Tanganku dilurus ke atas. Ah… terasa senang sekali hari ni. Jarang-jarang dapat menikmati hujung minggu dengan tenang seperti hari ini. Tipulah kalau aku katakan bahawa kerjayaku sebagai seorang doktor pelatih itu tidak mencabar. Aku pernah sekali dihimpit rasa putus asa. Mujur bukan putus nafas. Tapi itu dulu. Heh! Yang dulu tu… kata orang, sudah jadi sejarah. Dan kalau sudah jadi sejarah, maknanya tak perlu dikenang-kenang lagi? Betulkah? Atau aku kena kenang untuk jadikan pengajaran yang berharga dalam hidup aku yang masih berbaki?
Mataku yang berpisat, aku larikan ke arah timbunan buku-buku yang berususun di meja kayu empat segi, tempat aku 'bertapa' dengan bahan bacaan. Buku medik, novel, majalah fiksyen dan majalah perubatan berselerak di sudut meja. Aku capai, susun ikut jenis dan saiz lalu aku angkat sedikit-sedikit. Benda-benda tu lebih kemas jika aku letak di rak buku yang baru kelmarin aku beli di IKEA. Itupun sebab ada promosi. Jika tak, entah bila aku akan punya rak yang khusus untuk buku-bukuku. Buku agama aku letak paling atas. Kemudian buku medik dan perubatan, diikuti novel-novel dan juga majalah. Penamat, surat khabar lama. Awesome!
“Pap”
Ada sesuatu terjatuh masa aku sibuk memunggah buku-buku dan menyusunnya di rak. Aku tunduk mencapai kad putih itu. Oh, itu gambar kelas kami. Gambar bersaiz 4R itu mengabadikan wajahku bersama teman-teman aku masa sekolah dahulu. Ada Muz, Ayap, Ismeth, Danial, Amir, Ajay, dan Meon. Semua tengah senyum lebar sampai telinga, sambil saling memegang bahu di depan bola buruk, dengan berkaki ayam. Aku tak sedar sejak bila bibir aku dah mengulum senyum. Hei! Aku rindu diriku yang disemadikan dalam gambar tu. Itu gambar kami masa bermain bola sepak. Berkaki ayam di tepi blok akademik. Haru betul!
Gambar yang jatuh dari balik-balik timbunan buku tu aku tatap dengan rasa yang seribu. Sedar tak sedar, sudah hampir sedekad kami bawa haluan masing-masing. Muz, Amir dan Meon sekarang kat Eropah. Seorang kat Amerika, lagi dua kat England. Buat phD dan masters. Yang lain pula duduk merata negeri, berselerak di seluruh Malaysia. Semua sedang membina karier, membina masa depan. Ayap kalau tak silap aku, dah nak kahwin dengan seorang gadis Pontian. Heh. Aku gembira untuk dia. Ajay pulak, dengar-dengar cerita, tengah merangkak dalam bisnes di negeri kelahiran dia, Perak. Bisnes jual jersi bola sepak. Aku tak tahu lebih-lebih tapi aku tahu dia memang ada minat dengan berniaga dan minat main bola sepak. Orang lain pun sama. Masing-masing sedang menapak, berlalu meninggalkan masa sekolah, menjejak alam kerja sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Yang penting, Ayap kawin dulu! Haha. Eh? Aku tergelak sorang-sorang di sofa, sambil tangan pegang gambar. Tak ke haru?
Melihat diri sendiri di masa silam, dan melihat diri yang sekarang, buatkan aku rasa macam tengah bermimpi. Ya Rab. Betullah… rasa macam baru semalam saja aku buat benda-benda jahat dengan kawan-kawan aku yang 7 orang tu. 7 orang yang merangkap geng satu kepala- walaupun Muz selalu dikecualikan sebab dia pengawas. Buat jahat sama-sama, buat baik, pun sama-sama tidak. Hehe. Masa sekolah, memang masa yang seronok. Tak sedar, aku kembali tenggelam dalam kenangan. Dalam kanvas sejarah hidup. Dalam warna-warni kehidupan.
“Malam ni fly?”
On!
“Main 'Counter Strike' jom!”
Set!
“Hisap rokok tepi semak nak?”
