CERPEN: Kemuncak

"Julius. Tunggu sebentar!"

Langkah kaki pemuda itu dimatikan. Dia menoleh kebelakang, kearah suara keras yang memanggilnya tadi.

"Ali? Ah! apa lagi yang dia mahu?", bisiknya dalam hati. Wajahnya yang selamba bertukar muram. Dia muak, bahkan terasa jengkel dengan sikap pemuda arab itu.

Seraya dia mempercepatkan langkah kakikanya, mahu menjauhi pemuda yang sedikit demi sedikit dianggapnya sebagai musuh. Ya, seorang musuh yang mesti dikalahkan.

Ali berlari-lari anak mendapatkan Julius. Sesekali, janggutnya yang lebat itu nampak seolah-olah berayun ke kiri dan ke kanan, mengikut deras kakinya melangkah.

"Julius, kau masih marahkan aku?", tanya Ali. Dia melunakkan suaranya dengan harapan sahabatnya itu lembut hati. Nafsanya sedikit tercungap-cungap kerana terpaksa berjalan pantas, menyaingi Julius.

Julius mencebek. Buat kali yang kedua, dia memberhentikan langkahnya. "Apa lagi yang kau mahu? Tidak cukupkah kau malukan aku malam tadi?", tanyanya separuh membentak. Mukanya tegang. Matanya yang kebiruan itu menjenggil, seolah-olah mahu keluar dari kelonsong mata.

Ali tersenyum manis. Tangannya melurut-lurutkan jambang dan janggutnya. "Maafkan aku pasal malam tadi. Aku tidak sengaja mahu membangkitkan soal itu"

"Tidak sengaja?", tanya Julius mengejek. "Apa memalukan agama aku itu tidak sengaja?"

"Julius... dengar sini dulu..", lembut suara Ali memujuk. Tangannya cuba mencapai tangan Julius tapi segera pemuda itu menepis dengan kasar. "Kau sendiri yang mahu tahu tentang sejarah islam dan kaitannya dengan agama kristian, bukan? Jadi apa yang aku katakan malam tadi, ialah petikan dialog antara orang-orang Nasrani dengan Nabi Muhammad s.a.w. Aku bukannya berniat mahu memalukan kau... "

Ali sedikit bengang, tapi dia menahan sabar. Teringat dia akan peristiwa malam tadi. Julius bersungguh-sungguh mahu bertemunya di Taman Breckford, kononnya mahu bertanya beberapa perkara kepada Ali. Ali yang sepatutnya menghabiskan malamnya dengan menyiapkan assignmet akur dengan kesungguhan sahabatnya tadi. Tepat jam 9 malam, dia sudah tercegat di taman itu. Walaupun begitu, bayang-bayang Julius hanya muncul selepas 10 minit dia menunggu. Sungguh tidak berdisiplin lelaki berambut perang itu.

"Apa yang kau mahu tahu?", tanya Ali. Mukanya sentiasa tampak tenang. Sememangnya pemuda berusia 24 tahun itu kaya dengan senyuman. Senyuman yang ikhlas, yang lahir dari lubuk hati.

"Aku ingin tahu tentang islam. Khabarkan aku tentang islam", Julius berbicara perlahan. Matanya yang membiru itu bulat memandang lelaki arab di sebelahnya. Tangannya dimasukkan ke dalam poket jaketnya. Malam itu sejuknya lebih sedikit berbanding kelmarin. Jika tidak berpakain tebal, mustahil ada orang mampu keluar dari rumah mereka.

Wajah Ali bercahaya. Dia teruja dengan permintaan rakannya. Tanpa lengah dan banyak soal, dia bercerita tentang islam. Ya, tentang islam yang asli. Yang belum dirobek oleh penipuan-penipuan daripada orientalis-orientalis barat dan media-media yang tidak bertanggungjawab.

"Islam ialah agama yang membebaskan manusia daripada menjadi hamba kepada manusia kepada menjadi hamba kepada Allah semata-mata", Ali melontarkan ayat pertama. Matanya melirik jauh ke dalam mata sahabatnya. Dia menduga tahap ke seriusan dan kesungguhan pemuda itu.

