Semua tertinggal...


Masa zaman sekolah, saya selalu tertinggal buku. Terutamanya masa saya sekolah rendah. Bila tertinggal buku (biasanya buku teks), cikgu akan tanya, "Mana buku awak?". Saya, dengan cuaknya menjawab, "Tertinggal kat rumah, cikgu".

Lalu tiap kali itulah cikgu saya akan membalas, "Bagus. Tinggal lagi kat rumah. Nak suruh mak baca? Nak suruh rumah baca? Biar nanti rumah jadi pandai, kamu tak pandai-pandai".

Ambik!

Itu cikgu perempuan. Cikgu lelaki, lagi teruk. "Kalau kamu punya ***** boleh cabut, mesti dah tertinggal kat rumah!"

Biasalah. Cikgu lelaki...

Apapun isunya, saya rasa terpanggil untuk menulis satu nota refleksi, untuk saya terutamanya. Saya melihat, dan menilai dengan teliti, betapa sebenarnya ramai manusia yang 'tertinggal buku teks di rumah'.

Hehe.

Begini, saya ada kereta. Orang lain pun ada kereta. Bezanya mungkin kereta saya buruk (alhamdulillah. Buruk-buruk pun kereta ayah kasi pinjam). Itu tak payah ceritalah. Tapi yang saya nak cerita, kereta saya tak ada tasbih-tasbih yang tersangkut tu. Tak ada surah Yassin atas dashboard. Tak ada semua tu.

Kerana utas tasbih, saya simpan dalam poket. Kerana mushaf al-Quran, saya simpan dalam beg. Saya tak simpan dalam kereta! Kenapa?

Kerana saya tak mahu kereta saya sahaja yang sibuk 'bertasbih'. Saya tak mahu kereta saya sahaja sibuk 'membaca' al-Quran. Saya mahu, diri saya yang sibuk bertasbih dan saya mahu diri saya yang sibuk membaca al-Quran.

Hari ini, kita punya resourse yang terlalu banyak untuk kita berjaya sebenarnya. Sumber yang besar, untuk kita berjaya di dunia dan juga sumber yang besar, untuk kita berjaya di akhirat. Tapi yang kita nampak mestilah dunia kan? Kan moto kita, "dunia diutamakan, pencapaian dititikberatkan"?

Sumber untuk kita berjaya di dunia, kita ada sekolah. Kerana semua orang merasakan pendidikan itu penting, maka semua orang hantar anak mereka ke sekolah. Yang miskin, sanggup bekorban sehabis daya untuk itu hingga ramailah ibubapa yang sanggup berlapar, asalkan anaknya dapat bersekolah.

Untuk kehidupan dunia juga, kita ada rumah. Kerana semua orang sedar yang jika dia tak memiliki rumah, dia terpaksa merempat, maka dia akan bersusah payah juga mencari rumah.

Untuk kehidupan dunia juga, kita perlukan makanan. Kerana semua orang sedar kepentingan makanan, maka tidak ada seorang manusia pun yang duduk diam dan menunggu makanan disuap. Sebaliknya, baik yang miskin atau yang sudah bergelar jutawan, tetap lagi mencari harta untuk menyumbat perut.

Itu untuk dunia. Untuk akhirat?

Kita ada al-Quran. Tapi di mana sebenarnya kita tinggalkan al-Quran?

Ada beberapa tempat yang berkemungkinan. Di dinding, sebagai pelaris atau hiasan. Di dalam kereta, sebagai eksesori. Di dalam majlis-majlis peringkat antarabangsa, sebagai lambang kemegahan. Di dalam masjid, sebagai lambang yang diri kita rupa-rupanya masih islam. Dan kemungkinan berikutnya, di dalam agenda perubatan, iaitu kerana jin dan syaitan sudah berani mengganggu kita.

Sedangkan al-Quran fungsinya lebih besar daripada sekadar hiasan, pelaris, pemanis, penghalau jin syaitan dan seumpamanya.

Hari ini juga, kita ada sumber yang sangat besar untuk berjaya iaitu perkembangan pesat pusat pengajian agama. Mudahnya, surau-surau dan masjid-masjid. Kerana dunia diutamakan, kita pun malaslah nak ke masjid surau ni. Duduk dengar kuliah ustaz karang, berdarah pula telinga ni karang.

Jadi, duduklah kita di depan laptop, melayan Facebook. Stalk perempuan/lelaki yang terang-terang hukumnya tak boleh. Laungan azan menjentik telinga pun, dibiarkan berlalu. Dalam hati hanya berkata, "Oh, dah azan dah" lepas itu, sambung Facebook.

Jadi, yang pandai nanti ialah sejadah, kolah, kubah, dinding, langsir, selipar, dan tabung masjid. Kita pula bila nak tahu halal-haram ni?

Saya bukan membebel. Saya cuma bertanya kepada diri saya. "So, bila lagi?"
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

Assalamualaikum wbt
Bandingan orang zaman sekarang, kemudahan mencapai ilmu begitu mudah dan banyak (surplus) bagai dihujung jari. Ada setengah itu pula, masyaAllah dirumah tu dihias dgn byk sekali kitab2 tafsir tetapi sayangnya banyak dipersia2kan sekadar hiasan. Justeru janganlah jadi seperti ahlil kitab yang memikul pelabagi kitab ke hulu ke hilir tetapi tidak mempraktikannya. Surah Jumaah:5 مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَ‌اةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ‌ يَحْمِلُ أَسْفَارً‌ا ۚandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).
Sewaktu kita zaman pelajar, beriya2 dgn sungguh kita belajar tetapi selepas mendapat pekerjaan, masuk alam perkahwinan, dapat mertua, ipar-duai dan anak2, keazaman semakin pudar sedikit demi sedikit sehingga tidak sedar usia sudah masuk era `warga emas`! Lebih malang lagi ada yang sangka2 sudah hidup dlm petunjuk Allah SWT walhal kefahaman 30 juz AlQuran jauh sekali. Maka jgnlah juga spt Ahlil Kitab, apabila telah berlalu jarak yg jauh dari nabi2 mrk dan apabila dah diluntur zaman berzaman maka jantung telanh menjadi kersa! Surah AlHadid:16 وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras,
Wallahualam

Balas
avatar

Assalamu'alaikum..

Jazakallah dik, artikel yg mampu membuka hati dan minda..

teruskan menulis, moga Allah redha.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443