Islam Untuk Orang Lemah ?

(Berperang dengan nafsu nyata lebih sukar)
Pernah...
Pernah satu ketika, islam dilihat sebagai satu agama yang sangat lemah. Penganutnya terdiri dari kalangan hamba. Bilangan pengikutnya sedikit, bahkan tersangat lemah. Sentiasa mereka dihina, disiksa, diberi tekanan dan ditindas. Namun, bantuan Allah datang dari sumber yang tidak disangka-sangka. Bermula dengan hijrah ke kota Madinah, islam mula menapak. Mengembangkan sayap keamanan ke seluruh pelusuk bumi arab, hingga satu masa, 2/3 dunia dipenuhi oleh manusia yang menunaikan solat dan berzikir.

Itu kisah lama. Ya, itu sejarah. Dan sejarah jugalah yang menyaksikan bagaimana kerajaan islam di Sepanyol runtuh. Sejarah jugalah yang merakamkan bagaimana empayar islam di Turki musnah. Dan jika tidak berhati-hati, kita akan menyaksikan musibah yang sama di bumi kita.

Jika diawal-awal dakwah Rasulallah, islam banyak dianuti oleh orang lemah, adakah sekarang pun islam masih dianuti oleh orang-orang yang lemah?

Saya tertarik dengan realiti. Jika dulu, manusia-manusia seperti Abu Jahal dan sekutunya seringkali 'membuli' orang islam kerana mereka lemah, ternyata zaman sekarang suasana yang sama berlaku. Cuma bezanya, Abu Jahal dan sekutunya kini sudah memiliki I.C bertulis 'islam' sebagai agama.

Tidak, Islam bukan untuk orang lemah.
Orang selalu bising. "Islam tu jumud" "Menyekat kebebasan" "Menghalang kemajuan" "Mundur" dan macam-macam lagi salah faham. Pemahaman yang dilontarkan melalui pemerhatian melulu dan pemikiran yang mundur ternyata merugikan kerana mereka terhalang daripada memahami hakikat islam.

Saya teringat. Saya pernah mengikuti satu program yang bertajuk "Menjauhi perkara Mubah". Dan saya bersama seorang sahabat, ditugas untuk membentangkan satu kertas kerja ringkas berkaitan dengan alatan teknologi- Bagaimana mahu besederhana dengan alat teknologi. Saya dan sahabat ternyata terburu-buru. Kami membahaskan tentang keburukan teknologi hingga kepada konklusi bahawa kita patut mengurangkan penggunaan teknologi kerana dalam kaedah feqah-Saddu al-Dzara’ik membawa makna kita harus menutup peluang kepada maksiat. Maka, kami labelkan teknologi sebagai 'tidak baik'. Lalu seorang sahabat bertanya, 'Tidakkah dengan menjauhi penggunaan teknologi, membuatkan islam dipandang sebagai jumud, ketinggalan dan tidak berkembang?'

Tersentak. Kami ubah pendirian dengan pendirian baru bahawa 'tangan yang mengawal teknologi itulah yang akan mengawal hasil teknogi itu, baik atau buruknya'. Inilah yang para ulama sufi gambarkan tentang dunia. Dunia bagi mereka ialah apa-apa saja yang tidak punya kebaikan kepada kehidupan akhirat. Maka, jika teknonogi digunakan sebaiknya, maka itu bukan lagi 'duniawi'. Ia tidak sia-sia. Bahkan, ia gedung pahala.

Saya memberi contoh mudah. Saya sebagai penulis, saya sedaya upaya menggunakan medium blog ini sebagai medan saya memperbetulkan diri saya (khasnya) dan anda, saudara seagama saya. Kerana teknologi inilah, apa yang saya tulis di Malaysia boleh dibaca hingga di Mesir. Tapi yang paling penting, ada sebuah hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah yang sangat meneyentuh hati saya.

Membiak
Hadisnya berkisar tentang 'tangan'. Hadisnya membawa maksud jika kita mengajar kepada suatu kejahatan, maka kita akan mendapat dosa orang yang kita ajar dan jika kita mengajar kebaikan, maka kita akan dapat pahala yang sama jika orang yang kita ajar buat kebaikan itu. Mungkin susah nak difahami, maka izinkan saya menggunakan bahasa Facebook.

Jika kita 'share' video kuliah ustaz Kazim Elias, lalu 5 orang sahabat kita menonton lalu mereka beramal, maka kita beroleh pahala sama seperti setiap orang daripada mereka kerjakan. Dan jika setiap orang dari mereka 'share' dan lagi 5 orang tonton dan beramal, maka kita dapat pahala yang sama, dan sahabat kita pun dapat. Seterusnya, jika yang 5 orang tu share lagi dan kali ni 10 orang pula yang beramal, maka kita dapat lagi pahala 10 orang. Maknanya, pahala ini akan terus 'beranak'.

