Baru-baru ini, saya terbaca satu entry di satu blog:
I think that it's a good thing that I reflect on my actions, I get to see what I need to do to improve my behaviour and etc. But in a way, because shaitaan has, for so long became an invisible friend, it became very hard to be on the rightful path. Say for example in living your day-to-day life. I have always reminded myself to start everything with Allah's name. But I tend to question myself whether it's truly because of Allah or am I trying to do good, to impress Allah?...
See the differences? In the case of ikhlaas, it has cause difficulties for me to perform even the easiest ibadaah without doubt. But I really want to win against shaitaan, thus I set my niah straight and never look back. There's indeed no benefit in the doubt.Saya tertarik pada rangkap ayat, "or am i trying to do good, to impress Allah?".
Melakukan sesuatu kerana Allah, atau melakukan sesuatu kerana mahu menarik perhatian Allah?
Pertamanya, Allah tak sama dengan makhluk. Makhluk, benar, boleh digula-gulakan. Allah tidak. Allah, pada hakikatnya takkan terfana, terpedaya, dan tertipu. Kita sama sekali takkan mampu untuk 'impress' Allah.
Pun begitu, saya faham maksud sebenar penulis. Bukanlah beliau maksudkan, agar Allah kagum. Bukanlah maksudnya, agar Allah tertarik. Bukanlah maksudnya, agar Allah memberi perhatian.
Tapi maksud dia, dan maksud saya juga, impress itu adalah agar Allah suka. Tidak lebih dan tidak kurang. Semuanya semata-mata untuk membuatkan Allah suka kepada kita.
Inilah legasi ketaatan hamba kepada Allah. Let say (cubalah kita katakan) jika seluruh penduduk dunia ini beriman kepada Allah, menyembah-Nya, rukuk dan sujud kepada-Nya, kedudukan Allah tetap sama. Tetap yang Maha Mulia. Tetap sebagai Rabb. Kemuliaan dan ketinggian Allah takkan meningkat dengan meningkatnya ibadah hamba-Nya kepada Dia.
Begitulah juga, jika sekiranya seluruh manusia atas bumi ini kufur, bermaksiat dan ingkar, Allah tetap Rabb. Allah tidak terkesan dengan kekufuran makhluk ciptaan-Nya. Allah tetap Maha Mulia. Tetap yang Maha Tinggi.
Kerana itu Rasulullah S.A.W menegaskan kepada umat Baginda, bahwa sesiapapun takkan mampu ke syurga atas tiket ibadah mereka. Sebaliknya, mereka hanya akan ke syurga hanya dengan rahmat Allah.
Dan rahmat Allah itu, bukan diberikan kepada semua orang. Ada manusia yang Allah tak suka, maka instead of rahmat, Allah beri laknat. Adapun manusia, apabila Allah suka, cinta, kasih, dan sayang kepada mereka, maka Allah akan beri mereka rahmat.
Maka, kita telah diikat dengan satu kenyataan bahwa mahu atau tidak mahu, setiap kita perlu membuatkan Allah mencintainya, kerana dengan jalan cinta, Allah akan redha pada hamba-Nya, dan dengan itu, diberikan padanya rahmat. Dari dunia sampai akhirat.
Siapakah manusia-manusia yang telah Allah redhai?
Kita kenal mereka. Kita tahu siapa mereka. Setiap kali nama mereka disebut, kita menyahut dengan gelaran 'radiallahu anhu'. Mereka, sahabat-sahabat Rasulullah. Mereka ialah kelompok yang meredhai dan diredhai. Dan siapa mereka, yang kita kenal?
Adakah semua mereka ahli ibadah?
Adakah semua mereka ahli ilmu?
Adakah semua mereka ahli jihad?
Mereka bahkan semua di atas.
Ibadah mereka top. Ilmu mereka juga top. Jihad mereka juga top. Tiada siapa yang boleh persoalkan!
Begitulah kita, seharusnya. Dalam kapasiti kita hari ini, siapapun kita, kita perlukan kepada ibadah. Kita perlukan kepada sentiasa memperdalamkan ilmu. Kita perlu kepada sentiasa berjihad.
Dalam urusan jihad, ramai yang mengambil kefahaman jihad sebagai peperangan. Peperangan melawan orang kafir harbi itu benar satu pecahan jihad. Adapun jihad yang Allah maksudkan, dalam ayat terakhir surah al-Ankabut, ialah kesungguhan.
"Siapa yang bersungguh-sungguh untuk mencari redha Allah, Allah akan berikan kepadanya jalan-jalan untuk mencapainya"
Di situ, ada perkataan 'jihad'. Dan ayat ini turun sebelum datang perintah jihad. Makanya, kesungguhan di sini ialah bermakna kesungguhan kita meninggalkan maksiat, meninggalkan dosa, dan kesungguhan untuk menjinakkan nafsu jahat yang membelit.
Kerana itu kita kenal para sahabat sebagai golongan manusia yang cukup besederhana. Saidina Umar, disaat melihat ada daging di rumah anaknya, langsung bertanya, "Dari mana kamu dapat daging ini?"
