Istiqomah: Warna citra lestari. (SIRI #1)


Nota: Artikel ini bersiri. Ini adalah siri pertama. Justeru, anda dilarang untuk 'jump into conclusion' selepas menamatkan bacaan untuk artikel ini.

--------------------------------------------------

Suatu ketika, seorang lelaki bernama Sufyan Bin Abdullah r.a mendatangi Rasullullah S.A.W dan bertanya, “Ya Rasulullah! Nyatakan untukku sesuatu tentang Islam dengan satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau”. 

Rasulullah lalu membalas, “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqomahlah”.

Alhamdulillah. Sekarang, kita sedang berbicara tentang istiqomah. Satu nilai yang wajib dimiliki oleh setiap manusia yang mengaku dirinya beriman. Orang yang memiliki istiqomah, yang mengalir menjalari pembuluh darahnya dan memenuhi derap jantungnya, orang itu ialah orang yang beruntung. Bahkan, dia orang yang terselamat daripada ancaaman-ancaman dan racun-racun yang bakal memusnahkan iman, hingga kepada sel yang terakhir.

Istiqomah dan ikhlas, hubungan antara keduanya sangat rapat. Hanya orang yang ikhlas sahaja mampu istiqomah dan hanya orang yang istiqomah sahaja dapat mengikhlaskan dirinya.

Saya mula menulis bab ini selepas saya menonton satu video di YouTube. Video temubual seorang bintang bola sepak kelab Newcastle United, Demba Ba. Umum sudah maklum, Demba Ba ialah seorang pemain bola sepak yang beragama islam. Dalam video yang saya tonton, seorang wartawan bertanya kepada beliau, “Tell me a secret about you”.

Awalnya, dia nampak teragak-agak. “What secret?”

“It can be anything. Your personal life, your career… anything”.

Lalu sambil tersenyum, Demba Ba berkata, “I’m addicted to syrup. Strawberry syrup”.

Temubual terus berlansung dan saya juga sudah tidak berminat untuk terus bercerita tentangnya. Cuma, saya mahu kita melihat kepada satu perkara iaitu addiction ataupun ketagihan.

Istiqomah ialah konsistensi. Ia adalah keupayaan manusia untuk melakukan ketaatan dalam agama, secara terus menerus. Manakala ketagihan pula ialah perasaan gemar dan teringin benar terhadap sesuatu, yang ia menjadi rutin pula.

Ya. Memanglah ketagihan tak sama dengan istiqomah. Tapi hubung kaitnya dapat kita lihat. Jika seseorang itu ketagih dengan sesuatu, maka dia akan ‘istiqomah’ dalam melakukan apa yang dia gemar itu. Contoh, jika seseorang itu ketagih menonton bola sepak, maka dia akan ‘istiqomah’ menjadi penunggu kedai mamak kerana mahu menyokong pasukan kegemarannya. Ya. Saya tahu perkataan istiqomah tidak sesuai digunakan disini. Bahkan, memang tak pernah orang guna pun perkataan ini. Tapi begitulah maksudnya. Jika benar suka dan minat, maka ia akan melahirkan tunas-tunas kesepakatan antara akal dan jasad, bagi membuahkan apa yang disuka dan diminati itu.

Saya telah terlanjur bercerita tentang Demba Ba. Jadi saya rasa saya akan terus bercerita tentang beliau, dan tentang rakan-rakan beliau. Untuk pengetahuan anda, saya penyokong kelab Newcastle United sejak di bangku sekolah lagi. Sudah tentulah saya bukan termasuk dalam kelompok yang fanatik. Nak tengok perlawanan secara langsung pun, sekali dalam enam bulan kut baru kelibat saya ada di kedai-kedai mamak. Saya cuma minat dan suka kerana saya manusia. Tapi saya juga hamba kepada Allah, selamanya bukan hamba kepada figur-figur yang diangkat manusia itu. Bersama ini, saya titipkan pesanan kepada sahabat-sahabat lelaki semuanya, jangan jadikan apa-apa yang kita suka dan minat itu lebih besar kapasitinya di dalam hati, berbanding dengan perjuangan islam.

Musim 2011/2012, kelab Newcastle United diwakili oleh empat orang pemain bertaraf bintang yang beragama islam. Mereka adalah Papiss Cisse, Demba Ba, Hatem Ben Arfa dan Cheik Tiote. Sudah tentu bilangan ini jauh lebih ramai berbanding dengan kelab-kelab lain di rantau itu.

(Demba) Ba dan (Papiss) Cisse, dua lelaki ini telah menarik perhatian dunia dengan melakukan sujud syukur di atas padang selepas menjaringkan gol. Saya ingat lagi bagaimana terujanya saya selepas kali pertama melihat ada pemain bola yang bersujud syukur selepas menjaringkan gol. Orang itu ialah Demba Ba. Mungkin perbuatan melakukan sujud syukur di atas padang ialah suatu tindakan yang kelihatan kecil. Remeh pada sesetengah orang. Tapi ketahuilah, pada sesetengah yang lain yang memerhati, baginya itu suatu perbuatan yang besar. Baik pada falsafahnya mahupun pada hikmahnya. Tersembunyi di balik gegak gempita sorakan penonton yang teruja apabila hero mereka menjadi savior, menyelamatkan wang yang mereka pertaruhkan di meja judi.

