Yang sebenarnya, terdapat banyak sebab dan punca yang membawa manusia kepada neraka. Dan dalam yang banyak-banyak itu, kita dapat mengklasifikasi dan pecahkan kepada dua kumpulan atau dua induk yang utama.
Yang pertama, kerana kita terlalu mengikuti hawa nafsu kita dan yang kedua, kerana kejahilan kita.
Sesungguhnya, jika seseorang itu mampu untuk melawan atau mengusai hawa nafsu serta meroboh tembok kejahilan, maka dengan sendirinya hijab atau penghalang bagi dirinya untuk mencintai Allah akan terbuka. Seluas-luasanya. Maha Suci Allah.
Kita lihat punca yang pertama dan utama tadi, iaitu hawa nafsu. Nafsu yang diciptakan oleh Allah ini punya sejarah yang sangat unik. Ada dialog yang pernah berlaku, sebagaimana yang diriwayatkan dalam kitab karangan Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi- selepas Allah menciptakan akal, Allah perintahkan akal untuk datang mengadap. Lalu ditanyakan kepada akal, “Siapa kau dan siapa Aku?”. Lalu dijawab oleh akal tadi, “Kau ialah Tuhan dan aku ialah hamba-Mu”. Kemudian, Allah memanggil pula nafsu. Ditanyakan kepada nafsu soalan yang sama yang ditanyakan kepada akal sebentar tadi. “Siapa kau dan siapa Aku?”. Dengan sombongnya nafsu menjawab, “Kau ialah kau dan aku ialah aku”. Allah jadi murka dan Dia siksa nafsu ke dalam neraka untuk satu tempoh masa yang panjang. Kemudian Dia memerintahkan malaikat untuk mengadapkan nafsu kepada-Nya, dan diajukan kembali, “Siapa kau dan siapa Aku?”. Masih berkeras, nafsu menjawab, “Kau ialah Engkau dan aku ialah aku!”. Sekali lagi dia dimasukkan dalam neraka utuk satu tempoh masa yang panjang. Dan sesudah itu, Allah sekali lagi memanggil nafsu dan bertanya soalan tadi. Walaupun sudah diazab dalam neraka, nafsu masih lagi bongkak dan memberi jawapan yang sama seperti. Lalu, kali ini Allah memasukkan nafsu ke dalam neraka sejuk. Dibiarkan nafsu kelaparan untuk tempoh masa yang panjang lagi. Selesai, lalu Allah bertanya kepada nafsu yang sudah tidak lagi bermaya itu. “Siapa kau dan siapa aku?” Kali ini, nafsu yang sudah lesu itu menjawab, “Kau ialah Tuhan dan aku ialah hamba”
Kisah ini menunjukkan betapa nafsu yang Allah selitkan dalam diri kita ini adalah tersangat degil. Oleh kerana Allah Maha Mengetahui akan sifat makhluk ciptaan-Nya, maka Allah telah ciptakan akal untuk menjadi pembimbing dan pengawal kepada nafsu itu tadi. Maka, wajarlah jika saya umpamakan nafsu itu sebagai kuda perang yang liar dan gagah. Jika tidak ia dikawal oleh Jeneral yang soleh, maka kuda perang itu akan digunakan untuk membunuh rakyat marhaen yang tidak berdosa. Tetapi jika Jeneral yang mengawal kuda perang itu ialah hamba Allah yang soleh, maka pasti ia akan digunakan untuk menegakkan kebaikan.
Kisah ini menunjukkan betapa nafsu yang Allah selitkan dalam diri kita ini adalah tersangat degil. Oleh kerana Allah Maha Mengetahui akan sifat makhluk ciptaan-Nya, maka Allah telah ciptakan akal untuk menjadi pembimbing dan pengawal kepada nafsu itu tadi. Maka, wajarlah jika saya umpamakan nafsu itu sebagai kuda perang yang liar dan gagah. Jika tidak ia dikawal oleh Jeneral yang soleh, maka kuda perang itu akan digunakan untuk membunuh rakyat marhaen yang tidak berdosa. Tetapi jika Jeneral yang mengawal kuda perang itu ialah hamba Allah yang soleh, maka pasti ia akan digunakan untuk menegakkan kebaikan.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia menjadi tewas dan tunduk kepada nafsu jahat mereka. Tetapi sebelum itu, saya hendak menekankan bahawa hawa nafsu bukanlah ‘jahat’ tetapi yang jahat itu ialah nafsu yang tidak dikawal atau dididik. Ini adalah penting kerana saya tidak mahu timbul dalam hati kita perasaan mempersalahkan ciptaan Allah, kerana yang sebenarnya, kesalahan itu adalah terpikul pada pundak kita- “Mengapa tidak mahu mendidik nafsu?”
