanpa sedar, mata ini sudah gerimis. Ia adalah rasa yang sama bila masa saya menonton satu video yang tersebar di Facebook. Video yang merakamkan aktiviti tak bermoral remaja kita di depan gerbang Pavilion. Video pendek yang menceritakan sebuah tamadun kelam itu diakhiri dengan adengan peluk dan cium mulut! Sedih sangat bila kali pertama melihat klip itu.
Rasa yang sama, bila melihat dua anak gadis ini bertitik tolak kepada beberapa persoalan tentang tanggungjawab. Di mana tanggungjawab ibubapa yang seharusnya, si bapa menjadi wali kepada anak gadisnya. Wali, ialah mandat. Wali, ialah tugas. Wali, ialah kemuliaan. Ia adalah satu amanah yang sangat berat di sisi Allah. Ah, tidakkah bapa-bapa itu perlu risau tentang anak mereka terutamanya yang berjantina perempuan? Di hujung siang, masih melepak bersama teman-teman?
Allah. Saya sedih, kerana menjaga wanita ialah salah satu wasiat terakhir Rasulullah sebagaimana yang terpatri dalam khutbah terakhir Baginda semasa haji 'selamat tinggal'.
Tambah menyedihkan, bilamana saya merenung kembali kepada relung realiti. Melihat kepada cermin peribadi. Saya!
Saya... hanya mampu berdoa. Menyedihkan! Ya Allah, betapa hinanya saya. Betapa saya kerdil. Betapa hari ini, kejadian ini, membuatkan saya berasa sangat kerdil. Kerdil di sisi Maha Pengasihnya Allah.
Saya, yang banyak memberi nasihat. Yang meminta untuk dipilih menjadi penyeru manusia untuk jalan syurga, akhirnya diuji dengan satu ujian yang ringan, tapi saya hanya mampu bersimpati dan memanjangkan doa sahaja.
Teringat pada satu hadis yang sudah fasih, akrab, dan mesra dengan lidah ini. "fai'llam yastati' fabii qalbi Waza lika adhaful imaan... barang siapa yang tak mampu (nak cegah dengan tangan dan dengan lisan), maka hendaklah dia mencegah (kemungkaran itu) dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman.
Sudah tentu saya tak mahu menjadi muslim yang iman lemah. Tapi hakikatnya, itulah saya, hari ini. Saya hanya mampu mencegah dengan hati yang paling pilu. Oh adik-adikku... mampukah kamu memahami?
Satu perkara yang saya terkilan. Mencegah dalam hati, diterjemah sebagai membenci dalam senyap. Itu masalah besar kepada yang membenci dan kepada yang dibenci. Ia suatu kesalahan besar, kepada perjuangan dan kepada kelestarian sunnah. Adakah kita dituntut untuk membenci dengan seni yang begitu?
"Tengoklah. Rosak!"
"Apa nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang ni?"
"Bodoh! Tak ada guna satu sen pun!"
Ini antara lontaran kata-kata yang jauh lebih berdosa daripada dosa-dosa mereka. Kerana, kita mendahului menghukum daripada membetulkan. Perhatikan rangkap akhir hadis tadi. Ia hadis sahih, daripada periwayatan Imam Bukhari dan Muslim daripada susur galur seorang sahabat yang mulia, Abu Said al-Khudri.
"Jika kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu cegahnya", kata Rasulullah. Baginda tidak hanya menyatakan apa yang kita perlu buat, tapi baginda juga sediakan jalan-jalannya untuk kita melakukan apa yang Baginda perintahkan, dengan kata-kata sambungan daripada Baginda, "Cegahlah dengan tanganmu. Jika tak mampu, dengan lisanmu. Jika itupun tak mampu, cegahlah dengan hatimu. Dan yang terakhir itu ialah iman yang paling rendah yang ada padamu".
Kata kuncinya ialah mencegah. Perbuatan ini, sehebat manapun, harus ada hasilnya iaitu tertebasnya lalang maksiat yang dizahirkan di hadapan kita. Tapi yang berlaku, lebih banyak mulut yang menghina dan mencaci maki berbanding bibir-bibir yang memuliakan kalimah Rasulullah ini dengan logan cinta.
