Allah tak pernah mendiskriminasikan kamu.

Kalau kilang yang tinggi produktivitinya, produk yang dihasilkan dalam sehari adakalanya boleh mencapai ribuan. Hmm.. banyak tu. Itu baru sehari. Kalau seminggu? Sebulan?

Kerana amaun yang terlampau banyak, tiada siapa yang akan peduli untuk memeriksa secara invidu; satu per satu. Secara rawak itu mungkinlah.

Tapi Allah, apabila Dia menciptakan satu-satu makhluk-Nya, Allah kenal, tahu, masak, dan teliti terhadap kita. Berseorangan ataupun secara kembar kita lahir, Allah telah tetapkan takdir kita berbeza-beza. Tidak ada yang seragam walaupun berkongsi dinding rahim yang sama pun.

Allah mengenali manusia, lebih daripada manusia kenal siapa dirinya sebenarnya. Kerana itu, adalah amat mustahil untuk Allah lupa kepada kita. Setiap hembusan nafas kita, Allah tahu. Kiraannya Allah tahu dan Allah sudah tetapkan pun.

Setiap butir rezeki yang masuk ke dalam tubuh kita, yang menumbuhkan tulang dan daging kita, semuanya Allah tahu. Daripada sumber mana, daripada punca mana, semuanya Allah tahu itu. Bahkan, bilangan makanan yang keluar sebagai najis pun hakikatnya tak terlepas daripada pengetahuan Allah.

Begitulah juga dengan kecenderungan kita. Semua manusia Allah jadikan fitrahnya suci putih. Setitik pun tompok dosa tak menampal tubuh kecil yang keluar bersama cecair jernih yang hanyir itu. Baik anak kepada penzina, anak perogol, anak pelacur pun, mereka itu sama sahaja seperti anak ulama. Sama-sama tidak berdosa dan sama-sama dalam keadaan fitrah.

Adapun mereka, atas beberapa faktor yang signifikan, membesar menjadi manusia yang berbeza-beza. Perbezaan selalunya membawa kebaikan, hinggalah kita sendiri memilih untuk menjahanamkan diri sendiri.
Tipulah jika saya katakan bahawa saya faham dengan masalah yang dihadapi oleh golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) ini. Tapi saya lebih menipu dan membohong jika saya katakan bahawa saya setuju dengan mereka.

Ramai orang yang katanya, "Kami faham kalian", tapi sebenarnya mereka tak faham. Saya sendiri begitu. Cuma, saya faham pada satu hakikat sahaja, iaitu hidup di dunia ini ialah untuk diuji oleh Allah.

Yup. Kita hidup untuk diuji.

Kenapa perlu diuji?

Supaya nanti Allah boleh membuat penilaian yang adil, siapa yang layak ke syurga dan siapa pula yang tidak layak ke sana. Layak atau tak layak, lulus dan gagal bagi seorang manusia untuk masuk ke syurga, itu semuanya bawah kekuasaan Allah. Allah sahaja yang tahu. Kita, manusia biasa tak akan tahu. Nasib kita pun kita tak tahu bagaimana inikan pula nasib orang lain!

Ramai daripada golongan LGBT ini berkata, "Kami ini sejak azali Allah jadikan begini".

Kata-kata itu benar, tapi atas maksud yang tidak benar. Satu sudut ia betul. Memang Allah jadikan kamu begitu, tapi adakah Allah mahu kamu kekal begitu?

Inilah yang saya katakan tadi sebagai ujian. Lain orang lain pula ujiannya. Ada manusia yang diuji dengan nafsu seksual yang tinggi. Allah ujinya dengan memberitahu, "Berzina itu haram". Lalu, orang yang diuji dengan nafsu seksual yang menggila itu akan melalui satu proses ujian: adakah dia akan buat juga zina yang haram itu, ataupun dia akan kawal nafsunya kerana takutkan Allah.

Ada orang diuji dengan duit yang banyak, melalui kata-kata Allah, "diwajibkan kamu untuk berjuang dengan harta kamu". Maka selepas itu dia akan terus dihadapkan ke gelanggang ujian: apakah yang dia buat dengan hartanya yang banyak itu.

Ada orang diuji dengan rupa paras yang cantik, dengan tegasan Allah, "kecantikanmu bukanlah untuk dijaja kepada umum". Maka, dibentangkan kepadanya lorong-lorong yang mahu mengeksploitasi kecantikan itu dan dia diuji, adakah dia akan memperagakan kecantikan secara salah, ataupun dia akan bersyukur dan menyimpannya untuk yang halal.

Kamu pun begitu, saudaraku.

Allah uji kamu dengan kecenderungan yang tidak normal. Mungkin seluruh jiwa kamu sudah bertempik, "Kami tak rela jadi lelaki. Kami mahu jadi perempuan".

Tapi itu ialah ujian Allah untuk kamu. Allah tidak menguji untuk kita gagal. Ujian atas maksud mahu menggagalkan ialah seperti kita memberi kertas soalan SPM kepada calon UPSR. Budak darjah enam yang tak tahu apa itu integration, disuruh untuk menjawab soalan matematik tambahan. Itu zalim namanya. Itu tak adil.

