"Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama".
Langkah pertama itu penting. Ada orang dia mahu menyeberang jalan, tapi dia takut memijak tanah. Jadi sampai kiamat pun dia tak akan sampai ke seberang jalan.
Begitu juga jalan ke syurga. Ada orang mahu berubah. Mahu jadi baik. Mahu jadi soleh. Tapi dia terlalu takut untuk mencuba.
Takut orang cakap apa.
Takut nanti hilang kawan.
Takut nanti hilang pekerjaan.
Takut kena ejek.
Takut orang mengata.
Jangan salah faham. Kita tak dituntut untuk menjadi malaikat. Tuhan jadikan malaikat tiada nafsu. Kerana itulah malaikat hanya buat kebaikan. Tak pernah ingkar dan tak pernah terdetik berbuat dosa.
Sedangkan kita ada nafsu. Liar dan ganas pula nafsu kita. Kerana itu adakala kita terbuat dosa, terbuat salah. Tetapi adakah kesilapan kita pada hari semalam menyebabkan kita putus asa untuk menjadi orang yang baik hari ini?
Jangan risau. Semua orang ada kerisauan yang serupa. Tapi semua kerisauan itu langsung tak ada asasnya.
Mulakan dengan benda yang mudah-mudah dahulu.
Contohnya dengan solat. Saya tahu bahawa tidak mudah nak menjaga solat. Tapi itulah asas kekuatan kita untuk berubah. Masuk saja waktu, terus solat. Jangan tunggu-tunggu lagi. Memanglah masa solat tu panjang, tapi kita selalu ditipu olehnya. Nanti mulalah kawan-kawan ajak keluar, atau ada kerja nak buat, atau mungkin juga kecemasan, lalu mulalah kita meninggalkannya dengan alasan 'tak sempat'.
Umur kita makin meningkat dewasa. Kalau dahulu, apa yang kita buat kesannya hanya kepada kita. Tapi bila dah tua ni apa yang kita buat memberi kesan secara langsung kepada ahli keluarga kita.
Kita perlu jadi orang baik supaya anak-anak kita mempunyai teladan yang baik untuk mereka ikut. Berapa lagi masa yang kita ada di dunia ini untuk kita terus lalai. Berapa banyak lagi kesilapan dan kesalahan yang hendak kita lakukan, barulah kita ada rasa bersalah kepada Tuhan.
Berubah, tak perlu tunggu orang lain. Lain orang, lain ajalnya. Adik beradik kembar yang lahir sama-sama pun matinya tak sama. Ada yang umur panjang, dapat hidup lama. Ada yang umur pendek, kalau tak sempat berubah maka hilanglah peluangnya.
Kita perlu bersyukur kerana kita masih ada peluang untuk bertaubat. Orang lain tak bertuah seperti kita.
Mari,
Jangan tengok orang. Tengok diri kita. Gali kubur kita sendiri dahulu. Jangan sibuk kubur orang. Mulakannya hari ini. Mulakannya dengan diri.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443