Istiqomah dalam agama, salah satu definasinya ialah merasa bangga dengan keislaman. Jika bukan kerana perbuatan sujud itu, saya yakin bahwa saya dan kalian sampai sekarang takkan tahu yang dua buah mesin penjaring gol ini rupa-rupanya seorang muslim, yang dipotretkan sebagai seorang muslim yang komited, berbangga, dan benar-benar menjernihkan iktikadnya.

Cuba kita berada di dalam kasut yang sama seperti mereka. Di saat kita gembira, kepada siapa kita mahu lepaskan kegembiraan itu? Boleh jadi macam-macam. Mungkin kepada orang-orang yang rapat dengan kita, dan jarang-jarang gembira itu dikongsi dengan ketawaddukan seorang hamba kepada pencipta.

Saya belajar. Bukan hanya tengok dengan hati yang kosong dan kemudiannya, tersenyum sumbing. Tak. Saya melihat, ada dakwah yang mahu disampaikan oleh dua penyerang berbisa yang menyarung jersi hitam putih ini. Mereka mahu mempekenalkan islam kepada dunia.

Sebelum ini, kita sinis bila berbicara tentang bola sepak. Tirih hati kita menghukumnya sebagai melalaikan dan merosakkan. Setidaknya hari ini, kita sudah boleh mengubah sedikit pandangan berat sebelah ini dengan menitipkan rasa bertuhan, walaupun di padang bola. Ya, rasa bertuhan.

Kita tinggalkan lelaki-lelaki Senegal ini. Kita melihat kepada rakan mereka dari negara jiran, Cheik Tiote. Saya pernah menonton satu dokumentari, juga di laman YouTube tentang beliau. Bila ditanya tentang perlawanan yang bakal dihadapi, dia menjawab dengan yakin bersama seuntai perkataan yang mengikatnya dengan Allah- “Insya-Allah”. Dalam keretanya juga disangkut rantai tasbih dari manik, juga untuk dia berteriak kepada dunia dalam bahasa bisu, “Lihatlah, aku beragama islam”. 

Kisah Yaya Toure bahkan lebih menarik. Selepas kemenangan kelab Manchester City melawan Newcastle United, dia disuakan champagne (arak) lalu sambil berseloroh, dia berkata kepada rakannya, Joleon Lescott yang menyuakannya arak itu kepadanya, “No. No. I don’t drink cause I’m a muslim”.

Klip ini tersebar dalam satu rancangan yang dibuat secara langsung. Dan perbuatannya yang dengan penuh izzah, berkata, “I’m a muslim” berjaya menyapu tisu pendengaran di hujung tiub telinga.

Kita boleh lihat watak istiqomah yang dilakonkan oleh seorang hamba kepada Tuhan, yang mana wajib untuk kita contohi. Yaya Toure memakai mahkota istiqomah, dengan hiasan permata kesungguhan dan komitmen beliau untuk menjauhi larangan Allah. Kadangkala saya aneh. Orang islam yang berdiri di tengah-tengah masyarakat yang rosak moral, boleh menjadi lebih baik dan mulia berbanding orang islam yang berada di dalam komuntiti islam.

Contohnya di Malaysia, tanah air yang kita cintai inilah. Belek sahaja surat khabar di setiap pagi, pasti akan ada kes jenayah yang melibatkan orang islam berbangsa melayu. Jika bukan dengan kes bunuh membunuh, samun menyamun, pasti akan terdengar ngerinya tangisan daripada rakyat yang dibunuh emosinya dan moralnya. Pendek kata, ia suatu yang sangat berbeza dengan yang berlaku di luar negara. Contohnya di U.K sendiri. Kita lihat orang islam di sana sangat komited dalam menyucikan akidah mereka. Najis-najis jahiliyyah sedaya upaya dikikis. Sanggup naik turun mahkamah, bagi mempertahankan nilai-nilai agama.

Itulah yang kita pelik, hingga sesekali, timbul juga persoalan di kepala saya. Adakah kerana kita melayu, kita menjadi muslim kelas kedua dan ketiga? Boleh jadi juga, kerana mungkin kerana kita mempertuhankan bangsa berbanding agama, Allah hinakan kita dan muliakan bangsa lain.

Jangan main-main dengan bab bangsa dan kemuliaan. Jangan kerana tubuh kita besar, kita berasa hebat. Jangan kerana hidung mancung, kita rasa kita hebat. Tak hebat mana. Jangan menganggap kulit kita mulus, rambut kita coklat, dan mata kita biru, kita lebih cantik dan dimuliakan berbanding orang lain. Tidak. Jika yang cantik-cantik itupun Allah tak pandang sebagai mulia, apakan pula jika berhidung pesek, berkulit sawa matang, dan bertubuh kecil seperti bangsa ini?

      
Previous
Next Post »
2 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443