Mencari jalan untuk ke syurga

Sejak ada kereta sendiri (sebenarnya kereta bapak saya yang saya pinjam), saya jarang sekali naik kenderaan awam. Bas RapidKL yang satu ketika dulu saya tunggu-tunggu sampai naik bengang, hari ini saya boleh melambai pula kepada mereka melalui dalam kereta kancil saya. LRT, komuter, dan yang seumpama pun begitulah. Sampaikan bila masanya orang pakai token pun saya tak tahu. Saya ingat pakai tiket lagi!

Memang begitulah. Atas dunia ini, nak pergi mana-mana pun perlukan duit. Lagi-lagi kalau perjalanan yang jauh. Kalau setakat nak beli garam sekampit di kedai runcit, bolehlah kita berjalan kaki sahaja. Tapi jika dari Kuala Lumpur mahu ke Kuala Nerang?

Mampus aku tak sanggup jalan kaki!

Itu masih dalam Malaysia. Jika perjalanan ke akhirat pula bagaimana? Sudah tentulah ia satu perjalanan yang terlalu panjang dan sukar. Ada transit. Ada persinggahannya. Di daerah dunia ini pun sudah ada dua atau tiga titik perhentian. 

Tidur, makan, berak, belajar, bekerja, beranak pinak... sampailah kepada mati. Kemudian baru ke daerah seterusnya, iaitu daerah alam kubur. Lepas tu lama pulalah di sana, sebelum ke mahsyar, ke mizan, ke hisab, ke sirat, dan ke kampung halaman kita; syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Syurga ialah kampung sebenar kita. Tapi ia jauh. Naik bas tak sampai. Naik kapal terbang tak sampai. Naik space shuttle pun tak sampai juga. Hanya menyampaikan kita dengan syurga ialah amalan soleh kita.

Tapi persoalannya, banyak sangatkah amalan kita?

Okey. Beginilah. Saya nak pergi Gua Musang (konon-kononnyalah). Dari Hentian Putra, saya perlu membeli tiket bas berharga RM26. Selepas itu barulah saya boleh duduk di atas kerusi, dan mula menikmati pemanduan ekstream ke tempat yang saya mahu tuju.

Soalnya, kalau saya tak ada RM26 itu, bolehkah saya naik bas?

Mungkin boleh. Saya boleh buat kerja tambahan. Saya juga boleh minta sedekah daripada orang. Mahu cukupkan RM26 itu.

Akhirat pun macam itu. Nak masuk syurga, seseorang itu perlu melepasi syarat yang Allah tetapkan. Dalam al-Quran, banyak sekali ayat-ayat yang Allah turunkan berkenaan dengan ahli syurga. Allah ceritakan sifat-sifat mereka, dan sifat-sifat inilah yang merupakan setiap syiling dan not kertas yang membentuk RM26 yang diperlukan untuk balik ke Gua Musang.

Saya tak nafikan bahawa dunia hari ini sangat mencabar. Cabaran kita tidak sama dengan cabaran di bumi Palestin, atau di Syria. Di sana mereka diuji bersama kesedaran. Mereka nampak musuh di depan mata. Tapi di Malaysia, kita diuji dengan kesenangan dan kemudahan hinggakan kita kabur dan rabun, tak nampak siapa dia musuh dan siapa dia seteru.

Kita tahu apa tujuan Allah jadikan kita. Dalam surah Az-Zariyat, Allah kata bahwa kita diciptakan untuk beribadah kepadaNya. Maknanya, tugas pertama kita ialah taat. Dalam surah al-Baqarah pula, Allah sebut yang diciptakan manusia ialah sebagai khalifah. Itu tugas kedua kita, iaitu memakmurkan bumi Allah dengan hukum dan lunas-lunas agamaNya.

Dua komponen sahaja. Dua tugas saja tetapi kita selalu gagal. Hancur. Fail. échouer. Fallire. தோல்வி, mabigo!

Tapi saya pun begitu sebenarnya.

Jika nak dikira dari sudut amal, maka saya yakin bahawa amalan soleh saya masih sikit. Sudahlah sikit, banyak pula cacat celanya. Sudah koyak rabak, banyak pula penyakit hatinya!

Habis, macam mana nak membeli syurga?