Saudaraku, suka untuk aku beritahumu bahwa cinta ialah warna asas dalam agama ini. Merahnya cinta, membuatkan Allah membekalkan petunjuk demi petunjuk kepada manusia untuk melangkah ke jalan syurga. Segarnya cinta, membuatkan sang Rasul tak kekang ingatannya dan kerinduannya kepada umat Baginda, walaupun kepada si fulan yang terakhir dilahirkan. Tegasnya cinta, hingga kita diajar untuk membancuh warna benci daripada asas cinta. Bagaimana?
Lihatlah kepada Hindun Binti Uthbah. Dia wanita ganas. Tak keterlaluan jika saya katakan dia ialah wanita yang agresif. Tapi itu dahulu. Dahulu, sebagaimana yang dipahat dalam sejarah, perbuatannya membelah dada Saidina Hamzah dan melapah keluar hati bapa saudara Rasulullah itu. Tak cukup dengan itu, dendamnya kepada Hamzah mendorongnya untuk bertindak lebih buruk iaitu menggigit jantung Hamzah. Tapi dia tak mampu menelannya lalu dia pun ludahkan keluar. Kejam! Ya, perbuatannya mengundang keluar air mata daripada kelopak mata Baginda hingga keluar satu perasaan mahu membalas dendam dalam hati Baginda tapi segera ditegur oleh Allah.
Hindun binti Uthbah, namanya termasuk dalam senarai 10 orang yang akan dibunuh semasa Fathul Makkah. Dibunuh bukan kerana dendam, tetapi sebagai balasan atas api-api permusuhan yang dinyalakan dan dimarakkan lagi oleh mereka.
Tapi akhirnya, wanita yang membuatkan Rasulullah sangat-sangat sedih itu, bilamana dia memeluk islam, dia dimuliakan. Begitulah juga Khalid al-Walid. Hijau, segar dalam ingatan kita bagaimana tentera islam bergelimpangan mati dipanah oleh tentera kafir dalam perang uhud dalam satu peristiwa dimana mereka bertebaran pergi mengutip ghanimah dan mengabaikan pesanan Rasulullah agar bersiap siaga di tempat kawalan mereka. Siapa dalang di sebalik kematian-kematian itu? Khalid lah. Itulah lelaki yang dikenali sebagai 'pedang Allah' di zaman gelapnya, zaman jaliyyah sebelum islamnya.
Tapi selepas islam, semasa dia hijrah ke Madinah, dia disambut dengan cinta. Dengan takjub, dia berkata, "Tidakkah kalian marahkan aku dan membenciku kerana membunuh bapa-bapa dan suami-suami kalian?"
Dijawab dengan penuh lembut oleh para ahli iman di Madinah, "Khalid, sungguh kami telah memaafkan kamu. Kami tak membencimu."
Inilah kebencian yang wajar dicontohi. Benci kerana mahu meruntuhkan jahiliyyah. Benci, kerana mahu memupuk iman. Dan sudah tentu kebencian ini hanya kepada subjek dan bukan kepada objek. Dalam situasi saya, subjek ialah kelalaian anak remaja sedangkan objeknya ialah anak remaja itu.
Kita diizinkan membenci. Sekadarnya, cumalah pada perbuatannya. Sudah tentulah dengan memukul mereka dengan kata-kata 'rosak, jahat, sebagainya bukanlah benci yang dituntut dalam mencegah mungkar. Ini kecurangan!
Tidak. Benci yang disulam cinta, satu syaratnya ialah menghadirkan doa.
Pernah, seorang manusia yang berhati suci mengadu kepada saya tentang kerunsingannya tentang sahabat-sahabatnya yang jauh daripada paksi agama. Benar, mereka masih bersolat. Cuma, mereka juga melazimi maksiat dan kedurjanaan dalam terang-terangan. Jadi, dia minta pandangan saya, dengan akhir kata-katanya, dia menjelaskan, "Saya tak mampu nak berdebat dengan mereka. Kalau nanti bertekak juga, mesti saya akan menangis".