Bukankah ulama telah meletakkan tahapan nafsu kepada 3 jenis, walaupun ada yang mengelaskan kepada 5, bahkan ada juga 7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa tahap-tahap nafsu ada 3, mereka mengatakan bahawa nafsu-nafsu itu adalah seperti nafsu amarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah.
Secara ringkasnya, nafsu amarah ini adalah golongan nafsu yang paling jelek, paling hina, paling rendah dan juga paling terbawah. Ini adalah kerana manusia sebegini sememangnya telah dikawal penuh oleh nafsu. Tindak-tanduknya hanyalah semata-mata kerana keinginan. Dirinya lupa terus kepada halal dan haram, dosa-pahala dan juga syurga-neraka. Orang-orang seperti ini ibarat haiwan, walaupun dia mungkin seorang yang beragama islam pada kad pengenalannya.
Golongan kedua yang bernafsu lawwamah ialah golongan yang ‘kadangkala menang, kadangkala kalah’. Mereka ialah golongan yang sering berperang. Adakalanya apa yang dibisikkan oleh nafsu itu dapat dia sanggah namun ada kalanya, mereka tersungkur juga dengan ajakan nafsu tadi. Lalu, disatu masa, dia akan berasa bersalah dan mulai mencela dirinya diatas perbuatannya yang salah itu. Bagi saya, majoriti kita memiliki nafsu tahap ini. Kita sentiasa berperang. Berperang dengan diri sendiri. Namun yang pasti, orang yang memiliki nafsu tahap ini adalah berganda lebih baik daripada golongan awal tadi, yang mana diri mereka langsung tidak berkeinginan kepada rahmat Allah. Setidak-tidaknya, jika kita banyak beristighfar dan memohon ampun, maka Allah Maha Menerima Taubat. Bukankah begitu?
Nafsu yang paling tinggi darjatnya ialah nafsu mutmainnah. Orang yang memiliki nafsu begini, akan menikmati hidupnya dengan jalan yang Allah redhai. Dirinya tidak sesekali berkeinginan untuk melakukan maksiat atau keingkaran kerana hati mereka telah dipenuhi oleh cinta kepada Allah. Apa-apa saja yang Allah suka, maka diri mereka tidak punya masalah untuk penuhi dengan penuh ikhlas, redha dan cinta. Golongan yang memiliki nafsu semacam ini adalah sangat istimewa. Merekalah insan-insan terpilih yang dikurnikan rahmat daripada kalangan para anbia. Masya-Allah!
Punca pertama yang menyebabkan manusia itu mudah dikawal oleh nafsu, seterusnya disesatkannya ialah kerana banyak bermaksiat. Maksiat, dalam bahasa mudah bererti setiap satu-satu perkara yang dilakukan, yang melanggar tegahan-Nya dan melacurkan perintah-Nya. Tiap-tiap kali kita melanggar tegahan dan mengingkari suruhan-Nya, maka kita akan dikira sedang bermaksiat dan dibebankan dengan dosa. Lebih menakutkan, segala perbuatan maksiat kita tadi akan menutupkan hati-hati kita. Dalam sebuah hadis, diceritakan betapa setiap kali kita berbuat satu maksiat (dosa), maka akan timbul satu tompok hitam pada hati kita. Jika kita bertaubat, maka tompok itu akan hilang. Demikianlah jika satu per satu dosa kita perbuat, maka sedikit demi sedikit, hati yang jernih bertukar kelam dan kelibut, seterusnya menghalang cahaya iman daripada menerosok amal perbuatan kita.
Firman Allah dalam ayat 14, Surah al-Mutaffifin: “Sesekali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itulah yang telah menutup hati mereka!”