Julius mengangguk. "Itu saja?"

Ali tersenyum simpul. "Islam mengajar ummatnya untuk berkasih sayang, hormat menghormati, serta bersikap adil. Kami dituntut untuk menyayangi setiap makhluk tidak kira kawan ataupun lawan"

"Maksud kau? Bagaimana lawan juga dikasihi?", tanya Julius pelik.

"Kami dilarang daripada menyiksa binatang, apatah lagi manusia. Kami tidak dibenarkan memerangi orang melainkan selepas kami diperangi. Dan apabila memerangi orang, kami diperintah untuk membunuh secara elok. Tidak dibenarkan menyiksa, apatah lagi memperlakukan musuh seperti haiwan dan dihina", jelas Ali. Wajahnya tenang. Hatinya masih utuh dengan rantaian zikir sedari tadi.

"Bohong. Jika benar begitu, mengapa aku pernah melihat satu video di internet tentang orang-orang islam menyembelih hidup-hidup tahanan mereka?", tanya Julius sedikit tinggi. Masih segar di ingatannya bagaimana lelaki itu merengus menahan sakit apabila lehernya dikelar sedikit demi sedkit.

"Bagaimana jika aku katakan, di dalam satu papan telur, pasti akan ada dua atau tiga biji telur yang busuk?", tanya Ali pula. Dia mendapat sebuah idea untuk menjelaskan situasi sebenar buat lelaki itu.

"Aku percaya. Bukan semua telur dalam sebuah bakul baik-baik walaupun datang daripada ibu ayam yang sama", jawab Julius.

"Begitulah... Tidak semua orang islam faham ajarannya. Ramai yang tersilap dan tidak memahami islam yang sebenar. Islam ialah agama yang aman dan damai. Islam melarang manusia daripada bermusuhan. Islam juga menolak ummatnya daripada melakukan sesuatu perkara sewenang-wenangnya", jelas Ali.

"Jika begitu, jelaskan apa yang berlaku pada 11 September satu ketika dahulu?", Julius kembali melontar pertanyaan.

Ali menghela nafas. Dia sedar yang dia harus berhati-hati saat menitipkan jawapan. Bimbang-bimbang pada saat akhir, dia terperangkap.

"Itu bukan kerja orang islam. Itu agenda orang Yahudi. Mereka yang memfitnah orang islam sebagai pengganas. Akhirnya, imej umat islam telah diburukkan. Bukankah dahulu kau sendiri pernah membaca fakta-fakta yang menyokong bahawa tragedi itu bukanlah hasil tangan orang islam tetapi perbuatan zalim orang Yahudi semata-mata?", Ali memandang wajah lelaki di sebelahnya.

Julius teringat. Sebenarnya, dia sendiri yang menunjukkan artikel itu dan meminta penjelasan daripada Ali. Ah, bagaimana dia boleh lupa?

Angin malam tiba-tiba merembes kering memukul-mukul pipi mereka. Sejuk benar cuaca di bumi London ini.

"Julius, aku sejuk. Apa kata aku ke easy-mart depan sana dan dapatkan dua cawan kopi panas untuk kita?", tanya Ali. Dia memeluk tubuh, kesejukan.

Julius tersenyum tawar. Dia sekadar menangguk. Lantas, Ali pun bangkit dan menapak ke kedai yang hanya beberapa langkah sahaja dari taman itu. Tidak lama, dia kembali dengan dua buah cawan kopi yang masih berasap. Dihulurkannya secawan kepada Julius.

"Terima kasih", kata Julius sepatah. Dia menghirup kopi yang masih panas itu. Terasa nikmat sekali.

Seketika, mereka tenggelam dalam nikmat menghirup kopi panas itu.

"Ali... aku mahu tanya, apa pendapat kau tentang agama aku?", tanya Julius tiba-tiba.

