Notis untuk AJK surau.

"Wahai pesuruh Allah. Bukankah kita ini berada di dalam kebenaran sedang para penyembah berhala, mereka itu semuanya sesat?"

Rasulullah mengangguk. "Kamu benar".

"Jadi, mengapa kita perlu berasa takut di dalam kebenaran islam kita, sedangkan mereka itu berbangga-bangga dan bermegah-megah, di dalam kesesatan mereka"

Mutiara yang terbuai keluar dari bibir lelaki itu membuatkan sang Rasul berfikir. "Jika begitu, apa yang berlegar dalam fikiranmu, wahai Umar?"

Lelaki tegap berjiwa satria itu menjawab dalam warna semangat, "Aku cadangkan agar kita keluar ke depan kaabah, dalam dua saf. Satu saf dipimpin olehku dan satu saf lagi akan dipimpin oleh Hamzah. Mari kita zahirkan kekuatan islam kita!"

Minoriti dalam kelompok, tak menjadikan barisan manusia yang terpencil itu lemah. Jiwa mereka dibakar dengan semangat kebenaran, yang sumbunya ialah lelaki itu, al-Faruq. Gelaran yang 'super' ini diselit kerana peristiwa agung, demonstarasi kuasa kaum terpencil.

Seringkali kita menatap barisan kata-kata sang murabbi agung,

Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu. (Hadis sahih riwayat Muslim, Tirmizi, Ibn Majah, al-Thabarani dan lain-lain)

Sebagai generasi yang membawa tajdid (pembaharuan) kepada sistem pemikiran songsang yang  akar kerosakannya sudah mengikat ke hujung ulu hati, sudah tentu perubahan yang diperjuang, mendapat tentangan. Kita sudah mengkaji dan menelusuri lipatan-lipatan sirah, di mana setiap gerak langkah yang dihayun oleh generasi awal itu, cuba dipotong oleh garis-garis jahiliyyah.

Barisan kepimpinan Quraisy yang setia bersuara untuk para potet bisu al-Latta dan al-Uzza, tak pernah berehat dalam membenci. Tokoh pembenci yang dipelopori oleh Abu Lahab, Abu Jahal, dan al-Walid ibn Mughirah bukan membenci kerana mereka meyakini tuhan-tuhan bisu mereka. Sebaliknya, segala keindahan pada Muhammad, mereka akui dan imani. Segala yang didengar dari bibir Muhammad, mereka yakini dan hayati. Al-Quran yang ditolak, bukannya ditolak kerana suspen dan keraguan. Tapi kerana sombong, ego, dan politik rimba yang diratah, semua yang putih dalam hati, dihitamkan.

Dengan kuasa yang disimpan di celah kuku jahannam, mereka tanpa belas menyiksa para saudara kita dalam keimanan, dalam golongan hamba. Bilal Ibn Rabah, siksaannya teruk. Khabbab Bin A'rat, parut di tubuhnya kekal untuk menjadi saksi di depan Tuhan. Sumayyah, darahnya akan mengalir sebagai saksi perjuangan akidah. Begitu juga suaminya, Yassir. Bahkan beberapa orang sahabat yang lain juga, yang teruk menahan siksa kerana dua kalimah; "Tidak ada Tuhan selain daripada Allah" dan "Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Derita dan payah, makanan yang setiap hari dijamah oleh orang yang beriman. Tapi, itu tak menjadikan mereka lemah. Sesekali tidak. Jika lemah dan kuatnya seseorang itu dinilai dengan kekuatan fizikal, ternyata para manusia yang beriman itu golongan yang jauh lebih kuat kerana walaupun jasad mereka sengsara, tapi sesekali pun tidak pernah terkeluar keluhan penyesalan. Mereka mengimani agama yang tulen ini, dengan seluruh jasad mereka. Walau kaki kiri dirantai, kaki kanan akan membisikkan semangat. Walau dada ditindihi batu, perut yang sama menderita sempat membisikkan agar bersabar. Begitulah, hingga para keparat yang mahu menyiksa jiwa orang beriman, tersiksa sendiri kerana dijerut emosi!

Soalan yang sama, kita cuba cungkil keluar daripada bab-bab awal islam; adakah mereka lemah?

Tidak! Sejak dahulu, hingga kini, kelemahan tak pernah berani dekat dengan islam!

Lemah dan gagah, tidak lebih hanyalah satu penafsiran sahaja. Ada manusia yang menafsirkan lemah sebagai kekurangan dalam persenjataan dan ketenteraan. Kerana itu, negara mereka dijajah. Umpamanya, Tanah Melayu, pada satu ketika dahulu. Ada juga yang menafsirkan kata lemah itu dengan sifat-sifat yang buruk. Umpamanya, putus asa dan berkeluh kesah.

Terpulanglah bagaimana anda mentafsir. Cuma, lihatlah bagaimana islam menafsirkan lemah.

Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. 
(Ali-Imran; 139).

Tanyalah pada Sumayyah, tanyalah pada Bilal, tanyalah pada Khabbab, tanyalah juga pada si kerdil Julaibib, tanyalah si hitam yang tidak kacak Saad ibn Muaz, juga tanyalah pada si buta Abdullah ibn Maktum, adakah segala kekurangan material, fizikal, dan kedudukan yang hina dalam masyarakat, membuatkan mereka berasa lemah dan sedih?

Saya yakin, mereka akan menjawab dengan semangat yang berbara dalam hati; "Kami semua telah dimuliakan dan dikuatkan oleh Allah, dengan islam!"

Islam boleh diibaratkan sebagai satu rumah. Sesiapa yang memasuki rumah itu, akan tertanggal segala kehinaan fizikal, material dan sosialnya, dan digantikan dengan keterpujian akhlak, keunggulan iman, dan ketinggian taqwa!
Seakan-akan, ada satu sifir daripada subjek matematik akhirat, bahwa orang yang tidak merasakan mulia dan kuat dengan keislamannya, itu tandanya bahwa dia belum benar-benar memasuki 'rumah' islam.

Saya terpanggil untuk menulis sesuatu tentang 'lemah' kerana saya mahu mengkritik satu badan surau di satu kawasan penempatan. Mungkin, surau di kariah anda juga ipar kepada corak pengurusan surau di kawasan yang saya akan sebutkan nanti.

Bukan sekali dua tapi sangat kerap, AJK surau menjalankan aktiviti meminta derma. Sebelum mula mengutip, mereka akan meletakkan notis, "Perhatian! AJK surau akan mengetuk pintu rumah untuk meminta derma".

Jika bulan itu derma untuk Palestin, bulan depan derma untuk Syria. Jika bulan depan untuk Syria, bulan berikutnya untuk Rohingya.

Persoalannya, adakah ia perbuatan yang salah? Omongnya, saya seakan-akan menghukumnya sebagai haram pula?

Jangan salah mengerti, wahai saudaraku yang aku cintai kerana Allah sekalian.

Memberi derma ialah satu perbuatan yang sangat terpuji. Tak perlu saya panjang lebarkan cerita tentang sedekah kerana tajuk itu telah saya huraikan dalam buku motivasi saya, "Bahkan, Kami Bersaksi" yang bakal terbit tak lama lagi insya-Allah.

Tapi, artikel ini saya karang untuk membuka kotak pemikiran kita kepada isu yang jauh lebih besar daripada isu memberi dan meminta sedekah; iaitu isu kekuatan islam di dada masyarakat.

Agama kristian dan Yahudi, dua agama itu begitu terpencil bagi saya. Saya tak punya banyak pengetahuan tentang dua agama itu. Tapi saya yakin, matapelajaran 'pengurusan kewangan' tidak diajar di dalam dua kitab rujukan mereka. Jikalah benar ada pun, saya yakin ia tidaklah lebih baik dan lebih bagus daripada apa-apa yang Tuhan sendiri ajarkan, di dalam al-Quran.

Agama ini sama sekali tidak pernah menolak material. Kerana itu, ada ibadah yang khusus berkenaan dengan material, iaitu zakat. Saya tidak sempitkan kepada wang, kerana zakat yang menjadi satu daripada kewajipan setiap muslim yang berkemampuan tidak terhad semata-mata kepada wang. Bahkan, ada beberapa pecahan daripadanya seperti perhiasan (emas), ternakan, tanaman, dan lain-lain.