Jom!
“Fly gi layan burger Abang Din nak?”
Layan!
“Tengok filem XXX nak?”
Er… pandang kiri kanan, sebelum angguk
Benda-benda tu kembali dimainkan oleh otak sedar. Rasanya dah jadi macam-macam. Rasa nak ketawa sorang-sorang. Rasa nak senyum sorang-sorang. Tapi paling terasa ialah rasa nak menangis… seorang diri.
“Kau ni bila nak solat?”
Aku buat-buat tuli. Bibir sudah dimuncungkan, tanda protes. Apa hal nak solat pun ajak orang? Hei. Itu hak individulah nak buat atau tidak. Okey?
“Baca Quran ni. Kau tu liat betul nak baca Quran…”
Aku balas, “Huh, membosankan. Aku tak rasa nak baca…”
“Qiamullail?”
Huh? Buang masa. Buang tenaga. Buang karen je…
Habis tu, apa aku buat?
Mata dah terpejam. Aku tak boleh nak ingat apa benda baik yang aku buat. Bukan sebab aku lupa, tapi sebab aku rasa aku tak ada. Tak ada koleksi benda baik yang aku rasa macam nak cerita kat mak ayah aku. Tak ada cakap-cakap macam, “Mak, saya dulu masa selalu jadi imam masa solat” atau “Mak, saya selalu mengaji selepas solat maghrib” sebab kalau betul nak cakap, aku akan cakap, “Mak, saya tak pernah jadi imam kat sekolah. Solat berjemaah pun saya selalu ponteng” ataupun “Mak, saya tak pernah mengaji al-Quran pun kat sekolah, kecuali masa kelas pendidikan islam”
Otak dah jadi macam pemain DVD yang memutar kembali kenangan masa di sekolah dulu. Masuk-keluar bilik disiplin sebab jenayah ponteng, belasah budak, kantoi mencuri di kantin sekolah, dan kurang ajar pada guru. Banyak kan? Tapi entah macam mana, aku masih boleh bertahan sampai SPM di sekolah tu. Dan paling dasyat, aku boleh score straight A’s pulak! Dan-dan pula dapat tawaran buat kursus perubatan di University Aberdeen, Scotland.
Betullah kata orang. Selagi kita tak tahu kita ni salah, selagi tu kita tak akan rasa nak berubah. Aku tak pernah rasa bersalah buat benda jahat. Aku rasa macam biasa aje. Setakat tak solat, aku rasa benda-benda tu macam… “Banyak benda lain yang lebih patut fikir”. Mak dan ayah aku memanglah selalu jaga pasal solat aku. Kalau di rumah, tiap-tiap hari mereka akan kejut aku bersolat subuh dan akan terus ketuk pintu dan melaung namaku, sampailah aku masuk bilik air, keluar dengan kepala, tangan dan kaki yang basah.
Kononnya wuduk lah. Heh, aku tak rasa hipokrit pun masa tu- solat sebab mak ayah.
Ayah dan mak memang sudah memberi didikan agama yang cukup kepadaku. Kalau aku ni lembu, aku yakin dia dah lama seret aku ke masjid bersama mereka tiap-tiap hari. Dan di kampung juga, aku belajar cara menajamkan otak aku dengan membina alasan-alasan. Setiap hari satu alasan aku buat- untuk elak diri aku daripada sama solat di masjid dan dengar ceramah agama. Hoh, bosan benar tu! Pot-pet pot-pet, habis sejam dua tadah telinga aja. Ya Rab… teruknya aku dulu. Tapi aku tak boleh salahkan mak dan ayah langsung dah, sebab mereka sudah berbuat yang terbaik. Mereka telah mendidik aku, sampai aku sempat khatam al-Quran sebelum masuk asrama. Mereka sudah nasihat aku, sudah bebel aku, sudah piat telinga aku, sudah tengking aku, dan sudah mendoakan aku. Buat drama sedih dengan aku pun pernah! Tapi entahlah… aku tak tahu kenapa aku liat sangat dulu. Sampailah aku jumpa dengan dia…
Nafas berat aku lepas perlahan. Kepalaku disandar pada sofa sambil didongak sedikit ke atas siling. Dua ekor cicak kejar-mengejar sebelum hilang di balik almari. Cis! Patutlah bersepah najis cicak di rumah ni. Sekejap, ruang bilik aku sunyi. Hanya terdengar bunyi deru angin yang datang daripada bilah-bilah kipas siling yang berputar laju.