Di tempat yang lain, sebagaimana dalam surah Al-Jasiyah ayat 23, Allah berfirman : “Maka pernahkan kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan lalu Allah memberikannya sesat menurut pengetahuan-Nya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya, serta meletakkan tutup atas penglihatannya. Maka, siapakah yang mampu untuk memberikannya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”
Menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan dapat kita fahami dengan maksud ‘mengikuti telunjuk nafsu’. Saya kira orang sebegini adalah di kasta yang paling malang kerana Allah sendiri tidak mengkehendaki kebaikan kepadanya lantas dibiarkan orang itu sesat. Bukan sedikit manusia yang menolak kebenaran walaupun telah diketahui bahawa dirinya telah sesat. Bukan sedikit manusia yang berbangga dengan maksiat, walaupun telah diceritakan kepadanya bahawa perbuatannya itu ialah dosa. Bahkan, bukan sedikit manusia yang terang-terang melakukan maksiat, tanpa rasa malu dan segan walaupun seluruh rakyat jelata mengejek dan membenci, tetapi kerana hatinya telah terkubur daripada rasa insaf dan ihsan, maka segala nasihat orang alim dipinggirkan. Berdoalah agar diri kita, keturunan kita, jiran tetangga kita, dan pemimpin negara kita tidak menjadi golongan seperti ini. Golongan yang Allah sendiri kunci hati mereka. Nauzubillah.
Faktor kedua yang membawa manusia kepada mempertuhankan nafsu ialah kerana sifat sombong yang mencambah dan mekar dalam diri. Pekerti yang jelek dan sifat yang keji ini adalah sifat yang sangat-sangat dibenci oleh Allah.
Dari al-Aghar dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id, Rasulullah S.A.W bersabda: “Allah berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang mahu merampas salah satu atau kedua-duanya daripada-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]
Astaghfirullah… tengok... Betapa Allah membenci dua sifat ini. Sifat sombong dan takabbur ini sangat merbahaya. Kerananya, betapa ramai manusia yang telah mengangkat dirinya menjadi Tuhan. Kita boleh lihat bagaimana Firaun yang memiliki sifat sombong, telahpun mengangkat dirinya menjadi Tuhan. Dia memiliki batalion tentera yang sangat ramai. Dia memiliki takhta yang besar. Dia memiliki tampuk pemerintahan yang kukuh. Dia memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Dengan pemberian Allah itulah dia bertindak kufur. Dia sombong kepada nabi Musa a.s dan saudaranya, Nabi Harun a.s disaat utusan Allah itu datang menyampaikan peringatan oleh Allah.
“Dan sesungguhnya Kami telah menujukkan kepada Firaun tanda-tanda kebesaran kami kesemuanya (berupa mukjizat Nabi Musa). Ternyata dia berdusta dan enggan menerima kebenaran”- Taha ayat 56.
Apabila manusia memiliki sifat sombong dan megah, maka dia tidak akan hendak atau berkeinginan untuk menerima nasihat daripada orang lain. Walaupun dia tahu bahawa dia berada di pihak yang salah, tetapi kerana sifat sombong yang menyelimuti diri, dia bertindak untuk ‘menegakkan benang yang basah’. Berbagai alasan dikemukakan olehnya. Kita sendiri boleh lihat, apabila kita menasihati seseorang dengan lemah lembut,
“Dik… orang perempuan punya aurat ialah semua, kecuali muka dan pergelangan tangan sahaja…”
Lalu, kita akan mendengar, “None of your businees!”
Atau, “Kubur lain-lain! Kau sibuk apahal!”
Atau mungkin juga, “Biarlah. Yang penting hati aku baik”
Tetapi jarang kita dengar, “Saya tahu saya salah. InsyaAllah saya akan pakai tudung nanti”
Ada banyak beza antara ketiga-tiga contoh jawapan dengan contoh jawapan keempat itu. Ramai mana sangatlah manusia yang sanggup untuk merendahkan ego, lalu mengakui kesalahan diri? Sedangkan mengakui kesalahan diri sendiri itu ialah langkah pertama yang membawa kepada rasa insaf untuk berputik. Walaupun mungkin orang itu tidaklah berubah lagi, namun setidak-tidaknya dia sudah menanam azam untuk berubah. Maka, sudahpun ada sinar-sinar pengembalian kepada Allah, menuju syurga yang kekal.
