October 26, 2016

#52 Biarkan, jangan ditegur.

Ada orang yang tak boleh ditegur. Bila ditegur, makin menjadi-jadi nakalnya. Seperti kanak-kanak yang belum matang walaupun rambutnya sudah tidak hitam. Sayang sekali kerana mereka ini bukan calang-calang golongan. Ada yang menjadi contoh rujukan. Setiap detail kehidupan, banyak mata yang memerhati. Penuh minat dan jadi inspirasi.

Maka teguran dan nasihat terbaik untuk mereka ialah dengan tidak menegur. Nasihat baginya cuma di dalam doa. Biar jadi antara Tuhan dan kamu berdua.

Saya tak mahu berkata siapa-siapa. Saya cuma mahu ambil contoh, seperti seorang lelaki yang memakai rantai. Kita menegurnya dengan berkata, "Tuan, lelaki tak boleh pakai rantai. Berdosa".

Kita bersangka baik konon-konon dia akan berkata, "Oh yakah. Terima kasih mengingatkan",

Padahal yang sebenar, "Siapa awak nak tegur saya. Jaga tepi kain sendirilah".

Kalau dia nak menang mulut sahaja tak apa lagi, tapi kerana jiwa rebel dan alahan yang teruk kepada agama, maka esoknya dia pakai dua utas rantai pula. Jika masih ditegur, dia pakai rantai emas pula!

Di pihak kita memanglah kita sekadar geleng kepala. "Orang nasihat tak nak dengar", keluh kita.

Tapi di pihak mereka, mereka berasa bangga berjaya membuatkan kita 'geleng kepala'. Mereka bersorak kerana merasa seakan-akan telah beroleh kemenangan moral sedangkan mereka sebenarnya sudah makin tenggelam dan kelemasan.

Niat kita mungkin baik. Tapi kita sudah menjadi "haters" baginya. Dan "haters" bagi kawan-kawannya juga.

Begitu juga perempuan yang tidak menutup aurat. Pertama sekali, siapa kita untuk menegur mereka. Setiap orang suka jika kritikan atau nasihat dilakukan secara peribadi, bukannya di khalayak umum. Semua orang tak suka dimalukan, sekalipun orang itu sendiri tak ada rasa malu.

Jika kita bukan siapa-siapa, hanya kebetulan ternampak dia, maka elok diberikan keutamaan kepada orang yang dia senangi untuk menegurnya. Kerana kita tak mahu, daripada elok-elok bencikan tudung, kebencian dan kekecewaannya berlarutan kepada benci kepada orang agama, atau benci kepada agama itu sendiri.

Seperti yang terjadi kepada sahabat dan saudara kita dalam gerakan liberal dan sekular. Mereka sebenarnya tidak benci pun kepada Allah dan Rasul. Mereka cuma ada pengalaman pahit berurusan dengan ahli agama, badan agama, atau insitusi keagamaan seperti JAKIM, mahkamah syariah, dan sebagainya.

Tetapi kerana siri kekecewaan yang berlarutan, jiwa mereka meronta-ronta untuk melawan dan mengubah hukum Tuhan.

Jiwa rebel itu benar-benar wujud. Ada yang sekadar mempertikaikan badan agama, tapi ada yang sampai mempertikaikan agama itu sendiri!

Maka bila berdepan dengan manusia gaya ini, lebih baik kita diam. Biarkan luncai terjun dengan labu-labunya. Jika Luncai pandai berenang, InsyaAllah dia dan labu-labunya pun tak akan tenggelam. Tapi jika kita ghairah sangat nak selamatkan Luncai, bimbang-bimbang hulubalang raja akan nampak, lalu dengan kita sekali dibawa mengadap Raja dan dituduh bersubahat dengan Luncai menipu Raja.


Nasihat itu baik. Tapi kadangkala tidak memberi nasihat juga baik. Guna akal untuk menilai situasi.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails