You can lead a horse to water, but you can't make it drink

Dalam dunia ni, ada beberapa perkara yang kita tak boleh beli dengan duit. Sebagai contoh, kita tak boleh beli kebahagiaan. Kita tak boleh beli nyawa. Kita tak boleh beli umur. Kita juga tak boleh beli cinta sejati. Bahkan, kita juga tak boleh beli hidayah.

Kita abaikan dahulu topik bahagia, nyawa, usia dan cinta sejati. Sebaliknya, kita tumpukan kepada hidayah  terlebih dahulu. Saya mahu bercakap berpaksikan realiti.

Kalian kenal tak dengan seorang figur, Sham Kamekazi? Takkanlah tak kenal kut. Kalau tak kenal pun, tak apa. Bolehlah saya kenalkan dia. Tapi saya tahu, abang Sham bukanlah mahu pun saya kenalkan dia, kerana dia bukan jenis orang yang mahu dikenali oleh penduduk bumi, kan Abang Sham?

Saya pun kenal dia melalui beberapa klip video di lama Youtube. Jika dahulu, saya tahu dia seorang pemuzik. Sekarang, saya kenal dia sebagai seorang pendakwah, di samping pemuzik juga. Tetapi, untuk seseorang itu menongkah arus, hiburan kepada islami... sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah, bukan? Lalu, bagaimana Abang Sham mampu untuk mencapai yang demikian? Saya yakin... untuk gejolak dalaman, kita terjemahkan dengan perubahan yang dinamik... campur tangan dari langit pasti berlaku. Itulah dia hidayah.

Hidayah ialah kembar kepada cinta. Ia adalah tenaga. Ia adalah kekuatan. Ia adalah misi. Ia adalah obsesi. Ia adalah graviti dan ia adalah paksi.

Orang yang Allah berikan hidayah, bermakna Allah memberinya kekuatan untuk menjadi watak putih dalam dunia yang serba hitam ini. Seperti Abang Sham juga...

Saya tertarik nak bercerita tentang dia, bukanlah kerana saya kenalan dia. Tak kenal langsung pun! Tapi saya pernah mendengar ceramahnya dalam satu forum bersama Ustaz Nazri Din, di masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Tak silap saya, masa bulan 4 atau bulan 5 begitulah...

Abang Sham bercerita tentang zaman gelap beliau. Kata beliau, dirinya yang dahulu sangat jauh dengan Allah. Rasanya, benda yang dia pernah cakap itu kita boleh dengar semula dalam rancangan 'Ini Kisahku' di TV al-Hijrah. Di you-tube pun ada...

Antara yang Abang Sham sebut, dahulu dia tak bersolat. Lebih-lebih lagi waktu subuh. Dia boleh tahan mata daripada lelap, tapi tak mampu nak menggerakkan sendi-sendi untuk ke tempat wuduk. Suara muazzin yang melaungkan azan pun cuma mampu menyapa telinganya, tapi tidak hatinya. Dia boleh berbual dan melepak di restoren mamak, dalam keadaan masjid dan surau hanya beberapa tapak sahaja daripada lokasi dia berada saat itu.

Kalau nak tanya saya, saya sendiri akan kata itu memang jahat! Sebab apa? Sebab dia ada peluang nak buat baik masa itu, tapi dia memilih untuk tidak.

Tetapi itu dulu...

Saya teringat, Abang Sham pernah muncul di kaca TV dalam rancangan 'Assalamualaikum' di TV al-Hijrah semasa musim raya yang lalu. Dia ditanya, "Sham kesal tak dengan masa silam Sham?"

Saya sebenarnya menjangkakan jawapannya ialah "Saya kesal sangat-sangat". Ternyata jawapannya bukan begitu. Abang Sham, dengan tenang telah menjawab, "Saya tak menyesali masa lampau saya, kerana dengan itulah saya tersedar... insaf... dan tahu, betapa saya telah melakukan suatu kesilapan dan kerugian. Kerana itu, saya bersyukur Allah beri saya peluang untuk berubah"

Ya Rabb. Kisah Abang Sham sebenarnya ialah kisah saya juga, dan kisah sahabat saya- Abdullah.

Pastinya Abdullah ialah nama samaran. Dia ialah hamba Allah. Sesuai benar saya beri dia nama samaran sebagai Abdullah.

Saya mengenali Abdullah selama 3 tahun. Saya yakin, tiga tahun ialah satu tempoh yang cukup panjang untuk membuatkan kita mengenali seseorang itu, luar dan dalam. Lebih-lebih lagi, orang itu ialah orang yang kita makan bersama dengannya, dan tidur setempat dengannya. Hari-hari wajah itu juga yang kita tatap. Mananya tak kenal... kan?

Abdullah yang dahulu, bagi saya... ada telinga tapi macam pekak. Saya guna perkataan 'semacam' kerana dia bukan pekak. Dia cuma tidak mendengar. Itu saja.

Kerana dia yang dahulu, bila orang ajak kepada solat berjemaah... pasti akan mengelak dengan alasan yang pelbagai. Sekalipun tika itu, dia tidak berbuat apa-apa, sekadar memandang ke luar jendela, hatinya tak terdetik pun untuk menyahut seruan solat berjemaah. Pelik sungguh. Seakan-akan ada pagar ghaib yang menjadi penghalang dia daripada meneruskan langkah kakinya ke masjid.

Inilah dia contoh manusia yang pada pandangan saya, Allah belum beri pentujuk berupa hidayah taufik. Mengapa saya kata begitu?

