Peraduan Menulis : Idolaku, Inspirasiku

Pagi itu sejuknya luar biasa sekali. Terasa sampai ke tulang rusuk. Dalam sebuah khemah yang bersaiz sederhana besar, seorang anak muda sedang tekun beribadah. Suasana sunyi dinihari itu dirasakan seperti miliknya seorang untuk dihabiskan bersama kekasih Yang Maha Pencipta. Dalam sendu yang tidak dapat ditahan-tahan, anak muda bernama Furqan itu bermunajat. Bersunguh-sungguh.

"Wahai Tuhanku, sungguh Kau Maha Tahu. Hati ku merintih-rintih mahu menemuiMu. Jiwaku merayu-rayu mahu bertemu Rasul-Mu. Tuhanku, aku berada di sini hanyalah kerana-Mu. Kerana itu, biarlah aku meninggalkan tempat ini dengan kemenangan atau tidakpun, sebagai pejuang-Mu"

Lama dia teresak-esak. Mirip anak kecil tidak mendapat mainan idaman. Tangisnya rupa-rupanya mengejutkan teman-teman dalam khemah itu. Ada yang terjaga lalu bangkit dari pembaringan dan ada pula sekadar mengucap tasbih dan kembali menyarung selimut lusuh mereka.

Ia adalah suasana yang sangat biasa di tapak itu. Ada segelintir manusia akan bangkit awal untuk bersolat malam sebelum kembali tidur sebentar, sekadar untuk mengumpul tenaga menjelang subuh. Ada pula segolongan manusia selesa bangkit beberapa jam sebelum subuh untuk beribadah. Furqan juga begitu.

Roda fikiran Furqan berputar ke belakang, mengingat kembali pesanan dari bonda tercinta. "Nak... Ibu telah redha kamu mengikuti rombongan ini. Jangan kamu risaukan ibu nak. InsyaAllah ibu akan dijaga oleh Allah. Lagipun, adik-adik lelaki kamu ada untuk jaga ibu. Ibu tahu semangatmu dan keinginannmu untuk mengikuti rombongan itu. Ibu juga tahu impianmu untuk mengikuti jejak langkah bapamu. Kerana itu anakku, ikutlah mereka. Berjuanglah sedaya upayamu. Ibu sentiasa mendoakan keselamatan dan keimanan kamu"

Saat melafazkan kata-kata itu, airmata ibunya tumpah. Deras. Furqan memeluk ibunya. Air matanya juga tumpah. Sungguh, dia menangis kerana gembira bersulam duka. Gembira kerana ibunya membenarkannya untuk ikut berjuang fisabilillah. Duka kerana terpaksa berpisah dengan ibu tercinta. Entah bisa bertemu lagi di dunia ini ataupun tidak.

Tangan ibunya dirangkul kemas lalu dicium penuh kecintaan. Hatinya sayu mengenangkan ibunya. Mujur, adik-adiknya sedia memikul amanah untuk menjaga ibu mereka.

Dan perpisahan kedua beranak itu berlangsung dengan doa dan restu yang berpanjangan dan tulus.

Furqan menangis lagi. Rindunya kepada ibu dan adik-adik bukan kepalang. Ia mengalir ke seluruh rongga tubuh sasanya. Dan rindu itu juga mengalir hingga ke pusara ayahandanya. Furqan kehilangan bapa semasa usianya masih mentah. Ayahnya meninggal kerana mempertahankan bumi tercinta daripada serangan pihak kafir. Wajah ayah tercinta samar-samar bermain di mata. Furqan masih ingat, bapanya pernah berbicara lembut dengannya. "Furqan, furqan tahu tak apa maksud nama Furqan?"

Dia yang  leka bermain pasir menjawab dengan acuh. "Tak tahu"

Ayahnya senyum. Dia mengusap kepala Furqan dengan lembut dan penuh kasih. "Furqan, dengar sini. Nama Furqan itu bermaksud pemisah. Ayah mahu supaya besar nanti, Furqan akan menjadi pemisah antara keimanan dan kekufuran. Ayah teringin sekiranya anak ayah ini menjadi seorang lelaki yang soleh, berilmu, berani dan bertaqwa. Boleh?"

Furqan mendengar dengan khusyuk. Permintaan bapanya dibalas dengan penuh semangat, "Boleh! Furqan nak jadi orang baik macam ayah!"  Ayahnya tersenyum bahagia. Dahi Furqan dikuncup lembut. Furqan ketawa malu-malu.

Dan sekarang, anak kecil tadi benar-benar mengikuti jalan yang pernah dilalui bapanya. Dia ialah salah seorang daripada 150 ribu tentera yang sedang berjuang memerdekakan kota Constantinople dari cengkaman Kerajaan Byzantine.

Furqan tersedar dari lamunannya selepas mendengar batuk keras temannya, Ayyub. Sahabatnya itu sedang demam dan batuk-batuk, tapi semangat juangnya membara. Pernah Furqan menyatakan kerisaunnya tentang kesihatan Ayyub. Badannya panas.

"Badan aku panas bukan kerana aku sakit, tapi kerana semangat aku yang membara. Furqan, jangan risau ya", kata Ayyub sambil tersenyum. Furqan turut sama mengulum senyum. Jauh di sudut hatinya, dia kagum dengan semangat dan kepahlawanan Ayyub. Sepanjang hampir sebulan mereka mengepung kota Constantinople ini, Ayyub sentiasa mahu menjadi orang yang paling hadapan. Semestinya Furqan juga begitu. Tapi dia sering tewas dalam persaingan antara kedua mereka untuk menjadi penggempur paling hadapan.

Bagi Furqan, temannya itu sangat mirip dengan sahabat Rasulallah bernama Abu Ayyub al-Ansar yang dikuburkan berdekatan dinding kubu kota Constantinople. Sahabat Rasulallah itu ditanya mengapa beliau meminta dikuburkan disana. Jawabnya,“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.

Semua itu menyemarakkan lagi semangatnya. Ayyub dan sahabat-sahabatnya semua telah bangun. Ada yang sedang bersolat sunnat, silih berganti. Ia adalah tanda bahawa subuh sedang merangkak datang. Furqan ke luar khemah. Sudah menjadi satu kebiasaan, solat-solat dilaksanakan secara berjemaah di kawasan lapang. Dan solat itu akan dipimpin sendiri oleh Sultan Muhammad al-Fateh, pemimpina yang masih muda remaja. Baginda baru berusia 21 tahun tapi sudah faham benar akan tujuannya menjadi manusia.

Furqan mengucap tasbih. Benar, dia juga masih muda. Baru berusia 20 tahun. Tapi di usia itu, dia tidak merasakan dia masih muda. Selain daripada teladan dari bapa dan restu dari ibu, kepahlawanan serta kewibawaan sultan Muhammad al-Fateh yang masih muda remaja itu ialah salah satu sebab dia berkobar-kobar mahu mencari wajah Allah, dan berjuang di jalan-Nya ialah jalan pintas ke arah matlamat suci itu.

Orang ramai sudah ramai yang memenuhi tanah lapang itu. Mata mereka memerah. Furqan turut. Hati dan mulutnya berzikir. Di hujung-hujung, ada beberapa orang  parajurit ditugaskan untuk berkawal dan mereka akan beryukar-tukar giliran untuk solat. Tak lama, azan dilaungkan penuh syahdu.

Membesarkan asma' Allah di jalan ini benar-benar memberi kesan di hati-hati mereka. Benarlah kata orang, jika kita bersedap-sedap dengan dunia, maka kita tidak akan mampu bersedap-sedap dengan ibadah. Furqan memahami hakikat itu di sini.

Selesai solat, imam itu bangkit. Siapa lagi jika bukan Baginda Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda memberikan ucapan yang disulami ayat-ayat suci dan sabdaan Rasulallah. Ucapan penuh semangat dan ikhlas itu disudahi dengan lafaz yang sangat menyentuh jika.

"Wahai para pejuang-pejuang Allah sekalian. ingatlah kita akan sabdaan Baginda Rasulullah s.a.w ketika Baginda s.a.w menggali Parit Khandaq; “Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera-Hadis riwayat Imam Ahmad. Tidakkah kalian mahu mendapat kemuliaan itu? Kemuliaan hidup sebagai muslim atau mati sebagai syuhada' ?"

Allahuakhbar!
Allahuakhbar!

Takbir bergema penuh semangat. Furqan turut sama bertakbir. Hatinya menguntum api marak yang tidak bisa dipadam kecuali dengan sejuknya nikmat syurga. Ya, dia seperti mendengar ibu dan adik-adiknya bertakbir.

"Ibu, Furqan mahu menjadi sebaik-baik manusia itu!", hatinya nekad.