Maka, perkara pertama yang akan saya nasihati manusia yang mahu berubah ialah untuk kita mengakui kesalahan kita. Sukar! Bahkan terlalu sukar! Kerana diri kita sering melihat kepada siapa yang menegur. Jika si penegur atau penasihat itu ialah dari kalangan orang yang bagi kita, lebih hina atau lebih lemah dari kita, maka kita akan cenderung untuk menolak walaupun ia sebuah hakikat. Maka, ibubapa ialah golongan yang paling layak untuk menegur anak-anak, tetapi sayangnya, ibubapa zaman ini adalah lebih perlu untuk diberikan nasihat pula. Tidakkah itu aneh?
Cuba kita letak diri kita dalam situasi dimana seorang kanak-kanak melihat kita membuang sampah merata-rata. “Abang… tak boleh buang sampah merata-rata. Tong sampah ada dekat situ”, sambil jari telunjuknya menunjuk kearah tong sampah, tidak jauh daripadanya.
Kita mungkin senyum, mungkin berlagak selamba, atau mungkin menyiga kepada kanak-kanak itu. Berapa ramai yang akan tunduk, mengutip sampah itu dan membuangnya kedalam tong sampah tadi? Dan daripada itu, berapa ramai pula yang akan mengucapkan terima kasih? Tetapi, berapa ramai pulakah yang akan mengherdik kanak-kanak itu? Atau paling tidakpun, bertindak seperti tidak mendengar nasihat kanak-kanak itu.
Inilah dia sombong. Kita sombong dengan segala makhluk Allah sedangkan Allah telah datangkan kanak-kanak itu untuk membetulkan diri kita. Sama halnya apabila ada sahabat atau saudara kita yang menegur kesalahan kita. Kita dengan terburu-burunya akan menuduh tukang tegur itu sebagai ‘penyibuk’, ‘outsider’, ‘bajet bagus’ dan macam-macam gelaran yang buruk. Sedangkan Allah datangkan mereka kepada kita untuk memperbetulkan kesilapan kita. Bukankah itu tanda Allah kasihkan kita? Gamak kah kita untuk melayan kasih-sayang yang Allah tunjukkan dengan kata-kata kesat dan caci maki?
Jika kita pernah melayan ‘kasih sayang’ Allah dengan carut-marut kita, maka beristighfarlah sekarang. Moga-moga Allah tidak jemu untuk menunjukkan kasih-Nya lagi, dan Dia sememangnya Maha Suci daripada sifat jemu.
Seterusnya, seseorang itu juga akan tercampak kearah nafsu durjana kerana memiliki sifat suka berdusta. Ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 10, “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakitnya dan mereka mendapat azab yang pedih, kerana mereka berdusta”
Berdusta itu boleh difahami dengan membuat cerita-cerita tanpa sokongan atau dalil yang kukuh. Perbuatan membuat berita palsu, bahkan menyebar-nyebar suatu informasi yang salah ini akan membuatkan si pembuat berita palsu itu semakin jauh daripada kebenaran. Di saat itu, dirinya akan menjadi keliru sendiri, sehingga apa yang haq dikatakan batil dan yang batil dirasakannya sebagai haq pula.
Saidina Ali pernah meriwayatkan, “Demi Allah! Jika sekiranya aku jatuh dari langit pun, itu adalah lebih baik bagiku daripada aku berdusta dengan nama Allah”.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, “Sesiapa yang berdusta dengan namaku (iaitu Rasululullah S.A.W ), maka hendaklah dia bersiap-siap untuk ke neraka”.
Perbuatan dusta seumpama ini adalah perbuatan orang-orang kristian, melalui perbuatan rahib-rahib dan paderi-paderi mereka. Allah telah mencela perbuatan para pengikut dan para rahib yang menyeleweng, yang melakukan dusta dengan firman-Nya dalam surah At-taubah ayat 31: “Mereka menjadikan orang alim (Yahudi) dan rahib-rahibnya, (Nasrani) sebagai Tuhan selain Allah, dan juga al-Masih putera Maryam, padahal mereka disuruh untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada tuhan selain-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.
Kita boleh melihat kepada ayat sebelumnya, (at-taubah ayat 30) sekiranya kita mahu mengetahui bagaimana mereka telah melakukan dusta yang pada akhirnya, pendustaan mereka menyebabkan hati mereka merasa puas bergelumang dengan kesesatan yang mereka buat. Tidak lain dan tidak bukan, orang yang berdusta ini hanyalah melakukan dusta untuk mendapat habuan dan kepuasan di dunia, dan tanpa ternafi, di akhirat nanti mereka akan binasa. Pasti!
