Aku, Mesir dan Mati.

Mesir bermandikan darah. Serius.

Tadi aku tengok video perempuan berniqab kena tembak dengan sniper masa tengah merakam sesuatu. Masya-Allah. Hancur hati ini, selumat-lumatnya.

Bukan pasal dia perempuan. Aku pun bukannya kenal dia tu siapa. Tak tahu pun muka dia sebab dia pakai niqab. Tapi bila kena tembak tepat di leher (atas dada), maka kemungkinan besar dia mati di tempat kejadian.

Sekarang ni nyawa orang boleh dibuat main. Tembak sana-sini. Tembak orang yang tak bersenjata. Tembak orang yang tak mampu melawan. Tembak orang yang tidak menyerang.

Hantu syaitan pun tidak sekejam ini. Mana pernah dengar cerita syaitan bunuh orang seramai ini, sekejam ini?

Apa yang berlaku ni membuatkan aku terfikir jauh, memikirkan umur dunia.Sedar tak sedar, semakin banyak tanda-tanda besar nak kiamat. Fitnah yang makin membusuk dan kritikal.

Kat Malaysia pun sama. Hampir tiap-tiap hari cerita nyawa orang terbang dengan cara yang zalim. Kena tembaklah, kena tetaklah, kena langgarlah, kena belasahlah, dan macam-macam lagi.

Sampai aku terfikir, mungkin aku lepas ni? Iyalah. Kita tak tahu bila dan bagaimana kita akan mati. Memanglah seboleh-bolehnya kita nak mati dalam ibadah. Kalau tidak mati dalam sujud atau dalam solat, mungkin mati dalam membaca al-Quran atau berzikir. Atau tidak pun, mati dalam perjalanan nak ke masjid atau majlis ilmu.

Tapi itu sebenarnya tak penting. Yang penting ialah bagaimana hendak mati dalam husnul khatimah. Bagaimana nak mati dalam keadaan bahagia.

Mati yang bukan sedang buat dosa atau sedang hendak berbuat dosa. Hari tu, ada kes kemalangan sebuah kereta yang meragut nyawa 4 orang. Dua lelaki, dua perempuan. Couple.

Kita mengucap panjang. Bukan kita nak kata dia mati dalam keadaan tak baik. Tapi kita takut, kita mati sedang dalam keadaan tekad nak buat maksiat atau menghampiri maksiat. Mati semasa berdating, tak sama mati suami-isteri.

Ada satu lagi kes melibatkan orang muda ialah mati masa nak pergi jumpa kekasih. Nak teman awek dia pergi shopping. Sedangkan kita pun tahu bahawa yang menentukan nasib kita nanti ialah di penghujung amalan kita.

Ada kisah seorang abid dengan kaki maksiat. Ahli ibadah ni sudah bertahun-tahun beribadah tanpa meninggalkan tempat ibadahnya. Si kaki maksiat ini pula sudah bertahun-tahun buat maksiat tanpa menjejakkan kakinya sekali pun di tempat ibadah.

Lalu, lama kelamaan, si abid ni pun rasa, "Eh aku ni dah banyak sangat buat ibadah. Apa kata aku buat maksiat sekali. Saja nak cuba"

Dalam masa yang sama, si kaki ibadat ini pula terfikir, "Hmm... aku ni dari dulu lagi buat dosa. Tapi Allah tak azab pun aku. Aku nak bertaubatlah. Aku nak berhenti buat ini semua"

Lalu dijadikan cerita, si abid ini mati semasa berjalan nak pergi buat maksiat dan si kaki maksiat ini pula mati semasa sedang berjalan untuk ke tempat si abid tadi, untuk bertaubat.

Ini kisah israiliyat tapi kita boleh terima kerana pengajarannya yang baik dan tidak bercanggahan dengan hadis sahih.

Hadis sahih yang aku maksudkan itu ialah hadis pasal lelaki yang telah bunuh 99 orang dan seorang abid (100 orang semuanya). Dia bercita-cita nak bertaubat lalu dia pun berhijrahlah meninggalkan persekitarannya yang tak sihat menuju ke sebuah tempat yang penduduknya soleh-soleh.

Dalam riwayat Imam Muslim, dikisahkan bahawa tempat dia mati tu dekat dengan tempat yang dia nak tuju jadi roh dia digolongkan dalam roh-roh orang beriman.

Dalam riwayat yang lain pula, tempat dia mati sebenarnya lebih dekat dengan tempat asal dia, tetapi Allah dekatkan jaraknya ke tempat orang beriman itu lalu masa diukur-ukur jaraknya, sah dia lebih dekat ke tempat yang dia nak tuju tu dan dia pun dimasukkan dalam kalangan orang beriman.

Aku sampai sekarang asyik teringat-ingat kata seorang ustaz, "Kita ni baik kerana kita belum diuji. Bila dah diuji, silap-silap kita pun akan jadi serupa macam orang lain".

Takut. Sangat takut, kut-kut hati ini dah hilang rasa gerun pada azab Allah. Hari-hari bersolat, hari-hari baca al-Quran, hari-hari berzikir, tapi tak ada rasa geli dan takut nak buat dosa.

Lalu, masa tengah buat dosa tu, Allah cabut nyawa. Nak kata apa?

Nauzubillah.

Kita ni, sebabkan masih muda, aku baru 23 tahun, kita rasa macam lambat lagi nak mati. Cita-cita dan angan-angan kita panjang. Kita ada banyak hajat kepada dunia. Nak kerjalah, nak berumah tanggalah, nak kumpul hartalah, dan seumpamanya.

Hakikatnya, cuba kita renungi orang eksiden masa tengah keluar dating. Agak-agaknya dia tahu tak dia akan kemalangan di jalan itu, dan di masa itu?

Kalau dia tahu, komfem dia akan lalu jalan lain dan keluar pada waktu lain.

Samalah, kalau kita tahu bila masa kita mati, maka sudah tentu waktu tu kita allocate untuk beribadah. Tapi tak ada seorang pun tahu bila dia akan mati.

Nah, itu masalahnya. Sama-samalah selesaikannya.

Bagaimana?

Istiqomahlah buat baik dan buat taat. Kita berharap dengan Allah moga-moga berkat istiqomah kita buat benda baik itu, Allah tak akan hinakan kita dengan kematian dalam rangka bermaksiat.

Kita tak tahu siapa pergi dulu, siapa pergi kemudian. Yang dah pergi, sama-samalah kita doakan untuknya keampunan. Yang belum pergi, sama-samalah buat dakwah. Sekecil-kecil dakwah yang kita boleh buat ialah kita doa sungguh-sungguh supaya Allah beri hidayah dan taufiq kepada orang yang kita nak dakwah itu.
 
Previous
Next Post »
5 Komentar
avatar

sy pun sedih lihat apa yg blaku di mesir.rasa hopeless sgt xdpt bantu,hanya doa yg mampu.sgt2 rasa mcm loser.kite mkn sedap kt sini,even takdela aman sgt dek isu tembak2 bom baru2 nie.tp we are better than saudara kita disana.still, masih ada dosa yg kita buat samada sengaja atau tak. ="(

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang. - Hapus
avatar

Moga Allah permudahkan anak kami untuk kesana....menuntut ilmu.....

Balas
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang. - Hapus
avatar

Muda lagi Iqbal ni rupa2nya. :).

Saya juga selalu takut jika kecundang dgn ujian yang diberikan Allah. Skrg belum diuji, boleh la jadi baik. Nauzubillah.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443