Ali yang leka menghirup air kopi yang masih berbaki separuh itu tersentak sebentar tapi wajahnya masih tenang seperti tadi. "Kau mahu tahu pendapat aku tentang agama kristian?", tanya Ali semula. Dia meminta kepastian.

Julius mengangguk. "Katakan sahaja apa-apa. Aku janji tidak marah", katanya lagi.

Ali menghela nafas panjang. Matanya dilarikan ke hujung lorong pejalan kaki. "Julius, aku tak faham dengan agama kau. Kau katakan Isa itu anak Tuhan, bukan?"

Julius angguk. "Benar. Dia ialah anak Tuhan kerana dia dilahirkan tidak berbapa"

"Kalau begitu, kau setuju tak jika aku katakan seorang anak pasti akan serupa dengan ayahnya?", Ali cuba bermain dengan persoalan.

"Maksud kau?" Julius tampak berkerut. Mungkin pelik diasak dengan soalan sebegitu.

"Iyalah... anak ayam, pasti sama dengan ibunya. Anak kuda, sama dengan ibunya dan anak manusia, juga sama dengan ibunya", terang Ali.

"Ya. Jika begitu, aku percaya", Julius mengangguk dan tersenyum nipis.

"Jika begitu, apakah layak Isa menjadi anak Tuhan sedangkan Tuhan tidak mati, tetapi Isa mati?". Ali bersuara lembut.

Julius tidak senang dengan soalan itu. Dia mengeraskan suaranya, "Jika begitu. Siapa ayah kepada Isa?"

"Penciptaan Isa sama dengan penciptaan Adam, manusia pertama yang diciptakan oleh Tuhan. Tuhan berkuasa menghidupkan sesuatu. Jika dia hendak, dia hanya berseru. Kemudian, jadilah...", suara Ali lembut menerobos masuk ke dalam gegendang telinga Julius.

Julius semakin berang. Dia rasa terhina, atau lebih tepat. Dia merasakan bahawa Tuhannya sedang diperlekehkan.

"Kau pandai sekali berkata-kata. Jika benar Allah itu Tuhan, mengapa Dia tidak boleh dilihat?", gilirannya pula untuk menghentam Ali. Ali masih tenang dan bersahaja seperti tadi.

"Kerana Dia Tuhan lah Dia tidak boleh dilihat. Bukankah itu bukti bahawa Dia sangat hebat? Ini bermakna, Dia tidak serupa dengan makhluk. Jika Tuhan itu boleh dilihat, maknanya dia juga serupa dengan kita. Sama macam Isa,  dia bukan Tuhan, bukan juga anak Tuhan kerana Isa juga makan dan tidur. Dia juga mengantuk dan ke tandas. Apakah layak bagi Tuhan untuk memiliki sifat-sifat sebegitu?", tanya Ali sedikit tegas.

Julius berdiri. Dia berang. Urat-urat di wajahnya menimbul, tanda marah. "Celaka! Kau siapa mahu pertikaikan Tuhan aku?!!"

Ali beristighfar dalam hati. Dadanya berombak-ombak menahan rasa. Dia terkejut dengan reaksi negetif daripada Julian. "Julian, sabar... sabar... Aku tak ada niat sedikit pun menghina Tuhan kau. Aku cuma mahu kau berfikir perkara yang sebenar", Ali bersuara lembut. Dia berusaha mempamerkan wajah yang manis dan tenang walaupun dalam hati, dia terasa sedikit terbakar kerana diherdik sebegitu oleh temannya sendiri.

"Aaahhh! Aku tak mahu dengar lagi. Kau dengan agama kau sama saja. Penipu! Pembohong!", tengking Julius kuat. Beberapa orang yang lalu lalang di sekitar taman itu memandang-mandang mereka dengan penuh curiga.

Julius merengus marah. Wajahnya menyinga. Hatinya benar-benar terbakar.

Ali kaget. Dia turut sama berdiri. "Julius, dengar dulu... aku belum habis cakap lagi..", suaranya lembut, memujuk. Lantonan zikir-zikir dalam hatinya semakin hebat.

