Innalillah...

24 April 2011. Kiranya, sudah setahun lebih berlalu usia perkenalan saya dengan adik Tiqa. Dan hari ini, nama itu sudah termasuk dalam senarai manusia yang dipanggil pulang ke sisi Allah Yang Maha Penyayang.

Sedih.

Tak ada perkataan yang lebih tepat, untuk saya gambarkan rasa yang menebal dalam hati ini. Saya mengenalinya semasa usianya 15 tahun. Tika itu, adik comel yang periang serta peramah ini masih keliru, "Tiqa sudah islam ke bang?"

Daripada nama yang diwarisi keluarga, Sandy Monica, dia memilih nama baharu, Atiqah sebelum  secara rasmi, memetik satu nama yang cukup indah. Cukup sempurna. Qaisara Humaira.

Saya mengenali adik Tiqa sebagai seorang adik yang subhanallah.... cukup-cukup tabah! Kecintaannya kepada islam, tak pernah saya temui pada manusia lain yang seusia dengannya. Dia jatuh cinta dengan islam, tanpa paksaan. Dan ya, sejak bila cinta itu perlukan paksaan, kan?

Saya terlewat mendapat berita tentang kematiannya. Keterlawatan yang sangat mengecewakan! Lalu saya kembali membaca mesej-mesej antara kami lama dahulu di Facebook.

Ah, betapa saya teringat bahwa pernah satu masa dahulu, Tiqa bertanya tentang Allah. Tentang Rasulullah. Dan saya tak terasa pun masa berlalu, dan penat di hujung jari, menaip jawapan-jawapan dengan sabar. Sungguh, saya bahagia berkongsi!

Saya tak lupa, betapa dahulu Tiqa selalu mengeluh tentang ibunya yang masih beragama kristian, yang tak senang dengan keintiman Tiqa dengan agama islam. Mujur bapanya, walaupun bukan islam juga saat itu, tidak setegas ibunya. Tiqa selalu mengeluh tentang ibunya dan dalam masa yang sama, memuji bapanya.

Terngiang-ngiang, keseronokan Tiqa di saat berjaya melakukan solat. Saya terbayang betapa dia gembira dan seronok saat dihadiahkan dengan kain telekung, oleh pembantu rumah bapanya yang dia anggap seolah-olah sebagai ibunya sendiri.

Allahu...

Bergenang air mata ini.

Teringat juga, bagaimana Abang Stefen, abangnya pernah memberi SMS, "Tiqa hilang dari hospital".

Terkejut. Saya tahu adik saya ini tak sihat. Tiqa selalu mengeluh, tentang dozen ubat yang perlu ditelan. Menangis dia semata-mata mahu menelan. Nak termuntah, itu katanya. Dan saya memujuk, dan dia mengiakan, "Baiklah bang. Tiqa janji Tiqa tak buang ubat-ubat lagi".

Saya juga teringat, semasa dia tengok gambar saya di Facebook, dia kata saya hensem. Saya balas, "Mana ada. Biasa-biasa je" lalu dia mengajar saya, "Jangan cakap macam tu. Cakaplah alhamdulillah".

Allahu...

Dik, abang tak mampu mengawal air mata dari keluar.

Tak terlupa juga, betapa gembiranya Tiqa disaat berita novel saya bakal terbit, diterima. Dia teruja. Sangat teruja. Satu perkara yang dia kata, "Moga Tiqa sempat baca novel abang Iqbal".

Dan saya yang tak memahami, bertanya, "Kenapa Tiqa cakap macam tu. Tiqa nak pergi mana?"

"Penyakit Tiqa ini kan umurnya tak panjang".

Allahu...

Sebenarnya banyak lagi kisah Tiqa, dalam diari kehidupan saya. Banyak yang saya kagumi daripada adik angkat saya ini.

Pertamanya, ketabahannya.

Saya tak pernah bertemu anak gadis sehijau usianya, yang begitu mencintai islam, sepertinya, dalam bangsa saya. Tak pernah! Di usia sehijau itu, anak gadis kita lebih cenderung kepada Facebook, kepada boyfriend, kepada macam-macam. Tapi tidak kepada Sandy Monica.

Dia mahu dalami islam, dalam penjara keluarga.
Dia mahu mencintai islam, dalam jalur yang terbatas.

Ketabahannya inilah yang membuatkannya mulia, di mata saya. Siapa sangka, dalam susuk tubuh kecil molek, juga dalam jasad yang sering menggigil kesakitan akibat bisa penyakit hati (kanser hati kalau saya tak silap), rupanya ada padanya, sekeping hati yang cukup teguh. Hati yang saya yakin, orang dewasa, matang, dan sihat seperti kita juga tidak memilikinya.

Allahu...

Dik, maafkan abang kerana tak benar-benar menjadi seorang abang angkat yang baik. Kita berkenalan di Facebook, dari blog. Adik sebagai pembaca. Abang, sebagai penulis. Dan adalah satu yang sungguh mengecewakan abang, sebagai penulis, kerana adik tak lagi mampu membaca tulisan-tulisan abang lagi.

-----

Seperti kebiasaan kita menerima berita kematian, kita pasti akan meminta orang mendoakan kepada si mati. Tapi saya, saya tak mahu meminta kalian doakan beliau. Cuma sebagai saudaranya, doakanlah seikhlasnya. Kerana saya yakin, adik kita yang baru memeluk agama islam ini tak perlu pun pada doa-doa kita, kerana dia sedang berada di satu taman daripada taman-taman syurga. InsyaAllah.

Dia meninggal di hari Jumaat. Sayyidul ayyam. Ada 7 hari dalam satu kitaran minggu, tapi Allah memilihnya untuk meninggal dalam hari mulia ini.

Allah juga memiliki kawalan penuh atas masa, dan Allah memilih untuk memanggilnya di saat dia sedang berjuang untuk mendalami islam!

Sedang kita yang masih hidup ini,

Apa yang kita buat untuk kita impikan satu kematian yang mulia?

Sungguh, saya bukan menangis kerana meratapi pemergiaannya. Cuma saya manusia biasa yang mempunyai satu elemen kesedihan, lalu saya menangis. Tapi yang sebenarnya, saya tangisi perjuangannya. Dia telah berjuang, dengan seluruh upayanya lalu dengan perjuangan ini, Allah menariknya untuk mendakap rahmat-Nya.

Selamat berehat, Tiqa.
Moga Allah menempatkanmu ke dalam jiwa-jiwa yang solehah, adikku.
   
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

teringat sahabat qaniah juga, mohd saiful islam fetrus bin abdullah yang meninggal sebelum qaniah fly back to jordan..

qaniah dapat rasa perasaan iqbal, sbb qaniah pernah rasa bersama saiful islam, yang juga seorang yg sangt tabah berjuang untuk Islamnya..

pelbagai dugaan yg dia terima membuatkan kita rasa, hinanya kita sbgai islam,..tidak setabah dia yg baru memeluk Islam.. ujian yg Allah berikan sngt hebat kepada dia..

kenangan bersama mereka.. subhanallah, mengajar qaniah erti bersyukur berada dengan Islam..

semoga arwah tiqa tenang di sini..doakan sahabat qaniah juga, yg sudah pulang kepada-Nya, berita kematiannya juga qaniah terima lewat sehri..

seakan tidak percaya.. namun..redha lepaskannya pergi..

ALLAHU.. :')

Balas
avatar

Salam takziah...

Satu kehilangan yg turut dirasai...
Moga Allah tempatkan beliau dalam kalangan org2 yg beriman....

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443