Saya senyum bersama jawapan saya. Biarlah saya senyapkan saja jawapan saya.
Pejam celik, sudah hampir separuh. Ertinya, sudah hampir separuh bulan juga, hari-hari saya disulami dengan tazkirah yang bersiri-siri. Selepas satu, satu episod tazkirah. Begitulah bercahayanya malam-malam di Selangor ini. Teringat saya pada satu hadis berkenaan dengan majlis zikir (ilmu) dimana para malaikat di langit melihat cahaya-cahaya yang terang benderang cemerlang dari sana. Mereka tertanya-tanya apakah cahaya itu? rupanya seperti bintang- bersinar dan indah. Lalu, didapatinya, di situlah majlis tazkirah, majlis zikir, majlis ilmu. Oh! siapa perasan, rupanya negeri Selangor sudah bertukar menjadi satu negeri yang sangat 'bercahaya' pada mata para malaikat sepanjang bulan ini. Moga-moga bukan hanya sampai 1 syawal sahaja.
Teringat juga saya dengan sebuah lagi hadis yang menceritakan tentang fasa-fasa Ramadhan. Sepuluh terawal ialah rahmat, sepuluh yang berikutnya ialah keampunan dan baki ialah pelepasan daripada azab api neraka Allah.
Jika kita jenis yang bijak memerhati, maka pemerhatian yang sambil lalu sahaja pun sudah cukup sebenarnya untuk menterjemah situasi di sini. Malaysia- pada awal Ramadhan, sambutan pada ibadah sangatlah luar biasa. Banjir! Masjid dan surau mengalami kebanjiran ahli jemaah hinggakan mereka-mereka yang tak pernah-pernah pun berjemaah, akhirnya terdorong untuk turun walaupun sekadar mahu tunjuk muka.
Bukankah itu bukti rahmat Allah? Ego dilunturkan. Maka berbondong-bondong datang ke rumah Allah. Jika sebelum Ramadhan, tuan nazir masjid mengeluh tiada jemaah, pada bulan ramadhan ini mereka mengeluh dengan kebanjiran jemaah pula. Heh, lucu!
Hari berganti hari, jumlah kehadiran pun merosot. Analisa saya cuma satu- tak ramai manusia yang peduli dan obses mahu meraih keampunan Allah. Makanya, urusan ibadah sudah menjadi sisi dan bukan lagi agenda utama.
Masuk saja fasa terakhir, pembebasan api neraka- maka yang tinggal hanyalah 'orang sama' yang sudah melabuhkan sauh cinta mereka kepada rumah Allah. Sangat sedikit bilangannya dan inilah dia golongan yang konsisten. Saya menyimpulkan, orang islam di Malaysia tak ramai yang benar-benar teringin untuk melepaskan diri daripada azab neraka.
Baiklah. Saya andaikan mereka tak tahu nilai syurga, dan tak jelas dengan derita neraka.
Dalam bahasa pendek, syurga ialah satu tempat yang saya idamkan. Tempat tinggal yang sempurna! Tidak ada lagi penat lelah. Tidak perlu lagi amal ibadah dan tak perlu lagi mujahaddah. Semuanya hanya tinggal menikmati sahaja.
Dan neraka, dalam satu ayat... saya petik kata-kata seorang ustaz- "Disebutkan dalam kitab, jika seorang ahli neraka itu diazab dalam neraka lalu dimasukkan ke dalam api dunia, maka dia akan tertidur di dalam api dunia"
Maknanya apa?
Allah berfirman dalam al-Quran, 'mereka tidak hidup, dan tidak pula mati'. Itulah kejadiannya dalam neraka. Siksa ditanggung oleh segenap saraf dan otot, tanpa rehat. Tanpa jeda, kita menanggung derita sampaikan jika Allah beri peluang untuk api dalam neraka ditukar dengan api dunia, maka kita akan terlena kerana berasa... lega? Huh. Pernah merasa daging anda dijilat api dunia? Tak sakit?
Sahabat yang saya cintai kerana Allah.
Ramadhan bukanlah satu pesta. Saya sokong kata-kata Syeikh Yusuf al-Qordhawi dalam sebuah pesanannya- 'janganlah kita menjadi hamba Ramadhan'. Atas apa-apa landasan pun, teras bagi setiap amal kita ialah kerana Allah. Orientasikan redha Allah.
Tetapi saya tak terlupa dengan kata-kata Ibn Athoilah dalam kitab al-Hikam; Petanda hati mati ialah bila seseorang itu berpeluang berbuat kebaikan, dia ego dengan peluang itu.
Saidina Ali juga pernah berkata: Orang yang paling jahat ialah orang yang ada peluang untuk membuat baik tetapi dia kekal dalam kejahatan.
Kita sebenarnya tunggu apa lagi? Peluang apa lagi?
Saya pernah 'terikut' satu closing MLM (sebenarnya diperdaya hingga terpaksa duduk mendengar). Kata si penceramah dengan penuh semangat dan keyakinan- 'Peluang ada di depan mata! Jangan jadi orang yang bodoh dengan membiarkan peluang itu berlalu begitu sahaja!' lalu dia memetik kata-kata HAMKA yang berkenaan dengan 'peluang'. Ya. Peluang tak datang bergolek, dan ia tidak akan kekal. maka, wajar kita bersegera. Betul- saya setuju.
Maka, kita tunggu apa? Tidakkah tawaran amal wajib, pahalanya diganda jadi 70 kali itu tidak cukup menyelerakan? Adakah tawaran pahala ibadah sunnat disamakan dengan pahala ibadah wajid di bulan-bulan lain itu tidak menggiurkan? Dan adakah tawaran doa-doa mudah untuk dimakbulkan itu, suatu yang tidak menjentik ghairah dalam nurani kita?
Jika tiada tindak balas dalaman, ada kemungkinan hati kita sudah mati. Mati tanpa dikafankan. Mati dalam bernyawa.
Saudara dan saudari yang saya cinta kerana Allah.
Mudah-mudahan, kita tak termasuk dalam kategori manusia yang rugi bahkan celaka. Allah melaknat golongan ini, dengan Rasulullah pun mendoakan kebinasaan bagi golongan manusia sebegini yang mana mereka melalui bulan Ramadhan, tetapi tiada satu apapun yang dapat dituai, untuk ditempa menjadi perisai daripada api neraka.
Saya harap kita tak tertipu. Sungguh! Masuk syurga itu tak mudah. Bukan dengan amal kita ke syurga, tapi kedudukan kita dalam syurga ditentukan oleh amal kita. Ibadahlah kepada Allah dengan ikhlas tanpa riak dan tanpa bermuka-muka. Moga Allah cinta pada ketaatan kita. Ya! Moga Allah redha.
Saya mendoakan, dalam damai... dalam permai Ramadhan..
3 Komentar
Separuh ramadhan? Jujur saye sedih. sekejap sangat2. tambahan pulak saye kerja part time bulan puasa ni. balik kerja dah penat. tadarus and solat sunat pun dpt sekejap2 je. huhu.
Balas:)
BalasTerima kasih. Perkongsian yang sangat bermanfaat.
BalasTeruskan menulis. Semoga Allah redha.
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443