"Sudahlah! Aku tak mahu bercakap dengan pembohong lagi!", Julius bersuara keras kemudian terus melangkah laju meninggalkan Ali yang masih termanggu-manggu sendiran. Ali pula kembali duduk, kesal dan sedih.

Pagi itu, memang dia tercari-cari Julius tapi ternyata lelaki kristian itu sengaja menjauhinya.

Dan sekarang, Julius naik angin lagi. "Aku tak mahu jumpa kau lagi dan aku tak mahu dengar apa-apa lagi daripada kau! Faham?", suara Julius bergema kuat, memecahkan suasana hening dan permai pagi itu. Warga London sedang berpusu-pusu ke tempat kerja menjeling mereka berdua dari ekor mata. Mungkin pelik melihat orang bercakaran awal-awal begini.

"Julius...", Ali bersuara sayu.

"Sudah! Jangan ikut aku lagi!", katanya dengan kasar. Lantas, kakinya menyusun langkah dengan laju meninggalkan Ali yang dirundum rasa sedih yang tidak tergambar. Dek kerana marah yang masih menebal, Julius jadi cuai dan hilang pertimbangan. Saat mahu melintas jalan, dia tidak langsung memandang ke kiri dan ke kanan. Tanpa sedar, ada sebuah teksi sedang meluncur laju kearahnya.

Ali yang mengekorinya perlahan tersentak. Dia menjerit lantang. "Julius!! Hati-hati!!

Julius terpana. Saat terpandang teksi yang meluncur deras kearahnya, dia kaku, tidak mampu berbuat apa-apa. Teksi itu tersangat hampir. Sangat-sangat!

Boooommm!!

Satu bunyi yang kuat kedengaran. Julius terbaring di atas tanah. Kepalanya berpinar-pinar. Badannya sakit akibat terjatuh. Dalam kesamaran, dia melihat seorang lelaki tua tergesa-gesa keluar daripada kereta. Wajahnya cemas. Tidak jauh di depan teksi itu, seorang lelaki terbaring. Badannya berlumuran darah.

Hati Julius seakan disentap. "Ali!" "Ali!!!"

Dia bingkas berdiri dan meluru kearah sahabatnya. Keadaan Ali nampak teruk. Pemuda arab itu nampak sangat lemah. Mulutnya, kepalanya dan badannya berdarah akibat perlanggaran yang dasyat tadi.

Julius memegang tangan sahabatnya. Air matanya berjujuran melimpah. Dia menangis, kesal bercampur terharu. Ali telah menyelamatkan nyawanya. Tadi, dia memecut laju kearah Julius dan menolaknya ke tepi jalan. Malangnya, dia sendiri tidak sempat untuk mengelak teksi itu dan dilanggar.

"Arrghhh...", Ali mengerang perlahan. Dia menahan kesakitan. Julius merangkul tubuh sahabatnya itu. Dilihatnya sahabatnya itu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu. Lantas, dia mendekatkan telinganya ke bibir lelaki yang berjambang itu.

"Julius... aku... minta maaf...", Ali menutur dengan payah dan lambat.

"Dalam beg itu... ada hadiah untuk kau... ambil...", sambungnya lagi sambil jarinya menunding kearah beg.

Julius pula, semakin hebat tangisnya. Orang ramai sudah mula mengerumuni mereka. Pemandu teksi tadi nampak cemas. Dia dan orang ramai menyuruh agar Ali dihantar ke hospital dengan kadar segera. Julius akur. Dengan bantuan beberapa orang lelaki, mereka mengangkat badan Ali yang luka teruk dan tidak bermaya itu ke dalam teksi tadi. Sempat juga Julius menyambar beg sandang Ali yang tidak jauh dari situ. Beg itu kotor dengan darah.

Di dalam perjalanan, Julius merasakan genggaman tangan sahabatnya itu semakin longgar. Dia semakin nazak. Mulut Ali terkumat-kamit. Julius sekali lagi mendekatkan telinganya. Yang dia dengar ialah perkataan 'maaf' dan 'sayang'.