Saya ingat lagi cerita kawan saya dari negari di bawah bayu, dua tahun lepas. Dia menjentik titik sedar saya dengan satu kisah keislaman lima orang warga tempatan di sana. Tiga darinya lelaki dan selebihnya wanita. Apa yang berlaku adalah, kelima-lima mereka mendapat tentangan yang dahsyat daripada keluarga mereka yang masih kekal dalam agama asal. Mereka dibuang daripada keluarga hingga mereka hilang segalanya di sudut dunia. Baik keluarga, mahupun harta. Dengan sehelai sepinggang, mereka cuba mengemis duit zakat yang diamanahkan kepada lembaga zakat, tapi apa yang berlaku, mereka terpaksa mengisi borang permohonan dan terpaksa menunggu hingga beberapa bulan untuk permohonan mereka diproses sebelum dicop oleh bapak menteri. Orang yang sudah berhari-hari berpuasa, dipaksa kebulur untuk beberapa bulan. Tak tahan, akhirnya tiga daripada mereka mengambil keputusan untuk pulang ke keluarga masing-masing dan mengemis ehsan mereka. Tapi ia harus dibayar dengan harga yang sangat mahal! Murtad.

Suatu yang wajib diberi secara segera, dilambatkan oleh perundangan yang menjerut. Akhirnya, jiwa-jiwa yang mahu dibersihkan dipaksa menyerahkan kesuciannya untuk diratah dengan pisau jahiliyyah. Hairan! Adakah para graduan subjek islam yang menghirup elaun dan gaji bulanan, menjadi potret bisu di dinding semata-mata?

Kita juga takkan mampu melupakan pedihnya jiwa, bilamana terbongkar di dada media berita seorang ibu tunggal yang putus asa mengemis hak zakat, hingga akhirnya terpaksa meminta bakti gereja. Tanpa banyak soal, pihak gereja yang dikatakan sebagai satu institusi yang mengancam akidah, nyata lebih pantas dan effisien untuk membantu walaupun yang terkapai-kapai hampir lemas itu, bukan dalam golongan mereka. Saya tak tahu apa agama ibu tunggal itu sekarang tapi besar harapan kita, dia masih kekal beragama islam.

Ini kisah dua atau tiga tahun lepas. Saya bercakap tentang yang lepas-lepas dan saya yakin, perubahan drastik kepada kebaikan telah dilakukan. Insya-Allah. Cuma, saya mahu mengambil pengajaran daripada sejarah. Mengambil ibrah daripada barah!

Terkilan. Hati kecil bermandikan rasa terkilan yang amat sangat, apabila melihat institusi surau yang ditegakkan atas rasa cinta agama, tidak dimanfaatkan dengan cara yang paling benar. Mengapa saya kata begitu? Saya ada alasannya, insya-Allah.

Pertama, kita beriktikad bahwa islam ialah agama kemenangan. Kekuatan. Kegagahan. Bahkan, kemegahan. Jika begitu, mengapa institusi yang menjadi wakil kepada komuniti muslim di satu-satu tempat, menjadi satu institusi meminta derma?

Sesetengah orang, boleh faham peri pentingnya sedekah. Tapi lebih daripada setengah yang lain, memahami yang sebaliknya. Mereka melihat perbuatan meminta-minta itu sebagai satu lambang kekurangan. Bukankah orang meminta-minta kerana dirinya kekurangan?

Lebih buruk adalah bilamana rumah-rumah mereka, kita datangi. Sudahlah kita mengganggu masa-masa peribadi mereka di dalam kamar, kita minta pula 'upah' daripada setiap langkah kaki dan ucapan salam tadi!

"Nah, RM 10", akhirnya wang berpindah milik, dan para AJK tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Bagi saya, 'terima kasih' yang diucapkan itu adalah bahasa lain kepada sorakan, kerana berjaya membuatkan si kaya memberi walaupun dalam terpaksa!

Adakah begini, generasi-generasi sebelum kita tontonkan?

Rasulullah, di saat menitipkan pada para sahabat Baginda agar bersiap-sedia untuk berjihad, ada atau tidak baginda mendatangi setiap satu keluarga daripada para sahabat muhajirin dan juga ansar, untuk meminta-minta sumbangan?

Setakat yang saya tahu, tiada. Paling menarik, beberapa orang lelaki yang sihat dan berkemampuan, bahkan mendatangi Rasulullah. Bukan untuk memberi, tetapi untuk merampas! Mereka membina tembok-tembok alasan, untuk menjauhi amal-amal soleh seperti infak dan jihad, dan Rasulullah memberi kata 'ya' atas permintaan mereka. Walau selepas itu, kita kenal mereka sebagai AJK persatuan munafik pimpinan Datuk Seri Abdullah Bin Ubay.