Dia…
“Excuse me. Malaysian?”, bibirnya melentur senyum kepadaku sambil tangannya memegang beberapa biji buku.
Bulat biji mataku ditegur begitu. Di tengah-tengah Aberdeen ni ada orang tanya soalan cepu emas macam tu. Aku senyum segaris. Teruja. “A’ah. Orang Malaysia juga?”
Dia sudah ketawa kecil sebelum menarik kerusi, menjadi temanku studi di Queen Mother library petang itu.
Pertemuan kami memang pertemuan yang tak dijangka-jangka. Masa itu, aku sedang membuat ulang kaji seorang diri di perpustakaan universiti. Memang di sini, pelajar Malaysia tidak pun sampai ratus. Jadi memang di sini kami semua belajar cara nak survive. Heh, memang bila kita sudah berada di tempat orang, kita sebenarnya sedang belajar a lesson of survivor. Dia pelajar perubatan juga, tapi senior kepadaku setahun. Pertemuan kami di perpustakaan berlanjutan hingga ke luar. Macam dah lama kenal- itulah yang aku rasa masa kami berbual buat pertama kali. Dia jenis yang ramah. Dia juga jenis yang ambil peduli. Dalam diam, aku rasa gembira dan bersyukur sungguh dapat kenal dengan dia. Paling tidak, jaringan kenalan dah makin bertambah. Kurang-kurang pun kalau ada masalah, aku boleh minta tolong kepada dia. Itu pun kalau dia nak tolong, dan dia memang dah banyak tolong aku. Terlalu banyak.
Akiff Mukhlis. Aku cuma panggil dia Akiff. Orang negori Sembilan. Akiff dengan aku banyak persamaan. Kami minat muzik. Kami minat bola sepak. Kami suka cabaran. Dan paling ketara, kami masing-masing ambil medik sebab terpaksa, dan bukan sebab kami minat sangat dengan medik. Heh, mati-mati aku ingat aku akan 'lingkup' seorang diri di bumi Scotland ini, sebab tak dapat nak catch up dengan subjek yang aku tak berapa nak minat ni. Tapi syukur, Akiff memang banyak membantu aku dalam study. Dia mentor aku secara sukarela. Dia juga murabbi aku secara 'paksarela'. Rasa nak ketawa tiba-tiba, bila teringat cerita lama.
Senyum di bibir aku biar terukir lama. Oh, kalau orang lain nampak aku senyum sorang-sorang sambil duduk atas sofa, mesti diorang fikir aku tengah berangan pasal….
“Amboi… apa senyum sorang-sorang ni? Berangan ha?”
Aku rasa macam nak tercampak ke depan disergah begitu. Heh, kan aku dah kata tadi! Belakangku, Akiff tengah ketawa mengekek. Mungkin lucu melihat aku melatah begitu. Tapi mujur yang keluar dari mulut aku kalimah “Allahuakhbar”, kalau keluar perkataan, “Celaka kau”… tak ke haru tu?
Aku hanya menggeleng. Geramnya! “Kau ni kan….”
Akiff masih lagi ketawa. “Sorry.. Sorry..”. Dia dah mengambil tempat di sofa, sebelahku. “Apa kau duk fikir tu? Ditenung kipas tu macam nak kasi tertanggal aje kipas dari siling tu?”
Aku senyum nipis. Tak jadi nak marah dah. “Tak fikir apa-apa”
Akiff memandangku, tak puas hati. “Hello Dr. Adam Johari… aku bukannya baru kenal kau satu hari. Dah dekat lima tahun dah ni. Kau ada masalah ke? Share la dengan aku…”
Aku hanya membalas dengan senyum. Inilah dia Akiff. Pantang tengok kulit muka aku berkerut sikit, dah mula sibuk nak tanya dan nak bantu. Dia memang sahabat yang sangat mengambil berat akan kawan-kawan dia. Hinggakan dia sanggup susah semata-mata mahu kami senang. Ya Allah… Istimewanya dia. Semenjak dahulu, aku dan semua kawan-kawannya senang dengannya. Dia sahabat terbaik kepada kami. Dia- seorang pendengar yang setia, seorang teman yang membahagia, seorang pakar motivasi pada masanya, juga seorang superhero pada situasinya.
