Fikir Dan Risau

 
Saya suka duduk dalam majlis kawan-kawan kita dari jemaah Tabligh. Sejak dari saya kecil lagi, saya dah dengar macam-macam tohmahan dan tuduhan yang tak elok kepada rakan-rakan kita itu. Biasalah manusia. Yang elok-elok, walau sebanyak manapun, pasti dibutakan mata sedangkan yang buruk-buruk, sekalipun kecil, pasti akan dihebahkan dan diperbesarkan.

Betul. Kalau nak kritik, banyak benda boleh kita kritik. Kalau nak komen, banyak benda kita boleh komen. Tapi untuk apa lidah kita jadi setajam itu?

Kalau untuk kita mengutuk usaha orang, maka lupakanlah.

Kalau semata-mata mahu mendabik kononnya kita lebih betul dari mereka, maka bertaubatlah.

 Ada beberapa patah perkataan mereka, yang membuatkan saya asyik berfikir.

"Hari ini kita lihat bagaimana besarnya fikir manusia kepada dunia. Manusia fikir macam mana nak berkomunikasi dari jarak jauh, dari Utara ke Selatan, dari Timur ke Barat. Jadi manusia mencipta telefon. Hari ini manusia berfikir macam mana mereka hendak pendekkan masa perjalanan dari Malaysia ke Arab Saudi, dari London ke Tokyo, jadi mereka mencipta kapal terbang. Manusia juga berfikir bagaimana mereka boleh menyeberangi laut, lalu mereka mencipta kapal laut. Sampaikan manusia berfikir, macam mana mereka hendak dapatkan makanan kalau perut mereka lapar jam 3 pagi, lalu sekarang sudah ada kedai mamak yang buka 24 jam sehari".

"Itu fikir dunia. Fikir para Nabi dan fikir para sahabat, lain. Mereka setiap hari bangkit sahaja daripada tidur mereka, mereka hanya fikir bagaimana islam boleh sampai ke seluruh alam. Bagaimana generasi selepas mereka boleh menerima agama islam. Bagaimana sahabat-sahabat mereka, jiran tetangga mereka, penduduk negeri mereka, boleh mendapat hidayah dan masuk ke dalam agama islam"

"Bahkan mereka sanggup meninggalkan isteri-isteri mereka yang jelitawan, harta-benda mereka yang menyeronokkan, tempat tinggal mereka yang selesa, dan haiwan ternakan mereka yang membiak sihat, untuk menuju ke medan perang dan menyahut seruan jihad, kerana mereka memikirkan tentang agama ini. Mereka mencintai agama ini. Mereka mencintai Allah. Mereka mencintai anak cucu mereka. Mereka mencintai orang-orang yang masih belum menerima islam supaya mereka boleh menyampaikan islam kepada mereka. Mereka mencintai generasi anak cucu Adam yang akan datang seribu tahun selepas mereka"

"Itulah kasih sayang Rasulullah. Fikir risau Nabi Muhammad S.A.W hinggakan Baginda risau dan runsing kepada nasib kita, sampailah kepada bayi terakhir yang akan lahir sebelum kiamat nanti".

Kita? Pernah kita ambil masa kita untuk fikirkan tentang agama?

Fikir tentang bagaimana kita nak ajak kawan-kawan kita yang belum menutup aurat agar dapat menutup aurat, yang jauh dengan agama agar dekat dengan agama, yang gemar bermaksiat agar gerun bermaksiat, yang berbangga dengan dosa agar malu dengan dosa?

Atau adakah kita bangun sahaja daripada lena, kita hanya memikirkan tentang dunia yang akan berlalu, dengan pekerjaan yang akan kita bersara nanti, dengan harta yang akan kita tinggalkan nanti, dengan kekasih yang akan kita berpisah dengannya nanti, dan seumpamanya.

Fikir dan risaulah. Kerana Allah memerintahkan kita untuk memikirkan tentang nasib kita selepas kita mati nanti.

"Jagalah diri kamu dan ahli (keluarga dan orang bawahan) daripada azab bakaran api neraka"- Surah At-Tahrim.

Taqwa itu takkan sempurna jika kita hanya memikirkan tentang diri kita seorang.
 
Nota Kaki: Lupa nak beritahu yang saya dah ada akaun Formspring yang baru. Jadi kalau nak tanya soalan, tanyalah. Kalau saya boleh jawab saya akan jawab.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443