Pesan murabbi


Kata murabbi kami, setiap manusia yang mahukan syurga, perlu terlebih dahulu menjadi manusia yang bertaqwa (muttaqin), dan setiap manusia takkan mampu untuk menjadi golongan muttaqin kecuali selepas dia beriman terlebih dahulu kepada Allah dengan iman yang sebenar.

Maknanya ada dua usaha yang perlu kita jalankan serentak, iaitu usaha atas iman dan usaha atas taqwa.

Usaha atas nilai kepercayaan, dan usaha atas nilai tindakan.

Percaya bahawa bukan makanan yang beri kita kenyang, tapi Allah yang beri kita kenyang. Bukan majikan kita yang beri kita rezeki tetapi Allah. Bukan tidur yang menjadikan kita segar tetapi Allah. Bukan hujan yang menjadikan kita selsema tetapi Allah. Bukan makanan yang basi membuatkan perut kita sakit, tetapi Allah.

Kerana tiada manfaat akan sampai kepada kita melainkan semuanya atas izin dan kehendak daripada Allah.

Dan tiada mudharat juga akan menimpa kita melainkan semuanya dengan izin dan kehendak daripada Allah.

Kita cuma beriman dengan firman Tuhan dan kalam Nabi.

Kata Allah dalam surah Ar-Ra'du, "Allah tak akan ubah nasib sesuatu kaum (nasib kita) melainkan kita yang mengubahnya"

Dalam surah Asy-Syams pula, Allah katakan bahawa, "Dan kami jadikan kepada manusia dua jalan iaitu jalan fujur (kearah keburukan) dan jalan taqwa"

Untuk kita memilih, sesuai dengan usaha kita.

Rasulullah S.A.W pun pernah memarahi seorang sahabat yang 'salah' bertawakkal. Kata Baginda, "Ikatlah tali untamu dahulu, kemudian barulah bertawakkal" (hadis riwayat Imam Ahmad).

Dalam sabdaan yang lain pula, Baginda menyatakan "Sesiapa yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal, maka Allah akan memberinya rezeki umpama burung-burung yang keluar di pagi hari dari sarangnya dengan perut yang kosong"

Antara manusia dengan burung, Allah memuliakan dan mengiktiraf manusia sebagai kejadian (ciptaan) yang lebih baik. Sedangkan burung pun mendapat rezeki kerana usahanya untuk keluar mencari rezeki, maka kita sebagai manusia juga wajib untuk 'keluar dari sarang kita', iaitu simbolik kepada usaha.

Kerana jika burung hanya menunggu rezki, adakah perutnya akan terisi?

Kita imani bahwa bukan usaha kita yang membuatkan kita berjaya atau senang, tetapi Allah lah yang membuatkan kita senang dan berjaya.

Semuanya Allah. Susah, senang, sedih, gembira, semuanya datang dari sisi-Nya. Tuhan semesta alam. Tuhan langit serta apa-apa yang ada padanya sampai ke galaksi yang paling hujung dan Tuhan bumi serta segala-gala yang diatas dan didalamnya.

Kita juga perlu usahakan atas taqwa. Hanya yakin sahaja tak cukup. Kita perlu membuahkan kepercayaan kita.

Bila kita percaya setiap dosa akan dihukum, maka kita akan berhati-hati daripada terjebak dengan dosa.

Bila kita percaya setiap amal baik akan diganjari, maka kita akan berlumba-lumba untuk melaksanakan amal soleh nan terpuji itu tadi.

Taqwa, bak kata golongan salaf ialah takut. Takut daripada terjebak ke dalam lembah dosa dan binasa, lalu mendorongnya untuk berhati-hati di dalam setiap urusannya.

Setiap perbuatannya yang berdosa akan diazab, dan setiap perbuatannya yang tidak berdosa (harus), akan dihisab.

Moga Allah ubah jadikan saya orang yang bertaqwa.
 
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Assalamualaikum En.Iqbal.Lama dh tak bersuara kat sini.Tq atas peringtn.Kkdg percaya tp x yakin sbb x cukup ilmu.Usaha tp x maksima sbb rasa cukup ala kadar.So lemau.Semoga jadi muslim y bettr thn this.Biiznillah.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443