“Dan orang-orang Yahudi berkata, ‘Uzair itu putera Allah’ manakala orang-orang Nasrani pula berkata, ‘Al-Masih putera Allah’. Itulah ucapan-ucapan yang keluar dari mulut mereka. Mereka meniru ucapan-ucapan orang kafir yang terdahulu. Allah melaknat mereka! Bagaimana mereka sampai berpaling?”- At Taubah ayat 30.
Selain itu, dusta juga ialah sifat orang munafik. Kita akan berbicara tentang munafik dalam tajuk yang lain, tetapi sebelum itu, kita perlu melihat kepada bagaimana dusta itu menjadi asam garam dan perisai pada golongan yang dijanjikan neraka paling kebawah sekali ini. Orang munafik menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai. Dalam istilah orang melayu, ia dipanggil sumpah laknat tetapi saya memanggilnya sebagai sumpah palsu, kerana perbuatannya mirip benar dengan sumpah palsu orang munafik. Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 2 :”Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai lalu mereka menghalang-halangi manusia dari jalan Allah. Sungguh, betapa buruknya apa-apa yang telah mereka kerjakan itu”
Pepatah melayu juga ada menyebutkan, “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Ternyata orang-orang tua sangat kretif dan kritis. Bahasa mereka indah, dan punya maksud serta pengajaran yang tersirat bahkan sangat indah juga.
Sememangnya dusta itu rupa-rupanya ialah satu jalan awal yang membawa kepada kerosakan diri. Kerana menyedari betapa berdusta itu membawa manusia kepada dosa yang melarat dan berjela-jela, serta kunci yang awal kepada binasa, saya menyeru kalian supaya meninggalkan dan menjauhi sifat berdusta ini. Ada yang keliru dengan kewujudan istilah ‘tipu sunat’. Konon-kononnya kita menipu untuk kebaikan orang, sedangkan ia sama sekali bukan ajaran islam. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda yang membawa maksud, hanya dalam 3 situasi sahaja berbohong itu dibenarkan iaitu untuk memulihkan hubungan dua orang saudara yang berkelahi, untuk mengorek strategi perang pihak musuh dan akhir, untuk menjernihkan hubungan suami isteri.
Jika diri tersepit, maka bertindak jujurlah dan jadilah kretif. Jangan berbohong, tetapi gunakanlah strategi yang dinamakan “double-meaning”. Sebagaimana Rasulullah S.A.W pernah bergurau dengan seorang wanita tua. Baginda berkata kepada wanita itu, “Sesungguhnya syurga itu tidak akan dapat dimasuki oleh orang tua”. Lalu, wanita tua itu menangis hiba. Rasulullah pun senyum lalu menerangkan bahawa memang ahli syurga itu semuanya sebaya, tidak tua dan sentiasa muda.
Dan punca yang terakhir yang membawa kepada nafsu yang menggila ialah zalim. Zalim diertikan oleh syarak sebagai meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Allah telah berfirman dalam surah As-Sajadah ayat 22, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhan nya, kemudian dia berpaling darinya? Sungguh, Kami akan memberi balasan (azab) kepada orang-orang yang berdosa”
Itu baru zalim dalam menerima peringatan. Ada manusia zalim dalam menerima nikmat. Zalim juga boleh diertikan dengan membuat aniaya, sama ada kepada dirinya sendiri atau juga kepada orang lain. Contohnya, dalam ayat 42 daripada surah asy-Syu’ra, “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa mengendahkan kebenaran. Mereka itu mendapat azab yang pedih”.
Kezaliman seringkali dikaitkan dengan orang yang berkuasa atau orang yang memengang jawatan atau tampuk pemerintahan semata-mata, sedangkan yang sebenarnya, zalim itu boleh berlaku kepada semua orang. Kita juga tidak lari daripada menganiaya makhluk lain, seperti haiwan. Saya ambil contoh seperti itu kerana ia lebih dekat dengan kita. Sekiranya kita menzalimi bintang (contoh: pukul), maka kita merasakan betapa diri kita megah saat itu. Kita merasa besar, merasa gagah, merasa hebat kerana ada makhluk Allah yang lebih hina dan lebih lemah daripada kita. Maka, dengan sendirinya, rasa sombong berputik, dan rasa seronok berbuat kerosakan mulai bercambah, seterusnya menjadikan nafsu itu sebagai matlamat dan pendorong hidup.
