Semenjak saya mendaftar sebagai pengundi pada usia saya 21 tahun, awal-awal lagi saya berkata pada diri, saya akan menjadi 'lalang' dalam kancah politik demokrasi di Malaysia. Lalang yang hanya akan melatakkan islam sebagai matlamat.
Hari ini, kita telahpun melihat rakyat memberi mandat baharu kepada BN untuk menjadi ketua. Seperti orang lain, saya ucapkan tahniah dan takziah dalam masa yang sama. Tahniah atas kejayaan dan takziah atas tanggungjawab yang besar; yang akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T ini nanti.
Sebagai rakyat, saya juga mempunyai beberapa harapan:
1- Saya mahu melihat gerak kerja dan usaha yang jitu daripada kerajaan yang memerintah untuk menghapuskan RASUAH dan PENYELEWENGAN. Ini tidak hanya bagi orang bawahan sahaja tetapi lebih-lebih lagi ialah golongan 'bangsawan' dan golongan yang berada di atas.
2- Saya mahu melihat usaha yang tulen di dalam memperbaiki masyarakat. Saya mahu supaya anak muda tidak lagi disumbat akal dan jiwa mereka dengan hiburan tetapi dengan agama, terutamanya agama islam.
3- Saya mahu melihat usaha untuk meletakkan islam sebagai agama rasmi iaitu dengan mendaulatkan hukum-hukum syariat. Ya, saya tahu hudud takkan mampu dilakukan dalam sehari tetapi saya mahu melihat rangka kerja yang sistematik untuk mencapainya. Setiap muslim wajib ada keinginan dan usaha untuk menegakkan hukum Allah. Siapa dalam hatinya benci dan tak suka dengan hukum dan ketetapan Allah, kafirlah dia.
4- Saya mahu melihat usaha bagi mengurangkan dan menghapuskan gejala sosial seperti pembuangan bayi. Sudah tentulah ini bukan dengan kita memberi mereka kondom percuma. Pemberian kondom hanya akan menggalakkan penzinaan. Ini mungkin boleh dilakukan dengan membangunkan spiritual golongan pemuda.
5- Saya mahu melihat bantuan-bantuan yang diberikan kepada rakyat tidak bersifat 'once-off' sahaja. Bukan memberinya sekali, kemudian tunggu bertahun-tahun baru beri lagi. Sebaliknya, kerajaan lebih membantu meringankan beban hidup rakyat sekiranya kerajaan sudi menurunkan harga petrol, menghapuskan tol, dan menurunkan cukai, berbanding memberikan rakyat BR1M yang bersifat berkala.
6- Saya mahu agar usaha yang giat dilakukan bagi mengelakkan pencerobohan. Pencerobohan ini tidak hanya pencerobohan pengganas seperti di Lahat Datu, tetapi juga 'pencerobohan' warga asing seperti dari Bangladesh, Myanmmar dan Indonesia yang mereka tak semena-mena boleh menjadi rakyat Malaysia yang sah.
7- Saya juga mahu agar polisi pendidikan Malaysia, bukan hanya untuk melahirkan generasi bijak-pandai, tetapi juga generasi yang kuat beragama. Ini dapat dilakukan dengan memberi perhatian yang serius tentang subjek al-Quran (bukan hanya pendidikan islam). Pelajar-pelajar yang mahu melanjutkan pengajian mereka di universiti hendaklah orang yang mampu membaca al-Quran dan mempunyai pemahaman yang kukuh tentang isi kandungan al-Quran.
8- Saya mahu melihat sebuah kerajaan yang adil, yang tidak menindas, yang memberikan hak kepada yang berhak, dan yang komited untuk menegakkan keadilan di dalam kalangan rakyat marhaen. Prisip keadilan itu mestilah keadilan yang tidak boleh dibeli oleh wang ringgit dan pengaruh seseorang.
9- Saya mahu melihat pelan tindakan daripada pihak kerajaan untuk membuka ruang pekerjaan yang lebih besar kepada para graduan dengan meletakkan sikap anti-kronisma dalam mendapatkan jawatan, tender projek, dan apa-apa yang berkaitan.
10- Saya juga mahu melihat pelan tindakan yang lebih cekap dalam menghapuskan jenayah, terutama gejala gangsterisma yang wujud sejak di bangku sekolah lagi. Indeks jenayah hendaklah semakin menurun hari ke hari.
Berikut adalah 10 perkara yang akan saya perhatikan dan nilaikan, lima tahun yang akan datang ini. Sejujurnya, saya lebih suka 'membaiki' yang 'rosak' berbanding dengan membeli yang baharu. Saya lebih senang untuk menjadi egen penyatu antara 'hijau' dan 'biru' sahaja.
Apapun, saya doakan kebaikan kepada seluruh penduduk bumi Malaysia ini.
3 Komentar
kita smua mengharapkan yg terbaik atas pimpinan siapa pn. moga Allah berikan kekuatan pda pemimpin2 yg dipilih rakyat. moga Allah rahmati bumi Malaysia.ayuh kte bersatu rakyat dan pemimpin~
BalasSemoga Allah memberi taufik dan hidayah nya kepada barisan pemimpin baru untuk terus memacu Malaysia kearah kejayaan dunia wal akhirah. Kejayaan dunia penting agar kita tidak diperkotak katik kan, sebab itu ilmu dunia penting. Kejayaan akhirah, agar Allah sentiasa memberkati dan mengaman damai kan di antara semua penduduk di Malaysia. Sebab itu ilmu akhirah juga penting. Wallahu a'lam bissawab...
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443