Pemuda-pemuda tarbiyyah.
Pemuda-pemuda dakwah.
Pemuda-pemuda yang menjadi agen perubahan masyarakat dan negara.
Pemuda yang gharib. Yang sedikit. Yang terpinggir oleh dunia.
Hari ini dan semalam, berderet masuk di news feed Facebook saya perihal kematian seorang aktivis dakwah IKRAM. Akhi Iman. Sebelum ini saya langsung tak mengenalinya, tetapi oleh kerana berduyun-duyun kiriman doa yang dipanjatkan oleh rakan-rakan Facebook saya, maka dengan sendirinya Allah izinkan saya untuk mengenali seorang lelaki yang sayangnya, saya kenal hanya selepas dia meninggal dunia... dalam jalan dakwah inilah.
Jauh di sudut hati, saya kagum dan sedikit cemburu (ghibtah) kerana walaupun saya tak mengenalinya dan dia juga tak mengenali saya, saya tahu dia seorang muslim yang baik. Yang pemergiannya dari alam fana ini meninggalkan bekas yang mendalam di dalam hati para pemuda dakwah yang lainnya.
Hari ini dunia menyaksikan betapa umat islam ketandusan nilai yang baik-baik. Agama yang suci ini sendiri telah dipotretkan dengan gambaran yang salah.
Gambaran yang jelek itu muncul daripada hasil tangan musuh-musuh islam.
Dan gambaran yang salah itu juga hasil daripada kegagalan kita untuk memahami islam dengan sebenarnya. Umat islam sendiri bersalah dalam hal ini. Umat islam sendiri gagal memahami apa tujuaannya dia hidup atas dunia ini. Umat islam sendiri gagal untuk menjadi qudwah dan teladan kepada masyarakat.
Jadi tugas siapakah untuk memberi gambaran yang benar tentang islam? Tugas siapakah untuk merubah segala kekusutan ini?
Itu tugas kita. Setiap umat islam, daripada segenap lapisan jiwa. Cuma, para pemuda adalah tunjangnya.
Baik pemudanya, maka akan baiklah masyarakatnya.
Buruk pemudanya, maka akan buruk jugalah komunitinya.
Sebab itulah kita mahu membina pemuda-pemuda yang soleh, dan kesolehannya itu lengkap. Sempurna.
Kita tak mahu pemuda yang hanya soleh dalam ibadah. Solatnya, puasanya, sedekahnya, tetapi apabila berdepan dengan maksiat di depan mata, dia tidak berasa mahu mencegahnya.
Kita juga tak mahu pemuda yang hanya ada semangat untuk mengubah, tetapi jiwanya dan akalnya kosong dengan ilmu lalu tindak-tanduknya akan menyebabkan timbul salah faham yang baharu.
Kita juga tak mahu pemuda yang ibadahnya bagus, ilmunya bagus, tetapi kehidupan dunianya tidak terurus hingga menimbulkan persepsi yang buruk tentang dakwah yang dia bawa.
Kita mahu pemuda yang mendekati sempurna.
Ibadahnya kelas pertama. Akhlaknya kelas pertama. Urusannya dengan Allah sentiasa dijaga. Urusannya dengan manusia sentiasa sempurna.
Nah. Inilah peribadi yang mahu dilahirkan dalam tarbiyyah.
Bukannya tin-tin kosong yang melaungkan tentang perubahan, tetapi dalamannya kosong daripada taqarrub dengan Yang Maha Esa.
Bukan juga generasi yang merdu melantunkan qasidah, syair, nasyid, dan selawat tetapi tidak ada usaha untuk mengubah fasad-fasad yang ada atas dunia sekarang ini.
Sungguh,
Kerja agama ini sentiasa memanggil-manggil kita, para pemuda.
Allah menyeru kita ke darul salam,
Maka pelawaan apakah lagi yang lebih menggiurkan melebihi syurga yang kekal itu?
Ayuh berpenat-penat seketika, sebelum berehat selamanya.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443