Julius mengangguk-angguk. "Ya.. Ali.. aku juga minta maaf. Aku juga sayangkan kau..". Dalam kesukaran, Ali mengukir senyum. Pemandu teksi itu memandu laju. Di wajahnya jelas terpampang rasa bersalah yang tebal.

Saat menghampiri pagar Queen Hospital, Ali memejamkan mata, mulutnya bergerak-gerak menuturkan kalimah Allah. Nampak sangat payah dan lambat-lambat. Cukup 3 kali, dia mengehembuskan nafasnya yang terakhir dalam dakapan Julius!

Malam itu ialah malam yang paling buruk buat Julius. Dia merasakan ketenangan yang nipis selama ini disentap. Dia masih memikirkan tentang Ali. Walaupun dia tahu saat ini, Ali sudahpun selamat berada dalam tanah. Petang tadi, dia turut hadir ke majlis pengebumian mayat Ali yang dijalankan oleh komuniti islam di sini. Matanya bengkang. Puas sudah dia menangis.

Di sisinya, ialah beg milik Ali. Dia masih menyimpannya kerana dia terlupa untuk menyerahkan beg itu kepada waris sahabatnya itu. Ali beragama islam dan berbangsa arab, tetapi dia juga ialah warganegara U.K kerana keluarganya sudah beberapa dekat menetap disini. Bahkan, Ali juga dilahirkan disini tetapi dibesar dan diberi didikan di Arab.

Julius mengambil beg sandang milik sahabatnya itu. Terketar-ketar tangannya membuka zip beg itu. Tompok-tompok darah kering masih jelas kelihatan pada bahagian bawah beg itu. Di dalam beg itu, terdapat sebuah buku dan sekeping surat.

Julius mengeluarkan buku tebal itu. Buku itu dibalut oleh satu lapisan plastik. Kulitnya keras. Tangan Julius masih terketar-ketar. Dadanya masih berombak-ombak. Cuma air matanya saja yang sudah pupus. Lambat-lambat dia menatap muka hadapan buku itu. "Terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris".

Dia meletakkan buku itu di sebelahnya. Tangannya kemudian memegang sampul surat berwarna coklat. Terpampang pada sampul itu. "Untuk Sebastian Julius". Surat itu untuknya! Dia mengoyak sampul dengan perlahan-lahan. Saat itu, hanya Tuhan yang dapat mengambarkan bertapa sayu hatinya. Julius masih terketar-ketar. Dia mengeluarkan sepucuk surat dari dalam sampul itu.

"Buat sahabatku, Julius. Aku mohon kemaafan atas kejadian malam tadi. Namun aku mahu menegaskan bahawa aku sedikit pun tidak punya hasrat untuk mengguris hati kau. Aku sudah menganggap kau sebagai saudara aku sendiri, Julius. Aku tidak sanggup untuk terus-terusan melihat kau terkapai-kapai mencari kebenaran. Izinkan aku untuk menghadiahkan senaskah terjemahan kitab suci al-Quran kepada kau. Aku tidak memaksa kau mengikuti agama aku, tetapi aku berharap kau buka minda kau. Kaji dan renungilah satu per satu ayat-ayat al-Quran. Buatlah perbandingan dengan bible milikmu. Mudah-mudahan, kau menemui kebenaran. Salam kemaafan dari seorang sahabat yang tidak sempurna"- Ali Fathi Mohammed.

Nafas Julius tersekat-sekat sesudah membaca isi kandungan surat yang bertulis tangan itu. Dirasakan dunia ini gelap. Air matanya yang pupus sedar tadi kembali merembes keluar laju. Julius sedih. Tersangat sedih. Jika diberikan peluang, dia mahu kiranya dapat mengembalikan masa kepada insiden pagi tadi. Dia kesal. Sekiranya dia tidak melulu melintas jalan, pasti dia tidak akan kehilangan seorang sahabat yang sangat baik seperti Ali. Sahabat yang sanggup mempertaruhkan keselamatan dirinya untuk orang lain.

"Ali.... maafkan aku...", bisiknya dalam hati.

