"Doakan ana dapat iman yang qowiy"


Saya risau dengan kondisi iman saya. Turun, dan menurun. Lemah, dan rasanya makin lemah. Iman umat akhir zaman kata Nabi, pagi-pagi ada petang-petang menghilang. Dalam kalimah yang lain pula, Baginda menyatakan bahawa iman umat ini nipis, senipis kulit bawang.

Saya risau, kerana saya tahu saya juga sedang dikupas-kupas oleh ujian demi ujian, per hari. Susah betul nak lari daripada dihantui dosa.

Maka benarlah kata orang, nak berubah itu tak susah. Tapi nak kekal dalam perubahan itu susah.

Kerana agama menawarkan harapan. Bila kita dalam masalah, memang fitrah kita akan mencari Tuhan. Bila kita sakit, bibir kita akan mekar menyebut asma’ Allah. Bila kita sedih, jiwa kita dengan sendirinya terpujuk dengan sifat rahman dan rahim Allah. Bila kita dalam kekangan, dalam tekanan, dalam dilema, dan apa-apa juga kesusahan, memang jiwa kita menjerit-jerit meminta;

“Ya Allah, bantulah aku”

“Ya Allah, tolong aku”

“Kalau bukan kepada-Mu, maka siapa lagi yang boleh membantu aku?”

Tapi hakikat perjalanan mahu menjadi baik, kita bukan hanya perlu berubah tapi kita juga perlu berhijrah. Inilah yang dimaksudkan dalam hadis baginda, bahawa delegasi hijrah dari Mekah ke Madinah sudah berlaku dan takkan berlaku lagi, tapi delegasi hijrah jiwa, ia akan berterusan sampailah ke hari kiamat.

Hijrah yang dituntut kepada kita ialah penghijrahan jiwa. Daripada yang buruk kepada yang baik. Yang ragu-ragu kepada yang yakin. Yang main-main kepada yang serius. Tapi semua ini easier said than done.

Kita ini banyak sekali dipengaruhi oleh persekitaran. Ulama buat tamsilan (perbandingan), hati kita ini macam buah mangga. Walaupun rasanya masam, tapi jika lama direndam dalam air garam, rasanya akan bertukar masin macam jeruk mangga.

Itulah kita. Jika suasana keliling kita suasana yang sihat, yang membantu iman kita untuk kukuh, maka memang iman kita akan sentiasa terjaga. Tapi jika sebaliknya, maka iman kita akan lemah dan akhirnya mungkin tertanggal.

Suasana yang dimaksudkan pula bersifat reletif. Kita perlu menilai banyak perkara. Antaranya bila kita di rumah, kita di tempat kerja, kita di dalam perjalanan ke tempat kerja, dan seumpamanya.

Juga kita perlu nilai muamalat harian kita. Bagaimana interaksi kita sesama manusia. Bagaimana corak pergaulan kita dengan opposite gender kita. Bagaimana pula dengan ikhtilat kita. Ada tak kita ikut disiplin-disiplin yang Islam telah tetapkan?

Sebab itulah antara benda yang pertama Rasulullah buat selepas Baginda diangkat menjadi ketua Madinah, Baginda memperkasakan sistem masjid. Baginda ajak bahkan memerintahkan para sahabat untuk memahat hati mereka kepada masjid.

Bahkan dalam hadis, Baginda menyatakan bahawa tempat yang paling disukai oleh Allah ialah masjid dan tempat yang paling dibenci pula ialah pasar. Mengapa pasar? Adakah kalimah ‘pasar’ itu hanya kerana aktiviti beli-belah? Atau adakah ‘pasar’ kerana sifatnya?

Maka ulama bahas dan mereka menyimpulkan, bahawa pasar ini menjadi tempat yang dibenci ialah bukan kerana urusan jual-beli. Tidak. Jual beli hukumnya tetap harus. Cuma yang dibenci ialah cara para kapitalis itu membuat urusan jual beli. Mereka menipu, tidak jujur, dan paling utama, pasar-pasar ialah tempat manusia sibuk mencari habuan dunia hinggakan ramai yang lupakan akhirat.

Hari ini, kita telah membawa suasana pasar ke dalam kehidupan kita. Kita tak jujur dalam tindakan. Kita menipu. Kita buang rasa malu dan kehormatan serta kemuliaan kita sebagai muslim, dan muslimah. Dan paling teruk, kita lupa kepada Allah. Ingat Allah cuma bila solat. Itupun masa solat tu pun kita masih berfikir yang bukan-bukan!

Sejujurnya, saya sendiri risau dengan keadaan diri saya. Kita sebenarnya boleh nak menilai kondisi iman kita. Iman ialah tunjang kepada amal. Jika iman kita kuat maka kita mesti akan gigih beramal. Jika iman kita menurun, maka itulah yang terjadi kepada saya... sehinggakan amalan yang kita pernah istiqomah selama ini, entah mengapa, tidak lagi mampu istiqomah.

Sumpah saya malu, bila seorang ikhwah yang dihormati, yang soleh, yang alim, menghantar satu mesej di Facebook, “Akhi karim, tolong doakan ana supaya diberikan iman yang qowiy macam antum”

Yes. I wish I have one. A big heart, full with iman.

Allah, risaunya kalau saya mati tanpa iman.
  
Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

moga2 kita semua sentiasa di bawah rahmatNya, amin2, muamalat 2 maksud dia ape ye?

Balas
avatar

Muamalat tu macam berurusan/cara berurusan.

Balas
avatar

Assalamualaikum... Mohon share luahan rasa menarik nie yer....mohon halalkan ilmu nie..terima kasih

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang. - Hapus

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443