#76 Nikah Awal

Penghujung 2012 saya 'tahu' isteri saya sekarang. Tahu namanya, kakaknya, dan ibunya.  Diperkenalkan oleh kakaknya melalui Facebook sahaja. Selepas beberapa bulan baru berani add dia di Facebook. Tak lama lepas tu minta nombor ibunya daripada kakaknya dan acah-acah berani menelefon kerana mahu kenal dengan ibunya. (ayah mertua dah meninggal masa isteri saya kanak-kanak).

Tahun 2013, dijemput bertandang ke rumah oleh ibunya dan bapa saudaranya. Datang bersama seorang sahabat sebagai teman, dari selepas maghrib hingga sekitar jam 9 malam. Sayup-sayup saya nampa kelibatnya semasa menghidangkan makanan. Waktu tu masih tak berani mengangkat mata memandang. Dalam hati tertanya,"Aduh, tingginya dia ni".

Beberapa bulan selepas itu, keluarga saya pun  datang merisik. Saya tunggu di rumah kakak, tengok-tengokkan anak saudara. Diorang balik tu, diorang kata, "Weh comelnya Wani tu", sambil menunjukkan rakaman video upacara sarung cincin. "Tak padan la dengan mu, paksu. Mu tuu bukannya hensem", usik kakak yang lain. Saya buat-buat sombong kononnya tak nak tengok video tu, padahal dalam hati sangat teringin nak tengok muka dia. Berjubah merah.

Tahun 2014, saya datang beraya di rumahnya, juga bersama keluarga bapa saudaranya. Lama saya sampai tapi tunggu dalam kereta sahaja sebab bapa saudaranya belum sampai. Tak berani nak datang seorang diri. Juga tak sempat nak pandang dia kerana berborak dengan keluarganya.

Tahun 2014 juga, kali pertama jumpa dia untuk tukar barang pengantin. Dia beli pihak pompuan, saya beli pihak lelaki. Senang. Bab saiz, warna, brand, harga, semua atas pilihan sendiri. Dia pun dah kerja, jadi dia beli dengan duit dia. Saya beli dengan duit saya. Masa tu bulan Ramadhan, di bazar ramadhan masjid besi. Berjumpa di tepi jalan. Baca mesejnya, dia kata bawah pokok. Puas cari baru nampak. Tak perasan, ingatkan pokok. Lepas tukar barang terus balik.

Tahun 2014, bulan September, tup-tup dah nikah. Baru sempat dengar suara, tengok muka dia lama-lama. Eh rupanya cantik juga isteri aku ni. Sebelum ni cuma mampu tengok dalam gambar profile whatsapp photo je. Kat facebook pun ada gambar group je. Adalah gambar muka dia sebesar separuh jari kelingking. Tipulah kalau saya kata tak pernah tengok muka.
Bulan disember 2014, isteri dah mengandung.

15 Ogos 2015, Busyro Maisarah lahir. Saya jadi bapa. Umur masa tu 25 tahun dan isteri 26 tahun.

Tahun 2017, saya baca komen orang di Facebook: "Buat apa kahwin awal sangat bro. Enjoy lah dulu. Kenal-kenal lah dulu"

Padahal nak kenal apa lagi. Dah ke hulu ke hilir bersama. Dah  25 jam sehari bermain whatsapp dan bervideo call.

Semua benda dah tahu. Kadang-kadang benda yang tak patut tahu, pun dah (diberi) tahu.
Tapi nikahnya tak juga.

"Tak ada duit lagi", kata kita.

Tahun 2013 tu, saya baru bergaji (elaun) RM 800 sebulan. Tapi masa tu dah teringin nak bernikah. Nak sangat kahwin awal.

Jadi saya buat plan. Tahun 2014 saya mesti establish jadi LAE tapi apakan daya, ada halangan yang membuatkan saya terpaksa berhijrah ke syarikat lain.

Alhamdulillah. Sejak gaji pertama lagi saya dah mula menabung untuk kahwin. Memang masa tu makan pun masih berkira-kira. Kadangkala terpaksa berpuas hati dengan roti putih sahaja. Nak melancong jauh sekali. Tak ada peluang nak 'reward' diri sendiri.

Saya rasa, kita ni kalau serius nak kahwin, kita wajib fokus.

Kalau kata tak ada duit, kenalah menabung. Lama-lama banyaklah. Tak ada duit, cari. Bukan belanja.

Agak kontradik juga bila kata tak ada duit tetapi beli baju, hisap rokok, beli telefon, dan tiap-tiap hari makan di kafe hipster.

Kedua, kalau nak kahwin, kena minta dengan Allah. Kena selalu solat hajat, minta dengan Allah. Merayu denganNya supaya dimudahkan urusan kita dan dia. Minta Allah bukakan hati kita dan keluarga kita untuk membantu memudahkan urusan dan persiapan. Rajin-rajinkan diri datang majlis ilmu. Ilmu dapat, makan free pun dapat (kadang-kadang ada jamuan lepas isyak).

Ketiga, jangan buat maksiat. Kita ada sejuta alasan untuk menghalalkan 'dating'. Kononnya mak ayah dia sendiri beri izin. Tapi kita sendiri tahu, hati kecil kita ada rasa bersalah. Kita sendiri tahu, jiwa dan nafsu kita bergelegak. Kita tahu zina itu ada pecahannya. Ada zina mata, zina tangan, dan ada zina hati. Bab zina hati paling susah dijaga. Akhirnya melarat di whatsapp dan messenger. Jangan ditipu nafsu. Konon nak bincang pasal baju nikah, tapi tiba-tiba sampai kepada saiz baju pula. Kalau dilayan, tak mustahil akan melarat kepada saiz baju dalam pula!

Keempat, murnikan niat. Nikah pasal apa. Keinginan biologi sahajakah, atau spiritual juga. Sangat menipu jika mahu mengikut sunnah, tetapi tidak disiapkan ilmu agama. Lebih malang, bab solat pun belum selesai walaupun esoknya tarikh akad nikah.

Kelima, betulkan persepsi tentang perkahwinan. Beri sebanyak-banyaknya, bukan terima sebanyak-banyaknya.

Saya pelik bila orang kata, "Nak kahwin awal sebab tak tahan la tu", padahal orang yang "tak tahan" ialah orang yang tak sempat tunggu halal, dah buat benda haram. Mungkin tak sampai kepada zina. Tapi tangan dah sentuh. Mulut dah cium pipi. Lengan dah peluk pinggang. 

Duit pun dah banyak habis.

Akhirnya, tak kahwin-kahwin juga. Ataupun paling lucu, habis duit kepada jodoh orang lain.
Habis duit tak apa lagi. Habis keperawanan?

Kepada sahabatku yang baik, jika nak bernikah, ingat pesanan ini betul-betul.

Kita tak perlu berpendapatan tetap, tapi kita perlu tetap berpendapatan.

Jangan salahkan orang tua jika meletakkan syarat wang hantaran kerana mereka juga risau tentang masa depan anak mereka.

Macam satu taman bunga. Kalau tak dapat petik yang itu, petiklah yang lain. Bukan semua bunga berduri.

2017, kalau serius nak bernikah, fokuslah!

Dan lupa nak cakap. Cinta selepas nikah itu 'real'.

Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

nice artikel, saya sudah membaca dan mengikuti banyak artikel dan postingan di blog ini.
mudah2an kedepanya bisa menambah banyak lagi artikel2 berkualitas.. di tunggu artikel selanjutnya.. :)

kunjungi artikel sy di : artikel bola

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443