Percik jari di tahun baharu.

Saya tertanya sebenarnya. Mengapa dan sejak bila umat islam menyambut Awal Muharram?

Dan saya tak serius sangat untuk dapatkan jawapannya. Jika ada yang mahu melakarkan jawapan, ruangan komen sentiasa saya buka, hatta kepada 'spammer' pun. Tapi, daripada semua isu tentang 1 Muharram, satu yang pasti ialah umat islam di Malaysia (seluruh rakyat sebenarnya termasuklah yang bukan islam pun), bercuti.

Untunglah.

Maka, dalam suasana kerehatan, suka saya mengajak diri saya dan kalian untuk merenung kepada beberapa isu yang runcing berkaitan dengan hijrah. Serasa saya, sejak kecil lagi saya disajikan dengan kisah-kisah penghijrahan Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah, pada setiap rembang 1 Muharram.

Buatlah apa yang namanya forum maal hijrah. Maka ceritanya yang itulah.

Anjurlah yang namanya ceramah Awal Muharram. Nanti kisahnya yang itulah.

Hingga terbawa ke dalam kotak memori dan terkunci sungguh-sungguh ingatan bahawa Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Kota Madinah, disambut dengan ceria nan ramah oleh ansar, dan Baginda membina masjid serta mempersaudarakan di antara kaum muhajirin dan ansar.

Tetapi nampaknya pendapat yang lebih diyakini menyatakan hijrah Rasulullah S.A.W dengan teman baiknya, Abu Bakar R.A berlaku pada satu malam di bulan rabiul awal, bukan lagi muharram.

Baik. Tinggalkan isu itu. Kita bukan nak fokus kepada sejarah dan sirah, tapi mahu fokus kepada ibrah.

Sebelum ke Madinah, sebenarnya ada satu legasi hijrah pernah dijalankan iaitu ke Habsyah. Hari ini, Etiophia. Rasulullah S.A.W menyuruh Jaafar bin Abdul Mutalib R.A memimpin legasi ahli iman yang tertindas di bumi kaum quraish saat itu, untuk ke sana kerana mahukan pembelaan dan kehidupan yang lebih tenteram.

Walhal dalam islam, makin banyak ujian, makin besarlah darjat dan ganjaran. Kerana itu ulama fiqh mengeluarkan satu usul berkenaan dengan klausa itu.

Pun begitu, sebagai Rasul yang dalam hatinya penuh dengan cinta, Baginda menyuruh ahli iman ini berhijrah juga. Baginda tak suka melihat ahli iman ini diperbudakkan, diperkotak-katik, dan diperlekeh kerana beriman kepada Allah.

Itu pengajaran pertama mungkin. Kita, jika hari ini bekerja di satu tempat yang menghalang kita daripada melakukan taat kepada Allah, dan mengikat kita kepada patung perhambaan pada pangkat dan harta, maka kita perlu berhijrah. Tukar kerja lain, kepada kerja yang tak membuatkan kita lalai dari-Nya, yang tak membuatkan kita mengangkat duit dan pangkat sebagai imam, dan yang tak menghalangi kita daripada menjalankan hukum Allah.

Jangan salahkan bos anda kerana tak izinkan anda melakukan taat kepada Allah. Dia mungkin jahil. Nanah dan lendir memenuhi hati hingga cahaya-cahaya nasihat tak mampu tembus. Sebaliknya, salahkan diri sendiri jika masih kekal, istiqomah, dan tetap di dalam syarikat dan kumpulan itu. Jangan diikat dengan tali perhambaan sesama manusia!

Kedua, hijrah ke Habsyah dengan hijrah ke Madinah berbeza dari segi keputusan, (result/output). Saat penghijrahan ke Habsyah, umat islam saat itu hanya dapat menyelamatkan diri daripada terus disiksa dan dianiaya oleh bangsat-bangsat Mekah saat itu. Bahkan disebut oleh beberapa ulama sirah, dalam rombongan itupun masih ada beberapa orang yang murtad. Murtad kerana sampai di Habsyah, mereka jadi kagum dengan agama nasrani lalu memeluk agama nasrani.  Susah nak percaya. Tapi itulah dia yang berlaku.