Kerana pada diri orang itu, tidak wujud takwin way'ul islami lagi. Individu muslim sebegitu, belum diberikan Allah kepadanya keinginan dan kekuatan untuk menjalani kehidupan seorang muslim yang sepatutnya. Buktinya jelas melalui cara dia menerima seruan islam.

Bila diajak kepadanya kearah kebaikan... ia disambut dengan sangat dingin.

Jika dinasihat, orang begini akan diam tak berkutik. Seulas pun cakna tidak berputik dalam diri.

Dibebel, dimarah, ditengking? Uh... alamatnya kitalah yang macam nak cari musuh!

Tapi hakikatnya memang begitu. Bila hidayah tu Allah tak berikan pada seseorang itu, hatinya juga jasadnya tak mampu untuk datang kepada sebuah ketaatan. Macam Abang Sham semasa zaman gelapnya, juga seperti Abdullah di zaman jahiliyyahnya.

Dia, Abdullah, bukan jenis orang yang membaca al-Quran. Seminggu sekali pun, rasanya susah. Jika ya dia membaca pun, apa yang dilontarkan daripada dua ulas bibirnya penuh dengan kesilapan dan tersekat-sekat gagap. Tapi ya... itu dahulu.

Sekarang...

Dia umpama wali. Saya tak tipu. Pada kaca mata kami, teman serumah... dia beribadah seperti wali. Mula-mulanya, seorang sahabat cuma bergurau dengan menggelarnya 'wali'. Kami berdua ketawa, tetapi lama... saya berfikir sendiri. Tanpa saya sedar, hati saya mengiyakan gurauan sahabat saya tadi. Ibadah Abdullah selepas dia menerima hidayah... umpama wali!

Dia solat tahajjud tiap-tiap hari tanpa gagal. Saya yakin dia bangkit seawal jam 5 pagi kerana saya tak pernah berjaya bangun lebih awal daripada dia, setakat hari ini. Dia juga ialah orang yang paling awal yang akan meninggalkan rumah untuk solat berjemaah. Sepuluh atau lima belas minit sebelum setiap waktu solat fardu, dia sudah siap berpakaian lengkap dengan songkok dan kopiah. Sedangkan saya masih di depan skrin komputer.

Abdullah yang sekarang, yang saya kenal... ialah seorang yang sudah tidak kenal marah. Jika dahulu, emosinya turun naik, tapi sekarang... ia stabil. Ceria dan suka, sentiasa terpancar. Teringat saya kepada Abang Sham. Masa saya berpeluang menatap wajahnya secara berdepan di masjid airport tempoh hari, memang ada sinar ketenangan pada seruas muka itu. Tampak jernih dan bercahaya sahaja.

Betullah... kita boleh nampak peribadi seseorang itu dengan air mukanya sahaja. Kadangkala, memang hipotesis saya itu boleh dipakai. Setuju?

Saya kagum sekali dengan perubahan Abdullah. Jika dahulu... dia diajak tapi sekarang, dia pula yang mengajak!

Yalah. Inilah dia hidayah taufik. Orang yang Allah belum berikan dia hidayah taufik, hatinya dan jasadnya takkan sanggup untuk bergerak walau seinci pun untuk redha Allah. Saya melihat buktinya pada Abdullah. Anda pula boleh lihat pada orang-orang seperti Abang Sham.

Abang Sham yang dahulu, jangankan nak bersolat berjemaah... hendak solat fardu lima kali sehari pun celam-celum! Tetapi bila Allah kurniakan dia hidayah taufik, hatinya sudah dirantai dan dikunci pada sepanjang jalan ini- jalan dakwah!

Solat berjemaah ialah penyejuk mata dan hatinya.

Dakwah pula ialah profesion utamanya.

Dan dia juga tak kesal kerana pernah melalui jalan gelapnya!

Saya kira, sahabat saya... Abdullah juga merasai rasa yang sama- bersyukur kerana ditunjukkan kesedaran dan jalan pulang kepada cahaya Dia.

Benarlah pesan Rasulullah kepada Ibnu Abbas, 'Kalau semua makhluk di bumi ini mahu memberi kebaikan kepada seseorang itu... dia tak akan mampu mendatangkan kebaikan walaupun sedikit, melaikan dengan izin Allah'

Sangat jelas bukan?

Benarlah pepatah inggeris... "You can lead a horse to water, but you can't make it drink."

Kita boleh tunjukkan dia apa yang dia patut buat dan apa yang dia tak boleh buat. Tapi hujung-hujung, dia sendiri yang memilih untuk buat atau tidak.

Bila saya fikir-fikir kembali, saya ingin kalau-kalau hidayah taufik itu ialah barang yang boleh dibeli. Nanti, akan saya belanjakan seluruh harta saya untuk membelinya dan dengan itu, saya akan sebarkan kepada semua orang dikeliling saya. Kiranya... begitulah...


Tapi yang pasti...
Kita sendiri yang mencipta jalan kita sendiri.
Syurga atau neraka?
We choose!
 
Previous
Next Post »
4 Komentar
avatar

Sedih bace post ni, semoga aku juga tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah. Amin

Balas
avatar

Alhamdulillah,berbahagialh bg mereka y mendpt taufik hidayahNya.

Balas
avatar

http://www.youtube.com/user/ummahfilms#p/c/C9E6296531083FB7/0/PDavYn9h1H0

Balas
avatar

http://www.youtube.com/user/ummahfilms#p/c/C9E6296531083FB7/0/PDavYn9h1H0

assalammualaikum,,, jut found this good channel n think wan to spread it out... check it out if u have time,, sharing is caring ..

jazakallah khairan.. may Allah gve u d best in here n herefater,,

"sengau"

Balas

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443