Jawab saya mudah. Doa. Tidakkah itu jelas satu kelebihan, untuk kita menangis di dalam sujud rayu kita, berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah kepada sahabat-sahabat ini. Sebutlah nama mereka seorang demi seorang, sebagaimana Rasulullah berdoa meminta Allah teguhkan islam dengan salah seorang daripada dua Umar. Umar al-Khattab, ialah jawapan Allah kepada doa nabi Muhammad itu.
Itulah pengajaran, daripada kisah yang panjang ini. Sengaja saya mahu membawa anda melalui jalan penceritaan yang panjang, walau pengajarannya cuma seteguk doa. Hari ini, kita terlajak dalam membenci. Terlajak dalam bersangka buruk. Terlajak dalam memandang serong. Padahal, kita gagal dalam meletakkan prioriti doa-doa kita.
Ketahuilah, ramai orang yang perlu kita masukkan nama-nama mereka dalam doa kita.
Mudah-mudahan, artikel ini menyentuh hati kita yang paling dalam untuk melihat dua sisi besar dalam keimanan dalam masyarakat kita. Pertama, corak dan cara kita memandang manusia. Daripada memandang dengan persepsi buruk, jengkel, dan berbaur menghukum, adalah lebih mulia kita bersimpati dengan mereka. Hadirkan dalam hati rasa, "Ya Allah, kesian mereka. Buat maksiat tanpa segan silu. Kau berilah mereka hidayah Ya Allah".
Keduanya, doa. Siapa tahu, orang itu kelak akan bertemu musibah. Contohnya, dilanggar kereta. Selepas sembuh, dia pun insaf. Dia merasakan bahwa dilanggar kereta itulah punca dia insaf dan kembali kepada Allah tetapi sebenarnya, kerana doa kitalah Allah jadi suka dan mahu dia insaf. Lalu, Allah suratkan untuknya sebuah kemalangan untuk menyucikan dosa silamnya dan memakaikannya kalung hidayah, untuk memacu hidupnya kearah yang lebih baik.
Bukankah semua kita bersaudara?
Jadi mengapa dengan saudara sendiri pun, kita kedekut untuk mendoakannya?
Juga, saya minta kalian berdoa kepada Allah agar Allah maafkan dan ampunkan saya, kerana saya amat lemah dalam dakwah. Hanya mampu memandang orang-orang itu dengan belas kasihan dan mendoakakannya sahaja. Moga satu hari nanti saya mampu lakukan yang lebih baik daripada apa yang saya mampu, hari ini.
Moga Allah ampunkan saya...
11 Komentar
Selemah-lemah iman itu adalah mendoakan dalam hati.
BalasBerdoa dulu. Moga-moga ALLAH akan menguatkan iman anda ke tahap menegur dengan lidah dan menghalang dengan tangan. ;)
InsyaALLAH. Sama-sama cuba berdakwah kerana ALLAH.
Dakwah bil hal itu juga dikira ALLAH, kan? ;)
salam wrb.harap penulis bertabah. sy faham perasaan itu, sebab sy oun selalu rasa benda yg sama. rasa diri ini useless, terlalu mementingkan diri. sebabnya, sy duduk sedap2 depan laptop, bergelak ketawa tapi saudara2 kita dalam gersang.Islam sdgn diinjak2 tetapi, sy sekadar menonton. rindu, rindu. rindu sistem khalifah, rindu sosok khalifah al-Mu'tasim, yg membela wanita. alangkah indahnya, sekiranya semua org, faham =')
Balastapi lepas sy nangis mengadu dekat murobbi, murobbi sy cakap, kita jadilah seperti burung(lupa burung apa, tapi burung pipit rasanya), yg berusaha nak padamkan api yg 'membakar' nabi Ibrahim. Subhanallah, MasyaAllah.kita semua sdg bergerak, menuju matlamat yg sama!
