Mari bercinta


Benda paling seronok untuk dibincangkan atas dunia ini ialah cinta. Yang bertudung ke, yang berkopiah ke, sama sahaja akan tersenyum-senyum bila bercakap tentang isu ini. Yalah. Kita bukannya robot. Kita ada perasaan dan cinta ialah salah satu perasaan yang Allah ciptakan, menjadi fitrah dalam diri kita.

Kita cinta kepada macam-macam perkara. Al-Quran melalui ayat 14 surah Ali-Imran menyatakan bahwa Allah s.w.t telah menjadikan kita suka (cinta) dan nampak indah pada sisi pandangan kita, para wanita, anak-pinak, harta, ladang, hasil galian, kenderaan, dan macam-macam lagi.

Kita boleh golongkan cinta kepada dua bentuk. Pertama, cinta yang mendekatkan kita dengan Allah dan kedua, cinta yang menjauhkan kita daripada Allah.
Cinta yang mendekatkan diri kepada Allah ialah seperti cinta yang dipamerkan oleh para sahabat nabi. Mereka hidup tidak semewah kita. Mereka makan tidak sesedap kita. Mereka tidur tidak seselesa kita. Mereka banyak berkorban untuk nabi. Ada yang sanggup mati kerana agama islam. Saya ingat ada seorang sahabat Nabi yang bernama Saidina Wahab, yang menggunakan badannya untuk menjadi perisai kepada Nabi Muhammad s.a.w daripada tikaman pedang, tusukan lembing dan bidikan anak panah. Hingga dia pun syahid.

Para sahabat Nabi tak rela nabi diperapa-apakan. Bukan hanya tak rela jasad nabi dilukakan, bahkan tak rela maruah nabi dipermain-mainkan. Sahabat muda bernama Zaid bin Tsabit (kalau saya tak silap) pernah mendengar Abdullah Bin Ubay menghina dan memaki hamun Rasulullah s.a.w lalu dia pun marah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah. Abdullah bin Ubay ialah tokoh munafik. Mustahil dia mengaku. Lalu turun wahyu, membenarkan sahabat muda itu dan dalam masa yang sama, membongkar busuk hati lelaki bernama Abdullah bin Ubay ini.

Kemunafikan Abdullah bin Ubay itu terlalu menyerlah hinggakan anaknya sendiri, yang bernama Abdullah pernah meminta izin kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, jika kamu memerintahkan agar bapaku (munafik) itu dibunuh, maka biarlah aku yang membunuhnya sendiri kerana jika orang lain yang membunuhnya, maka aku bimbang aku akan menaruh dendam kepada pembunuh itu".

Tapi Nabi Muhammad s.a.w bukan pengganas.

Cuma nak kata di sini bahawa sahabat Nabi s.a.w bukan hanya menjaga jasad Nabi daripada disakiti, tetapi menjaga juga maruah dan nama nabi daripada dikotori dan dicemari.

Bukan hanya itu, semua mereka juga sedaya upayanya mahu menjaga ketulenan ajaran agama yang dibawa oleh Nabi. Salah satu contohnya ialah semasa zaman khalifah Abu Bakar as-siddiq. Abu Bakar keberatan mahu memulakan proses pengumpulan manuskrip al-Quran. Kata beliau, "Bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang Rasulullah s.a.w tak buat", tetapi selepas ijtihad yang tajam dan nasihat daripada para sahabat yang lain, keputusan diambil untuk mengumpulkan semula manuskrip-manuskrip al-Quran yang pernah ditulis di atas kepingan-kepingan kayu dan kulit, kerana ketika itu ramai huffaz yang mati syahid.

Pada saya, beginilah baru namanya cinta. Cinta kepada Allah, pertamanya memerlukan pengorbanan kita. Kalau perlu mati, maka berjuanglah. Tapi saya tak rasakan bahawa ada kefarduan lagi untuk itu. Cuma kefarduan jihad kita berada dalam mekanisma yang sedikit berbeza.

Kita perlu berkorban harta dan nafsu kita. Kita gunakan harta kita untuk hal-hal yang mendatangkan manfaat segera dan jangka panjang kepada kehidupan akhirat kita. Manfaat segera ialah seperti memberi orang miskin makan. Jangan kita lupa, memberi makan kepada orang miskin juga ialah salah satu perintah di dalam al-Quran.

