Penakut


Siang tadi aku terbaca (sengaja baca) cerpen yang ditulis oleh Abang Bahruddin Bekri. Kawan aku share kat wall Facebook dia. Dia kata cerpen ni best. Aku pun tertarik nak baca dan ya, cerpen tu memang best.

Best sampai buatkan aku rasa macam nak menangis sorang diri. Bukan sebab sedih. Bukan sebab terharu. Tapi rasa malu alah sendiri.

Aku ada share kat wall aku. Korang nak baca jugak, korang carilah sendiri. Tapi cerita yang Abang Bahruddin tulis tu, lebih kurang sama dengan sebuah kisah yang pernah berlaku tak lama dahulu. Pasal seorang ulama di Kota Damsyik yang bernama Sulaim As-Suyuti.

Aku rasalah, yang Abang Bahruddin ambil inspirasi daripada kisah ini. Tapi tak tahulah, sebab kalau aku, kalau aku nak menulis, aku suka ambil inspirasi daripada kisah-kisah teladan. Tak kiralah kisah lama ke baru, asalkan ada pengajarannya untuk aku.

Kisah Sulaim As-Suyuti ni sangat menarik. Kalau aku nak cerita pun, aku takut bila aku cerita semula, cerita tu dah tak jadi menarik. Takut ada elemen tokok-tambah yang melampau hingga jalan ceritanya dah jadi lain. Tapi aku sangat suka kepada pengajaran cerita ni.

Sangat-sangat!

Pasal taqwa. Masya-Allah. Macam dalam cerpen Abang Bahruddin, kedua-dua kisah ini bertemakan ketaqwaan. Sulaim As-Suyuti ni ialah seorang pemuda yang miskin. Hidupnya di masjid, menimba ilmu dengan gurunya di masjid. Makannya tak menentu. Ada makanan, dia makan. Tiada makanan, dia berlapar.

Suatu hari, dia memang benar-benar ketiadaan makanan. Oleh kerana terlalu lapar, dia pun tak boleh nak fokus kepada apa yang diajarkan oleh gurunya ketika itu. Fikirannya hanya memikirkan kepada makanan. Lalu dia nekad.

"Aku sudah hampir kebuluran", sangkanya. Jadi dia pun tekad untuk mencari apa-apa yang boleh dimakannya, sekalipun dengan cara mencuri kerana dia sudah berada dalam keadaan darurat dan menghampiri kebuluran kerana sudah berhari-hari tidak makan.

Lalu dia pun memanjat atap-atap rumah, dari satu rumah ke sebelahnya hingga dia sampai ke dalam sebuah rumah kosong. Didapatinya, di atas meja makan itu, ada hidangan yang ditutup oleh tudung saji. Dia lalu mengangkat tudung saji itu dan dia dapati ada sebiji terung yang telah direbus.

Sulaim lalu mengambilnya dan menggigitnya. Semasa giginya sudah terbenam pada terung itu, tiba-tiba hatinya bertempik, "Alangkah celakanya kamu. Kamu seorang yang belajar agama tetapi kamu masih mahu mencuri".

Cepat-cepat dia meletakkan kembali terung yang hampir-hampir dimakannya itu ke tempat asal. Sambil beristigfar dan menyesal, dia pun segera meninggalkan rumah itu dan kembali ke majlis pengajian di masjid.

Selepas selesai majlis pengajian pada hari itu, semua orang pun pulang kecuali Sulaim, lalu gurunya pun memanggilnya.

Part ni lah yang paling menusuk hati. Tapi kalau aku cerita, mungkin tusukan tu tak kena tepat ke dalam hati. Jadi aku rasa baik korang baca dari sumber yang lain.

Gurunya bertanya, "Di sini ada seorang wanita yang baru kematian suaminya. Dia pula ialah orang asing di sini. Tidak ada yang menjaganya kecuali pak ciknya yang sudah sangat tua. Wanita ini mewarisi semua harta dan rumah peninggalan suaminya. Dia memintaku mencarikan baginya suami untuk menjaganya. Sudikah jika engkau memperisterikannya?"

Sulaim pun menjawab, "Ya".