Julius berganjak ke meja di bilik empat segi yang disewa daripada Puan Morris. Dia memegang naskah al-Quran yang berat dan tebal itu. Sebelum itu, dia menyeka air mata yang masih bertakung di tubir matanya. Dikoyaknya penuh hati-hati pembalut al-Quran itu. Itulah kali pertama dia memegang al-Quran! Dan ayat-ayat pertama yang dibacanya ialah daripada surah al-Fatihah dan permulaan surah al-Baqarah.

Bagi orang yang pertama kali mengetahui isi kandungan al-Quran, Julius merasa kagum dan teruja. Tanpa sedar, sudah 2 jam dia menatap kitab itu dan dia terlelap dengan kitab itu masih lagi terbuka.

Esoknya, dia bercuti. Alasannya ialah untuk menenangkan fikiran sedangkan yang sebenarnya, dia mahu membaca al-Quran. Dirasakan seperti bayang-bayang Ali berada di sisinya, menerangkan sepatah demi sepatah maksud-maksud al-Quran. Julius merasa tenang, bahkan kagum dengan setiap isinya.

Dia merasakan islam itu agama yang indah, sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Ali suatu ketika dulu. Tapi dalam masa yang sama, dia cuba melihat sejauh mana kebenaran tentang apa yang dibaca dengan apa yang dibuktikan oleh umat islam. Jauh! Terlalu jauh berbeza!

Dahulu, dia dan Ali pernah bergurau.

"Aku mahu tahu. Ada atau tidak negara islam di dunia ini?", tanya Julius separuh serius. Wajahnya bersahaja.

"Malaysia", jawab Ali sepatah.

Julius ketawa mengekek. Namun, Ali masih tenang. Dia tidak melatah, apatah lagi terasa.

"Kenapa Malaysia? Bukan arab?", tanya Julius. Wajahnya curiga.

"Kerana Malaysia nampak lebih stabil sedangkan arab pula seperti lembu dicucuk hidung. Pemimpin-pemimpin mereka sentiasa mengikut telunjuk barat terutamanya Amerika Syarikat. Bayangkanlah... saat jiran mereka, penduduk Palestin disembelih hidup-hidup oleh Yahudi, mereka sekadar membutakan mata, memekakkan telinga. Secalit pun rasa kesihan tidak timbul", keluh Ali.

"Tapi malaysia juga tidak kurang hebatnya. Aku baca di akhbar bagaimana kerajaan mereka membunuh ulama sebuah sekolah agama di utara Malaysia, kerana dakwaan mereka, ulama itu merancang mahu menggulingkan kerajaan. Bahkan, dalam Malaysia juga kadar jenayahnya tidak jauh beza dengan di U.K. Gejala buang bayi rakyat mereka sangat kritikal. Malang betul remaja-remaja mereka. Siang dan malam buat seks, dan mengandung. Bodoh", Julius ketawa mengekek. Dia tidak kagum langsung dengan Malaysia walaupun negara itu dicanang-canang sebagai negara islam contoh. Propaganda semata!

"Islam agama yang indah. Segala keburukan yang kau nampak ini bukanlah ajaran islam. Tetapi, ia adalah kesilapan kami, umat islam dalam mengikuti ajaran-ajaran ini", jawab Ali perlahan. Dan kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Julius.

Tidak semena-mena, dia menangis. "Ali... aku rindu kau", hatinya merintih.

****
Tanggal 11 september, Julius tampil ke sebuah masjid di London. Masjid itu kecil sahaja tapi sarat dengan orang islam yang beraneka bangsa dan paras rupa. Ia suatu perasaan yang hebat bagi Julius, saat memandang mereka yang sedang khusyuk beribadah, cara islam.

Julius duduk di atas satu kerusi yang dikhaskan buatnya. Hari itu, dia benar-benar bertekad untuk memeluk agama islam. Ya, selepas hampir 3 bulan Ali meninggal dunia dan dalam tempoh itu jugalah, dia mengkaji dan membaca al-Quran. Hari itu, dia mahu 'membersihkan dirinya'.