***
Hari itu berlalu sama seperti semalam dan kelmarin. Pasukan mereka masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan musuh. Dan petang itu, Baginda sultan mencetus satu idea 'bodoh'. Baginda memerintahkan tentera-tenteranya menaikkan kapal-kapal perang mereka melalui jalan darat! Furqan mendengar arahan itu dengan tenang dan hati yang bulat. Dia yakin dengan idea dan kemampuan remaja soleh itu untuk memimpin mereka.

Bahkan, tiada seorang pun yang mengeluh dan tiada seorang pun yang berkerut tidak setuju.

Mereka menebang pokok-pokok untuk dijadikan roda bagi memudahkan kapal-kapal itu 'berlayar di daratan'. Dari pantai Beziktas ke Tanjung Emas (Teluk Golden Horn), mereka terpaksa melangkau bukit-bukau hingga hampir 3 batu. Ia bukan suatu yang mudah, tapi mereka semua yakin dan pasti bahawa Allah akan membantu dan memudahkan mereka.

Dan benar, Allah membantu mereka. 70 buah kapal perang lengkap dengan senjata terhebat berjaya ditarik.

Solat subuh pagi itu dikerjakan dengan sepenuh rasa syukur dan syahdu. Doa dipanjatkan dengan penuh sayu dan harap. Takbir bergema, menghangatkan alam. Kemenangan yang dijanjikan semakin hampir menjadi nyata! Subhanallah..

Pagi itu, berlaku pertempuran yang dahsyat. Benteng pertahanan musuh sedikit demi sedikit dirobek. Takbir sentiasa bergema. Ia satu serangan psikologi terhadap musuh.

Tentangan yang hebat diberikan daripada pihak musuh. Furqan cergas dan tangkas di medan pertempuran. Sudah 5 orang menjadi mangsa ketajaman pedang peninggalan bapanya. Namun, dirinya juga sudah banyak dilukai. Lagak Furqan seperti seekor singa buas. Tanpa sedar, dia menjadi sasaran pemanah pihak musuh kerana kepahlawanan beliau di medan pertempuran itu.

Kena! Sebatang panah mengenai tepat ke dadanya, merobek baju besinya. Furqan tertunduk perit, hilang keseimbangan badan. Di belakangnya, seorang tentera musuh sedia untuk menghayun pedang untuk memisahkan kepalanya dari badan. Furqan tak berupaya mengelak. Dalam hati, dia bertawakkal.

Tiba-tiba musuh itu diserang oleh seseorang. Dia tumbang. Rupa-rupanya orang yang membantu it ialah Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Baginda turut sama turun ke medan perang bersama kuda perangnya yang perkasa! Furqan senyum sekilas tapi akhirnya, kakinya terasa tak mampu menanggung berat. Dia rebah.

Sayup-sayup dia mendengar laungan keras takbir dari Sultan dan para parajurit silih berganti. "Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!" Kemenangan semakin hampir!

Darah mengalir laju dari lukanya. Dalam kesukaran, dia cuba menarik panah itu tapi ia terlalu sukar. Kesakitannya benar-benar tidak tertahan lagi. Furqan sedar bahawa doanya sedang dimakbulkan Allah. Dia tersenyum dan dia syahid dalam senyuman itu.
*****
Saya sebenarnya sedang menyahut seruan seorang rakan untuk masuk peraduan menulis anjuran saudari Latifah. Ini ialah kali pertama dalam hampir 2 tahun, saya join contest dan saya tak berharap untuk menang pun :) Saya cuma manulis sebagai bentuk latihan untuk meningkatkan kualiti penulisan saya.

Sebenarnya, apabila kita berbicara tentang idola dan inspirasi, pasti semua orang akan bercakap tentang dua orang manusia ini iaitu Rasulallah dan bapa kita. Saya juga meletakkan kedua-dua manusia hebat ini sebagai antara yang teratas dalam hati.

Cuma saya mahukan sedikit kelainan, maka saya cipta watak bernama Furqan. Dan watak Furqan itu diinispirasikan oleh seorang syuhada' yang menjadi saksi keganasan Israel laknat . Furkan Dogan. Usianya baru 19 tahun, tapi dirinya tidak takut untuk menyatakan kebencian. Dirinya tidak gentar untuk menyampaikan bantuan, dan kini, namanya termasuk dalam lipatan sejarah.
Furkan ialah salah seorang idola dan inspirasi saya. Kisah lanjut boleh dibaca disini.

