Semua manusia akan mati. Tak kiralah mati masa umur baru 10 tahun, atau semasa sudah 60 tahun. Semua manusia juga akan mati sekalipun secara mengejut, sakit kronik, ataupun semasa sedang melakukan apa yang dia suka.
Maknanya setiap daripada kita ini sama sahaja. Kita tidak tahu bila kita akan mati dan kita juga tidak tahu bagaimana kita akan mati.
Jadi, ramailah antara kita meminta kepada Allah agar diberikan umur yang panjang kerana bimbang-bimbang, jarak usianya dengan kematian cuma sehari dua.
Ada juga yang meminta agar dimatikan dengan cara yang tidak menyakitkan atau mengerikan, kerana gerun dan tak sanggup menanggung penderitaan.
Padahal sedar atau tidak, itu semua tidak penting.
Tetapi yang paling penting ialah bagaimana kita menggunakan masa kita yang suntuk atas dunia ini untuk mati. Adakah kita gunakannya untuk kebaikan, atau sebaliknya.
Maka, untuk refleksi diri kita masing-masing, kita wajar bertanya beberapa soalan penting kepada hati nurani kita.
Apa yang kita cari di dunia ini?
Sepatutnya jawapan kita ialah AKU MENCARI KEREDHAAN ALLAH.
Jika jawapan kita selain daripada itu, kita tahu bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan kehidupan kita.
Tetapi jika jawapan kita ialah seperti yang diatas, kita perlu membuat perancangan dengan masa dan potensi diri kita.
Nak masuk syurga tak semestinya dengan ibadah-ibadah khusus khusus berbentuk ritual. Itu salah faham yang perlu kita buang jauh-jauh.
Kita tak mahu melahirkan generasi umat islam yang baik tetapi tidak memberi manfaat kepada ummat islam khususnya dan umat manusia umumnya.
Kita mahu melahirkan umat islam yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya melalui kepakarannya, wang ringgitnya, kemahirannya, dan sumber daya tubuhnya.
Tetapi, sebelum mencapai tahap memberi, seseorang perlu belajar untuk memberi.
"Aku bukan tak mahu bersedekah kepada mangsa banjir, tapi aku perlu guna duit aku ini. Nanti hujung bulan ni bila gaji dah masuk, aku janji aku akan beri"
"Aku bukan tak nak ikut kau pergi kuliah ustaz tu, tapi aku ada exam lusa. Jadi aku nak kena buat ulang kaji. Bila aku free nanti aku join"
"Aku bukan tak nak ikut halaqah, tapi aku takut aku tak boleh beri komitmen. Emak aku suruh study dulu. Tak pe, dah kerja nanti aku join lah korang"
"Aku bukan tak nak pergi solat berjemaah, tapi aku penat ni. Baru balik dari kerja. Consider la sikit. Takpe, cuti nanti aku datanglah"
Percayalah, inilah wajah-wajah manusia yang tertipu dengan bisikan syaitan.
Syaitan telah membisikkan kepada mereka, "Nanti bila kau sudah kaya, lagi banyak kau boleh menyumbang. So simpan dulu duit tu"
Syaitan akan kata lagi, "Kau studi biar result kau gempak. Bila dah gempak, dapat kerja elok, time tu la baru ko pergi belajar agama. Duit pun ada. Kereta pun ada. Senanglah nak pergi masjid"
Syaitan juga akan berkata, "Kau join usrah ni, result kau mesti akan jatuh punya. Kau tengoklah, kawan-kawan kau tu tiap-tiap minggu meeting. lepas tu ada program sana-sini lagi. Bila masa diorang nak study"
Syaitan juga akan kata, "Rilekslah. Kau tu penat baru balik kerja. Tunggu nanti dah tak kerja, pencen, kau duduklah kat masjid selalu. Sekarang ni waktu untuk kumpul duit. Solat sendiri pun sebenarnya dah cukup elok dah ni"
Demi Allah,
Jika diwaktu susah, payah, dan kekurangan, kita tak mampu untuk menyumbang dan melakukan kebaikan, maka percayalah yang bila kita senang, mewah, dan serba cukup... kita pasti lebih-lebih lagi takkan mampu.
Jangan sampai terpedaya dengan godaan dan penipuan syaitan. Mereka sudah berjaya menyesatkan ramai manusia hanya dengan "tak apa" dan "nanti dulu".
Berlatihlah untuk menjadi ahli syurga.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443