October 10, 2011

Istiqomah.

Memang saya berhajat untuk menulis tentang program Ustazah Pilihan dan Solehah, tetapi saya sendiri belum pernah menonton hatta satu episod pun. Jadi rasanya sungguh tak adil untuk saya memberi penilaian kepada sesuatu yang saya sendiri belum pernah tonton. Maaf. InsyaAllah, saya akan tulis selepas saya berjaya menonton sekali.

Jadi, untuk kali ini... saya mahu bercakap tentang istiqomah.

Dah lama sangat saya tak membuat ulangkaji pada tajuk ini. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk menulis berkaitan dengan istiqomah, kerana dalam masa saya menulis... saya dapat kembali mengkoreksi diri, dan seterusnya memperbaharui ilmu dan niat. Mudah-mudahan!

Sepertimana yang telah kita sedia ketahui, sesungguhnya istiqomah itu ialah satu perintah dan satu kewajipan kepada setiap individu muslim. Dalilnya... setiap hari jumaat, khatib berpesan; "Janganlah kamu mati melainkan kamu ialah seorang muslim"

Ayat itu bermula dengan 'ya ayyuhallazii' yang bermaksud, satu seruan daripada Allah kepada setiap manusia yang beriman untuk bertaqwa dan jangan mati selain daripada kematian sebagai seorang muslim.

Yang jelas, kita takkan mampu untuk mengelakkan diri daripada diburu kematian tetapi kita boleh sahaja untuk bertaqwa dan menjadi muslim. Maka, perintah yang sebenar ialah supaya kita istiqomah menjalani penghidupan sebagai muslim dan mati, sebagai seorang daripadanya.

Kiranya, ia tugasan yang mudah tapi hakikatnya ia sukar sekali. Sangat sukar kerana ada syaitan dari kalangan jin, dan syaitan dari kalangan manusia... sedang menjerat kita! Itu belum lagi kerana campur tangan nafsu serakah dan fitnah duniawi yang berleluasa. Oh! Teringat pesan Imam Ghazali; sesiapa yang tidak merasa risau yang akidahnya sedang diancam, maka itu petanda bahawa akidahnya memang sedang diancam.

Ironis bukan? Sesiapa yang sudah merasa cukup selamat, dialah yang sebenarnya sedang terancam!

Kembali kepada tajuk... Seperti yang kita dah lama tahu, maksud 'amal yang terbaik' ialah amal yang sedikit tetapi dilakukan secara berpanjangan dan konsisten. Ada hadis berkenaan dengan itu, sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.anha.

Saya sebenarnya seringkali memerhati, betapa manusia... termasuklah saya, sangat gagal dalam bab hendak konsisten melakukan kebaikan. Contoh mudah, bulan ramadhan. Jika semasa bulan ramadhan ini, kita boleh bersolat sehingga 20 rakaat sehari secara berjemaah, tetapi mengapa di luar ramadhan... kita liat sangat hendak datang kepada solat berjemaah? Kalau bulan ramadhan, kita boleh bersedekah, kenapa di luar ramadhan, tangan kita kejang untuk menghulur?

Sangat ironi!

Jadi, bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan istiqomah?

Pertama- kita perlu memperbanyakkan bacaan doa-doa khusus.
Kalau saya, saya lebih suka membaca doa di dalam bahasa melayu saya memang bodoh dalam bahasa arab. Tak faham. Jadi baik saya berdoa dalam doa yang saya faham. Kerana bagi saya, doa ialah pengaduan, pengharapan, dan rintihan kepada Allah. Seseorang takkan merayu dan meminta untuk sesuatu yang dia sendiri tak tahu... kan? Samalah. Berdoa sebenarnya bukannya nak paksa Allah tunaikah permintaan kita. Tidak! Siapa kita hendak memaksa Allah tunaikan kehendak kita! Tetapi berdoa sebenarnya ialah lambang kehambaan supaya kita berasa nilai kita, berasa hina, berasa harap kepada Allah.

Kedua- Berteman dengan orang yang baik-baik.
Kawan kita ialah diri kita yang satu lagi. Mereka akan mempengaruhi kita, luar dan dalam. Kerana itulah kita perlu memilih kawan-kawan yang baik. Sifirnya mudah sekali; kawan yang baik pasti akan mengajak kita kepada kebaikan manakala kawan yang tak baik, akan membawa kita ke jalan yang sebaliknya. Harus diingat juga bahawa antara kawan baik dengan kawan yang baik, wujud satu dinding yang utuh dan besar. Tak semestinya kawab baik itu baik, kerana ramai sahaja manusia yang jadi jahat sebab kawan! Dirosakkan oleh kawan sendiri!

Ketiga- Memperbaharui azam dan matlamat setiap hari.
Antara sebab lain mengapa orang islam ramai terkandas ialah kerana mereka tak punya keinginan yang bulat untuk kekal berada dalam kebaikan. Ini ialah tanda kita tak bersungguh-sungguh dan percayalah... tiada siapa yang rugi dengan sikap sambil lewa kita itu, melainkan kita sendiri yang rugi!

Keempat- Meraikan kejayaan untuk istiqomah.
Kalau syaitan boleh bergembira dengan kejayaan mereka menghalang-halang kita daripada jalan Allah, mengapa kita enggan bergembira dan bersyukur jika perangkap-perangkap mereka, berjaya kita patahkan? Salah satu sebab kenapa kita tak berasa seronok berbuat amal soleh juga ialah kerana kita tak mahu meraikan kejayaan membuat amal. Bila hati dah rasa tak seronok... tak suka... macam mana nak istiqomah?

Kelima- Sering bermuhasabah diri.
Yang ini penting. Kita perlu periksa diri kita. Takut-takut ada riak atau ujub yang tumbuh kerana daripada maksiat hati inilah, terbuka ruang dan peluang untuk syaitan memerangkap kita seterusnya menjauhkan kita daripada ketaatan kepadanya.

Keenam- Bayangkan ganjaran amal soleh.
Kita ingat satu saja. Allah tak berhajat kepada makhluk. Tetapi jika kita patuh kepada Dia, pasti kita akan bahagia tetapi jika kita tak mahu patuh, Allah tak rugi. Sebaliknya yang menyesal nanti itu kita!

Sudah selesai mengulangkaji. Jadi yang tinggal ialah mengulang amal sahaja.

Mudah-mudahan saya dapat istiqomah. Kalian juga, semua pembaca.
   

6 comments:

menusuk hati said...

selamat beristiqomah dalam memberi nasihat.tips yang baik

khayla fadwah said...

terima kasih atas perkongsian ilmu..
memang tak dapat dinafikan sgt susah nak istiqamah..semoga kita diberikan kekuatan untuk terus membaiki diri.. :)

Anonymous said...

Novel Iman Markisa-karya Aminah Mokhtar

ehh apa kena mengena pulak, dgn entry istiqamah??? ntah tiba2 teringatkn, iman markisa... :(

ahLia teeeetttttt..... said...

terima kasih

tetamu said...

:)

hidayati said...

"fastaqim kama umirta"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails