Pak menteri, tolong ajarkan saya erti kesyukuran!

Allah mencipta manusia, berbeza-beza. Dia jadikan naluri, selera, kecenderungan, dan pendapat manusia, berbeza-beza. Ada antara kita suka makan ayam dan ada juga yang sukakan ikan. Tak semua hanya makan ayam, dan tak semua hanya makan ikan. Ada juga manusia yang Allah jadikan kulitnya hitam rambutnya hitam. Ada pula yang Allah jadikan, kulitnya putih, rambutnya pun putih!

Variasi. Memang takkan sama. Bahkan, apabila satu kumpulan manusia dibawa ke atas puncak bukit, setiap daripada mereka akan memandang kepada titik yang berbeza-beza. Ada yang memandang ke hutan nan hijau. Ada yang memandang ke awan nan memutih. Ada pula yang memandang kepada sungai nan biru. Ada juga yang memilih untuk tidak memandang, mematikan pandangan.

Begitulah manusia, bila mereka punyai pandangan dan buah fikir.

Sebagai Tuhan, Allah mempunyai kuasa yang mutlak. Supreme power. Kuasa yang total. Kuasa yang penuh. Maka, tidak menjadi masalah sedikitpun untuk Dia menjadikan setiap manusia serupa. Muka sama. Selera sama. Kehendak sama. Keinginan sama. Macam binantang. Sama. Langsung tak jadi kesukaran untuk Allah melakukan begitu!

Tapi ada sebab Allah jadikan manusia berbeza-beza. Supaya alam ini lestari. 

Bahkan, jika Allah mahukan satu alam ini menyembah hanya kepada Dia, bukan kepada Jesus, bukan juga kepada Buddha, bukan juga kepada dewa, itu pun tak jadi masalah. Boleh sangat jika Dia mahukan seluruh umat manusia beragama islam. Tetapi ada sebabnya Allah tidak jadikan alam ini begitu.

Begitu juga dengan apa-apa yang berlegar dalam kotak fikiran kita. Allah boleh jadikan fikiran kita sama. Pandangan kita sama. Tak saling berlanggaran. Tidak saling berlawanan. Tapi Allah tak buat begitu. Allah buat kita saling berbeza pandangan. 

Inilah isunya!

Dalam bab makan pun, manusia sudah berbeza pandangan, inikan pula dalam bab yang lebih besar, seperti bab kehidupan dan pengurusan negara.

Selepas menilai budjet 2013, kita boleh melihat perbezaan pandangan yang timbul, terlalu banyak. Ada yang positif dan ada yang negetif. Bahkan ada pula yang tak mahu ambil peduli tentang bagaimana kewangan negara ditadbir. 

Saya sendiri punya pandangan peribadi. Jika ditanya, jawapan saya ialah berikut:

"Saya melihat ini sebagai satu bentuk pujukan daripada DS Najib dan pihak kerajaan, untuk menarik sokongan daripada golongan pemuda-pemudi yang berada di atas pagar".

Saya ada hujah yang menyokong. Tapi kerana saya tak mahu dipanggil 'penghasut', maka saya tak akan sebutkannya disini. Juga, saya tak mahu rakan-rakan saya daripada UMNO yang menyokong kuat DS Najib, meninggalkan blog saya tanpa sempat membaca apa yang saya mahu tuliskan ini.

Saya terkilan. 

Bukan terkilan dengan DS Najib dan barisan kepimpinan Malaysia pada perbentangan budjet.

Saya cuma terkilan apabila ramai antara kita mudah-mudah dan mentah-mentah dituduh "TIDAK RETI BERSYUKUR", hanya kerana mereka memilih untuk bersikap kurang positif terhadap budjet ini.

Hingga timbul dalam fikiran saya, "Adakah kalian lebih bersyukur daripada kami?"

Apapun, terima kasih kerana mengajak kami bersyukur. Bersyukur ialah benda besar. Terlalu besar bahkan, sekiranya kita melihat apa yang Allah firmankan dalam ayat 7, surah 14 (surah Ibrahim).

Ambil masa untuk belek terjemahan al-Quran. Lihat maksudnya. Lihat maknanya. Apa kata Allah?

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Kata Allah, apabila manusia bersyukur, Allah akan tambah nikmat-Nya kepada kita. Tetapi jika kita tidak bersyukur, Allah tak tarik nikmat itu. Tidak semestinya. Ada manusia yang makin dia tak berterima kasih kepada Allah, makin banyak pula yang Allah beri. Sebaliknya, yang sebenarnya, Allah ancamkan manusia yang tak bersyukur itu dengan azab yang pedih. 

Ya. Allah takkan tarik. Allah tak buruk siku macam sesetengah kita. Cuma Allah mahu kita berfikir dua tiga kali, akan kesannya jika kita enggan bersyukur, iaitu azab yang amat dahsyat!

Saya juga teringat akan satu hadis, bilamana Rasulullah S.A.W bersabda, bahwa manusia yang tidak berterima kasih kepada manusia lain, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah!

Berterima kasih, ialah satu akhlak yang mulia. Akhlak Rasulullah S.A.W. Pernah satu ketika dahulu, seorang Yahudi menghadiahkan kepada Rasulullah buah limau yang sangat masam. Tujuannya ialah untuk memalukan dan mengenakan Baginda.

Baginda meraikan pemberian dan hadiah itu, walaupun Baginda tahu ada suatu yang tak kena pada pemberian itu. Lalu, di hadapan para sahabat dan orang Yahudi itu tadi, baginda makan buah limau yang tersangat-sangat masam itu. 

Seulas dijamah, dengan senyum.
Seulas yang lain, juga dengan senyum.
Hingga habis, juga dengan senyum.

Maka marahlah dan kecewalah Yahudi itu tadi, hingga dia pun berlalu dengan hati yang meluap-luap marah, kerana tak berjaya mengenakan Nabi Muhammad. Sesudah Yahudi itu berlalu, para sahabat yang kehairanan pun bertanya, "Wahai Rasulullah. Sesungguhnya kamu, apabila diberikan hadiah, tidak pernah langsung kamu makan sendiri-sendiri. Kamu sentiasa sahaja berkongsi dengan kami. Tetapi masa kamu memakan buah limau itu, kamu langsung tidak memberikan sedikit kepada kami. Mengapa?"

"Limau ini terlampau masam. Aku bimbang jika kamu makan, wajah kamu akan berkerut atau meludahnya, dan itu mungkin akan membuatkan si pemberi tadi, terasa hati".

Itu akhlak yang sangat tinggi nilainya, tapi malangnya, ia makin pupus. 

Bersyukur, ialah tuntutan yang besar. Banyak sekali ayat al-Quran yang membahaskan tentang syukur. Saya petik satu sahaja, iaitu firman Allah dalam ayat 185, surah Al-Baqarah.

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Saya kira, ayat ini famous sangat masa bulan Ramadhan dahulu. Hampir setiap hari, pasti ada saja ustaz yang menghujahkan ayat ini. Tapi mereka hanya menyentuh yang didepan-depan, iaitu berkenaan dengan bulan Ramadhan ini bulan turunnya al-Quran. Jadi, ustaz pun mengajak kita untuk bertadarrus al-Quran, sepanjang bulan Ramadhan. Itu sahaja, kan?

Tak sentuh pun portion akhir ayat yang sama, iaitu tentang syukur.

Dalam ayat ini, kita boleh nampak hubungan yang cukup akrab dan istimewa di antara ibadah puasa, berzikir, ketaatan, dan juga syukur. Syukur ialah ibadah. Yup. Semestinya ia ibadah. Ibadah kepada siapa?

Allah, semestinya. Kita beribadah kepada Allah. Kita tak beribadah kepada bapak menteri. Kita sembah Allah. Kita tak sembah bapak menteri.

Syukur ialah berterima kasih. Bukan hanya berterima kasih, seperti pengemis mendapat sekeping wang RM1. Bukan juga berterima kasih seperti seorang pekedai yang menerima not RM50 oleh pembeli. Dan juga bukan terima kasih, seperti terima kasih seorang anak saat mendapat syiling 20sen untuk membeli gula-gula. Tidak!

Syukur adalah lebih daripada sekadar tersenyum dan mengucapkan, "Terima kasih".

Sebaliknya, syukur ialah kita menggunakan pemberian itu tadi untuk membuatkan kita dekat dengan Allah S.W.T. Saya teringat, bahwa ada satu ayat dalam surah al-Qasas, dari ayat 77. Firman Allah:

"Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa sahaja yang Allah berikan kepada kamu di dunia ini"

Inilah dia kesyukuran; iaitu bilama kita dapat menggunakan pemberian-pemberian daripada Allah untuk taat. 

Kerana itu, kita tak boleh kata orang kaya sahaja perlu taat. Orang miskin, tak perlu. Tidak. Kerana baik yang kaya mahupun yang miskin, semua kita mendapat kurnia daripada Allah. Adapun yang kaya, bentuk ketaatan mereka ialah dengan ibadah orang kaya. Mereka perlu berzakat, bersedekah, dan menyelesaikan urusan kaum muslimin yang miskin. Sedang orang miskin, syukurnya ialah dengan bersangka baik, tidak putus asa, berusaha dan seumpamanya.

