Mengekalkan diri dalam taat.

Melakukan perubahan, kata orang, susah. Jika pada saya, saya tak rasakan yang membuat perubahan itu sukar. Tidak pada saya. Tetapi pada saya, saya merasakan yang sukar dan susah itu ialah untuk kekal dalam perubahan.

Lebih-lebih lagi apabila kita mahu berubah kepada kebaikan dan kejayaan.

Saya kenal dengan ramai orang. Yang ada dua topeng. Wajah dahulu dan wajah sekarang. Ramai yang mempunyai sejarah yang kurang baik, menjalani kehidupan yang kurang bermakna, dan seumpama tetapi sampai masa, dia melakukan perubahan jiwa dan akhirnya memilih sebuah kehidupan yang bersuluh cahaya.

Tapi yang tak seronoknya, perubahan tu tak kekal lama.

Kita tak mampu nak menghayati nilai istiqomah. Kerana itu, kita tak mampu untuk kekal di dalam ketaatan.

Iman kita lemah. Keraguan kita memuncak. Keyakinan kita berbolak balik.

Padahal, yang lebih utama dan dituntut itu kan konsistensi. Saidatina Aisyah r.anha pernah ditanyakan tentang apakah dia amalan yang terbaik, lalu dijawab oleh beliau, yang terbaik itu ialah satu amalan yang walaupun kecil tetapi mampu dikerjakan secara istiqomah.

Seorang lelaki yang bersedekah RM 10 dengan seorang rakannya yang bersedekah RM 1, tetapi setiap hari tanpa tertinggal, manakah antara keduanya yang lebih baik?

Pandangan material kita memberitahu kita bahawa RM 10 lebih bagus. Tetapi sistem nilai akhirat menyatakan bahawa amalan yang ada nilai istiqomah itu lebih baik. Mengapa?

Kerana istiqomah ialah biasan daripada keikhlasan. Orang yang ikhlas ialah orang istiqomah dalam menuntun ketaatan. Kalau kita tak ikhlas, mana mungkin kita boleh kekal dalam ketaatan kerana jika ada perkara lain yang menggerak hati kita untuk melakukan ketaatan selain daripada kerana Allah (lillah hi ta'ala), maka perkara itu tak akan kekal kerana hanya Allah s.w.t sahaja yang kekal, bukan?

Jika kita buat kebaikan kerana sahabat karib kita, maka akan sampai satu masanya, dia tiada untuk memerhati tingkah kita.

Jika kita melakukan kebaikan kerana pandangan dan kata-kata orang, maka sampai satu saat, orang pun penat nak memandang dan bercakap tentang kita.

Maka ini menyimpulkan bahawa orang yang tak istiqomah ni sebenarnya ada masalah dengan niatnya sendiri. Kerana amalannya bukan untuk Allah s.w.t, maka Allah s.w.t pun tidak terima amal itu dan bahkan tidak memberikan kepadanya bekalan kekuatan untuknya kekal di dalam ketaatan itu.

Kita nak buat taat ni bukannya kerana kita pandai atau kita kuat. Kita hanya dapat taat bila Allah s.w.t beri kita kekuatan untuk lakukan ketaatan. Bila Allah tak berikan kita taufiq, maka jangan haraplah kita mampu gerakkan tubuh badan kita untuk melakukan ketaatan kepada-Nya.

Saya ada bersembang dengan seorang saudara daripada jemaah tabligh. Dia banyak bercakap tentang falsafah 40 hari.

Katanya, kalau kita nak melatih diri kita untuk istiqomah, maka kita kena kekal melakukan sesuatu amalan secara berterusan selama 40 hari berturut-turut. Sebab itulah di dalam hadis, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa orang yang mampu takbir ratul ula (takbir pertama betul-betul selepas imam selesai menyebut "bar" dalam lafaz 'Allahuakhbar'), maka dia akan diberikan kelepasan (1)- daripada sifat munafik, dan (2)- daripada azab api neraka.

Saya percaya dengan "there is always a first time". Lagi-lagi dalam bab melakukan kejahatan, kerana bila pertama kali kita mula berani untuk tinggalkan ketaatan... maka percayalah, ia akan membawa kepada kedua, ketiga, dan seterusnya.

Moga Allah bantu agar kita tidak memulakan langkah pertama untuk kesesatan.
 
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443