Secara simpul, segala punca yang mendorong nafsu untuk bertindak liar dan menguasai diri kita ialah berkisar pada keseronokan. Disaat kita sukakan maksiat, cintakan kemegahan, serta seronok dengan kesusahan orang lain, maka hati kita akan menjadi gelap hingga bisikan iman yang dipacu oleh akal yang hening tidak lai diendahkan.
Jadi, bagaimana harus kita mengelakkan diri daripada tergelincir daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu?
Sudah pastilah jawapannya ialah dengan menjauhi maksiat, memadamkan bahang kesombongan, meninggalkan pendustaan, dan menjauhi kezaliman. Namun, kesemua itu hanya dapat menjadi realiti dengan satu perkataan yang mengandungi 9 huruf rumi.
M-U-J-A-H-A-D-A-H.
Bermujahadah, dalam erti kata yang lain, kita menanam sepenuh-penuh keazaman yang jitu untuk mencapai redha Allah. Ia adalah suatu kesungguhan yang tiada tolok banding, yang mana kekuatan itu kita sandarkan terus kepada Allah. Dengan penuh rasa kehambaan dan pengharapan, kita memohon agar Allah menyalurkan kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan meninggalkan apa-apa yang Allah tidak suka, walaupun nafsu kita berkehendak akan perkara itu.
Mujahadah ini ialah satu ibadah. Allah memandang usaha kita, tidak kepada hasil. Ini adalah kerana ‘memberi hasil’ ialah perbuatan Allah sedangkan perbuatan manusia ialah ‘berusaha’. Dalam konteks ini, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi dosa, dan Allah akan menilai tahap kesungguhan kita dan akan memberi kejayaan atau sebaliknya, masing-masing sebagai nikmat dan ujian.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah bersama-sama dengan orang-orang yang berbuat baik”- Surah al-Ankabut ayat 69.
Mujahadah ialah tugas kita. Mujahadah ialah tanggungjawab kita. Mujahadah ialah peperangan kita! Jika benar kita bersungguh, maka tanamkan azam. Betulkan niat, perhalusi niat. InsyaAllah… jika benar-benar kita telah berusaha, Allah pasti akan menangkan kita kerana janji-Nya dalam surah Ar-Ra’du ayat 13, “…Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri…”
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. InsyaAllah.
*petikan daripada DaBOM*
7 Komentar
wel said, human always know how to said but hard to practice, hope u wont one of them, insha Allah,,
Balasapakah, DaBOM?
BalasSalam'alaik..
BalasAllah memandang usaha kita, tidak kepada hasil. Allahu Rabbi!
Ya ALLAH Ya Rahman Ya Rahim, kurniakanlah kepada kami mujahadah yang mampu menyinari batin kami dengan sinaran dan cahaya petunjukMu.. Ya ALLAH, kurniakanlah kami mujahadah, akhlak-akhlak dan sifat-sifat yang terpuji yang membukakan pintu kejayaan buat kami didunia dan diakhirat.. Ya ALLAH, kurniakanlah kami mujahadah yang membantu kami mengajak dan memimpini manusia ke arah amar ma'aruf dan nahi 'anil mungkar...Ya ALLAH bantulah kami, bantulah kami, bantulah kami yang dhaif ini...ameen Ya Rabbal a'lamin...
terima kasih dik, usaha yg berterusan, insya'ALLAH..
ego.
Balasmakan diri.
salam..
Balassmlm ckp tak faham kan psal komik banduan tu..
nak faham, tengok link di bawah.. ada penjelasannya.. :D
http://www.solihinzubir.com/2011/07/moral-of-story-gelagat-banduan-di-rel.html
Assalamualaikum..
Balassemua terletak kepada kemahuan kite..
xde pun org yg letak parang di leher kite dan paksa kite lakukan maksiat (if de crite len k..)
teringat surah Ali Imran ayat 142..kita nak syurga tp jihad dan sabar tiada..
muhasabah diri ni sendiri terutamanya...
amin insyaAllah..semoga kita terus istiqamah dalam usaha ini. saudari, boleh tak besarkan sikit font? post2 semua menarik dan bermanfaat,kesian saya yang xberapa nampak ni..hihi
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443