Satu lagi watak dalam cerita ini ialah Sultan Muhammada al-Fateh. Siapa dia? Kalian boleh baca di sini. Saya mahu menyatakan bahawa di usia 21, Baginda telah memimpin bala tentera memerdekakan bumi bertuah, Constantinople. Secara tak langsung, Baginda menjadi manusia yang disabdakan sebagai sebaik-baik pemimpin! Subhanallah...

Saya sebenarnya tersepit di tengah-tengah garis waktu dua orang insan hebat ini. Furkan Dorgan berusia 19 tahun semasa dia syahid. Muhammad al-Fateh pula berusia 21 tahun semasa dia memimpin sebaik-baik tentera menyebarkan islam. Saya, 20 tahun tapi sedikit pun saya tidak menghampiri kejayaan mereka.

Saya impikan syahid, sedangkan dengan nafsu sendiri pun seringkali saya tewas. Saya bermimpi untuk memimpin manusia mengenal Allah, sedangkan memimpin diri sendiri dan orang sekeliling pun saya tak mampu. Sedih.

Sebelum saya terlupa, saudari Latifah meminta saya untuk tag tiga orang. Saya terpaksa berfikir panjang. Tak tahu mahu tag siapa. Jadi saya tag tiga orang bertuah ini. (Maaf sekiranya ada yang rasa terpinggir kerana tidak di tag)

(1)-Bro Hamzah : Seorang lelaki soleh yang alim dari segi teori dan praktikal. Tulisan sangat santai tapi memukau dan membina. Saya selalu berkampung di blognya secara senyap-senyap. Jarang saya meninggalkan komen di sana. Beliau adalah seorang penulis di beberapa majalah tempatan. Jadi saya mahu membaca apa yang bakal diluahkan oleh bro hamzah a.k.a ustaz ali. Boleh? :)

(2)-Hilal Asyraf : Penulis yang disegani. Sengaja saya tag beliau kerana beliau seorang penulis dan saya teringin menyelami urat-urat pemikiran beliau yang sarat dengan kematangan. Apapun, saya rasa beliau tidak akan join kontest ini kerana kondisi kesihatan beliau yang tidak elok. Moga dia segera sihat dan bertenaga.

(3)-Aisyah Yazid : Satu-satunya perempuan yang saya tag kerana hakikatnya, beliau juga seorang penulis. Kalau tak silap, tahun hadapan novel sulungnya akan berada di pasaran. Jadi saya fikir, menulis adalah satu latihan yang bagus untuknya.


Tambahan: Kemungkinan besar ini perkongsian terakhir sebelum 2010 menutup tirai. Saya akan pulang bercuti selama satu minggu, dan mungkin satu minggu juga tanpa internet coverage. Segala makan minum mohon dihalalkan ya :) Segala salah silap, mohon maaf ya :) salam mahabbah buat semua!

Previous
Next Post »
8 Komentar
avatar

bagus2!
dapat lebih mengenali mereka!
xpe lew
jg diri ek!

Balas
avatar

elok juga cuba sesuatu yang baru, berubah genre untuk variasi berdakwah

Balas
avatar

memburu syahid impian org2 beriman!!allahuakbar

Masing2 punya gaya dlm penulisan.Ada yg santai,bersahaja,lantang dalam masalah ummat.semuanya pasti mndpt nilaian ALLAH.in'ALLAH..jujurnya post2 yg ada di bayyinat ni..kalau dikumpul-kumpulkn sume sekali boleh jadi satu buku motivasi tau..pasti mdpt sambutan.Sma mcm org2 yg ditag.=)

Balas
avatar

akak echah selalu puji bayyinat.:)

Balas
avatar

"Wahai Tuhanku, sungguh Kau Maha Tahu. Hati ku merintih-rintih mahu menemuiMu. Jiwaku merayu-rayu mahu bertemu Rasul-Mu. Tuhanku, aku berada di sini hanyalah kerana-Mu. Kerana itu, biarlah aku meninggalkan tempat ini dengan kemenangan atau tidakpun, sebagai pejuang-Mu"... AMIN..

Balas
avatar

rasa macam nak nangis

kan bagus sambung lagi lepas furqan syahid tuh...:)

Balas
avatar

macy segan dgn org yg kamu tag. sekian. hehe

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443