"Tuan-tuan sekalian. Alhamdulillah, hari ini ialah satu hari yang sangat istimewa kepada kita. Kita bakal menerima seorang saudara baru. Subhanallah", lantang suara Brother Hafiz di corong pembesar suara diiringi laungan takbir daripada para hadirin.

Brother Hafiz yang juga imam di masjid ini nampak sangat manis dan ceria. Dia tersenyum lebar kepada Julius yang duduk melayan perasaan sedari tadi. Brother Hafiz mempersilakan dia untuk tampil ke hadapan dan dikenalkan kepada semua hadirin yang bilangannya mencecah seribu orang mungkin.

Julius tersenyum segan. Malu kerana dilayan sebegitu molek oleh orang-orang islam di dalam masjid itu.

"Awak pasti dengan keputusan mahu memeluk islam?", tanya Brother Hafiz kepadanya.

Julius mengangguk dengan yakin.

"Ikhlas?", tanyanya lagi dan juga dijawab dengan anggukan oleh Julius. "Saya betul-betul ikhlas mahu menjadi sebahagian daripada kalian"

Brother Hafiz tersenyum lebar. Begitu juga dengan para hadirin yang menyaksikan peristiwa bersejarah ini. "Ikut saya baca", perintah Brother Hafiz.

Dia menuturkan satu per satu lafaz syahadah dan diikuti dengan lancar oleh Julius. Setelah selesai, takbir bergema di masjid itu. Julius telah menjadi seorang muslim. Seorang demi seorang lelaki yang hampir dengannya memeluknya silih berganti. Julius gembira bukan kepalang. Allah mencampakkan ketenangan buatnya.

Tiba-tiba, dia berbisik kepada Brother Hafiz. Brother Hafiz mengangguk-angguk.

"Tuan-tuan sekalian. Saudara baru kita mahu berbicara sesuatu dengan kita. Jom kita dengar apa yang ingin disampaikan oleh saudara Julius kita ini", bicaranya lembut dan sopan sekali.

Julius mengukir senyum. Tangannya mencapai mikrofon yang dihulurkan kepadanya.

"Tuan-tuan yang dikasihi oleh Allah. Pertama sekali, saya mahu memanjatkan rasa terima kasih kepada Allah kerana memberi saya hidayah, taufik serta petunjuk kepada saya untuk saya terjun ke dalam agama yang benar ini. Sejujurnya, dahulu saya merupakan seorang kristian yang kuat berpegang dengan ajaran kristian. Tapi segala-galanya berubah setelah saya mengenali seorang lelaki yang sangat istimewa bagi saya". Julius berhenti sebentar. Dia sebak. Dadanya mula berombak.

"Saya cemburu dengan tuan-tuan semua. Kebayakan daripada tuan-tuan dilahirkan sebagai orang islam. Lahir sahaja, terus diajar dengan islam. Tapi saya tidak. Saya lahir dari keluarga kristian dan dibesarkan dengan fakta-fakta yang saling bercanggahan dalam agama itu", Julius berhenti sekali lagi. Air mata yang ditahan-tahan tadi mulai jatuh.

"Saya mendapat islam dengan cara yang sangat sukar. Pertama sekali, saya terpaksa kehilangan seorang sahabat yang terbaik pernah saya jumpa. Dia seorang lelaki seperti kalian. Berjambang, berjanggut dan berpakain mirip dengan kalian. Dia mati saat mahu menyelamatkan seorang kafir daripada dilanggar kereta. Orang kafir itu ialah saya! Sebelum dia meninggal dunia, dia sering berpesan kepada saya supaya mengkaji al-Quran dan jangan melihat kepada ummatnya..", airmata yang keluar dari matanya semakin lebat. Julius memandang hadirin di depannya. Ramai yang tunduk. Mungkin turut menangis. Brother Hafiz memegang bahu Julius. Matanya juga berair menahan perasaan.