"Aku teringin untuk memakannya, lalu aku pun membelinya di pasar", jawab Abdullah Bin Umar.
Lalu dijawab oleh Saidina Umar, "Apakah tiap kali nafsumu mahukan sesuatu, terus kamu penuhi?"
Para ulama ada menjelaskan, bahwa salah satu tanda yang amal ibadah kita akan diterima Allah ialah apabila kita memiliki perasaan 'adakah amal ini akan diterima?'. Kerana ibadah yang kita dirikan setiap masa ini, perlu berdiri atas dua kaki. Atas rasa takut, dan rasa berharap.
Pertama, kita takut sekiranya Allah tidak menerima ibadah kita. Takut jika ada riak. Takut jika ada ujub. Takut jika ada sombong. Takut, jika tak ikhlas.
Tapi dalam masa yang sama, kita perlu berharap. Berharap dan bersangka baik, optimis... yang Allah mahu menerima. Berharap dengan penuh nilai kerendahan, agar Allah sudi memandang dan sudi menerima ibadah kita yang kecil dan penuh dengan cacat cela itu.
Sebenarnya bukan tak ada situasi yang mana Allah impressed atau berasa kagum dengan hamba-Nya.
Ada beberapa hadis, antaranya yang dikisahkan oleh Muawiyah R.A berkenaan dengan sekelompok sahabat yang sedang membuat halaqah di masjid nabi. Allah menzahirkan kekaguman-Nya, dengan memerintahkan Jibril untuk memberitakan kepada Rasulullah S.A.W bahwa Dia sedang menyebut-nyebut tentang hamba-Nya, yang sedang duduk bersama-sama atas maksud untuk membesarkan Allah dan mengingati dan menyesali dosa lampau mereka.
Tapi sudah tentulah maksud kagum Allah itu tidak sama dengan kagum hamba. Allah sebenarnya sedang memuliakan, dan memberi ganjaran yang terlalu besar pada kita. Adapun kita tidak mengetahuinya.
Dalam hadis yang lain pula, Allah menyatakan bahawa Dia kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat shabwah yang bermaksud, kejahilan dan keanak-anakkan.
Bermakna, seorang yang muda remaja, apabila di usia keemasan, tetapi sudah mula sibuk dan peduli perihal akhirat, Allah bangga dengan mereka. Iyalah. Di saat sahabat sebaya dengannya sibuk tentang Chelsea lawan Shaktar Donesk, dia sibuk tentang tahajjudnya. Di saat sahabat seusianya sibuk tentang K-Pop, dia sibuk dengan tilawahnya. Di saat orang seumur dengannya sibuk melalaikan diri berhibur, dia pula sibuk menjadi khadam kepada ilmu dan khadam kepada Allah Yang Esa. Di saat orang lain bercinta-cintan, dia pula mabuk dengan tasbih dan tahmid kepada Allah yang telah mencipta-Nya.
Allah kagum. Allah impressed dengan mereka!
Dan sebagaimana saya katakan tadi, kagum Allah itu taklah sama dengan kagum kita. Tapi ia bermakna, betapa besarnya dan utama, hamba itu di sisi-Nya. Sungguh, saya sungguh mahu menjadi orang sebegitu. Muda pada jasad, tapi 'tua' pada amalan.
Akhir sekali, saya mahu menyimpulkan bahwa sebenarnya tidaklah satu kesilapan untuk kita melakukan sesuatu atas maksud mahu membuatkan Allah suka kepada kita. Kita perlu ingat, tingkatan-tingkatan ikhlas itu banyak. Yang terendah ialah bila kita melakukan satu ketaatan, kita berharapkan ampunan, pahala, dan rahmatnya. Adapun maqam tertinggi ialah melakukan ketaatan atas makna cinta. Dia tak berharap apa-apa, tapi semata-mata kerana cinta.
Hingga berkatalah seorang wali Allah yang mahsyur, yang kita semua kenal namanya itu, "Ya Allah, jika aku beramal kerana takutkan nerakamu, maka masukkanlah aku ke dalamnya. Ya Allah, jika aku beramal kerana mahukan syurgamu, maka haramkanalha syurga itu buatku".
Saya sengaja tak menuliskan nama wali Allah (wanita) itu kerana ada juga ulama yang berkata, kata-kata itu tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar keluar daripada orang itu. Jadi, kaedah fiqh mengajar, 'keluar daripada khilaf itu adalah lebih utama'.
Jadi, saya cuma kongsikan pengajarannya, bukan lapisan-lapisan selainnya.
Semoga kita, atas apapun kerjaya dan posisi kita, kita takkan lelah dan berhenti untuk melakukan perkara-perkara yang membuatkan Allah suka kepada kita. Juga, kita atas apa-apa sahaja situasi, keadaan, dan posisi pun, Tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh membuatkan Allah marah dan benci kepada kita!
---------
Saat saya menoktahkan artikel ini, hati saya rupanya berbisik, "Adakah aku menulis kerana-Nya, atau kerana mahu impress orang?"
Nauzubillah. Cukup takut, apabila kita mempertuhankan makhluk dalam urusan ibadah.
Astagfirullahal azim...
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443