Sudah tentu, menuduh orang dengan tuduhan yang tidak baik ialah perbuatan yang tidak beretika. Apatah lagi tuduhan yang dibuat-buat ini bertujuan untuk menjatuhkan air muka dan mendatangkan mudharat kepada pihak yang dituduh dan orang di sekelilingnya.
Kerana itulah di dalam salah satu cabang hukum hudud, ada hukuman yang diperuntukkan kepada orang yang menuduh orang baik melakukan zina. Sekiranya pihak yang menuduh itu tidak dapat mengemukakan 4 orang saksi yang adil, maka dia telah dikira bersalah melakukan tuduhan palsu dan wajar dihukum.
Tujuan islam melaksanakan hukuman ini adalah supaya orang ramai tidak sesuka hati mahu menuduh orang lain dengan berita palsu. Setiap pertuduhan yang buruk, sekalipun tidak benar, tetap memberi kesan buruk kepada orang yang dituduh.
Antaranya, tuduhan buruk itu akan mendatangkan aib dan trauma kepadanya. Bayangkan jika ahli keluarga kita dituduh sebagai pelacur. Masyarakat akan terlebih dahulu menghukumnya dengan hukuman sosial sekalipun setelah namanya dibersihkan daripada pertuduhan.
Diceritakan kisah seorang ulama di zaman dahulu, yang menaiki kapal laut bersama bekal wang sebanyak 300 dinar yang dihadiakan oleh orang kaya kerana kealimannya. Salah seorang penumpang di dalam kapal itu ialah orang munafik yang tahu bahawa ulama itu membawa sejumlah wang yang besar.
Lalu dia pun menuduh ulama itu mencuri wang kononnya wang itu miliknya dan milik orang ramai. Apabila dituduh, maka ulama itu pun segera mencampakkan beg berisi wang itu ke dalam laut. Orang ramai yang menyaksikan itupun terkejut. Lelaki yang menuduhnya bertambah-tambah lagi terkejut dengan tindakan ulama itu.
Dia tidak menyangka ulama itu akan melakukan hal sedemikian. Lalu ulama itu berkata, "Sesungguhnya maruahku adalah lebih mahal daripada wang 300 dinar itu".
Tuduhan yang buruk ibarat pedang yang tidak bersarung. Semua orang boleh terkena bilahnya dan luka dengannya. Imam Syafie pun pernah difitnah oleh kelompok manusia yang tidak menyukainya. Dia pernah dituduh sebagai Syiah lalu dipenjara oleh kerananya.
Tapi hikmahnya, lihatlah bagaimana dia mendepani pertuduhan itu. Ketika disoal siasat oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, dengan tenang dia membaca ayat daripada surah al-Hujurat. Khalifah tahu, dia ialah mangsa fitnah. Lalu Imam Syafie disucikan dengan sendirinya.
Hari ini, semua orang berisiko untuk menjadi sama ada orang yang melakukan fitnah, menyebarkan berita fitnah, mendengar lalu mengiyakan, atau juga menjadi mangsa pebuatan fitnah.
Untuk kelompok pencetus berita yang dibuat-buat, wajarlah diingatkan bahawa dosa melakukan berita palsu adalah amat besar dan dahsyat. Tiada satu keadaan pun kita dibenarkan untuk membuat tuduhan palsu kepada suatu pihak, sekalipun kepada pihak musuh di dalam peperangan.
Bagi yang mendengar tuduhan, disiplinkan diri untuk mencari kebenaran. Jangan menjadi golongan 'nasi tambah'. Biarlah kita menjadi kapak yang akan memutuskan rantai fitnah. Biar sampai kepada kita, cerita itu pun tamat.
Kepada yang difitnah, usah membalasnya secara melampau atas. Umpama pedang yang tidak bersarung, ia bukan sekadar melukakan orang lain tapi juga akan melukakan diri sendiri jika kita tidak berhati-hati mengawal arah hayunanya. Silap haribulan, tertikam anak sendiri.
Dalam banyak keadaan, berdiam diri lebih mulia. 'Cooling period' itu seringkali menjadi perisai bagi orang soleh dalam mendepani tuduhan yang berat-berat. Kerana akhirnya, benda yang palsu tidak akan bertahan lama. Sebaliknya kebenaran, sekalipun cuba disorokkan, pasti akan terserlah juga.
Begitulah agaknya gambaran peristiwa Rasulullah S.A.W yang dituduh dan dimaki dengan tuduhan yang berat daripada wanita yahudi buta dan tua yang disuapkan makanan. Boleh sahaja Rasulullah menjelaskan dan menjawab tuduhan itu satu per satu tapi untuk apa kemenangan jika tidak menguntungkan agama.
Jadilah orang yang menang, dengan bertenang,
1 Komentar
assalamualaikum wbt , ana minta keizinan utk copy postnya ya.jazakallahu khair
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443