Kewajipan Menjauhi Fitnah

         
Sesiapapun tak boleh sangkal yang kita kini tinggal di zaman-zaman akhir. Di zaman yang sang rasul pernah katakan ini zaman fitnah. Zaman ujian besar yang mana setiap kita akan diuji dengan ujian-ujian yang ringan pada mata, tapi berat pada iman. Kerana nanti, sistem kira-kira kita ialah pada tolak-tambah pahala dosa dan syurga neraka.

Ada satu makhluk yang Allah jadikan. Namanya dajjal. Menurut banyak riwayat, dajjal itu berbentuk seperti manusia dengan ciri-ciri seperti sebelah matanya buta, dan seumpama. Kita dilegakan dengan hakikat dajjal al-masih itu belum lagi wujud, tapi kita tidak patut menarik nafas lega, kerana kuncu-kuncu dan askar-askarnya telah lama wujud, sekalipun bukan dalam fizik seorang manusia.

Kita kena faham betul-betul maksud fitnah. Dalam al-Quran, lebih kurang ada 17 definasi fitnah yang berbeza-beza. Antaranya ialah bala, bencana, ujian berat dan juga menuduh manusia lain.

Bersama-sama, kita buka ayat 14 dan 15 surah At-Taghabun.

Kata Allah, bahawa ada antara isteri-isteri dan anak-anak kita yang menjadi 'musuh' bagi kita iaitu merekalah yang akan menjerumuskan kita ke lembah neraka. Allah katakan lagi, bahwa harta dan anak-pinak kita ialah cubaan kepada kita.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah menganjurkan kita supaya baca surah al-Kahfi pada setiap jumaat dan Baginda juga anjurkan supaya kita hafal 10 ayat pertama dan 10 ayat kedua surah ke 17 itu.

Para ulama buat kajian, lalu mereka temukan empat tema terbesar dalam surah ini iaitu pertamanya, fitnah ilmu. Kedua, fitnah harta. Ketiga, fitnah kedudukan dan keempat, fitnah akidah.

Tapi tadabbur surah al-Kahfi ini saya tak berhajat mahu kongsikannya di artikel ini. Sebaliknya saya mahu tarik perhatian kita semua untuk sama-sama tadabbur ayat 14 dan 15 surah At-Taghabun tadi.
[kredit]
Pertama, fitnah wanita.

Jangan sangkal lagi kerana sudah jelas lagi bersuluh, bahawa fitnah terbesar atas muka bumi sekarang ialah fitnah wanita. Rasulullah sendiri memberi amaran kepada umat Baginda agar takut dan berhati-hati dengan ujian orang perempuan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana seorang nabi dan rasul, iaitu Yusuf A.S yang terkena fitnah wanita...

Hinggakan kata Baginda, "Perjara itu adalah lebih aku sukai!", dan Baginda sendiri meminta kepada Allah agar dilemparkan dalam penjara. Di balik tembok besi itu, datang bersamanya satu falsafah yang besar kepada kita semua.

Penjarakan jarak. Penjarakan nafsu. Penjarakan ikhtilat.

Penjarakannya, agar hatimu tidak terjerut dengan cinta yang lalai dan melalaikan.
Kedua, fitnah harta. Para sahabat radiallahu anhum ajma'in pun ada yang terkena dan kalah dengan fitnah harta. Bukti paling jelas ialah semasa perang uhud. Arahan Rasulullah jelas. "Jangan tinggalkan posisi kamu selagi tiada arahan dariku", tetapi selepas mereka melihat yang tentera kafir tergopoh-gapoh berundur, mereka pun meninggalkan posisi mereka di balik bukit dan berebut-rebut mahu mengutip ghanimah.

Memang benar islam menyeru umatnya untuk kaya jiwa dan kaya harta. Supaya apabila harta kita banyak, kita pun boleh menyumbang dengan banyak kepada agama islam. Kita boleh bina masjid, bina pusat islam, bina pusat dakwah, bina ketenteraan, dan segala macam sarana yang diperlukan untuk perjuangan ini.

Tapi apa yang berlaku hari ini, orang kaya yang dekat dengan Allah sangat sedikit sebaliknya yang kaya dan menjadikannya sombong, takabbur, dan rasa ala-ala Tuhan, itu ramai sekali. Tak payah nak tunding jari kepada lelaki-lelaki arab yang gemuk itu. Tunjuk sahaja ke diri kita sendiri. Berapa banyak yang kita telah belanjakan untuk islam? Adakah kita juga seperti manusia-manusia tadi, yang sanggup berbelanja sehingga separuh juta semata-mata untuk satu baris nombor plat kereta murahan sahaja?

Ingat. Allah akan hisab harta-harta kita. Allah akan soal satu soalan yang mencarik-carik ulu hati kita. Darah kita pada tika itu takkan mengalir. Otot kita masa itu akan mengejang. Semuanya terkejut, takut.

"Hartamu, kemana kamu belanjakan?"

Maka mahu dijawab dengan bahasa apa lagikah jika jawapannya ialah yang terpesong daripada skema syurga.
[kredit]
Ketiga, fitnah kedudukan. Hari ini ramai yang mahu jadi pemimpin. Tapi ramai yang tak mahu dipimpin oleh wahyu. Maka itulah yang berlaku pada pemimpin-pemimpin umat islam. Makin berkuasa, makin berleluasa. Makin tinggi autoriti, makin hilang integriti dan dignity!

Abu Dzar al-Ghifari pernah mendatangi Rasulullah S.A.W dan meminta jawatan daripada Baginda lalu Baginda pun berkata, "Aku bimbang kamu tidak layak untuk memikul amanahnya".

Saidina Umar R.A pula sejak dijadikan khalifah, beliau sudah tidak mampu untuk tidur lagi. Beliau sudah tak dapat bezakan siang dengan malam. Kenikmatan rehat sudah tiada baginya. Kerana kata beliau, "Aku bimbang jika aku tidur di siang hari, maka urusanku dengan rakyatku tidak selesai dan aku juga bimbang untuk tidur di malam hari kerana aku takut urusanku dengan Allah pula yang tidak selesai".

Kita bercakap fasal kepimpinan, lalu kita pun terbayang kerusi-kerusi empuk dalam dewan berhawa dingin itu. Tidak semestinya, kerana sabda rasulullah, "Setiap daripada kamu ialah pemimpin". Kita ialah pemimpin dan kita ada orang yang kita pimpin. Seorang guru memimpin anak murid. Seorang majikan memimpin pekerjanya. Seorang ayah memimpin anak-anak dan seorang manusia, memimpin nafsunya.

Jangan cuai dengan tanggungjawab kepimpinan, terutamanya untuk memimpin hati kita.
 
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443