Pagi itu, sudah masuk seminggu Yazid terlantar di katilnya. Makannya masih lagi bubur, tawar walau sudah ditambah garam secukupnya. Minumnya masih juga air masak, walau warnanya sudah berubah bersama perisanya. Semua yang dirasa oleh lidahnya, diterjemah kepada satu perasa sahaja. Dan segala yang dirasakan oleh pancaindera zahirnya, juga satu yang tidak biasa- luar sebuah norma.
Segalanya bermula dengan satu peristiwa yang cukup adil. Adil sungguh, bagi seorang anak muda yang bekerja sebagai juruwang di kedai runcit, sementara menunggu keputusan SPM, untuk ditembak di dada, kerana cuba menyerahkan wang baki kepada seorang perompak. Ceritanya lucu, juga tak masuk akal. Tapi bila media arus perdana cuba menghangatkan dan melariskan perniangaan berita, maka cerita Yazid-perompak dihangatkan dengan pemalsuan yang di luar logik.
Yazid tak lupa. Lelaki india itu nampak resah. Sekejap mengerling ke kiri, dan sekejap mengerling ke kanan. Tangannya sebelah di masukkan dalam jaket, sedang sebelah lagi tangannya sahaja yang susah payah mengeluarkan dompet, menjelaskan wang, juga menyambut ubat cecair berwarna kuning lembut yang dibeli di farmasi As-Syifa’, tempat Yazid bekerja sambilan, petang itu.
“Luka encik teruk ke?”, Yazid bertanya dengan memaknakan keprihatinannya.
Lelaki india di kaunter tidak membalas. Dia tergesa-gesa amat, belum pun soalan itu dijawab, dia sudah mengeluarkan wang dari dalam dompet dan diserahkan kepada Yazid. Yazid menekan-nekan papan kekunci mesin wang, sebelum lelaki itu sudah menyentap ubat-ubat yang berkaitan dengan luka dan pendarahan, tanpa wang baki diambil pun!
Yazid melopong melihat kelibat lelaki india itu berjalan seakan berlari, lalu dia segera memanggil lelaki itu yang sudah melangkah keluar, jauh dari pintu farmasi.
“Encik!”
Lelaki india itu tak berpaling, bahkan makin laju pula langkah kakinya. Dia berlari-lari anak, tapi terhencot-hencot pula!
“Encik!”, laungnya makin kuat kini. Ringgit Malaysia tiga puluh dua dan lima puluh sen digenggam. Rakan Yazid, Asiyah di dalam farmasi cuma memandang dengan dahi berkerut. Dua benda dia hairan. Satu, pelik dengan kelakuan lelaki india yang sangat mencurigakan, dan kedua, pelik dengan sifat Yazid yang sama… luar alam!
“Encik!”, kali ni Yazid pula berlari, semata-mata mahu mendapatkan lelaki itu. Dan lelaki itu yang semacam hilang kewarasan, tambah laju larinya bila dia merasakan dirinya dikejar. Sedangkan dia tak tahu, yang mengejarnya itu ialah Yazid, dan Yazid kejar untuk memulangkan wang baki. Hah, ini lah yang lucu!
Lelaki india itu terhencot-hencot, sedang Yazid cergas bersama tenaga orang muda. “Encik, wang baki encik!”, laung Yazid.
“Jangan ikut!”, lelaki itu pula membalas. Mukanya pucat lesi. Pun hitam, manik-manik peluh boleh dilihat menitik keluar melalui liang roma. Mukanya memang mencerminkan hatinya yang cuak!
“Saya cuma nak pulangkan wang baki encik. Jangan lari”, Yazid dah memperlahankan susunan tapak kerana dia sudah makin dekat dengan lelaki india tu.
“Encik… ni wang encik”, Yazid dah menghulur tangannya ke depan, bersama wang baki yang jumlahnya tak kurang dari tadi. Dan…
“Bang!”
Satu tembakan dilepaskan dari jarak satu meter. Serentak dengan itu, langkah kaki anak muda itu terhenti. Setengah saat, kakinya dibenam ke dalam bumi, sebelum dia rebah bersama darah merah pekat yang mengalir dari rusuk kiri.
Orang yang tidak ramai di sekitar, terkejut yang teramat sangat mendengar bunyi tembakan itu. Sedangkan lelaki india tadi, jadi makin kalut dan terus lari… dan lari… sehingga dia terlanggar sebuah kereta yang berhenti mengejut di tengah jalan, dan pengsan. Huh, ini juga lucu. Lelaki india itu pengsan bukan kerana dilanggar kereta, tetapi kerana dia melanggar kereta yang dah berhenti!
Sedang Yazid, dia cepat-cepat dikejarkan ke hospital oleh orang ramai yang menjadi saksi, kisah lucu seorang lelaki bernama Yazid.
Dan esoknya, Yazid membaca kisahnya di berita Harian Metro sambil terbaring lemah tak berkutik di katil wad kecemasan, dengan wajahnya tertampal di muka hadapan akhbar. Tajuknya, ‘Hero ajaib’. Dan memang seperti tajuk, kisahnya memang ajaib betul dalam artikel itu.
