Bayyinat 2018

Bismillah.

Lama sungguh saya tak menulis di blog ini. Terlalu lama saya meninggalkan platform ini tidak terusik. Banyak yang telah saya rugi.

Saya sebenarnya tak sangka yang masih ada orang nak baca tulisan saya. Masih ada yang ternanti-nanti entry terbaharu saya.

Penghujung tahun 2017, ada sebuah kiriman diterima dalam kantung emel saya. Daripada seseorang yang saya tidak kenal.


Kalau emel ini saya terima pada tahun 2010, mungkin malam itu terus sahaja saya balas. Tapi itu dahulu. Masa tu saya memang selalu ditanya macam-macam soalan. Daripada platform yang pelbagai seperti formsprings, emel, dan juga facebook.

Persoalan ini juga berat. Semacam mahu menyindir saya sahaja.

Iaitu berkenaan dengan Allah. Jika dahulu, saya berangggapan perkara sebegini tidak mungkin berlaku.

Bagaimana mungkin seseorang yang bersolat boleh lagi berfikiran yang bukan-bukan. Lainlah kalau dia tak solat. Tapi sebenarnya benda ni berlaku. Dalam solat sendiri pun boleh datang was-was.

Lupa rakaat, itu biasa.

Tapi kalau sampai was-was tentang kewujudan Tuhan, itu kita kena tanya, at the first place, kenapa kita solat?

Sudah tentulah kita solat kerana kita percaya dengan kewujudan Tuhan. Betul tak? Jadi kenapa boleh timbul keraguan di situ.

Saya mengagak, yang diragui bukanlah kewujudan. Tetapi yang diragui ialah kekuasaan Dia.

Mungkin dalam bahasa lain, perasaan Ihsan. Sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim,

"Beribadahlah kamu seolah-olah kamu melihat Allah. Jika tidak mampu, ketahuilah bahawa Allah melihat kamu".

Perasaan itulah yang hilang sebenarnya. Rasa Allah ada, memerhati, menilai, dan menguji kita.

Kita semua berdosa. Busuk, berpeluh, dan berlumur dengan najis dan kotoran. Najis itu ialah dunia.

Dalam sehari, 8 jam kita tidur, 8 jam kita di pejabat atau sekolah, dan selebihnya kita bersosial. Untuk ibadah? Berapa jam?

Jangan cakap jam, minit sahaja cukuplah. Berapa minit kita habiskan masa kita untuk Allah?

Padahal kita tahu, dalam al-Quran Allah kata dengan jelas, tidaklah Dia jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah semata-mata kepada Allah.

Tapi nak ibadah macam mana kalau 24 jam seharian kita, habis begitu sahaja.

Sebab itu ada perintah solat. Supaya kita tinggalkan seketika dunia. Kita berwuduk, dengan harapan bukan setakat kotoran yang tertanggal daripada kulit tapi juga dosa-dosa kita tertanggal sama.

Kita angkat takbir, seperti penjenayah yang mengangkat tangan surrender bila diacukan pistol oleh polis.

Kita surrender. Menyerah diri kepada Allah.

Solat ni sangat powerful. Sebab itulah waktu syaitan paling aktif menghasut kita, ialah masa kita solat.

Mungkin mereka tak mampu menggoda kita tinggalkan solat, tapi mereka mampu menggoda kita merosakkan solat kita sendiri.

Lalu ditimbulkan pelbagai isu, persoalan, dan keraguan. Yang sebenarnya tak munasabah.

Jadi kalau tanya saya, kenapa kita kadang-kadang rasa was-was tentang kewujudan Allah, maka jawabnya adalah kerana hasutan syaitan dan iblis.

Apa kita nak buat?

Pertama, baca ta'awuz. Aa'uzubillahiminassyaitonirrojim. Minta bantuan Allah supaya syaitan ni tak berjaya menghasut kita.

Kedua, tetapkan hati. Keraguan tidak boleh diatasi oleh kebenaran. Kita tahu, Allah ada. Jadi kalau ada orang kata Allah itu tiada, adakah kita nak kata Allah tak ada? Samalah macam tubuh badan kita. Kita tahu kita ada 2 biji mata. Kalau ada kawan kita mengusik kata mata kita cuma sebelah sahaja, adakah kita akan percaya? Sudha tentu kita kata dia merepek, walhal kita bukan nampak pun mata kita. Cuma benda ni terlalu 'benar', sampai tak logik kalau orang argue. Begitulah dengan kewujudan Tuhan.

Ketiga, mohon ampun atas maksiat hati kita. Saya tahu, kita tak minta untuk ragu-ragu. Tapi benda ni kadang-kadang timbul. Jadi cepat-cepat istighar. Cepat-cepat timbulkan kesedaran. Jangan biar hati kita hanyut. Bimbang-bimbang bila makin jauh dia hanyut, tiada siapa lagi dapat menyelamatkan kita.

Keempat, ini biasa!

Ada seorang sahabat Nabi datang mengadu kepada Saidina Abu Bakar. Dia menangis teresak-esak. Katanya, "Bila aku bersama dengan Rasulullah, aku seakan-akan boleh merasakan syurga dan neraka berada di kiri dan kananku".

Mengambarkan betapa dia rasa imannya sangat kuat waktu tu.

"Tapi bila aku balik, bila aku bersama keluargaku, aku tak dapat rasa macam tu".

Saidina Abu Bakar tersentak. "Aku juga begitu", katanya. Dia pun sama menangis.

Lalu kedua-dua mereka bertemu Rasulullah dan mengadu hal yang demikian. Lalu Baginda bersabda, "Jika kamu dapat kekal beriman sebegitu sepanjang masa, sudah tentulah malaikat Jibril akan turun dari langit, dan berjabat tangan dengan kamu".

Maknanya, memang mustahil kita tidak akan lalai walau sesaat.

Ada masa, iman kita kuat. Ada ketika, kita rasa lemah, lembik, dan tak bermaya.

Waktu lemah, ingatlah bahawa sahabat Nabi juga ada masalah dan terfikir sebegitu. Tapi Nabi tidak menyalahkan mereka, kerana Baginda tahu, kita ini manusia.

Manusia yang paling baik bukanlah yang tak berdosa. Sebaliknya, yang paling baik adalah yang paling segera meminta keampunan.

Kelima, praktis.

Imam Ghazali kata, dia 20 tahun praktis, baru dia dapat merasai khusyuk. Inikan pula kita yang jahil ni. Ilmu pun dah lah tak ada. Solat sunat pun sedikit. Dosa maksiat pula dah jadi benda biasa bagi kita. Mana mungkin hati yang hitam, boleh menjadi penyuluh.

Mungkin nasihat terbaik buat kita bersama, ialah mencari ilmu.

Doakan saya istiqomah menulis pada tahun 2018 ini.
Previous
Next Post »
1 Komentar
avatar

Pertanyaan tersebut juga pernah terlintas dalam fikiran saya sebelum ini. Kemudian saya teringat semula akan semua kesulitan yang saya alami dalam kehidupan ini dan saya menemukan jawapan disitu. Sekiranya saya masih tidak menemui jawapan bagi persoalan tersebut, saya akan mula mencari dengan mencari buku-buku berkaitan atau mencari di internet. Saya yakin Allah tidak pernah meninggalkan kita tergapai-gapai tanpa jawapan.

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443