Escapism, penyakit orang jahil.


Escapism ialah salah satu penyakit hati yang paling banyak melanda para pemuda islam kita hari ini. Apabila mereka melakukan suatu kesalahan, mereka lebih suka untuk menyalahkan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Bahkan kalau tak ada orang lain pun, mereka akan salahkan apa-apa sahaja. Binatang, barangan, kenderaan, masa, bahkan ada yang lebih teruk, menyalahkan Tuhan!

Setiap kita ini wajib beriman dengan takdir. Dengan qada' dan qadar Allah Taala. Itu rukun iman keenam kita. Tetapi kita perlu faham bahawa takdir itu ialah ketetapan yang datang selepas datangnya usaha kita di peringkat manusiawi atau kemanusiaan.

Zaman Saidina Umar r.a dahulu, pernah seorang lelaki ditangkap kerana minum arak. Apabila ditanya kepadanya, "Mengapa kamu minum arak sedangkan kamu tahu ianya perbuatan dosa dan cela?"

Lelaki tadi menjawab, "Kerana Allah telah menakdirkan aku begitu"

Semudah itu jawapannya!

Lalu Saidina Umar memerintahkan hukuman hudud berupa sebatan dijalankan dan ditambah pula dengan 20 sebatan lagi, sebagai hukuman takzir atas kesalahan 'menipu dengan nama Allah'.

Begitulah orang-orang yang menderita penyakit escapism. Mereka sanggup dan rela untuk 'berbohong' dengan nama Allah.

Bagaimana itu?

Mereka katakan, "Aku terjebak dalam dosa ini kerana tak ada pilihan lain lagi dah".

Sedangkan terang-terang Allah kata dalam surah As-Syams, Allah jadikan pada setiap manusia dua buah jalan iaitu jalan fujur (kejahatan) dan jalan taqwa. Manusia cuma perlu memilih antara dua.

Adapun segelintir manusia terus-terusan larut di dalam maksiat mereka kerana terpedaya dengan bisikan syaitan, "Tak mengapa. Allah kan Maha Pengampun. Lepas kau buat, kau taubatlah. Apa nak risau".

Apa nak risau?

Memang benar Allah boleh ampunkan semua bentuk dosa kecuali dosa syirik. Tetapi Allah akan ampunkan orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Bagaimana kalau kita buat dosa, dan kita mati dalam keadaan baru sahaja selesai buat dosa tanpa sempat untuk kita meminta ampun?

Lalu kita mati di dalam keadaan belum bertaubat. Adakah itu benda kecil hingga kita tak perlu untuk risau?

Ada satu kekeliruan iaitu bagaimana seseorang mentafsirkan kisah Nabi Yusuf (di dalam surah Yusuf), iaitu bilamana abang-abang tiri Nabi Yusuf berbincang mahu membunuh Nabi Yusuf, ada seorang yang paling tua dalam kalangan mereka membantah.

"Jangan. Jangan bunuh dia sebaliknya kita campakkan sahaja dia ke dalam perigi buta supaya nanti dia dipungut oleh musafir"

Tafsiran yang senget itu membawa kepada konklusi, "Inilah bezanya orang islam dengan orang kafir bila buat dosa. Orang islam, kalau nak buat dosa, dia akan cuba untuk mengurangkan kesan daripada dosanya. Berbeza dengan orang kafir yang tak peduli tentang kerosakan dan akibat perbuatan dosanya".

Benar, kita manusia bukan malaikat. Tetapi itu bukannya dalil untuk menghalalkan kita melakukan dosa sekalipun ia dosa kecil. Jauh sekali ia dalil bagi menggalakkan kita melakukan dosa kecil.

Dosa; kecil atau besar, tetap kita perlu takut.

Inilah yang dipesankan oleh Imam Jaafar As-Saddiq,

"Allah menyembunyikan tiga perkara di dalam tiga perkara. Allah sembunyikan keredhaanNya di dalam ketaatan hambanya. Allah sembunyikan kemurkaanNya di dalam kemaksiatan hambanya dan Allah sembunyikan waliNya dari dalam kalangan hamba-hambaNya".

Kita tak tahu mana satu dosa kita yang mengundang kemurkaan Allah. Manalah tahu, yang kita tengok aurat orang, itulah yang membuatkan Allah marah! Siapa tahu?

Ada lagi teruk, ada manusia yang meninggalkan amal soleh kerana orang lain.

"Sebab dia lah aku tak pergi solat jemaah. Sebab nanti dia akan sindir-sindir aku".

Inilah riak yang paling dahsyat menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumiddin.

Riak ialah syirik dalaman (dosa kecil sahaja). Selalunya riak ini mendorong kita untuk makin kuat beramal, tetapi niatnya sahaja yang tidak betul. Tetapi 'riak terbesar' ini, sebaliknya menyebabkan orang menjauhi amal.

Ketahuilah apabila kita telah istiqomah dengan satu-satu amal soleh, secara automatik riak, ujub, takabbur, dan semua penyakit hati itu akan hilang dengan sendirinya. Setiap ubudiyah kita ada nur. Nur atau cahaya inilah yang akan sedikit demi sedikit menyuburkan hati kita.

Sebaliknya orang yang meninggalkan amalan soleh kerana manusia lain, jelas dia telah tertipu dengan dirinya sendiri.

Moga Allah lindungi kita daripada penyakit escapism ini.

    
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

3081

done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443