“Seorang anak muda telah bertindak sebagai seorang wira, dengan mengejar seorang perompak yang baru selesai merompak kedainya. Anak muda berkenaan, Ahmad Yazid Rosdi Bin Muhammad Zain, mengejar perompak yang bersenjatakan selaras pistol, dengan hanya tangan kosong. Tindakannya berani dan tekadnya menyebabkan perompak itu terpaksa melepaskan satu das tembakan kepadanya. Walaubagaimanapun, tembakan itu cuma mengenai sisi rusuk kiri Ahmad Yazid Rosdi dan dia cuma cedera parah, dan sedang dirawat di hospital terdekat. Perompak tadi pula telah dilanggar oleh sebuah kenderaan dan pengsan, sebelum orang ramai menghubungi polis dan membawanya ke hospital yang berdekatan. Keadannya selamat, dan dia sedang dibawa ke muka pengadilan. Siasatan awal mendapati, penjenayah ini terlibat dalam beberapa siri rompakan bersenjata di sekitar Kuala Lumpur dan dia juga mempunyai penyakit jiwa”
Heh, sejak bila Yazid jadi wira? Dia bukannya kejar perompak. Dia cuma ‘kejar’ pelanggan yang lari daripada mengambil haknya. Dia juga tidak tahu yang lelaki india itu perompak, dan tidak juga tahu yang lelaki bertubuh gempal itu punya sepucuk senjata membunuh dalam jaketnya. Jika dia tahu, dia tidak akan memandai-mandai mengejar! Ini kerja gila namanya!
Dan satu lagi, sejak bila farmasinya dirompak?
“Encik Yazid, bagaimana keadaan encik hari ini?”
Suara lembut itu menyapa telinganya kiri. Pelik sungguh! Sejak ‘terdampar’ di katil hospital, seluruh tubuh belah kanan, rasanya sudah jadi kurang sensitif. Mata kanan, kurang mampu memfokus objek. Telinga kanan, juga kurang mampu menangkap gelombang bunyi. Tangan kanan juga kurang cergas. Kaki kanan juga sudah kurang kukuh tunjangnya. Otak kanan pun rasanya sama juga terkesan.
“Er… rasanya makin baik”, Yazid senyum kepada doktor berkaca mata yang senyum manis kepadanya.
“Yalah. Hero… tiap-tiap kali ditanya, jawabnya pasti begitu”, doktor wanita itu berseloroh dan disambut dengan senyum tawar oleh Yazid. Sejak hari pertama dia di hospital swasta taraf lima bintang ini, dia sudah digelar ‘hero’.
Mula-mula dia memang menafikan, lagi-lagi kepada ahli keluarga sendiri tapi lama-lama, dia jadi lali dan malas sendiri. Kalau betul-betul jadi ‘hero’ pun, apa salahnya. Tapi, aish… mengarutnya!
“Doktor, bila saya boleh keluar?”, Yazid menala pandang kepada figur yang sedang menulis sesuatu di hujung katilnya.
“Hmm… rasanya, hari ni pun boleh keluar dah. Tapi kita akan check darah awak dulu. Kalau dah normal, bolehlah keluar”, dia senyum.
Yazid senyum. Senyumannya lebar dengan perkataan ‘hari ini’. Oh, bosannya! Bosan yang tidak ternafi lagi. Sudah seminggu berbaring tanpa kerja. Oh, memang tak biasa begitu! Yazid memang tak biasa duduk diam. Duduk diam, baginya tak berfungsi. Tak berfungsi ertinya tak bermanfaat. Tak bermanfaat, ertinya sia-sia! Oh, ruginya masa!
“Terima kasih doktor”, Yazid mengukir senyum nipis, sebelum kepalanya diletakkan kembali ke atas bantal. Hanya lima minit, doktor itu sudahpun berlalu keluar dari bilik yang menempatkan Yazid.
Di atas katil, Yazid termenung sendiri memikirkan mimpi-mimpi aneh yang menghujani lenanya setiap malam. Mimpi yang sama, dengan watak yang sama- Ahmad!
“Ahmad…”, nama itu diluah dari bibirnya, perlahan.
Ahmad yang muncul dalam tidurnya setiap malam, ialah seorang lelaki yang sangat tampan. Kulitnya putih bersih, macam susu kambing. Badannya sedang-sedang. Rambutnya hitam lebat. Pakaiannya ialah jubah putih dan kepalanya dililit dengan serban putih berjejalur merah.
“Saya ialah awak”
Ahmad senyum kepadanya dalam mimpi. Dan hanya sampai di situ sahaja mimpinya, sebelum dia sedar bersama rasa yang pelik.
4 Komentar
:)
Balastggu next episod.. ^^..nk tergelak jgk baca yg awai2 td...
Balasnice... :))
Balassadis sungguh cerita ni.. ;)
BalasSaya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443