Tapi ujian Allah adil. Dia menguji manusia atas kemampuan orang itu. Hari ini, dia menguji kamu dengan perasaan mahu mendatangi kaum yang sama jantina denganmu. Tapi adakah perasaan itu, ialah apa yang Allah mahukan?

Tidak. Allah nak lihat sejauh mana kamu akan berusaha mengawal keinginan yang tidak sihat ini.

Saya teringat kepada kawan saya yang pernah mengirimkan sepucuk emel kepada saya.

"Iqbal, saya pergi masjid. Saya pergi dengar kuliah agama. Tapi saya masih teringin kepada lelaki. Sebab itulah saya tak berkahwin sampai sekarang kerana saya takut nanti saya akan menzalimi isteri saya".

Berat sekali ujian Allah kepadamu, saudaraku.

Tapi ia tidaklah sebesar mana pun jika kita memandangnya dengan kaca mata hamba. Kerana Allah berjanji, "Sesiapa yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk mencapai keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami padanya".

Itu ayat terakhir surah Al-Ankabut. Surah ke 29.

Allah sebagai Tuhan, memiliki apa yang kita selalu sebutkan sebagai 'kun fayakun'. Iaitu Allah apabila Dia mahukan sesuatu, Dia hanya bertitah... dan terjadilah apa-apa yang Allah mahu itu. Itu hebatnya Allah. Sedangkan kita hamba-Nya, jika kita mahukan sesuatu, maka kita perlu berusaha.

Dan usaha inilah yang Allah pandang dan nilaikan.

Kita tahu kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa A.S. Beliau melahirkan Nabi Isa di satu kawasan yang tersembunyi. Tak ada mak bidan. Tak ada sesiapa. Hanya ada Allah yang tak pernah mengantuk dan lalai atas urusan makhlukNya. Dalam lemah gemalai itu, sedikitpun kerisauan tidak diizinkan oleh Allah terputik dari dada Maryam. Allah memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pokok kurma. Dalam keadaan penat baru lepas bersalin seorang diri, Maryam pun bersusah payahlah mendatangi perdu pokok kurma dan menggoyangnya.

Agak-agaknya bergoyang tak pokok kurma itu?

Mustahil. Kerana pokok kurma yang matang dan mempunyai hasil, dahannya sahaja sudah sebesar dua pemeluk. Dalam keadaan normal pun, kita perlukan beberapa orang lelaki dewasa menggoyangnya, barulah pokok yang kuat dan teguh ini akan bergoyang.

Tapi ini perempuan, bukan lelaki. Tambahan pula, perempuan yang lemah kerana baru bersalin.

Tapi Allah hanya mahukan usaha, bukan mahukan keputusan kerana keputusan atas usaha itu ialah dibawah kawalan Allah. Dengan itu, luruhlah tangkai-tangkai kurma daripada pokok, dan ia menjadi penawar dan makanan yang cukup baik kepada setiap ibu yang baru melahirkan anak hingga ke hari ini.

Ada banyak lagi kisah, tapi cukuplah kisah itu sahaja.

Harapan saya kepada kamu, ialah agar kamu tak lupa bahawa sebenarnya Allah itu tak pernah melupakan kamu. Walaupun kamu boleh membuatkan manusia lain lupa yang kamu itu lelaki sebenarnya, tapi Allah tak akan terlupa tentang itu. Walaupun kamu boleh membuatkan manusia lain terpesona dengan lenggok bahasa tubuhmu, tapi Allah tak terpesona dengan itu.

Yang Allah akan terpesona ialah apabila Dia menguji hamba-Nya, hamba-Nya jadi makin dekat dengan-Nya.

Allah tak mahu kalian jadi gay. Allah tak mahu kalian tukar jantina. Allah tak mahu kalian mendatangi sesama jantina.

Yang Allah mahu, ialah apabila Dia uji kita, kita berjaya. Dan kerana itu, bersabarlah terhadap nafsumu.

Saya mungkin tak dapat banyak membantu, cuma saya cuma ada satu kata-kata yang mungkin boleh kamu pahat dalam hati:

"Allah tidak perlu lupa dan mendeskriminasi aku. Kerana itu, aku perlu berusaha mengubah bengkang-bengkok ini menjadi lurus seperti manusia biasa yang lain".

   
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

alhamdulillah, saya suka membaca entry ini. sama seperti entry2 yang lain. insyaAllah, saya akan sentiasa mengikuti perkembangan blog akhi. :)

Balas
avatar

persoalannya..dlm kes ini..mcm mane nk luruskan yg bengkok tu? ape usaha yg perlu diambil? mengekang nafsu semata-mata xkan menjadikan nafsu tu kembali kpd fitrah..mgkn nafsu tu perlu didikan utk kembali kpd fitrah..tp didikan yg mcm mane?

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443