Salam.. ~
BalasSamalah .. =) terima kasih atas peringatan.. Ujian Allah tu kan tanda sayang.. teguhkanlah iman.. janji Allah pd kita utk mproleh rahmat n kurniaNyA pasti xkan mungkir.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
Semoga cinta kita terhadapNya akan sentiasa kekal. kerana cintalah perjuangan kita diteruskan.. He is always with us =)
^.^
Insya Allah kita semua mampu mendoakan mereka,itulah yang sebaik-baiknya.
BalasPada masa yang sama saya juga perlahan-lahan membetulkan diri sendiri..
Terbaik. Terbaik sangat entri ni. Saya pun selalu terlibat dalam dilema 'bila-dah-ada-depan-mata-tapi-takut-nak-tegur'.
BalasLast skali menangis dalam hati jelah. Doakan mereka banyak2. Inshaallah.
lagi sayu dan sedih apabila yang buat maksiat itu adalah orang terdekat (etc family members).
Balashati mereka, Allah swt yang peganag. doakan disamping tunjukkan akhlak yang baik. qudwah qobla dakwah.
cukuplah siroh itu mengajar kita erti kekuatan. perkongsian yang menyedarkan. barakallahifik.
sabarlah awak..kdg2 kita nak bawa orang utk dapat kemanisan ni susah sikit.insyaAllah nti Dia permudahkan jalan dakwah awk
Balasassalamualaikum.
Balasiqbal, saya ni tidaklah baik mana tetapi bila sesuatu yang tak elok dan tak manis berlaku di hadapan saya, saya teringin nak menegur. tetapi saya tidak mampu. hati saya akan mudah rasa sakit dan terluka apabila saya disindir dan diperli dengan kata-kata seperti, "ahh awak pun sama. macamlah baik sangat".
:'(
kalau sudut pandang saya :
Balassemoga penulis dapat istiqamah dalam kerja dakwah . merasa diri lemah , bukan tak normal . ia biasa , cuma cara kita mengatasinya perlu luar biasa . perlu cari .
lemah dalam dakwah sangat beza dengan tinggal kerja dakwah .
saya tertarik dengan point mereka menyindir tentang surau . nampak kat situ , selalu pergi surau ;-- itu sumber kekuatan tu . sabar ye , pertolongan Allah itu sangatlah dekat!
salam'alaik.
Balasya betul. saya kira itu masalah "orang baik". cepat menghukum. dia hanya lihat orang-orang yang ada potensi utk jd baik,lalu digilapkan dan dijaga demi kepentingan umat kelak. tapi mereka terlepas pandang anak-anak muda yang mungkin potensinya lebih tinggi cuma mereka tiada kekuatan untuk bergerak. anak-anak muda yang berpeleseran y sgt dahagakan sesuatu, kerana manusia itu fitrah terbesarnya adalah utk hidup beragama. mereka cuma perlukan penggerak kerana mgkin mereka malu untuk mulai sesuatu y asing dr mereka. tp silap para dai'e, hanya melihat luaran tnpa memahami kondisi mereka terlebih dhulu. kdg hati anak-anak y dianggap x guna tu lg lembut dr kita. dan bilamana Allah bg hidayah, mungkin dia akan jd lg baik dr kita. sebab tu jgn mudah menghukum.
btw, syukran utk info sirahnya. dpt ilmu baru. :)
salam =)
Balasdahulu, sedangkan Hassan dan Hussin yg masih kecil dan comel boleh menegur pakcik yang wudhuk selaju pepatung di air.
zaman sekarang ni, adalah zaman orang segan dan tak mampu nak berdakwah/mengajak kebaikan/menegur perkara yg salah.
islam itu fitrahnya dagang/asing. kan? maka beruntunglah orang2 yg asing itu.
dakwah tak mengenal masa dan orangnya. kecil, kecil lah. besar, besar lah. asalkan ia berjalan. perlahan tapi pasti.
bersyukurlah menjadi orang yg asing. :)
~slmt beramadhan iqbal. doa utk sy skali ye di penghujung2 mlm..
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443