Kita lihat pelajaran yang lestari sejak dulu. Rasulullah, walaupun Baginda tahu bahawa dakwah ini memerlukan banyak wang, tapi baginda terlebih dahulu mencontohkan bahwa peluh dan air liur juga adalah satu sumber dakwah.

Lihat bagaimana Baginda mendakwahkan kaum kerabat Baginda di kaki bukit Safa. Seruan yang dilaungkan untuk bangsa yang dikasihi, dibalas dengan kata 'celaka' daripada Abu Lahab.

Juga lihat, bagaimana dakwah Rasulullah ke Taif. Berjejeran peluh suci baginda kelelahan tapi dibalasi dengan rejaman batu-batu dan najis-najis daripada kaum yang jahil itu.

Melihat fenomena dakwah di zaman kita, membuatkan saya sedih. Entah apa yang memacu kita, hingga kita boleh nampak harta dan wang lebih daripada selainnya. Seperti golongan manusia tadilah. Mengapa mereka boleh mengetuk pintu dan meminta sumbangan derma, sedangkan mereka lebih patut untuk mencontohi sunnah Rasulullah, mengetuk pintu dan berdakwah.

Lupakah kita pada sosok seorang lelaki tampan, Mus'ab bin Umair? Jika dalam syurga nanti, kita mampu berkata-kata dengan kayu, saya mahu kita bertanya kepada pintu. Pintu rumah siapakah di Madinah, yang tidak diketuk oleh wakil Rasulullah ini, untuk didakwahkan?

Jawabnya, tiada.

Semua penduduknya, baik yang berkelamin mahupun yang bersendiri, dihadiahkan dengan pengenalan tentang islam.

Sebagai manusia yang kerdil dalam 'rumah' yang besar, saya memandang bahwa kerosakan dan kelemahan kita adalah kerana kita mencuaikan solat. Kita tak berasa hebat, sebagaimana yang dirasakan oleh para sahabat Rasulullah kerana kita tak yakin dengan agama yang kita anuti ini. Bukti kelonggaran keyakinan ialah solat kita yang serba tak kena. Sunnah terbesar dalam solat, kita tinggalkan. Kita jadi alergi dengan perkataan 'berjemaah'. Kita jadi lembik bila mendengar perkataan 'rapat-rapatkan saf. Lurus-luruskan saf'.

Tapi kenapa AJK surau tak boleh nampak ini?

Saya tak salahkan institusi surau, kerana ia mungkin hasil celupan atau tarbiyyah daripada media massa. Kita boleh lihat di peti televisyen, iklan berupa peringatan-peringatan untuk kita membayar zakat. Segala macam bentuk kemudahan disediakan hinggalah kepada membina kaunter-kaunter zakat yang berfungsi 24jam sehari. Begitu juga dengan apa yang kita tatap di dada-dada akhbar. Banyak benar iklan yang memberi suntikan kepada kita untuk membayar zakat, hingga saya pasti, tiada seorang pun yang akan terlupa untuk membayarnya.

Tapi bagaimana pula dengan solat? Adakah di televisyen ada iklan untuk solat? Adakah di akhbar, ada promosi untuk berjemaah? Adakah kerana solat tidak ada kena mengena dengan duit dan harta benda, maka ia tak layak mendapat ruang untuk diiklankan di media massa?

Benda-benda ini perlu kita fikir-fikirkan, kerana kesannya sudah zahir, hari ini. Seorang boleh berdakwah atas nama sedekah atau zakat, tapi tidak mampu atas nama solat dan berjemaah!

Sebagaimana dinding-dinding itu sudah ditampal dengan notis 'kami akan mengetuk pintu rumah tuan-puan untuk meminta derma', maka saya akan tampalkan notis ini dalam hati-hati para AJK surau.

"Saya akan mengetuk hati-hati kalian supaya dapat melihat betapa besarnya ruang dan peluang untuk kalian mewarnai masyarakat dengan warna agama"
 


Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

salam wrb.. afwan, saya kurang dapat menangkap apakah yg ingin penulis sampaikan dalam artikel ini. mohon penulis menerangkan dalam bahasa yg mudah, ringkas dan padat, supaya lebih mudah utk org seperti sy memahami isi hati penulis. jazakallahu khoir

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443