Tak perlu banyak. Cukup 3 sahaja. Kalau ada lebih, itu bonus. Kalau pekerja yang berdedikasi boleh layak menerima bonus, perempuan yang baik juga layak menerima bonus daripada Allah.
Ciri-ciri lelaki ideal yang pertama ialah dia menjaga solat fardu. Tak payah sembang pasal solat sunat, tahajjud, qiamullail, atau solat kat masjid lagilah, dapat yang jaga solat fardu pun dah cukup baik.
Kenapa penting solat fardu ni?
1- Solat ialah pembeza antara muslim dan kufur.
2- Solat adalah tiang agama. Siapa yang mendirikan solat, dia mendirikan agama tapi siapa yang meninggalkan agama, dia meruntuhkan agama.
3- Solat ibarat kepala bagi badan. Tak ada kepala, badan akan mati.
4- Solat dapat mencegah diri daripada perkara keji (jenayah seksual) dan mungkar (jenayah umum).
5- Nabi S.A.W kenal umat Baginda melalui cahaya yang terpancar daripada anggota wuduk dan solat. Orang yang tak solat jangan berharap syafaat Nabi.
Banyak lagi point tapi saya rasa elok kalau saya kongsikan dalam artikel khas tentang solat.
Kedua, bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Maksudnya dia boleh menguruskan diri sendiri, kewangan, dan kerjaya. Tanggungjawab itu juga termasuklah mengurus stress dan emosi. Jika di dalam konflik, kita boleh lihat tindakannya menangani masalah.
Ada orang masalah kecil pun dia tak boleh uruskan. Bahkan masalah yang kecil tadi boleh jadi berat dan meleret kerana sikapnya yang negetif seperti panas baran, terlalu suka bersangka buruk, suka membuat kesimpulan sendiri, terburu-buru dalam membuat keputusan, dan pentingkan diri sendiri.
Ada pula orang yang masalahnya besar, tetapi kerana dia matang, dia dapat mengawal diri dan menyelesaikannya. Ini kerana dia punyai kematangan, kesabaran, kebijaksanaan, tak cepat melenting, dan sebagainya.
Kenapa tanggungjawab kepada diri sendiri adalah penting?
1- Kalau diri sendiri pun tak boleh jaga, agak-agak dia boleh jaga kamu tak?
2- Kalau tak ada tanggungjawab, dia akan hidup dalam dunia "aku". Semua benda nak kena ikut cakap dia (cara dia). Cara orang lain semua tak betul.
3- Supaya dia bukan menjadi "Maharaja" dalam rumahtangga. Duduk saja. Semua benda nak orang lain buatkan. Mahu orang berkorban untuknya tapi dia tak sedia untuk berkorban.
4- Supaya nanti bila dah kahwin, dia tahu siapa kawan dan siapa isterinya. Tak adalah nanti dia main DOTA, futsal atau memancing sampai lupa anak bini. Biar seimbang. Tak perlu buang kawan, tapi tak pula buang anak dan isteri.
5- Orang yang bertanggungjawab dengan diri ialah orang yang mendepani masalah, bukannya lari daripada masalah. Orang yang cuba lari daripada masalah sebenarnya ialah orang yang sedang mengumpul masalah. Itu yang dah jadi arwah (baca: dah meninggal) pun masalah tak selesai lagi. Banyak sangat kata 'tunggu dulu'.
6- Bertanggungjawab juga bermaksud mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Contohnya kalau hujung tahun dapat bonus 3 bulan gaji, ada orang yang tukar sport rims Myvi atas alasan dah lama mengidam. Ada pula yang guna duit bonus tu untuk bayar deposit rumah 10% supaya keluarga dapat tinggal di rumah yang lebih luas dan selesa. Kalau kamu, nak pilih lelaki yang macam mana?
7- Lelaki yang bertanggungjawab juga akan menjaga rahsia rumah tangga. Dia tak puas hati dengan kamu, dia cerita pada kamu bukannya kepada kawan-kawannya. Bukan setakat aib kamu terjaga, aib keluarga kamu (mertua dia) pun selamat dengannya. Pendek kata, dia bukan kaki mengumpat.
8- Orang yang bertanggungjawab tahu akan keutamaan (priority). Pelik sangatlah kalau i-phone 7 boleh beli, tapi nak 'menghalalkan' hubungan bukan main lagi menyalahkan mak bapak letak harga hantaran tinggi.
Ciri ketiga lelaki ideal ialah dia bukan hidung belang.
Ada orang dia tak kisah suami dia ada ramai teman wanita. Bahkan dia bangga pula konon-kononnya suami dia "hot stuff". Terpulanglah. Asalkan suami kamu bukannya kaki zina, kaki amoi atau kaki pinoy. Mana tahu, tiap-tiap hujung bulan kata outstation rupanya ke Siam menternak virus HIV.
Petanda seseorang itu bukan kaki perempuan adalah:
1- Dia tidak menilai seseorang hanya pada rupa paras dan fizikalnya saja.
2- Dia menghormati wanita dan memandang tinggi kepadanya. Bukan memandang wanita sebagai hamba, objek pemuas nafsu, atau orang gajinya.
3- Dia berusaha menasihati dengan cara yang lembut tapi tegas. Tidak mendiamkan perkara yang salah, tapi tidak juga terlalu kasar hingga meninggikan suara apatah lagi menggunakan kekerasan fizikal.
Macam saya sebut awal-awal tadi, ada 3 benda ni cukuplah. Jangan terpengaruh dengan drama tv3 pukul 7. Ada sebab mengapa Tok Wan kita kat kampung pesan suruh tutup Tv waktu maghrib. Syaitan memang banyak berkeliaran waktu itu.
Salah satunya, syaitan yang bergayut di mata dan berbisik di telinga kita, supaya lelaki di dalam Tv itu nampak serba sempurna, tetapi lelaki yang bernama suami itu adalah serba kekurangan.
Hiduplah dalam dunia sebenar. Bukan dunia novel. Rumahtangga tidak akan bertahan lama kerana cinta sahaja. Cinta akan layu. Rindu akan pudar. Kalau tak dibaja dengan ilmu, dan disiram dengan tanggunghawab, kita akan tengok pasangan paling romantis dalam dunia sekalipun akan bercerai.
Orang kata perlu ada persefahaman dalam rumah tangga. Tapi faham sahaja kalau tak bertindak, maka akan jadi seperti ayam. Ada sayap tapi tak boleh terbang.
Kesimpulannya, cari yang bersolat, ada rasa tanggungjawab, dan juga menghormati wanita.
Jangan sembang pasal nak jadi imam kalau nak jadi makmum pun tak reti.
Jangan haraplah nak jaga isteri dan anak, kalau diri sendiri pun terabai.
Dan jangan haraplah nak hormat pada isteri dan keluarga, kalau pandang perempuan sahaja pun penuh dengan imaginasi keji.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443