"Jujur kata saya. Jika bukan kerana saya mengkaji al-Quran, pasti saya tidak akan memeluk agama ini. Selama saya hidup 25 tahun ini, hanya seorang sahaja orang islam yang berhati mulia saya pernah temui, iaitu Ali. Yang lain, semuanya negetif. Saya pernah ke beberapa buah negara islam, meninjau cara hidup islam dan saya kecewa. Sangat kecewa melihat cara pergaulan mereka. Umat islam di banyak tempat, semuanya menyembah artis. Hiburan-hiburan berleluasa. Seolah-olah ia sesuatu yang dituntut dalam islam. Saya benar-benar kecewa. Kerana itu, saya tidak yakin dengan kebenaran islam. Walaupun begitu, saya tetap tidak putus asa dalam membaca dan memahami isi al-Quran. Dengan sebuah kitab yang dihadiahkan oleh sahabat saya, saya mengkaji dan terus mengkaji. hinggalah kepada saat ini...", ujarnya lagi. Suara Julius tersekat-sekat.

"Jadi, sebagai saudara baru... saya berpesan kepada diri saya dan hadirin semua. Sama-samalah kita menjaga diri kita supaya kita tidak menjadi duri dalam daging bagi agama kita. Jangan kerana kelakuan kita yang buruk, orang-orang seperti saya jadi jauh dengan islam. Tidak yakin serta tidak percaya dengan islam". Kata Julius sambil menamatkan ucapannya. Dia menyerahkan mikrofon kembali kepada Brother Hafiz. Lelaki itu menangis teresak-esak, lantas memeluk Julius. Nun, Julius terpandang sosok tubung Ali yang sedang memeluk tubuh lantas tersenyum sekilas sebelum hilang daripada pandangan.

"Terima kasih Ali...", bisik Sebastian 'Ali' Julius dalam hati. "Aku rindukan kau.."


 
Previous
Next Post »
17 Komentar
avatar

cerita yg penuh dgn pengajaran...mmg x dnafikan kebenaran cerita di atas ini...Negara Islam hanya pd nama, ttpi penduduknya, jauh terpesong dr landasan agama itu sndri...

Balas
avatar

setuju ana dgn SHM.. Apapun,penulisan yang baik sangat. syabas syabab!

Balas
avatar

Penulisan yang mantap..
membuat hati terasa hiba..
teruskan menulis

Balas
avatar

wow!!!.. alhamdulillah. Terkesan di hati :)

Balas
avatar

sebak..saya dapat rasakan perasan Julius ketika dia memeluk Islam.. Islam yang dia cari.. bukan seperti kita.. Islam secara keturunan yang akhirnya mengabaikan agama sendiri

Balas
avatar

Saya menantikan karya yang seterusnya dari Iqbal Syarie. :)

Tahniah Iqbal.Penulisan mantap.

Sidratul Muntaha

Balas
avatar

subhanallah... moga rahmat Allah sentiasa utk kamu iqbal. basah dh meja ni.. hukhuk. syukran yer.

Balas
avatar

menitik air mata membaca cerita ini...penulisan yg baik..penuh dgn pengajaran dan menjentik rasa keinsafan dihati..

Balas
avatar

nice stori..cuma agak panjang hingga dapat sempat baca sekerat2..hehhehe...
syukurlah sebastian ini diberi hidayah..


latest entri:

belajar bahasa ketiga memang best,korang pula?

Balas
avatar

Tahniah Iqbal, menari kseklai cerpen sahabat. Padat dakwah dan sarat pengajaran. Teruskan perjuangan.

Nak tanya sikit.Adakah frasa ni merujuk kpd pembunuhan terhadap Ustaz Ibrahim Libya di Memali ("Tapi malaysia juga tidak kurang hebatnya. Aku baca di akhbar bagaimana kerajaan mereka membunuh ulama sebuah sekolah agama di utara Malaysia, kerana dakwaan mereka, ulama itu merancang mahu menggulingkan kerajaan.)

Balas
avatar

shameel iskandar- Ya. saya merujuk kepada kejadian itu.

Balas
avatar

Cerpen yang mantap.. 2 thumbs up...:)

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443