Manfaat jangka panjang pula ialah antaranya dengan membina markas dakwah, tarbiyyah dan hafazan al-Quran.

Kita juga perlu penjarakan nafsu kita. Ketahuilah, nafsu itu sentiasa cintakan barang yang haram. Mana-mana perintah Allah yang haram, dosa, maka itulah yang disukai oleh nafsu. Nafsu sentiasa mengajak manusia kepada kesesatan.

Mengapa perlu kawal nafsu? kerana pernah sekali, Saidina Umar r.a katakan kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, sungguh aku amat mencintaimu selepas diriku dan keluargaku". Dijawab oleh Rasulullah, "Kecintaanmu belum pun sempurna".

Umar r.a berkata lagi, "Aku mencintaimu selepas diriku"

Rasulullah mengulangi, "Cintamu itu belum sempurna"

"Aku cinta kamu lebih daripada kecintaanku kepada diriku dan kaum keluargaku"

Rasulullah lalu menjawab, "Kini baru sempurna cintamu".

Cinta kepada Allah dan kepada Rasul-Nya ialah cinta yang mutlak. Lebih daripada cinta kita kepada orang lain. Bahkan kepada diri kita sendiri pun, dan itulah nafsu.

Cinta kepada Allah juga terbias dalam konteks hubungan kita sesama makhluk. Yang paling utama ialah hubungan antara anak dengan ibu serta bapa, dan antara isteri dengan suaminya. Seorang anak berkewajipan mencintai kedua ibubapanya sekalipun keduanya bukan islam. Wajib taat dan patuh kepada keduanya, melainkan untuk melakukan syirik dan bercanggah dengan syariat.

Isteri juga begitu. Kata Rasulullah, "Jikalau manusia diizinkan untuk sujud sesama manusia, maka akan aku perintahkan kaum isteri untuk sujud kepada suaminya".

Memang tak boleh kita sujud kepada orang. Sujud ialah untuk Allah s.w.t semata-mata. Cuma ini gambaran betapa seriusnya ketaatan seorang isteri untuk suaminya.

Ketaatan itulah rencah cinta. Kalau kita cinta, memang kita tak ada masalah nak patuh dan taat. Tetapi jika sudah benci, maka jangan haraplah hati kita boleh tetap tenang dan redha untuk patuh dan taat. Begitulah kita dalam beragama.

Jika kita cinta kepada Allah, benar, maka kita tak akan ada masalah untuk taat kepada perintah Allah. Kita cuma ada masalah untuk taat hanya bila cinta kita tak sempurna.

Padahal dalam al-Quran, dalam surah al-Baqarah, Allah katakan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah sempurna, kuat dan kukuh cintanya kepada Allah s.w.t.

Nak cinta kepada Allah, mudahnya bercakap daripada berbuat. Kerana kata cinta ialah kata kerja. Jangan hanya tahu bercakap saja. Burung kakak tua pun boleh diajar berkata-kata. Kita manusia. Kita perlu diajar untuk melaksanakan cinta dalam tindakan.

Bagaimana mahu mulakan?

Saya ada baca tulisan Dr. Najih Ibrahim dalam makalah beliau. Antara yang disebutkannya, ialah dengan kita meneliti siapakah sahabat kita. Peranan sahabat itu penting. Kemudian, perlu hidupkan hati dengan al-Quran. Perlu ada hubungan yang erat antara jiwa kita dengan jiwa agama, iaitu al-Quran. Kemudian, kita perlu banyak berkumpul dengan orang yang soleh. Perlu duduk di dalam majlis-majlis dan halaqah-halaqah mereka.

Dan banyak lagi.

Saya faham kesukaran itu. Tapi hidup kita cuma sekali. Kalau kita sia-siakannya untuk memuaskan hati manusia yang tak sayang Allah, berbanding 'puaskan hati' Allah (baca: to make Allah satisfied and pleased with us), maka sia-sialah hidup.

Kalau hidup tak ada cita-cita nak masuk syurga, baik mati sahaja.
  
Salam mahabbah. Mari jatuh cinta.
 
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

subhanallah,entry yang menarik ^^

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443