Timbul persoalan, adakah bilamana kita berkata bahwa syukur itu ialah kepada Allah, maka kita tak perlu lagi untuk bersyukur kepada manusia?

Samakah syukur kepada kepada Allah, dengan syukur kepada manusia?

Yang sebenarnya, ia hanyalah berterima kasih. Dan seutama-utama terima kasih ialah dengan kita berusaha menyedarkan manusia akan erti syukur kepada Allah! 

Ada orang kaya yang memberi, dengan bermaksud mahu dipuji dan dibalasi. Orang ini ialah orang yang mengungkit. Pemberian-pemberiannya sama sekali bukan suatu ibadah, kerana ibadah ialah untuk Allah balasi dan ganjari, bukan manusia yang balasi. Apatah lagi bila timbul slogan 'ini masa balas budi'. 

Eh, balas budi kepada Allah, tak mahu pula?

Ada pula orang kaya yang memberi kerana syukur. Dia berterima kasih kepada Allah, dan dia tahu tuntutan Allah kepadanya. Kerana itu, dia memberi.

Oleh itu, sama-samalah kita menyoal diri kita. Adakah kita memberi kerana syukur, atau adakah kerana sebaliknya?

Dan kita pula yang menerima.

Adakah akidah kita masih betul, ataukah ia sudah rosak? Kerana, sejak bila menteri kita, Allah lantik sebagai Tuhan?

Setahu saya, hanya Allah yang memberi rezeki. Tak tahulah saya kut-kut ada dalam mana-mana kitab sekular nan liberal, bahwa selain Allah, masih ada pihak-pihak yang boleh memberi rezeki.   Jika ada, kongsikanlah dengan saya ya?

Jadi, syukur ialah kepada siapa?

Allah. 

Kepada siapa?

Allah.

Tapi ini langsung tidak bermakna kita perlu menjadi manusia yang tidak reti berterima kasih. Ingat itu. Allah suruh kita jadi hamba yang pandai berterima kasih. Dan terima kasih itu ialah dengan kita membantu mereka yang zalim.

Membantu orang zalim? Betul ke membantu orang zalim? atau tersilap sebut, membantu orang yang dizalimi. Lupa huruf 'di' kut?

Taklah. Bukankah dalam hadis, Rasulullah S.A.W suruh kita supaya membantu kedua-dua mereka, iaitu yang dizalimi dan yang menzalimi. Yang dizalimi, semua orang tahu nak bantu macam mana. Antaranya, BR1M, mungkin?

Tapi membantu orang zalim inilah ramai orang tak tahu. Caranya ialah dengan kita mengentikan kezalimannya. Memberinya sedar. Membuatkannya insaf. 

Jangan hanya kerana kita lama memegang kuasa, kita fikir kita di jalan benar. Kita fikir, Allah rahmati kita. Firaun yang zalim itupun lama memegang kuasa. Lebih lama daripada 55 tahun. Tapi adakah itu tandanya Allah rahmati Firaun, Allah benarkan firaun?

Kalian menyuruh saya bersyukur. Jadi saya persoalkan, syukur yang bagaimana?

Kerana kalian tak mampu menjawabnya, maka nah, saya tolong jawabkan.

Syukur ialah dengan menjalankan amanah. Syukur, dengan mendekatkan diri kepada Allah. Syukur, dengan menggunakan nikmatNya di jalan yang betul. Syukur, dengan menjauhkan saudara kita daripada neraka.

Syukur,
Dengan menjadi orang bertaqwa.

Terima kasih DS Najib atas budjet 2013. InsyaAllah saya akan bersyukur, dengan cara saya.

Insya-Allah, sebagaimana saya diingatkan oleh para menteri untuk bersyukur, saya juga mahu mengingatkan para menteri di Malaysia untuk turut bersyukur.

Kerana syukur ialah ibadah, maka soalnya ialah; sejauh mana kita TELAH beribadah?
         
------

Sebelum saya terlupa, silakanlah muat turun e-book ini. 
    
Previous
Next Post »
9 Komentar
avatar

bersyukur =)

sbb semuanya asal drpd Allah~kalau dihitung nikmat yg Allah bagi melalui bnyk wasilah, xkan terhitung~

alhamdulillah..

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog. - Hapus
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog. - Hapus
avatar

Assalamualaikum..
Kaknor setuju dgn penulisan saudara..kaknor share ye..nnt kaknor kasi link ni dalam blog kaknor.
InsyaALLAH.
ni blog kaknor
www.sesucihtairaudhah.blogspot.com/

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443