Aku tak boleh lupa, bagaimana kali pertama dia ajukan soalan yang hampir-hampir buat jantung aku tercabut.
“Jo, kalau kau mati kejap lagi… apa yang akan kau kesalkan?”
Muka dia serius. Aku angkat bahu, “Entah. Tak ada apa-apa kot”
Dia angguk. Perlahan, dia menuturkan, “Tidak ke kita patut menyesal kalau-kalau kita mati sekarang… dalam keadaan kita tak kenal pun siapa Tuhan kita. Kau dah kenal siapa itu Allah?”
Dan aku hanya mampu telan air liur sebab tekak dah terasa payau.
Daripada Akiff, aku terjaga daripada mimpi-mimpi yang aku corakkan dahulu. Aku kembali tersedar tentang matlamat kewujudanku di dunia ini. Aku kembali ingat syahadah (ikrar) yang aku lafazkan di depan Allah masa alam roh dulu. Aku juga dah boleh ingat balik bahawa aku ni cuma dalam transit- singgah di dunia yang maha kesejap, sebelum kembali bertemu Allah untuk hidup yang tiada noktah. Heh, buat pertama kali dalam sejarah hidupku, aku mengalirkan air mata atas sebab yang aku tahu, aku perlu menangisi diriku.
Ya Allah. Semua berlaku bagai mimpi. Akiff kembali ajar aku bagaimana untuk membaca al-Quran. Padahal sebelum aku ke Aberdeen ini pun, mak dan ayah selalu pesan, “Johari jangan lupa baca Quran. Jangan lupa solat. Jangan lupa berdoa. Jangan lupa mak, ayah, adik-adik. Jangan lupa tanggungjawab” na-na-na-na… aku jadi lupa semuanya! Aku lupa solat! Aku lupa nak jelling-pandang al-Quran. Aku lupa nak bertanya khabar akan keluarga tercinta. Aku lupa tanggungjawab aku sebagai hamba kepada Tuhan. Aku lupa semua! Ya Allah…
Tapi syukur. Ada tangan Akiff yang memegang tangan aku. Aku yang seperti orang mabuk, diberikan teh panas. Lambat-lambat, aku singkir rasa mabuk itu dan aku kumpul kewarasan. Pernah beberapa kali sahabat-sahabat lamaku mengejek. “Jo dah insaf sekarang. Hipokrit saja tu…”. Telinga aku panas. Kerinduan nak ‘pukul budak’ datang balik, membuak-buak tapi bisikan lembut Akiff umpama air sejuk yang mengalir dari balik setiap pembuluh darahku. Aku pernah beberapa kali hampir putus asa. Jalan yang lurus ini, walaupun lurus tapi sebenarnya memang sukar untuk kita telusuri. Sungguh!
Keinginan aku untuk buat dosa, buat maksiat, dan jadi macam dulu bukan pernah berhenti menggelegak dalam diri. Nafsu bro.. nafsu… Tapi Akiff pernah cakap, “Berubah daripada jahat kepada baik itu bukannya satu pilihan, tapi ia suatu kemestian. Nak tak nak, kita tetap perlu berubah. Berat atau ringan, kita tetap perlu buat perubahan. Kita dah makin dekat dengan mati… dapat bayangkan tak macam mana kalau nanti kita mati dalam keadaan kita tak kenal siapa diri kita? Kita tak kenal siapa Allah? Masa tu tak ada sesiapa pun yang akan rugi, kecuali diri kita seorang…”
Ya Akiff. Ya. Aku tahu. Aku faham itu. Dan aku pegang betul-betul kata-kata kau.
