Ada orang pernah tanya saya, jika ustaz sesama ustaz dan ulama sesama ulama bergaduh, mana satu pihak yang perlu diikuti?
Maka jawab saya, ikutlah yang lebih baik akhlaknya. Kerana akhlak ialah buah kepada Iman yang sebenar. Di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda bahawa Baginda diturunkan ke dunia ini adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Ulama mengkritik ulama, itu bukan perkara baharu. Sebagai contoh, Imam Ibnu Jauzi pernah mengkritik kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dengan kritikan tajam seperti "palsu" dan "batil".
Tetapi dalam masa yang sama, beliau tetap mengiktiraf Imam al-Ghazali dan karyanya sebagai karya yang baik.
Namun apa yang menyedihkan, beberapa tahun kebelakangan ini, ada individu yang belum layak bergelar ulama', tergamak untuk mengkritik ulama lain dengan akhlak yang buruk. Mereka suka memberi gelaran yang tidak enak, bahkan mentertawa dan bersikap sinis kepada mereka.
Sekalipun ulama itu telah meninggal dunia sekalipun.
Golongan ini berslogan, "mari kita kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah", tetapi akhlak mereka jauh panggang dari api dengan Quran mahupun Sunnah.
Para Imam mazhab sebagai contoh, benar mereka bukan maksum. Mungkin ijtihad mereka ada kesilapanya. Mungkin juga ijtihad mereka sesuai pada suatu zaman, tapi tidak sesuai kepada zaman dan kelompok masyarakat yang lain dan baharu.
Tetapi itu bukan bermakna para Imam mazhab ini lebih bodoh daripada kita. Hingga ada yang mempersendakan pula apa yang diajar oleh Imam mazhab ini.
Mereka rasa mereka layak untuk mengambil Quran dan Sunnah dengan kedua belah tangan mereka. Padahal mereka bukannya alim pun. Belajar baru setahun dua. Kitab yang dibaca baru beberapa. Tapi senang nak berkata, "Pendapat si fulan ini tidak tepat. Yang tepat adalah... begini... begini...".
Kelompok yang menolak mazhab ini juga selalu memetik kata-kata Imam Syafie di luar konteks. Contohnya, "Jika kamu berjumpa dengan hadis yang sahih, maka itulah pandanganku".
Apakah mereka rasa Imam Syafie berijtihad semborono hingga beliau meninggalkan hadis sahih. Adakah mereka juga lupa bahawa para pengikut dan anak murid Imam Syafie juga adalah orang yang hebat-hebat yang menguasai pelbagai cabang ilmu dan sangat dalam kefahamannya pada agama.
Imam Nawawi sebagai contoh. Siapa kita nak dibandingkan dengan Imam Nawawi. Kita ni setakat Imam dalam solat sahaja. Itu pun mazhab bacaan tahu satu saja, cara Imam A'sim. Tapi berlagak bukan main!
Saya tak ada masalah orang nak talfiq (campur adukkan) mazhab. Tapi saya bermasalah kalau orang sengaja melakukannya kerana mahu bermudah-mudah dalam agama. Dan saya bermasalah, bila orang awam pun dah pandai 'mengusik' Imam mazhab.
'Level' kita jauh berbeza. Imam Syafie pernah satu ketika menunggang kuda. Tiba-tiba dia ditahan oleh seorang lelaki. Lelaki itu bertanya, "Wahai Imam, kuda yang kamu tunggangi itu ada berapa kaki?".
Mungkin saja dia bergurau, tetapi Imam Syafie tidak. Dia turun dari pelana dan mengira satu per satu kaki kudanya kemudian barulah dia menjawab, "Ada empat".
Pemuda yang bertanya itu pula kehairanan. "Kenapa kamu turun mengira? Tentu sahaja kakinya empat!".
Lalu dijawab, "Aku bimbang jika aku terus menjawabnya empat, Allah tiba-tiba menghilangkan satu kakinya. Maka aku telah berbohong kepada kamu".
Kejujuran dan ketelitian Imam Syafie itu terlalu luar biasa. Agak-agak orang sebegitu akan melakukan sesuatu keputusan secara membuta tuli jugakah?
Mari menjadi manusia yang sedar diri. Kita ini terlalu bodoh untuk "kembali kepada al-Quran dan Sunnah" melalui cara kita sendiri. Para Imam mazhab sudah terlebih dahulu memegang tangan dan membimbing kita melalui jalan al-Quran dan Sunnah.
Tapi kita berlagak. Kata kita, jalan itu panjang. Kita nak 'short-cut'. Maka kita jadi selektif dalam beragama. Apa yang kita suka, kita ambil. Yang susah, kita biar dahulu. Kita mencari-cari yang mudah dan muat dengan saiz nafsu sendiri.
Terpulanglah jika kita masih mahu menolak mazhab dan berkeras dengan pegangan falasi kita. Asalkan jangan hasut orang untuk terjun dari kapal mazhab syafie ini juga. Kapal ini di laluan yang betul. Kapal-kapal lain seperti Hanafi, Hambali dan Maliki juga menuju ke arah yang sama. Tapi kalau selain kapal-kapal itu, belum tentu.
Kerana lautan ini dalam. Jika karam, lemaslah jawabnya.
0 Komentar
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443