Sebagai manusia biasa, sedikit sebanyak timbul juga dalam hati ini rasa tak berkenan dengan sikap segelintir umat islam yang melayan Allah s.w.t seperti teddy bear. Dipeluk bila disayangi. Dilempar bila dibenci.
Walaupun Allah s.w.t itu maha pengampun, tapi sebagai hamba-Nya yang cinta akan Dia, saya rasa kecewa juga apabila ada yang berperangai sebegitu.
Benar. Allah memang tak hairan jika hambanya banyak berbuat dosa. Allah cuma hairan mengapa hamba itu tidak meminta ampunan atas dosa-dosanya itu. Dikisahkan juga semasa zaman Nabi Musa a.s, ada seorang lelaki yang sepanjang usianya dia hanya melakukan kezaliman dan maksiat tapi beberapa saat sebelum ajalnya, dia bertaubat dan Allah s.w.t menerima taubatnya.
Penduduk kampung yang selama ini tak sabar-sabar mahu menunggunya mati, bersorak dan gembira bila dia sudah mati. Lalu mayat lelaki itu (orang tak tahu pun yang dia sempat bertaubat sebelum mati) dicampakkan ke dalam lubang najis.
Allah s.w.t lalu mewahyukan kepada Nabi Musa a.s sendiri untuk menguruskan jenazah lelaki tersebut. Nak tunjukkan bahawa sebenarnya Allah itu memang maha pengampun. Kita belum bercakap lagi fasal lelaki yang membunuh 99 tambah 1 itu lagi. Lelaki itu dalam perjalanan mahu bertaubat dan berhijrah tetapi meninggal di dalam perjalanan.
Cukuplah kita tahu, Allah itu Maha menerima taubat. Allah ialah Tuhan yang Maha Mencintai. Dia memberi rahmat yang cukup luas. Allah tidak zalim. Allah mahu semua manusia untuk masuk ke dalam syurga. Kerana itu Dia berikan setiap manusia peluang dan ruang yang sama untuk manusia itu memilih jalan hidupnya. Jika manusia memilih jalan fujur, itu pilihan manusia itu. Jika manusia itu memilih jalan taqwa, itu juga kerana pilihannya sendiri.
Cuma, seboleh-bolehnya saya tak mahulah kita jadi manusia yang cepat lupa diri. Bila di dalam kesulitan, kita merayu dan meminta-minta kepada Allah. Kita menangis. Tak cukup dengan air mata yang mengalir, air hidung pun sama merembes keluar. Kita teresak-esak. Tetapi bila Allah hilangkan kesulitan itu, di manakah kita?
Kita cari Allah bila kita susah. Bila kita sakit. Tapi bila kita senang, bila kita sihat, bila kita lapang daripada musibah, kita terus lupa kepada Allah. Seakan-akan Tuhan kita semasa kita senang ialah Tuhan yang berbeza dengan Tuhan kita semasa kita susah. Seperti Tuhan semasa kita sihat lain dengan Tuhan semasa kita susah.
Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada Ibnu Abbas, "Ingatlah Allah semasa kamu senang, nescaya Allah akan ingat kepadamu ketika kamu susah".
Sepatutnya kita begitu. Moga apa yang telah berlaku menjadi pengajaran kepada kita di masa hadapan. Kita masih ada masa untuk berubah. Ubahlah sikap sekarang. Mulakannya hari ini.
3 Komentar
jazzakallah. i cried reading this post..
BalasAllahuakbar :'(
BalasAllah ya Rahman...
BalasAllah ya Rahim...
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443