Mungkin itu pengajaran kedua. Ada orang yang kita fikir, "Dia ini maqam tinggi". Iyalah. Sebab sudah ikut tarbiyyah dari dahulu lagi. Telah ikut berjuang sejak dahulu lagi. Tetap tabah dengan kesabaran yang tulen, sejak mula lagi. Tapi itu tak menjanjikan satu penamat yang cemerlang. Ada orang yang beriman bersungguh-sungguh di awalnya, tapi di hujung-hujungnya, dia terpana dan tersilau.

Itu hikmahnya Rasulullah S.A.W mencontohkan kepada kita amalan doa yang maksud doa itu, "Wahai Tuhan yang membolak-balik hati. Tetapkanlah hati kami dalam agamaMu dan ketaatan kepadaMu".

Sebab sudah dibuktikan bahawa yang memegang anak kunci syurga ialah Allah. Dia boleh beri kepada siapa sahaja. Yang jauh dariNya pun dia boleh rapat-rapatkan. Yang sudah dekat pun, boleh jadi jauh denganNya!

Mungkin contoh yang lebih praktikal ialah saya. Jika dahulu, di awal blog ini diasaskan (ayat ini macam kurang tepat), saya menulis dengan hati yang satu warna sahaja. Tak ada pelangi-pelangi macam hari ini. Waktu itu, tak ada bisikan syaitan yang membuatkan niat saya lari dan bertukar. Tapi semakin hari, semakin saya larut dalam dunia tarbiyyah, ujian kepada hati jadi makin dahsyat. Ritma hati saya sendiri kadangkala saya tak faham. Itulah yang namanya ujian. Jika bukan kerana bantuan Allah, maka kita pasti akan terjelupuk saat diuji. Maka, wajib kita berdoa dan berusaha agar nikmat istiqomah dapat kita cicip setiap saat.

Ketiga, tidak berlaku penyebaran islam saat hijrah ke Habsyah. Mengapa? Kerana tiada sumbangan lelaki yang namanya Mus'ab bin Umair R.A yang menurut ahli sirah, jika tapak kakinya dicat dengan warna merah, maka akan merahlah kota Madinah kerana gigihnya seruan dakwah Mus'ab bin Umair itu. Satu pintu ke satu pintu. Satu keluarga kepada satu keluarga. Semuanya diajak kepada islam secara jelas dan adil. Hasil daripada perutusan Mus'ab untuk menjadi naqib pertama umat islam, 70 orang penduduk madinah memberi bai'at kepada Rasulullah S.A.W dalam perjanjian Aqabah kedua yang mana daripada 70 orang inilah, Rasulullah S.A.W dijemput untuk menjadi khilafah kerajaan islam pertama dunia.

Iya. Dakwah perlukan orang yang memulakan. Itu Mus'ab. Tapi jika dunia ini hanya ada seorang Mus'ab, maka tak selesai masalah. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang yang berada di belakang Mus'ab itu. Kita perlu membantu orang yang berdakwah. Ketahuilah, bukan semua orang mampu buat dakwah tapi semua orang mampu untuk menyebarkan islam.

Apa maksud saya?

Dakwah maksudnya ajak. Ulama memperhaluskan lagi definasinya sebagai 'ajak orang yang tak mahu islam kepada mahukan islam'. Dakwah tak serupa dengan tarbiyyah. Tarbiyyah ialah membentuk; dan ia adalah untuk orang yang sudah mahu, berminat dan inginkan islam.

Orang yang tak mahu, belum berminat, inilah orang yang kita dakwah. Orang yang sudah mahu, sudah berminat, itu orang yang kita tarbiyyah. Nampak bezanya?