Sama halnya dengan kita mengajar maksiat. Kita 'share' satu artikel umpat, lawak lucah atau video maksiat, maka dosa yang kita dapat juga akan 'beranak' mengikut berapa jauh bahan itu tersebar.

Maka, saya sama sekali tak kisah jika anda semua nak share artikel saya bahkan saya gembira. Mudah-mudahan Allah beri anda pahala yang berlipat kali ganda.

Kembali kepada topik asal... kita tidak lemah.

Jika dahulu, saya hanya faham bahawa hanya ustaz yang faham islam tapi kini ia berubah 100 peratus. Ternyata, telah ramai golongan profesional yang faham dan beramal dengan islam. Antaranya ialah murabbi saya sendiri. Saya kagumi beliau. 

Tapi, bilangan manusia yang seperti Abu Jahal tetap masih ramai. Mereka semua hebat. Kedudukan tinggi dalam masyarakat. Ada yang jadi pemimpin, bahkan ada yang jadi ahli perniagaan dan golongan profesional, tapi mereka tidak punya kerja lain kecuali menindas golongan yang mahu kepada agama. Alasannya, islam menghalang kemajuan? Sejauh manakah kebenaran tuduhan ini.

Jawapannya, ia sama sekali tidak benar kerana islam tidak pernah menghalang umatnya maju, bahkan islam galakkannya pula.

Kerana itu, pakar bedah dibenarkan untuk menjamak solat jika dia terlibat dalam pembedahan sedang waktu solat sudah tamat.

Kerana itu, islam membenarkan umatnya bersolat dalam kenderaan, bagi golongan yang tidak terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas.

Saya pasti, islam itu mudah. Sama sekali tidak membebankan. Cuma sikap kita yang membelakangkan islam ternyata menjadikan kita lemah.

Jika di Tunisia, mantan presiden, Habib Bourguiba menghalang rakyatnya berpuasa di bulan Ramadhan kerana kejatuhan mendadak produktiviti dan mutu kerja, di Malaysia pula tidak banyak bezanya.

Sikap beberapa orang pemerintah yang memandang sebelah mata kepada islam, bagi saya cukup menjengkelkan. Ada majikan yang menghalang pekerja daripada bersolat. Bahkan, tidak sedikit orang lelaki yang tidak dibenarkan menunaikan solat jumaat kerana dia 'kuli'. Bukankah ini adalah bentuk-bentuk tekanan daripada Abu Jahal suatu ketika dulu? dan kini diteruskan oleh orang islam sendiri.

Dan terbaru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti yang dinyatakan oleh pemimpin. Kita dapat lihat bagaimana islam itu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat 'menghalang' dan 'terlalu ringan'.

Bilakah masanya orang-orang yang sensitive kepada agama mahu membangunkan negara dengan meletakkan redha Allah sebagai yang utama?

Kesimpulan
Kitalah agen perubahan. Itu pasti. Kita harus berhati besar. Kita punya kebolehan, cuma perlu usaha. Ayuh, kita menjadi golongan profesional yang beriman dan bertaqwa. Golongan yang sedikit sekali berhibur tapi banyak belajar. Kita jadi salah seorang daripada ratusan ribu hamba-Nya yang menggunakan jawatan, kuasa, harta dan pengaruh kita untuk menjadikan islam kembali dilihat sebagai kemajuan, bukannya penghalang kemajuan.

Diatas segala kecuaian dan sikap kita yang acuh serta tidak menonjolkan ciri-ciri ajaran islam hingga bangsa luar melihat kita lemah, kita pohon... mudah-mudahan Allah ampunkan.
Previous
Next Post »
7 Komentar
avatar

sy cume nk cakap..sy bangga jd umat Islam....Allah tak pernah 'bias'...

Balas
avatar

nice!
aduss, suke part yg neh!
'Sama halnya dengan kita mengajar maksiat. Kita 'share' satu artikel umpat, lawak lucah atau video maksiat, maka dosa yang kita dapat juga akan 'beranak' mengikut berapa jauh bahan itu tersebar.'
byk video cam tuh kat fb tuh haa
haih

Balas
avatar

Tidak..tidak sesekali Islam itu untu orang yg lemah...bukan ape..sikap sebilangan umat islam yg xacuh dgn ajaran islam...hu3


latest entri:

apabila karya photoshop serba tak menjadi!

Balas
avatar

tak sempat nak baca semua.. nanti insya-Allah.. datang baca lagi.. hehehe..

Balas
avatar

kekadang IM malu pada kawan bukan muslim bila di tanya pasal saudara seagama IM yang huru hara

Balas
avatar

teknology siapapun ia tetap milik Allah juga , jd sepatutnya milik Allah digunakan kpd makhluk Allah dgn tujuan baik bukan jahat

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443