#76 Hidayah | Petanda Allah Sayang

Ada dua lelaki yang tidak pandai bersolat. Ditanyakan kepada mereka, "Kamu tahu tak hukum meninggalkan solat?".

Jawab mereka, tahu. Berdosa besar.

"Habis tu kenapa tak mahu solat?"

Kedua-dua mereka menjawab serentak, "Tak tahu. Terlupa"

"Tak nak belajar solat ke?"

"Saya mahu tapi saya malu. Dah tua-tua pun tak pandai solat lagi. Nanti apalah orang akan kata",

"Saya mahu! Boleh awak ajar saya sekarang?", balas seorang lagi.

Maka dua lelaki yang tak bersolat tadi hanya tinggal seorang sahaja.

Begitulah perumpamaan hidayah. Hidayah bukan 'tahu'. Hidayah bukan 'mahu'. Tetapi hidayah ialah jauh lebih daripada itu.

Betapa ramai manusia yang tahu maksiat itu berdosa.

Tetapi mengapa dalam tahu dan sedar pun masih tetap dibuat.

Kerana tiada hidayah.

Hidayah ialah cara Allah menunjukkan cinta-Nya kepada hamba. Dengan hidayah, sejahat-jahat manusia pun boleh menjadi sebaik-baik manusia.

Abi Talib, bapa saudara Nabi ialah contoh terbaik tentang manusia yang paling dekat dengan sumber hidayah, tapi tidak mendapat hidayah.

Hingga ketika nazak sekalipun, Rasulullah tetap merayu agar dia beriman. Tapi apa kata beliau?

"Aku percaya dengan setiap kata-katamu. Tetapi biar aku mati dalam agama nenek moyangku"

Sedihnya Rasulullah hingga Allah menegur dalam al-Quran, "Kamu tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang kamu sayang, sebaliknya hanya Allah yang mampu memberi hidayah kepada orang yang dia kehendaki".

Setiap hari kita minta di dalam solat, "Tunjukilah kami ke jalan yang lurus".

Kita meminta hidayah daripada Allah.

Kerana dengan hidayah daripada Allah sahajalah kita boleh mengenal, mana intan dan mana kaca.

Allah suka memberi kita hidayah, tapi kita yang culas dan cuai menjaganya.

Sebab itu hijrah itu menjadi mudah. Tetapi istiqomah itulah yang paling susah.

Mungkin kerana itulah syurga-neraka berada di hujung ajal. Kerana tak semua manusia yang dah dapat hidayah dalam hidupnya, dapat hidayah sebelum matinya.

Doakan saya yang makin hanyut dengan dunia.

Previous
Next Post »
1 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443