Pun begitu, Allah sayangkan manusia lebih daripada makhluk yang lainnya. Allah jadikan manusia, sebagai makhluk-Nya yang paling baik sekali, sepertimana firman-Nya dalam surah At-Tin ayat 4 : “Sungguh! Kami telah menciptakan manusia itu dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Sebagaimana yang saya telah sebutkan sebelum ini, istimewa manusia ini terletak kepada keberadaan akal fikirannya yang menyeimbangi nafsu. Kerana itu jugalah, layak tanggungjawab dan taklif dibaringkan atas pundak mereka. Namun, selepas kita tahu bahawa manusia itu berada bentuk penciptaan yang paling baik, Allah menyambung firman-Nya dengan ayat 5 dan 6 : “Kemudian, kami kembalikan mereka ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Mereka itu akan mendapat pahala yang tidak putus-putus”.
Dalam tempat yang lain, (surah al-Bayyinah ayat 7), Allah menyatakan; “Sungguh, orang-orang yang beriman serta mengerjakan kebajikan, mereka itulah sebaik-baik makhluk”.
Selepas kita mengetahui bahawa manusia juga makhluk, maka kita perlu tahu juga pada manusia itu, wujud banyak persamaan dengan makhluk yang selain manusia. Antaranya ialah ‘fitrah’. Fitrah, dalam kata lain ialah sifat semulajadi. Kita boleh lihat kepada surah Ar-Rum ayat 30: “Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (islam), sesuai dengan fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan kamu tidak mengetahui”.
Ya! Manusia ada fitrah. Maha Suci Allah. Allah telah jadikan agama islam itu sebagai agama yang sesuai dengan fitrah kita. Apa yang islam suruh, sebenarnya benda-benda itu sesuai dengan kita. Saya sesekali tidak percaya tohmahan dan buah fikir manusia dangkal yang mengatakan bahawa agama islam tidak sesuai di zaman ini. Sampai bila-bila pun saya akan bangkang dan sangkal. Kerana sesungguhnya setiap prinsip dan nilai islam tidaklah bercanggah dengan fitrah manusia.
Saya ambil sebuah contoh, berkenaan fitrah ataupun sifat semulajadi. Kita boleh rujuk surah Taha ayat 50. Saat Firaun bertanya kepada Nabi Musa a.s :”Siapakah Tuhan kamu berdua, wahai Musa?”. Lalu Nabi Musa a.s menjawab, “Tuhan kami ialah (tuhan) yang telah memberi bentuk kejadian kepada segala sesuatu dan kemudiannya Dia memberikan ia petunjuk”.
Yang dimaksudkan dengan petunjuk itu ialah dengan memberinya naluri, sifat atau juga dikenali sebagai fitrah. Sebagai contoh, kita makan tengahari. Lalu kita berkata kepada perut kita, “Wahai perutku, janganlah kamu lapar lagi!”. Kemudian tunggulah beberapa jam berikutnya. Adakah perut kita akan terus kenyang? Tidak! Kita akan lapar kembali, walaupun kita tidak mahu lapar dan telahpun kita ‘suruh’ perut kita untuk tidak lapar.
Persoalannya, mengapa?
Kerana… Allah telahpun menetapkan bahawa fitrah perut ialah untuk kenyang selepas makan, dan lapar selepas makanan tadi diserap oleh badan. Sama dengan rambut kita. Kita tidak boleh menghalang ia daripada tidak tumbuh. Seperti kuku jari tangan kita juga. Selepas kita potong kuku kita hari jumaat yang lepas, adakah minggu ini, kita tidak perlu potong sudah?
Tidak! Kita masih perlu… kerana sifat kuku itu ialah ia akan memanjang kembali. Sama dengan manusia. Manusia juga ada fitrahnya, dan fitrah manusia tetap sama pada setiap orang. Selain memerlukan perkara-perkara asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan hiburan, kita sebenarnya inginkan Tuhan.
Ramai yang cuba berbohong, berpaling dan menipu diri. Slogan “Aku tak perlukan Tuhan” ternyata membuatkan diri mereka dilumuri fitnah- Hasil membelakangkan fitrah.
Hebatnya Allah, Dia menjadikan manusia itu mencintai kebaikan dan keimanan tetapi membenci keburukan, kekufuran dan kedurhakaan. Ini telah dinyatakan dalam ayat 7 surah al-Hujurat. Dan islam datang sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia.
Apa yang manusia suka?
Makan? Islam datang dengan konsep makanan halal. Kerana konsep penjagaan islam terdiri daripada lima prinsip. Pertama, menjaga akidah. Kedua, menjaga diri. Ketiga, menjaga akal. Keempat, menjaga harta dan kelima, menjaga keturunan.
Apa yang saya cuba sampaikan ialah, agama islam datang sebagai satu cara hidup atau sistem kehidupan yang menjaga umat islam dan orang bukan islam daripada mereka merosakkan diri, merosakkan akal, merosakkan harta mereka dan juga merosakkan keturunan mereka.
Fitrah menyukai iman dan membenci kekufuran juga bererti manusia yang manganut islam, dirinya akan dicampakkan rasa tenang, selesa dan rasa seronok. Hidup ini akan terasa indah. Begitulah…
Selain daripada diciptakan dengan binaan fitrah, Allah juga menjadikan manusia itu sebagai satu makhluk yang mempunyai kehendak. Ini telah dijelaskan dalam ayat 15 daripada surah Fatir. Firman Allah, “Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah! Sedangkan Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu apapun), dan Maha Terpuji”.
Saya akan coretkan dengan lebih bila sampai ke muka surat yang berikutnya.
Manusia juga jahil dan lemah. Iya! Itu hakikat yang tiada siapa akan sangkal kerana mata kita sendiri sebagai saksi, melihat seorang bayi yang lahir ke dunia, tanpa kudrat apa-apa. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 28, “…manusia itu bersifat lemah”
Kita menyedari bahawa kita ini diciptakan. Kita mengetahui bahawa kita ini dilahirkan, dengan diri kita lemah tanpa upaya. Kita tahu bahawa sehingga kita mampu berdikari, terdapat banyak tangan-tangan manusia yang membantu kita. Kita sedar, bahawa diri kita ini memerlukan banyak benda. Kita tahu bahawa diri kita ini perlukan banyak perkara. Dan sudah cukuplah perkara-perkara itu menyedarkan kita, bahawa kita ialah makhluk yang hina... sehinggalah… Allah memberi kita kemuliaan!
“Dan sungguh Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dari banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”, Surah Al-Israk 17;70.
Allah juga telahpun menundukkan segala makhluk buat kita. Kita dipinjamkan kuasa. Kita berkuasa untuk menggunakan hasil-hasil yang Allah sebarkan di pelusuk bumi. Setiap hasil bumi, ada manfaatnya kepada manusia. Allah telah melarang pepohon untuk kedekut daripada memberi buah-buahan untuk manusia makan, memberi teduh untuk meredakan kepanasan, memberi sumber kayu untuk tujuan pembinaan, dan lain-lain. Hanya pada sebatang pokok yang Allah tundukkan untuk manusia, kita telah beroleh juta macam kebaikan. Belum lagi pada laut. Belum lagi pada tanah. Dan seterusnya.
“Dan Dia telah menundukkan apa yang berada di langit dan yang berada di bumi untuk kamu semua (sebagai rahmat) dari-Nya. Sesungguhnya dalam hal yang demikian itu punyai tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir”- Surah Al-Jasiyah 45; 13.
Saya rasa tertarik untuk berbicara tentang asal-usul manusia dari sudut biologi. Suatu yang cukup indah dapat kita lihat terkandung dalam islam, iaitu berkenaan ketulenan ajaran islam hinggakan sains terpaksa bersetuju dengan islam. Sebelum saintis dapat membuat penemuan tentang kronologi penciptaan manusia, Allah S.W.T sendiri telah menceritakan tentang hakikat kejadian manusia dari sejak dalam perut ibu lagi.
Sila buka surah al-Mukminun ayat 12 hingga ayat 14. Daripada air mani, ia bertukar kepada darah, kepada daging nan segumpal, lalu ia kepada tulang yang dibungkus oleh daging itu, dan dengan itu, ia berubah menjadi bentuk manusia. Dalam hadis juga bercerita tentang hal yang sama, iaitu berkenaan dengan tempoh 40 hari bagi satu fasa berganjak ke fasa seterusnya. Dan hebat! Sains terpaksa akur.
Bagi saya, itu cukup untuk membuat saya yakin bahawa sains tanpa al-Quran bererti ‘berbohong’ kerana yang pasti, sains hanya akan benar jika al-Quran mengesahkannya. Sebagaimana teori Charles Darwin versus al-Quran surah al-Baqarah ayat 65.
Darwin berkata, manusia berasal dari monyet. Sebagai manusia yang meraikan pendapat manusia lainnya, saya akan kata bahawa hanya beliau sahaja yang berasal dari bangsa monyet. Kerana yang Al-Quran kata, monyet itu rupanya berasal dari kaum Yahudi yang ingkar pada perjanjian mereka dengan Tuhan. (sebahagian ahli tafsir menafsirkan bahawa ayat 65 surah al-Baqarah itu sebagai ‘menjadi monyet’ dan ‘sesetengah mereka berperangai seperti monyet’).
Kita membaca sejarah. Kita sama-sama menyaksikan bagaimana puak Zionis menyembelih umat islam Palestin. Segalanya dilakukan sembereno, seakan-akan yang disembelih dan dilapah itu bukan lagi manusia. Apa beza pembunuh dengan yang dibunuh?
Kedua-duanya rumpun yang sama, iaitu manusia. Manusia, yang asalnya air mani yang jijik. Tapi selepas Allah jadikan air mani itu kepada manusia, terus ia jadi lupa diri! Selepas beberapa usia saya mencecah dua dekat, saya sudah mula mengenali setiap sudut sisi manusiawi. Hakikatnya, manusia sering lupa bahawa dia berasal dari air mani yang kotor. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa seurat benang. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa sekeping dinar. Dia lupa bahawa dia lahir tanpa sepatah bicara. Dia lupa dia lahir tanpa upaya. Dia lupa bahawa Allah menjaganya! Dia lupa bahawa Allah telah mencampakkan rasa kasih ibubapanya kepada dia. Dia lupa bahawa Allah izinkan dia hidup! Dia terlupa… semuanya! Hinggalah dia dewasa, dan dia mula mahu ‘menggulingkan’ Tuhan.
Astaghfirullah.
Layakkah manusia yang hina seperti kita ini untuk menjadi Tuhan?
Kita yang hina, selepas dijadikan Allah sebagai makhluk yang paling baik… ditundukkan pula makhluk lain kepada kita… tetapi akhir, kita memilih untuk hidup bercanggahan dengan fitrah (ketentuan) yang Allah sediakan dalam islam.
Jika di dunia, kita ini ibarat seorang anak yatim. Kita dipungut untuk masuk ke pusat perlindungan. Di sana, kita diberikan makanan, tempat tinggal dan pakaian. Pusat perlindungan itu punya undang-undang. “Tidak boleh merokok”.
Lalu, kita buat tidak peduli. Dengan sengaja, kita merokok. Pertama kali ditangkap, kali kedua, kali ketiga…. Kali yang ke seterusnya… dan akhir, kita diminta untuk berpindah. Untuk orang semacam itu, kita akan katakan dia sebagai “Tidak kenang budi”, “Tidak pandai bersyukur”, “Orang jahat” dan macam-macam.
Dan orang itu sebenarnya bukanlah orang lain, tetapi diri kita sendiri. Selepas segala kebaikan Allah beri, mengapa kita tegar membalas kebaikan itu dengan maksiat?
Allah beri kita buat pilihan. Antara iman atau kufur. Antara taat atau ingkar. Antara patuh atau melawan. Tetapi balasannya juga jelas. Antara dua itu, ada syurga dan ada neraka. Lalu, selepas kita melawan dan ingkar, Allah masih berlaku baik kepada kita. Tidakkah masa untuk kita melafaz ‘maaf’ dan ‘taubat’ itu masih terbuka… sebelum pintu neraka Dia buka untuk kita?
3 Komentar
Iqbal, akak nak kongsi juga pendapat akak tentang insan. Tapi tidaklah sehebat tulisan Iqbal. Kalau ada masa, kalau sudi jenguk la ; http://lydsunshine.blogspot.com/2010/06/kuceng-balas-budi-dan-adab-depan-boss.html
Balassalam.
Balasnice post.
panjang dan bermakna.
thanks ~ :)
Saya hendak copy artikel2 awak di FB group (Dunia_Islam camfrogger) dan akan tulis sumber : http://iqbalsyarie.blogspot.sg/2011/10/insan-bacalah-dengan-perlahan-lahan.html
BalasAwak benarkan?
Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443