Sebab tu dalam al-Quran, jika dimasukkan kisah-kisah dakwah, ia adalah kisah di antara orang yang tak beriman dengan orang beriman. Antaranya kisah Habibun Najar dalam surah Yassin yang mati dipijak oleh orang kampungnya, dan selepas dia mati, dia berkata "Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui akan apa yang telah Allah berikan kepadaku".

Juga kisah Firaun dengan Nabi Musa. Kisah Kaum Ad dengan Nabi Hud. Kisah kaum Samud dengan Nabi Saleh. Kisah ayahanda Ibrahim dengan Nabi Ibrahim. Kisah LGBT kaum Lut dengan Nabi Lut. Dan seumpamanya.

Dakwah perlukan semua orang. Ada yang pandai bersyarah tapi ramai yang tak pandai. Tapi dalam kalangan yang tak pandai itu, 99% peratus ialah orang yang tak bisu. Jadi, apalah sukarnya mengungkap kata-kata, "Jom dengar ceramah Ustaz tu".

Daripada 99% itu, 88% mempunyai kenderaan sendiri dan tidak bisu. Jadi apalah susahnya jika dia berkata, "Jom dengar ceramah ustaz tu. Kita pergi naik kereta aku".

Daripada itu, 77% pula mempunyai rezeki yang lebih, kenderaan sendiri, dan tidak bisu. Maka apalah salahnya dia berkata, "Jom dengar ceramah ustaz tu. Kita pergi naik kereta aku. Lepas tu kita pergi makan dan aku belanja".

Daripada itu pula, 66% mempunyai recorder. Jadi apalah salahnya jika dia bercakap dengan diri sendiri, "Apa kata aku rakam ceramah Ustaz ni".

Daripada itu lagi, 55% tahu teknologi. "Apa kata aku tolong upload di YouTube?"

Dan 44% daripada itu, mempunyai kemahiran menulis. "Apa kata aku tulis dalam blog aku. Nanti ada orang boleh baca".

Daripada 33% pula, ada yang aktif dengan Facebook, "Apa kata aku share video dan artikel ini di Facebook?"

Dan selebihnya, masih ada peranan masing-masing. Setidaknya, sebagai pemberi semangat kepada orang-orang di atas, juga sebagai penyambung doa atas kerja yang tak kenal rehat ini.

Mungkin itulah pengajaran ketiga. Bantu. 'Share'. 'Like'. 'Suggest'. Hidup perlukan sinergi. Simbiosis. Kalau semua mahu jadi pendekar, maka apa perlunya dicipta pistol. Begitulah yang dikatakan oleh Ustaz Salim A. Fillah, "Jika dakwah ini hanya perlukan lidah, maka apa perlunya anggota badan yang lain".

Kita mungkin tak boleh menjadi 'lidah' untuk agama ini. Tapi kita boleh menjadi 'kaki', yang mana dengannya orang yang terlindung di balik kelambu hiburan boleh tahu adanya 'lidah' di atas. Kita juga boleh jadi 'tangan', supaya orang tahu bahawa ada 'kaki' dibawah dan ada 'lidah' diatas.

Faham tak apa saya maksudkan ini?

Cukuplah tiga dahulu. Kalau saya panjang umur, saya sambung. Tahun depan ke. Tengoklah macam mana :)

 
Previous
Next Post »
3 Komentar
avatar

Salam. Sekadar nak berkongsi.

Pagi tadi saya tengok interview Lauren Booth dan sanagt terkesan dihati saya bila beliau mendefinisikan dakwah itu sebagai suatu jemputan. Dakwah kepada Islam, bagi beliau adalah jemputan kepada agama fitrah Islam berpakejkan ilmu, iaitu dari sudut Islaminya, bersumberkan Al-Quran.

Mula-mula saya dengar penjelasan beliau saya rasa lost sikit. Tapi bila amati betul-betul, memang sangat benar.

Balas
avatar

Saudara Iqbal, sila layari laman wab ini...

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/2/2/mstar_berita/20120202123931&sec=mstar_berita

Balas
avatar

gd sharing ni ! dah follow u juga 2894

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443