Lelaki di bawah kubah al-Aqsa.

Dalam dunia ini, ada dua benda sahaja yang tajam. Pertama, mata pedang. Kedua, mata pena.

Apa yang saya baca dari Facebook Ibnu Batoota, serasa saya, adalah antara yang barisan perkataan yang paling tajam pernah menikam hati ini. Mujur, tajam ini bukan yang membinasa. Syukur, tajam ini untuk memperkasa.

Tadi di kelas fiqih mazhab syafie, ustazku yang selama aku belajar dengan dia memakai serban putih tiba-tiba datang kelas dengan serban hitam dan mukanya penuh kesedihan dan matanya cengkung dan lemah. Salah seorang dari kami bertanya, "Maulana nampak cantik hari ni dengan serban hitam". Beliau merenung kawanku dengan muka serius dan berkata, "Memakai serban hitam semasa perang hukumnya sunat, nabi dan sahabat memakai serban hitam semasa perang. Telah sampai berita kepadaku bahawa saudara kita di palestin sedang dibunuh, dan daku sangat ingin ke sana berjihad bersama mereka, aku tak dapat tidur beberapa hari dan tak lalu makan beberapa hari, aku sangat ingin membantu tapi daku tiada kemampuan, daku jauh disini, maka aku keluar dari rumah hari ini dengan niat jihad. Sekiranya ada yang sudi membawaku kesana, sekarang juga aku sedia. Sebab itu daku memakai serban hitam pada hari ini... dengan harapan walaupun aku tak dapat ikut jihad tapi aku sangat berharap di akhirat nanti Allah tidak golongkan aku dalam golongan yang pengecut seperti tikus! Aku tidak mahu digolongkan sebagai muslim yang tidak pedulikan muslim lain. Di Amerika kalau seekor anjing mati dibakar, seluruh dunia kecoh anggap ia zalim, sedangkan di palestin bayi muslim, saudara muslim, ibu muslim, ayah muslim dibunuh sewenang-wenangnya tidak ada yang hiraukan? Bagaimana mungkin seorang muslim mampu suapkan makanan dengan tenang dalam mulutnya sedangkan di sana saudaranya dibunuh diseksa? Sekarang ini dunia hanya dipenuhi perempuan sebab lelaki-lelaki semua sudah jadi pondan! Tidak ada LELAKI dalam umat pada hari ini....

Saya berkata jujur.

Walaupun saya aktif, kecoh, galak, bersemangat dalam menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin, kecoh, galak dan bersemangat juga menyatakan benci kepada Israel, satu yang saya tahu tentang diri saya...

Saya belum berani untuk mati syahid.

Wallahi.

Saya tahu kelebihan mati syahid. Saya tahu betapa besar, betapa hebat, betapa lumayan, betapa tinggi ganjaran mati dalam perjuangan ini. Tapi, jikalah datang penyeru, "Sesiapa yang sanggup berjuang ke Gaza, sila beri nama. Kita akan hantar ke sana dalam masa terdekat",

Maka saya bimbang, saya tak sedia. Saya tidak menyatakan kesanggupan. Saya, yang pengecut. Yang bacul. Yang pondan.

Lalu saya terfikir. Sebenarnya apakah harga darah-darah yang mengalir itu? Sebenarnya apa harga air mata yang tidak mampu diseka itu?

Adakah hanya untuk gambar mereka di ambil, kemudian kita beramai-ramai klik 'Like' dan kemudian, 'Share'. 

Atau hanya untuk kita tulis, "Celaka Israel!"

Tetapi dengan kehidupan kita, sama. 

Tiada apa yang berubah.

Tiada amalan soleh yang meningkat.

Cuba tanya hati kita.

Berapa banyak iman kita telah bertambah saat melihat pergolakan di tanah air adik-beradik kita? 

Adakah solat kita makin khusyuk?
Adakah hidup kita makin tawadduk?
Adakah kita makin qanaah?

Atau, kita hanya berslogan, "Aku cukup benci Israel", tapi kehidupan kita masih lagi menurut apa yang mereka mahukan, iaitu kita bertuhan hanya dalam urusan solat. 

Kita,

Masih ada masa untuk memuaskan nafsu kita,
Berhibur,
Makan-makan,
Bergelak ketawa dengan galaknya,
Bergossip, berdating, berkhalwat.

Bukankah ini yang Yahudi mahukan daripada kita?

Solat subuhnya jam 6.30 pagi. Tiada berjemaah, jauh sekali tahajjud.
Al-Quran yang dipandang dengan ekor mata. Tidak dibaca, jauh sekali dihayati.
Buku agama yang disisihkan. Tidak diteliti, jauh sekali dipelajari.

Oh. Itulah kita. Lelaki dan wanita yang bacul! 

Kerana itu saya berazam, agar dengan leleh-leleh darah mereka, sebati dengan darah saya. Saya mahu berubah. Saya belum sanggup untuk syahid. Tapi saya tak pernah padamkan harapan untuk kematian semulia itu. Makanya, saya perlu berubah.

1- Kurangkan minit-minit di Facebook, kerana pemuda Palestin tak pernah ada masa untuk online pun!
2- Banyakkan berlapar, kerana kanak-kanak Palestin tak pernah kenyang pun!
3- Banyakkan mentelaah buku agama, kerana agama ialah satu-satunya senjata mereka.
4- Banyakkan mengulang kaji tentang bidang saya, kerana ia satu alat yang akan saya gunakan untuk membantu sahabat saya di sana.
5- Kurangkan tidur, kerana mereka di sana hanya mengenali tidur sebagai syahid.

Saya, hanya ada lima yang mana amaun ini sebenarnya terlalu kecil. Rasanya, walaupun saya berjaya mencapai apa yang saya hajatkan di atas, saya masih jauh lebih hina daripada seorang kanak-kanak Palestin yang usianya 5 tahun.

Kanak-kanak yang tidak takut mati. Bahkan berimpian untuk mati mulia.

Dan saya, yang masih takutkan mati.
Sedang saya tahu, merah di baju saya ialah darah mereka!

Darah kalian, darah kami juga,
Palestin, jangan cela kami,
Tetapi doakanlah kami,
Agar nanti kamilah lelaki,
Di bawah kubah al-Aqsa.

 Kita bercakap dalam dua bahasa yang berbeza tetapi kita saling memahami kerana bahasa hati kita adalah bahasa yang sama, kerana mengimani perkara yang sama.   
     
Previous
Next Post »
9 Komentar
avatar

jazakallah khair untuk peringatan yang bertubi-tubi.

Balas
avatar

terpukul dan tertoreh...jazakallah khair abg iqbal...ya Allah bantulah aku!

Balas
avatar

suka baca n3 ni,, tq share ye

Balas
avatar

terima kaseh atas peringatan dan perkongsian ini..

Balas
avatar

:)
Syukran di ats prongsiannya.

Manusia itu mudah Alpa.
Lagi2 diri ini,byk lupa drpd "mngingati".
hanya tahu lupa,
lupa Dan lupa.
Jazakallahu khayr ats prkongsiannya.
amt mndidik hati yg kecil.Moga Allah redha.

#pray for Gaza

Balas
avatar

MasyaAllah..syukran ats p.kongsian yg sgt b.mnfaat ini...

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443