Kata Rasulullah S.A.W, "Setiap manusia hanya akan masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah. Tiada siapapun yang akan masuk ke dalam syurga dengan sebab amalannya".

Saat itu, para sahabat tertanya-tanya. Rasulullah S.A.W itu, solatnya sampai ke pagi. Bengkak-bengkak kaki. Qiamullailnya setiap hari. Sedekahnya seperi hujan lebat. Apa yang dimiliki semuanya disedekah. 

"Kamu juga begitu wahai Rasululllah?"

Baginda angguk. "Bahkan aku juga begitu".

Lalu kita senyum. Senyum licik. "Kalau macam tu, tak payahlah kita beramal"

Persoalan kita itu sudah lama ditimbulkan dan telah pun dijawab oleh Rasulullah. "Bukan begitu. Sebaliknya barang siapa yang dimasukkan dalam golongan ahli syurga, maka akan dimudahkan dan didekatkan dia dengan amalan ahli syurga".

Nah! Memang bahasanya tetap sama dan seirama. Kita perlu beramal. Bukan tengok, bukan berangan. Tapi, BERAMAL dengan amalan yang Allah titahkan.

Tapi macam mana nak beramal? Jika rutin harian kita begini:

Bangun tidur sebelum 6 pagi, solat subuh, kemudian pergi kerja pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang. Sebelah malamnya, selepas solat isyak, berehat dan kemudiannya tidur. 

Kemudian rutin yang sama berulang. Satu yang jelas, ibadah kita amat sedikit.

Kita solat pun hanya lima kali sehari. Kadang-kadang tu, kita makan pun lebih banyak daripada kita bersolat. Kita berkerja, sudah tentulah lebih lama daripada solat. Tidur pun begitu. Lagi lama daripada ibadah dan solat.

Habis, macam mana?

Ada satu kata-kata yang disandarkan kepada Saidatina Aisyah R.Anha,

"Jika kamu mahu mengalahkan ahli ibadah dalam melakukan ibadah kepada Allah, maka kalahkan mereka dengan meninggalkan perlakuan dosa"

Jom fokus kepada kandungan nasihat ini, iaitu berkenaan dosa. Secara ringkas, saya mahu menyeru diri saya untuk tinggalkan dosa. Dosa ini ada macam-macam. Dosa kepada Allah, dosa kepada manusia, dosa kepada makhluk selain manusia, dan dosa kepada diri sendiri.

Kalau saya mula cerita satu per satu, bertambah-tambahlah panjang artikel ini. Tapi cukuplah jika pesanan ini kita semai dalam diri kita. Kita bajai ingatan ini dengan ilmu dan kita siram apa yang kita mahu semai ini dengan titis-titis kesedaran;

"Allah beri kita mata. Adakah layak pemberian Allah itu kita gunakan untuk melakukan dosa? Allah beri kita mulut. Apakah patut kita guna pemberian itu untuk berdosa? Allah beri kita tangan dan kaki. Apakah boleh kita biarkan pemberian Allah itu kita gunakan untuk membuat mungkar?"

Soalan itu kalau kita tanya pada pokok, pasti bergoyang pokok kerana taqwa (takut kepada Allah). Oleh itu, kita patut lebih takut daripada pokok!
       
Previous
Next Post »
5 Komentar
avatar

perkongsian yg mmbuka mata hati tntg tahap kehambaan kte kpd Mha Pencipta . moga Allah mrahmati stiap atas ape yg d lakukan.. Insya-Allah..

Balas
avatar

"Bila la nak jadi penulis hebat cam beliau ni" =_=

Tak yah tukaq layout la...ni dah cntik.....serius cantik..!!

Balas
avatar

Saya-Syurga,
Rasa sangat ja...............uh.
................................

Saya tak tahu,tapi saya terbayang amal-amal saya kena lempar macam kain buruk.

=(

Balas
avatar

dik iqbal..bila baca n3 dik iqbal mmg benar2 terkesan dan kdg2 terkena pd diri sendiri..kagum dgn adik..
utk pgetahuan adik..sejak akhir2 ni akak cuma jd silent reader aje..akak tak pernah lupa adik..di FB akak selalu gak ikuti pkembgan adik..hebat dik teruskan pjuangan dik dlm penulisan/dakwah..adik mmg awsome ^_^

Balas
avatar

ku x layak ke syurgamu tp ku takut api nerakamu

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443