Risau pada hidup


Hari tu aku ada buka radio IKIM. Aku sempat dengar seorang perempuan membuat panggilan ke konti untuk bercakap dengan ustaz jemputan. Sambil menangis-nangis, dia bercakap. Lambat-lambat dan sepatah-sepatah.

"Ustaz, saya ni ada mengambil anak tak sah taraf (luar nikah) jadi anak angkat saya. Saya layan dan saya anggap dia betul-betul macam anak saya sendiri. Tapi sekarang ni, saya diuji oleh Allah. Anak kandung saya sendiri pula yang terjebak dengan zina"

Yang menariknya ustaz menjawab luahannya dengan balasan yang langsung tak kena mengena dengan permasalahannya.

Divert habis-habisan.

Tapi inilah dunia. Dunia ini penuh dengan penderitaan. Kalau di belah Afrika sana, deritanya kerana kebuluran tak ada makanan. Kalau di belah Kemboja, derita umatnya kerana miskin papa kedana. Kalau di Timur Tengah, deritanya kerana penguasa yang zalim mencengkam.

Tapi secara generalnya, penderitaan ummat kini ialah kerana ketirisan iman. Iman yang macam buih-buih di lautan. Senang-senang saja ditiup angin.

Aku tak kata orang lain, tapi aku pun macam tu. Iman aku mengikut suasana. Suasana aku baik, maka aku pun baik. Suasana aku tak baik, maka perbuatan aku pun ikut sama tak baik. Mungkin inilah yang orang katakan sebagai survival iman.

Pagi-pagi beriman, petang-petang kufur. Petang-petang beriman, pagi-pagi kufur.

Langsung tak serupa dengan golongan salaf. Jauh sekali menyamai para sahabat, yang tak ada kerisauan langsung di dalam hati-hati mereka melainkan kerisauan pada agama semata.

Para sahabat Nabi dan mereka-mereka yang mengikut petunjuk mereka, tak risau macam kita. Kita ni risau macam-macam. Risau bila petrol naik 20 sen. Risau habis belajar tak ada perkejaan, lebih-lebih lagi yang belajar agama. Risau kalau tak dapat jodoh, dan macam-macam lagi kerisauan.

Akhirnya, kita langsung tinggalkan kerja-kerja agama.

Atau paling buruk... kita tinggalkan amal-amal agama!

Nauzubillah.

Itulah. Kadang-kadang aku kesian tengok diri aku sendiri. Baru 23 tahun tapi dah risau macam-macam. Risau tak ada RM10 ribu nak kahwin. Risau sebab belum dapat progress dalam pelajaran disebabkan orang atasan yang bermuka-muka. Risau pasal harga rumah yang meningkat mendadak terutamanya di Lembah Klang ni. Risau lagi dan lagi.

Tapi tak risau bila dah seminggu aku tak bertahajjud. Tak risau bila minggu ni hanya 2 kali aku sempat solat subuh berjemaah. Tapi tak risau bila sedekah aku berkurang, tilawah aku tak buat, istighfar aku tak sempat, solat sunat aku tak terbuat, study aku tak habis, dan seumpamanya.

Yang itu aku tak risau.

Macam, aku tak risau mati. Aku risau hidup.

Mohon korang doakan aku. Aku ni iman lemah. Aku takut kalau aku mati dalam keadaan hati aku penuh dengan dunia dan bekalan akhirat aku sangatlah sedikit.
   
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443