#45 Jihad Jahad

Saya sedang memandu pulang dari kerja saat suara Syeikh Nuruddin sedang berkumandang di corong radio.

"Betul tak cerita yang Nabi dan para sahabat baru balik dari Perang Tabuk, lalu Nabi berkata yang mereka baru pulang dari jihad kecil kepada jihad besar iaitu melawan hawa nafsu? Minta tolong Syeikh jelaskan", tanya seorang pemanggil dari balik telefon.

Jawapan Syeikh Nuruddin agak panjang tapi sebenarnya padat.

Pertama, kata Syeikh Nuruddin, hadis ini tak kuat. Saya pun buat carian google, memang ada ulasan ulama yang menyatakan hadis ini lemah. Bahkan Imam Ibn Taimiyah mengkomentar yang hadis di atas tidak berasas. Maknanya apa yang Syeikh Nuruddin katakan ialah seiring dengan ulama lain kata. Hadis ni tak kuat.

Namun begitu, sambung Syeikh Nuruddin lagi, sekalipun ni tak kuat dari segi periwayatan, tetapi dari sudut kandungan, ia betul.

Jika jihad perang, kita boleh nampak musuh. Kita boleh rancang strategi. Tahu nak serang dari arah mana, dan tahu nak bertahan di sudut mana. Kita boleh menghunuskan sejata dan menghancurkan mereka.


Sebaliknya jihad melawan hawa nafsu, musuhnya ialah diri kita sendiri. Kita tak nampak nafsu tapi kita tahu ia ada. Ia wujud dalam bentuk keinginan-keinginan yang jahat, dan sifat-sifat keji yang kadangkala automatik kita lakukan.

Sebab itulah melawan hawa nafsu ini bukan perkara yang mudah. Hawa nafsu takkan dapat dibunuh. Ia cuma dapat ditawan dan dijinakkan. Dan nak jinakkan nafsu, kita perlukan kesungguhan dan keazaman yang tinggi.

Banyak benda haram yang nafsu suka dan banyak benda bersifat perintah Tuhan yang nafsu benci. Kalau tiada jihad, maka kita akan jadi jahad (baca; jahat). Kerana itulah kita perlu mulakannya dengan diri kita hari ini.

Semoga kita menang di dalam jihad ini.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443