Gurunya lalu bertanya pula kepada wanita itu, "Mahukah kamu menerimanya sebagai suamimu?"

Wanita itu menjawab, "Ya".

Lalu guru itu memanggil pak cik kepada wanita itu dan membawa dua orang saksi, lalu akad nikah pun dijalankan dengan segera dan sempurna. (Masya-Allah! Mudahnya nikah)

Selepas usai ijab-kabul, wanita itu membawa Sulaim pulang ke rumahnya. Isterinya membuka niqab wajah. Rupa-rupanya dia ialah seorang wanita yang cantik dan muda. Sulaim yang masih seperti bermimpi kerana dapat mengahwini seorang wanita jelita, tambah hairan sendirian. Dia merasakan rumah isterinya itu seperti familiar baginya.

Semasa Sulaim masih lagi kehairanan, isterinya pun bertanya, "Mahukah engkau makan, wahai suamiku?"

Segera Sulaim mengangguk lalu isterinya pun bergegas ke dapur, dan membuka bekas makanannya. Dia mendapati ada pada terung yang dimasaknya, ada bekas gigitan orang.

"Ah, hairan sekali. Siapa yang telah masuk ke rumah ini dan memakan terungku?"

Mendengarnya, Sulaim pun menangis lalu menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.

Isterinya mendengar dengan penuh minat. Dengan senyum yang sangat manis, isterinya lalu berkata, "Inilah hasil daripada sifat taqwamu. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram bagimu, lalu Allah gantikan bagimu rumah ini dan seluruh isinya".

Subhanallah. Sungguh aku tak jemu ulang-ulang baca cerita ni. Itulah balasan kepada orang yang bertaqwa. Belum meninggal pun Allah sudah berikan padanya syurga dunia berupada isteri yang cantik dan solehah, serta rumah yang selesa.

Aku sebenarnya tak tahu kenapa, tapi sejak dua menjak ni, aku terlalu kerap memikirkan fasal perkahwinan. Mungkin aku berfikir terlalu jauh, dan berfikir tentang sesuatu yang belum aku ada hak untuk membuat keputusan atasnya.

Tapi selepas aku baca-baca balik dan aku fikir-fikirkan semula, sebenarnya apa yang kita dapat atas dunia ini ialah satu antara dua. Samada ujian daripada Allah ataupun anugerah daripada Allah. Allah ini bersifat dengan sifat Ar-Rahman.

Betapa Rahman nya Allah, semua orang Allah berikan nikmat. Orang yang paling jahat dan paling melawan Tuhan sekalipun, pun tetap Allah berikan kepada dia nikmat. Dia tak sembah Allah, dia tak mahu solat, dia melawan hukum Allah, dia menghina agama Allah, apa-apa sekalipun... tetap Allah beri padanya isteri, anak-anak, pekerjaan, kesihatan, rumah, kenderaan, dan macam-macam.

Tapi cara Allah beri, takkan sama dengan cara Allah memberi kepada hamba-hambaNya yang takut kepadaNya. Orang-orang yang bertaqwa, dia dapat apa-apapun daripada Allah dengan kasih-sayang. Allah memberi dengan penuh cermat, santun dan tepat.

Mungkin apa yang aku katakan tu tak ada kena mengena dengan perkahwinan sebab zaman sekarang ni manalah nak ada lagi kes-kes macam Sulaim As-Suyuti ni.

Cuma, aku nak ingatkan kepada diri aku...

Kalau kita bertaqwa kepada Allah, kita tunaikan hak-hak Allah, kita beribadah dengan ikhlas dan tekun kepada Allah, kita jaga hubungan kita dengan Allah, kita berkhidmat kepada makhluk-makhluk Allah kerana tuntutan Allah... maka percaya dan yakinlah, Allah akan memberikan kita segala-galanya yang kita perlukan atas dunia ini.

Termasuklah pasangan hidup yang menyejukkan mata dan hati.

Bertaqwalah kepada Allah, kerana taqwa ialah kunci bagi perbehandaraanNya buat kita.
  
Previous
Next Post »
2 Komentar
avatar

Entry yang penuh dengan pengajaran..

Balas
avatar

i dont know why, but it feels like something ease when reading this. Allahu.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443