October 22, 2016

#46 Jangan tunggu Yatim

Hari ini semua orang bercakap tentang hukum memakan harta anak yatim. Pada sisi positif, masyarakat menjadi semakin cerdik. Tetapi harga yang dibayar untuk mendidik masyarakat tentang kebajikan anak yatim ini sangat mahal. Kasihan kerana ada pihak yang perlu derita dahulu sebelum masyarakat membuka mata akan hukum ini.

Pernah dalam satu situasi, Rasulullah S.A.W bersabda, "Aku dan orang yang menjaga kebajikan anak yatim, umpama begini di hari kiamat", sambil Baginda merapatkan dua batang jari Baginda.

Nak beritahu bahawa besarnya pahala dan istimewanya kedudukan para pelindung anak yatim ini. Bahkan dalam situasi yang lain, Baginda kata orang yang mengusap kepala anak yatim anak diberikan pahala.

Namun begitu, perlu untuk diingatkan bahawa bukan anak yatim sahaja ada hak, sebaliknya semua orang ada hak-hak mereka. Dan kita tidak boleh mengkhianati hak mereka sekalipun kita benci dan tidak suka.

Sebagai contoh, seorang bapa yang mempunyai lima orang anak. Walaupun ada anaknya yang dia lebih sayang berbanding yang lain, dia tetap dituntut untuk berlaku adil kepada kelima-lima mereka. Jika setiap seorang berhak mendapat 2 helai baju, maka anak yang paling nakal dan bermasalah itu juga berhak mendapat 2 helai baju juga.

Setiap hak, berhak. Jika ada hak yang ditahan, maka itu ialah pengkhianatan.


Sahabat Nabi bernama Abu Darda' pernah dipersaudarakan dengan Salman al-Farisi. Mereka sangat akrab. Suatu hari, Salman pergi menziarahi Abu Darda' di rumahnya. Dia berjumpa dengan isteri Abu Darda', dan isteri Abu Darda' itu mengadu kepada Salman.

"Wahai Salman. Kamu kawan baik suamiku. Tolong nasihati Abu Darda' kerana dia sudah hilang minat dan sudah tidak peduli lagi dengan dunia".

Salman faham. Dia meminta untuk bermalam di rumah Abu Darda'. Pada saat makanan dihidangkan, Abu Darda' tidak mahu makan.

"Kamu makanlah. Aku berpuasa".

Salman enggan. "Aku tidak akan makan selagi kamu tidak mahu makan bersamaku",

Lalu Abu Darda' pun menjamah makanan itu bersama tetamunya.

Di waktu malam, Abu Darda' mahu bangun untuk mendirikan solat tetapi ditahan oleh Salman.

"Tidurlah dahulu. Malam masih terlalu muda".

Abu Darda' pun tidur. Kemudian tak lama, dia kembali bangun untuk solat. Dan Salman menghalangnya dan menyuruhnya tidur dahulu. Beberapa kali, sampailah di penghujung malam, mereka berdua pun bangun untuk bersolat.

Kemudian, Salman R.A berkata kepada Abu Darda' R.A, "Wahai saudaraku, ketahuilah bahawa Tuhanmu ada hak keatasmu, kamu ada hak ke atas dirimu sendiri, dan isterimu juga ada hak keatas dirimu. Maka berikanlah hak-hak ini kepada mereka yang berhak".

Siang itu, Abu Darda' menceritakan hal itu kepada Rasulullah S.A.W dan Baginda mengiyakan Salman.

Kisah ini epik. Tersemat indah di dalam kitab hadis, supaya kita belajar bahawa setiap manusia ada hak yang wajib dipenuhi.

Perbuatan menahan hak ialah perbuatan yang salah.

Ada orang, dia bela kucing tapi dia tak beri kucing dia makan hingga mati kelaparan. Ada orang dia bela kambing tapi tak dibuat kandang hingga kambing-kambingnya merosakkan tanaman dan mengotorkan halaman jiran.

Mereka tak nampak bahawa haiwan yang dipelihara pun ada hak. Hak untuk diberi makanan dan perlindungan. Hak jirannya supaya tidak dicemari dan diganggu.

Ada orang, dia minum air mineral tapi botolnya ditinggalkan di atas meja. Tak dibuang di dalam tong sampah. Ada orang dia pergi solat jumaat tapi parkir kereta menghalang laluan orang. Padahal ini semua ialah hak-hak yang perlu diselesaikan.

Mereka cuma nampak hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti minyak. Tapi tak berapa nak nampak hak orang asli untuk tinggal di hutan yang tidak digondol.

Atau mereka cuma nampak hak orang miskin untuk mendapatkan wang zakat, BR1M atau apa-apa bantuan. Padahal mereka juga ada hak untuk diberikan bantuan personal atas kapasiti kita sebagai jiran.

Ketahuilah bahawa setiap hak adalah tanggungjawab.Dan setiap tanggungjawab ialah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah.

DS Najib sebagai ketua negara, akan ditanya oleh Allah tentang hak-hak rakyat yang untuk hidup selesa. Dia akan menjawab. Kita juga bahkan akan ditanya soalan yang sama, kerana kita juga ada hak yang berhak dipenuhi, dan amanah yang punah jika tidak berhati-hati.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails