"Macam mana kita nak masuk syurga kalau kita tak ikhlas?"
Soalan daripada murabbi yang membuatkan kami semua terdiam berfikir.
Satu saat nanti, kita akan berasa diri kita seperti sudah banyak buat amal. Kita dah banyak solat berjemaah (atau mungkin tak pernah tinggal solat berjemaah), kita banyak bertilawah, banyak bersedekah, banyak melakukan dakwah (ifradi dan ijtima'i), kita dah banyak membantu orang, bahkan kita sudah banyak melakukan kebaikan.
Kita tersenyum-senyum memikirkan syurga.
Dan kita menggeleng-geleng sedih memikirkan ramainya manusia yang tidak macam kita. Manusia yang mati hatinya daripada meninggalkan yang haram dan melazimi amal soleh.
Tapi di akhirat nanti,
Di depan Allah,
Habaa'an mansuro.
Abu-abu yang bertebangan ditiup angin.
Amal soleh kita rosak, binasa, hilang nilai, dan tidak dikira, kerana satu perkara kecil sahaja- NIAT.
Ikhlaskanlah hati, kerana Allah bukan hanya memerintahkan kita untuk menyembah-Nya, tetapi Dia juga menyuruh kita untuk ikhlas dalam menyembahnya.
Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya (Surah Az Zumar, ayat 2)
Kadang-kadang kita rasa soal niat ini sebagai benda yang remeh-temeh, hinggakan ustaz-ustaz pun tak cerita dah fasal ni. Ustaz-ustaz sekarang nak cerita benda-benda yang besar-besar. Nak cerita fasal hudud, fasal siasah. Ini zaman kita bercakap tentang perkara besar. Ya betul. Tetapi jangan lupakan benda yang kecil, kerana sekecil-kecil niat... itulah yang membuatkan amal kita diterima atau tidak.
Betul kata murabbi, "Rugilah kita kalau kita beribadah dengan maksud dan tujuan selain daripada hanya semata-mata kerana Allah".
Tak dinafikan, nak ikhlas itu susah dan sukar. Tiap kali, akan timbul rasa seronok, suka, dan bangga dalam hati. Maka bila timbul perasaan begitu, maka cepat-cepat kita tolak dan lawan perasaan itu dengan mengingatkan dan memberitahu diri kita,
"Kalau bukan kerana Allah sayangkan aku, maka aku mesti tak mampu untuk buat amal kebaikan ini".
Kita terjebak dengan amal soleh, bukan kerana kita sihat. Bukan kerana kita ada masa lapang. Bukan kerana kita alim. Bukan kerana kita kaya.
Kita terjebak dan mampu untuk melakukan amal soleh pun, hanyalah kerana Allah yang izinkan. Allah yang pilih kita. Kalau Allah tak pilih dan tak izin, maka kita pun akan lalai sebagaimana orang lain lalai.
Kita mampu mendirikan solat, bukan kerana kekuatan kita. Sebaliknya jika bukan Allah yang menjentik kekuatan dalam diri kita, maka kita pun tinggalkan seketika urusan dunia... mengadap si pemilik dunia ini.
Kalau Allah tak pilih kita untuk diberikan sinar hidayah dan embun taufik-Nya, maka siapalah kita.
Pencuri? Pelacur? Perogol? Perasuah? Pemabuk?
Ya Allah, Jika bukan kerana belas kasihan-Mu, maka aku tentu akan lalai, sesat, dan binasa. Maka, janganlah kau biarkan aku terlepas daripada lingkaran kasih sayang-Mu, walaupun hanya untuk sekelip mata.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443