Tanpa sedar, mataku berair. Akiff yang dari tadi menunggu jawapan aku jadi kalut. “Jo, kenapa ni?”. Dapat aku kesan air mukanya berubah 180 darjah. Dapat juga ku kesan, suaranya dah bergetar. Heh, mamat seorang nil ah…
Aku geleng. “Taklah. Aku cuma teringat masa jahiliyyah aku je Akiff. Aku bersyukur Allah datang kau kepada aku untuk bawa aku kembali kepada cahaya. Aku dah selesa dalam kegelapan, hingga aku lupa kepada cahaya islam. Aku tak tahu macam mana hidup aku kalau kau tak bimbing aku. Mesti sekarang ni aku dah jadi macam bina….”
“Ish!”, dia memotong cakapku. “Dah. Jangan diungkit benda tu. Aku sebenarnya lebih-lebih patut bersyukur, melihat kau sudah kembali kepada paksi islam. Aku tak membimbing kau, tapi akulah yang perlu dibimbing. Kita sendiri sedang perlu sama-sama berusaha”
“Aku setuju”
“Kita ada matlamat, kan?”
Angguk. “Mardhatillah”
Dia senyum. “Ya. Kita perlu cari redha Allah…”
Sepi kembali menguasai. Masing-masing melayan perasaan. Aku kembali teringat, akan benarnya kata-kata Imam Syafie, ‘Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi, walaupun tak dapat minyak wangi, paling tidak dia dapat bau-bauan yang wangi tadi. Orang yang berkawan dengan tukang besi, walaupun tak dapat haba dari besi, tapi setidak-tidaknya terkena juga abu dan debu kotoran besi’
Sangat ketara bukan?
Aku lahir daripada keluarga yang beragama. Ayah dan ibu memang ada beri didikan agama. Aku diajar solat, diajar mengaji dan dibawa ke kuliah agama di kampungku. Hingga hari-hari terakhir aku sebelum berangkat dari Malaysia ke Aberdeen, mak dan ayah masih tetap beri nasihat dan galakan kepada aku untuk jadi hamba Allah yang soleh. Ibu dan ayah, rasanya tak putus-putus berdoa. Kak Long dengan Abang Ngah pun, aku rasa. Tapi entah di mana silapnya, aku tak jadi manusia seperti yang mereka mahu.
Sebaliknya, suasana persekitaranlah yang membentuk diriku. Itulah… kalau betul nak berubah, dan nak jadi orang baik, paling kecil usaha kita yang aku rasa… ialah dengan berkawan dengan orang baik. Kemudian, mula menjauhkan diri daripada berkawan rapat dengan orang-orang yang tak baik. Takut terpalit dengan habuk dan abu besi tadi…
“Akiff…”
“erm”
“Terima kasih”
Dan senyum di bibir Dr. Akiff Mukhlis aku semadikan dalam-dalam. Moga kami berjiran di syurga-Nya. Aminn…
8 Komentar
ini cerpen ke? maaf..
Balascrita yg menarik akhi...
Balasnasihat yg dtg saat trlalai dgn keduniaan...
huhu... syukran akhi...
suka baca :)
BalasBelajar dari kesilapan lalu adalah lebih baik. Coretan yg terkesan di hati, terima kasih.
Balas-semestinya ini cerpen kan. gaya penulisan lagaknya spt seorang penulis novel.
salam,
Balaspengisian semakin lama semakin menarik...
penceritaan di dlm penceritaan...
boleh sgt buat novel dakwah islamik mcm kak fatimah syarha, hilal asyraf, etc...^__^
pergaulan mempengaruhi didikan otak.Oleh itu,uk kebersihan jiwa hndklah b'gaul dgn org2 yg b'adab & b'peribadi mulia yg bisa kita kutip manfaat darinya. -Hamka-
Balassmoga kita semua sntiasa b'damping dgn org yg cinta kepadaNya...
awesome ! =)
Balas"bukanlah setiap perubahan itu kemajuan,tetapi setiap kemajuan bermula dengan perubahan."
salam...tidak kiralah cerpen atau apa saja...tulisan saudari nasihat yg indah dan ada maksud tersirat..ya benar kita taubat satu kemestian bagi semua insan..kita tidak lari dari dosa yg penting taubat nasuha;perlu kenal diri,kenal ALLAH..taniah teruskan menghasilkan tulisan hebat saudari..terima kasih..
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443