Perpaduan pasca PRU 13. Di mana titik mulanya?


Artikel ini sepatutnya hadir selepas PRU. Tetapi kerana saya diajukan soalan secara khusus oleh ramai orang terutamanya mengenai pilihanraya yang bakal terlaksana tak lama lagi, maka saya cuba untuk menjawabnya atas kapasiti saya sebagai seorang orang awam yang cetek pengetahuannya dan sedang belajar tanpa henti insya-Allah.

"Kawan saya kata haram mengundi kerana kita menyokong perpecahan sesama umat islam"

Itu antara keratan mesej-mesej yang disampaikan ke dalam peti masuk akaun Facebook saya.

Masya-Allah,

Perpecahan memang sentiasa berlaku kerana perbezaan antara kita memang sentiasa wujud. Kita berbeza dalam hampir semua perkara, daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Daripada berbeza pandangan untuk memilih menu sarapan pagi hinggalah kepada berbeza pandangan bagi menentukan siapa pemimpin pilihan hati.

Tetapi semasa kita berbeza pendapat tentang menu sarapan pagi, adakah kita bergaduh? Ada tak kita bertelagah?

Masa kita berbeza citarasa tentang warna pakaian kegemaran kita, ada tak kita bergaduh?

Semasa kita berbeza pilihan tentang siapa yang sepatutnya tersingkir daripada dapur master chef (saya tak menontonnya cuma pernah menontonnya kerana kakak-kakak saya pun menonton rancangan ini), ada tak kita berkelahi?

Tidak.

Tapi mengapa dalam urusan memilih ketua atau wakil kepada 'suara' kita, kita sampai bergaduh?

Jawabnya kerana akhlak buruk kita.

Apabila kita mula membuka mulut untuk mencerca orang, mencaci maki orang, mengambil hak milik orang, menahan hak orang daripada diberi, menyakiti hatinya, melakukan provokasi-provokasi liar, memfitnah, dan menyumpah seranah orang lain... maka bertepuk tanganlah para syaitan kerana dia sudah berjaya untuk membuatkan dua orang anak adam saling berkelahi.

Cuba kalau kita tahan diri kita daripada mengeluarkan kata-kata bernada sinis dan sarkastik, dan menjaga lisan kita daripada memaki hamun dan menabur fitnah, maka sudah tentu kita mampu untuk berpolitik secara sihat.

Tiada yang akan berkelahi dan tiada yang akan terluka jiwanya.
Itu yang perlu kita sama-sama faham. Sikap kita sendiri yang menyebabkan kita berpecah. Lalu bagaimana mahu merapatkan yang jauh, mencantumkan yang retak, menampalkan yang terkoyak?

Demi Allah, sekalipun kita ada sejuta perbezaan, kita juga memiliki sejuta persamaan. Pasti ada. Maka disanalah punca untuk kita berdamai.

Antara banyak-banyak persamaan kita, kita ada satu persamaan yang dikongsikan bersama seluruh umat islam di seluruh pelusuk dunia. Dari Bangalore ke New York, dari Mumbai ke Aberdeen, dari timur sampailah ke barat... kita berkongsi satu persamaan, iaitu kita menyembah Tuhan yang sama dan memandang kepada kiblat yang serupa.

Kita kalau nak satukan manusia, kita cuma dapat satukannya dengan satu perkara sahaja iaitu dengan agama. Kita takkan boleh nak satukan manusia dengan minatnya, dengan hobinya, dengan pekerjaannya, bahkan dengan wang ringgit kita sendiri pun. Benar. Jasad manusia mungkin boleh dibeli dengan wang, tapi jiwanya tidak mungkin mampu dibeli dengan wang ringgit.

Itulah kata Allah di dalam surah al-Anfal, ayat 63.

Dalam surah Ali-Imran pula, datang peritah "wa la tafarraqu", hanya selepas perintah "berpegang teguhlah kamu semua pada tali agama Allah". Kita boleh jumpanya dalam ayat ke 103.

Makanya, nak bersatu atau nak berpecah, semuanya atas dasar agama sebagaimana datangnya firman Tuhan supaya kita tidak menjadikan orang kafir sebagai kawan karib yang kita kongsikan wala' (ketaatan dan kesetiaan) kita kepada mereka.

Jika kalian tanyakan kepada saya apakah rencah kepada perpaduan, maka inilah jawapan saya.

 (1)- Peranan masjid.

Rasulullah S.A.W semasa di awal hijrah Baginda ke kota Madinah, antara 3 perkara pertama yang baginda wujudkan adalah dengan Baginda membina masjid. Masjid di zaman itu peranannya jauh melangkaui masjid-masjid kita.

Antara peranan masjid di zaman Rasulullah S.A.W dan generasi emas, salafussoleh adalah tempat ibadat, tempat mesyuarat urusan pentadbiran, tempat menyambut tetamu, tempat menuntut ilmu, tempat menahan tawanan, dan tempat konsultansi bagi masalah agama, sosial dan ekonomi.

Hari ini, kita hilang semua perananya sampaikan peranan masjid sebagai tempat solat pun sudah jarang-jarang wujud. Masjid kita pada hari ini hanya menjadi tempat pelancongan, tempat persinggahan untuk tumpang tandas, tempat pasangan mempelai diijab kabul, dan tempat menguruskan jenazah.

Di mana para kaum muslimin semasa muazzin melaungkan azan?

Jika kita berasa malas untuk datang ke masjid kerana perintah Allah, maka bagaimana kita nak bersatu hati?

Sebab itulah antara kunci perpaduan ialah dengan solat berjemaah. Hari ini, ramai ahli politik yang menyeru kepada kesatuan ummah. Tetapi dalam masa yang sama, bayang-bayangnya pun tak kelihatan untuk solat berjemaah.

Di dalam sebuah banyak hadis, ditunjukkan bahawa Rasulullah seringkali berpesan kepada para sahabat untuk meluruskan saf-saf solat mereka kerana dengan melatih disiplin itu, Allah S.W.T akan meluruskan hati-hati mereka.

Masalah perpecahan dalam islam ini sebenarnya bukan hanya dalam kalangan orang awam sahaja. Dalam kalangan penuntut-penuntut ilmu dan para aktivis islam pun, ia berlaku. Kalau ikutkan sejarah, di zaman awal-awal kemunculan mazhab syafie pun ada pengikut mazhab maliki yang taksub, sampai mereka-reka hadis menyatakan Imam Syafie sebagai dajjal. Pengikut mazhab syafie yang taksub dengan mazhab ini pun tak kurang jahatnya kerana mereka juga mencipta hadis mereka bagi menyerang golongan yang tak sealiran dengan mereka.

Di zaman kita, para aktivis islam pula yang buat hal. Mereka 'pom-pam' bercakap tentang perpaduan ummah tetapi mereka solat berjemaah dengan isteri di rumah. Aneh. Adakah itu sunnah Rasulullah mahupun para sahabat untuk solat dirumah dengan meninggalkan masyarakat?

Dalam ibadah kita seharian, ada amal ifradi dan ada amal jamaa'i. Ada perkara yang boleh dibuat sendirian tapi ada perkara yang Nabi tak ajar kita untuk buat secara sendirian.

Jika bukan kerana solat itu boleh mencegah kita daripada mengutuk orang, mencaci-maki orang, memfitnah, dan membuat aniaya kepada jiran tentangga dan masyarakat sekeliling, mengapa sampai Allah firmankan di dalam surah al-Ankabut bahawa solat itu pencegah daripada fahsya' dan mungkar?

Yang boleh menyatukan manusia ialah agama. Di dalam agama, ada ibadah. Maka jelas bahawa cara agar kita bersatu ialah dengan kita beribadah dengan cara yang soheh dan soreh.

(2)- Peranan Anggota Masyarakat.
Kita baca hadis. Hadis yang cukup popular, iaitu tentang kewajipan seorang muslim kepada muslim yang lain. Iaitu; memberikan salam bila bertemu, memenuhi jemputan apabila dijemput, mengucapkan ucapan 'yarhamkallah' jika dia bersin dan mengucap tahmid, menziarahinya ketika dia sakit, memberinya nasihat ketika dia perlukannya dan mengiringi jenazahnya ke kuburan apabila dia sudah dipanggil Ilahi.

Soalannya, satu sampai enam... kita sudah selesaikan berapa?

Bagaimana mungkin kita boleh bersatu jika apabila bertemu saudara seagama, kita bermasam muka. Usahkan untuk memberi ucapan salam (jauh sekali nak berjabat tangan), nak senyum pun sampai kejang otot muka kita.

Beginikah mahu bersatu?

Jangan remehkan satupun kebaikan sekalipun dengan menyambut tetamu dengan wajah yang manis. Kita tak tahu amal soleh manakah yang Allah terima. Takut-takut, segala solat sunat kita yang banyak itu satu pun Allah tak terima tetapi perbuatan 'tersenyum' kita itu Allah terima. Maka jangan sesekali memandang remeh kepada amal perbuatan yang soleh.

(3)- Mulakan dengan diri sendiri.

Masyarakat pada hari ini telah berpecah kepada banyak kelompok. Bukan hanya kepada PAS dan UMNO tetapi kepada macam-macam corak pemikiran. Ada yang menyembah kuasa, menyembah harta, menyembah pangkat, menyembah populariti, dan berbagai-bagai lagi sembahan-sembahan mereka.

Inilah yang disebut oleh ketua ulama dunia (sekarang), Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi berkenaan dengan berhala-berhala moden.

Adalah tugas kita, para aktivis islam untuk membawa manusia daripada jauh dengan Tuhan kepada dekat dengan Dia.

Dan caranya ialah dengan kita dakwahkan mereka untuk dekat dengan rumah Allah dan dekat dengan solat berjemaah. Dalam masa yang sama, kita perlu fokus kepada keenam-enam hak-hak kita itu kerana itulah lorong-lorong dakwah bagi kita.

Moga Allah sentiasa bersama kalian,
Para aktivis islami.
  
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443